Category: Kemalangan / Bencana

  • Pemandu mabuk rempuh langgar 8 orang di luar restoran

    Pemandu mabuk rempuh langgar 8 orang di luar restoran

    SEORANG lelaki dipercayai mabuk yang merempuh ruang makan di luar sebuah restoran hingga mengakibatkan lapan individu cedera di Jalan Klang Lama, di sini malam tadi, ditahan polis.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata, lelaki berumur 57 tahun itu ditahan di lokasi kejadian, pagi ini.

    Beliau berkata, lelaki itu yang memandu Honda HR-V dari arah Petaling Jaya menghala ke pusat bandar hilang kawalan ketika sampai di lokasi sebelum melanggar sebuah kenderaan jenis Lexus yang diparkir di bahu kiri jalan.

    “Akibat pelanggaran itu, kereta Lexus bergerak ke hadapan dan melanggar sebuah Perodua Axia yang diparkir di bahagian hadapan restoran dan melanggar pelanggan-pelanggan yang sedang makan serta dua pejalan kaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sarifudin berkata, saringan awal mendapati, kandungan alkohol di dalam badan lelaki itu melebihi had ditetapkan dan kes disiasat di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Katanya, orang ramai yang mempunyai pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-2026 0267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran. – BERNAMA

  • Polis siasat konvoi kereta mewah halang lalu lintas

    Polis siasat konvoi kereta mewah halang lalu lintas

    POLIS menjalankan siasatan susulan video tular memaparkan kumpulan konvoi kereta mewah yang berhenti di Kilometer 34, Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan, berhampiran susur keluar Sedenak, sehingga menghalang lalu lintas, tiga hari lepas.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Supt Tok Beng Yeow berkata, kejadian berkenaan berlaku pada pukul 6.10 petang, Jumaat lepas.

    Susulan daripada itu, satu laporan telah dibuat di Balai Trafik Iskandar Puteri pada 10.11 malam, hari yang sama, kata Tok.

    Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada sebuah pacuan empat roda Ford Ranger yang cuba memotong konvoi kumpulan kereta mewah secara berbahaya sebelum melanggar salah sebuah kereta itu ketika memasuki lorong kiri.

    “Akibat pelanggaran itu, kumpulan kereta mewah terbabit bertindak memberhentikan kenderaan mereka di tengah-tengah lebuh raya berikutan rasa tidak berpuas hati dan menyebabkan berlaku perselisihan faham di antara mereka di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Tok berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Merusuh) yang boleh membawa hukuman dua tahun penjara atau denda dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa hukuman maksimum lima tahun penjara dan denda maksimum RM15,000, jika disabit kesalahan.

    Terdahulu, video berdurasi 45 saat itu memaparkan aksi pemanduan secara berbahaya oleh sebuah pacuan empat roda Ford Ranger yang cuba memotong kumpulan konvoi kereta mewah berkenaan di lorong kiri sebelum melanggar salah sebuah daripadanya. – BERNAMA

  • Rumah didiami 7 sekeluarga musnah dalam kebakaran

    Rumah didiami 7 sekeluarga musnah dalam kebakaran

    SEBUAH rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Temiang di Seremban awal pagi ini.

    Ketua Balai Bomba Seremban, Timbalan Penguasa Bomba Mohammad Idris berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus selepas menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 2.06 pagi, dan sebaik tiba api didapati sedang marak memusnahkan rumah papan itu.

    Beliau berkata, kira-kira 90 peratus daripada rumah berkenaan musnah akibat kebakaran, namun kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa, kerana semua penghuni rumah sempat keluar menyelamatkan diri.

    “Kebakaran itu turut memusnahkan sebuah bengkel besi berkeluasan 40×80 kaki persegi di sebelah rumah berkenaan, dan api berjaya dikawal setengah jam kemudian,” katanya kepada Bernama.

    Difahamkan rumah itu didiami tujuh sekeluarga termasuk empat kanak-kanak. – BERNAMA

  • 3 termasuk warga Perancis dikhuatiri sesat semasa daki Gunung Berembun

    3 termasuk warga Perancis dikhuatiri sesat semasa daki Gunung Berembun

    Tiga individu termasuk dua wanita warga Perancis dikhuatiri sesat semasa mendaki Gunung Berembun yang terletak di Tanah Rata di Cameron Highlands.

    Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Shahrul Nizam Nasir berkata, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands digegaskan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada mangsa pada pukul 4.56 petang tadi.

