Category: Kemalangan / Bencana

  • Motosikal langgar kerbau, penunggang maut, tiga lagi cedera

    Motosikal langgar kerbau, penunggang maut, tiga lagi cedera

    SEORANG lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sekawan kerbau di Jalan Sungai Kroh-Kampung Gajah dekat Air Kuning, dua hari lepas.

    Mohamad Haddrie Naim Azmi, 20, yang sedang dalam perjalanan dari arah Kampung Gajah menuju ke Air Kuning, meninggal dunia di lokasi kejadian pada kira-kira pukul 1.30 pagi akibat kecederaan parah di kepala susulan kemalangan itu.

    Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata semasa Mohamad Haddrie melalui kawasan gelap itu bersama tiga rakannya, mereka tidak nampak kelibat sekawan kerbau yang berada atas jalan raya, mengakibatkan keempat-empat mereka merempuh kawanan kerbau itu.

    Beliau berkata lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dan mayat telah dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat, manakala tiga lagi rakannya yang cedera dalam kejadian itu dihantar ke Hospital Kampar untuk rawatan.

    Dalam kenyataan di sini hari ini Mohd Yusri berkata masalah haiwan ternakan yang dibiarkan berkeliaran di jalan negeri dan persekutuan perlu ditangani demi keselamatan pengguna jalan raya, dan polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Pemilik haiwan ternakan jika didapati sengaja melepaskan haiwan hingga mengakibatkan kemalangan boleh didakwa di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat awam atau kecuaian berkaitan haiwan malah boleh dihukum penjara enam bulan dan denda RM2, 000 atau kedua-duanya sekali,“ katanya.

  • Tiga individu melecur, kereta tiba-tiba meletup dan terbakar 

    Tiga individu melecur, kereta tiba-tiba meletup dan terbakar 

    Oleh RIZQI ZABIDI 

    TIGA termasuk seorang kanak-kanak melecur apabila kereta yang mereja naiki tiba-tiba meletup dan terbakar dalam kejadian di Taman Industri Ringan Sri Mergong dekat Alor Setar, hari ini.

    Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Abdul Rahim Che Omar, kejadian itu mengakibatkan tiga individu berusia antara lima hingga 54 tahun melecur. 

    Katanya, bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 12.31 tengah hari. 

    “Setibanya di lokasi, didapati kebakaran tersebut telah dipadamkan oleh orang awam yang berada di situ. Pihak bomba kemudiannya membuat pemeriksaan bagi memastikan api padam sepenuhnya.  Ketiga-tiga mangsa kemudiannya dihantar ke Hopsital Sultanah Bahiyah bagi mendapatkan rawatan,” katanya. 

    Dalam kejadian itu, mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 54 tahun melecur sebanyak 80 peratus manakala seorang wanita berusia 36 tahun melecur 30 peratus dan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang turut berada dalam kenderaan itu melecur 95 peratus. 

    Mengulas lanjut Abdul Rahim berkata, kereta jenis Proton Wira itu didapati terbakar 60 peratus. 

    “Setakat ini punca kejadian masih disiasat,” katanya.

  • Lelaki cedera dirempuh kereta ketika bantu mangsa kemalangan

    Lelaki cedera dirempuh kereta ketika bantu mangsa kemalangan

    PEMUDA maut semasa membantu seorang mangsa kemalangan apabila dia sendiri dirempuh kereta dalam nahas dua kenderaan di Jalan Song, Kuching sekitar jam 2 pagi tadi.

    Mangsa, Jude Jimmy, 22, sedang membantu seorang pemandu kenderaan Perodua Myvi yang sebelum itu terbabas dan melanggar sebatang pokok.

    Jude bagaimanapun tiba-tiba dirempuh oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda Lexus RX 200t, yang dinaiki dua lelaki.

    Insiden tersebut menyebabkan Jude mengalami kecederaan di kaki kanan.

    Menurut Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Hendery Ardimanshah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 2.13 pagi dan segera mengaktifkan sebuah jentera dan sebuah ambulans EMRS dengan kekuatan 11 anggota dari Balai Tabuan Jaya dan Padungan ke lokasi.

    “Setiba di lokasi, pasukan telah bertindak menstabilkan kecederaan Jude, sebelum mengeluarkan pemandu Myvi yang tersepit di ruang pemandu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, kedua-dua mangsa, termasuk pemandu Myvi yang berusia 36 tahun itu kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak dan Pusat Rawatan KPJ masing-masing untuk rawatan lanjut.

    Pemandu dan penumpang pacuan empat roda bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, kata Henderi lagi.

    Kes katanya, diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

  • Lelaki ditemukan meninggal dunia dalam tandas

    