    “Setibanya di lokasi kejadian, pihak bomba menerima maklumat tiga individu tersebut telah tersesat semasa melakukan aktiviti itu di trek pendakian gunung tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata ketika ini, pasukan bomba sedang menaiki gunung tersebut menuju ke lokasi mangsa tersesat bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat.

    Katanya Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan Pasukan Multi-Skill Team (Must) juga diarahkan berada dalam keadaan bersiap sedia sekiranya diperlukan untuk dipanggil membantu operasi. – BERNAMA

  • 2 pemuda maut, 3 cedera selepas kereta terbabas

    2 pemuda maut, 3 cedera selepas kereta terbabas

    DUA maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas ketika melalui Jalan Slim Lama di Tanjung Malim malam tadi.

    Kemalangan itu mengakibatkan Muhamad Faris Amran, 20, yang tercampak keluar daripada kereta berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Syed Umar Syazrim Syed Hashim, 22, disahkan meninggal dunia di Hospital Slim River.

    Ketua Polis Daerah Muallim, Supt Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, dua lagi penumpang berusia 20 dan 23 tahun mengalami kecederaan ringan, dan pemandu berumur 22 tahun yang mengalami luka di bahagian muka, kaki dan tangan, kini menerima rawatan lanjut di hospital sama.

    Beliau berkata, polis menerima maklumat mengenai kemalangan melibatkan kereta Proton Wira Aeroback dinaiki lima lelaki menghala ke Behrang 2020 itu pada kira-kira pukul 12.10 tengah malam, dan semasa kejadian, jalan di lokasi kemalangan agak gelap, di samping keadaannya basah selepas hujan.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu lelaki itu hilang kawalan dan terbabas lalu terlanggar tiang lampu, sebelum terbabas ke seberang jalan, di arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Sementara itu jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim bergegas ke lokasi ke lokasi kejadian bagi kerja menyelamat sejurus selepas menerima panggilan pada pukul 12.22 tengah malam.

    “Pasukan bomba membuat kerja mengeluarkan dua mangsa yang tersepit dan seorang mangsa yang maut di tempat kejadian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – BERNAMA

  • Wanita disambar buaya ketika memancing

    Wanita disambar buaya ketika memancing

    SEORANG wanita maut selepas dibaham buaya semasa memancing di Sungai Telong, Suai, Miri, kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

    Kejadian itu berlaku semasa mangsa, Demit Chagai, 43, sedang memancing bersama-sama ibu dan ibu saudaranya di sungai itu.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, Rary Binji berkata, empat anggotanya dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 12.10 tengah hari.

    Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, mangsa bersama ibu dan seorang ibu saudaranya sedang memancing di tepi sungai sebelum kejadian.

    “Mereka amat terkejut selepas melihat seekor buaya tiba-tiba muncul dari air dan menyambar mangsa dan menyeret mangsa ke dalam air.

    “Kedua-dua saksi itu tidak mampu berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku dengan begitu pantas.

    “Buat masa ini, usaha mengesan serta mencari mangsa sedang dijalankan dengan bantuan penduduk kampung pada jarak 3 kilometer ke hulu dan hilir sungai dari lokasi terakhir mangsa dilihat,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

  • Peniaga sertai ekspedisi  Gunung Tahan meninggal dunia ketika turun

    Peniaga sertai ekspedisi Gunung Tahan meninggal dunia ketika turun

    SEORANG peniaga yang menyertai ekspedisi mendaki Gunung Tahan disahkan meninggal dunia hari ini, selepas didakwa tidak sihat dalam perjalanan turun dari puncak gunung itu.  

    Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata Raja Azlan Shah Raja Abdul Aziz, 51, dari Petaling Jaya, Selangor difahamkan meninggal dunia pada 12.30 tengah hari, kira-kira 13 kilometer dari pintu masuk Kuala Juram yang merupakan lokasi permulaan pendakian.

    Mangsa difahamkan menyertai pendakian itu bersama 11 rakan lelaki semuanya dari Selangor pada Sabtu lepas (12 Mac) dengan dipandu arah oleh dua malim gunung dan ekspedisi tersebut sepatutnya tamat hari ini. 

    “Keterangan awal malim gunung mendakwa mangsa mulai lemah selepas mengalami cirit-birit selama dua hari menyebabkan dia tidak mampu untuk makan semasa mereka dalam perjalanan turun. 

    “Keadaan itu menyebabkan mereka menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Lipis sekitar pagi tadi bagi meminta bantuan selepas mangsa kehabisan tenaga untuk meneruskan perjalanan,” katanya menerusi kenyataan di Kuantan hari ini. 

    Azli berkata pihaknya segera membuat permohonan bagi mendapatkan helikopter polis untuk membawa mangsa turun, namun difahamkan mangsa telah meninggal dunia. 

    Helikopter yang membawa jenazah mangsa mendarat di padang awam Kuala Lipis dan mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis bagi bedah siasat. 

    — BERNAMA 

  • Operasi SAR runtuhan kuari guna kaedah letupan terkawal

    Operasi SAR runtuhan kuari guna kaedah letupan terkawal

    OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa yang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands yang masuk hari kelapan hari ini, dipertingkatkan dengan menggunakan kaedah letupan terkawal.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata kaedah itu dilakukan bagi membersihkan laluan yang terhalang oleh bongkah batu besar, bagi mengesan kedudukan sebenar dua mangsa berkenaan.

    “Operasi SAR masih giat dijalankan di lokasi kejadian, dengan dipantau ketat oleh pakar cerun daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

    Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata pihaknya telah memberi bantuan kebajikan yang sewajarnya kepada waris kedua-dua mangsa, termasuklah mengadakan lawatan prihatin dan sumbangan bekalan makanan kering melalui Skuad Aman Wanita (Amanita) Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.

    “Pihak polis juga memaklumkan perkembangan operasi SAR kepada waris kedua-dua mangsa dari semasa ke semasa,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan kepada orang awam agar tidak menyebarkan maklumat atau fakta yang tidak benar mengenai operasi SAR, dengan cara menularkannya di media sosial sehingga menjejaskan operasi berkenaan, mahu pun menyinggung perasaan waris kedua-dua mangsa dalam kejadian ini.

    Kejadian pada 9.15 pagi Selasa lepas itu, menyebabkan dua lelaki dipercayai tertimbus iaitu Kheow Loo Siew Soon, 49, dan Itam Lasoh, 43, manakala Mohd Razli Suhaimi, 35, mengalami patah tulang kaki dan Pan Tam, 38, cedera ringan. – Bernama

  • Warga emas maut dihempap mesin penurap jalan

    Warga emas maut dihempap mesin penurap jalan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG warga emas maut setelah dihempap sebuah mesin penurap jalan di Kampung Sungai Baru, Kuala Sungai dekat Alor Setar, Kedah hari ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II, Ahmad Naufal Abdullah berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa yang berusia 60 tahun maut di lokasi kejadian.

    “Pihak kami menerima panggilan mengenai kejadian itu pukul 11.47 pagi dan tiba di lokasi kira-kira 15 minit kemudian.

    “Bagi mengeluarkan mangsa, kami terpaksa menggunakan khidmat dua mesin pengangkut (forklift) untuk mengangkat mesin penurap jalan tersebut,” katanya kepada Warta Rakyat, hari ini.

    Tambahnya, mangsa yang berjaya dikeluarkan kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

    “Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Polis kesan saksi kejadian 2 kanak-kanak maut motosikal rempuh tiang elektrik

    Polis kesan saksi kejadian 2 kanak-kanak maut motosikal rempuh tiang elektrik

    POLIS Pulau Pinang meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian kemalangan yang menyebabkan dua kanak-kanak maut selepas motosikal mereka dipercayai terbabas dan melanggar tiang elektrik semalam tampil menyalurkan maklumat.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad, dalam kejadian berhampiran kawasan sawah padi di Kampung Terus, Bukit Mertajam kira-kira pukul 2.49 petang itu, kedua-dua kanak-kanak terbabit yang difahamkan berusia 11 dan 13 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah.

    Katanya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila penunggang dan pembonceng motosikal berkenaan terbabas sebelum melanggar tiang elektrik dan tercampak ke kawasan semak di bahagian kiri jalan.

    Dua kanak-kanak maut selepas motosikal mereka dipercayai terbabas dan melanggar tiang elektrik semalam

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat trafik iaitu Inspektor Ami Syuqri di talian 013-4194072 atau 04-5382222.

    “Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan kita turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati bagi mengelakkan daripada berlakunya kejadian yang tidak diingini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, penduduk di Kampung Terus itu dikejutkan dengan kejadian kemalangan terbabit memandangkan melibatkan dua kanak-kanak, malah kejadian sama turut tular dalam media sosial sejak semalam.

    Sementara itu, seorang penduduk yang enggan dikenali dikatakan, kedua-dua mangsa didakwa bukan penduduk kampung itu namun masuk meronda dengan menunggang motosikal sebelum terbabit kemalangan.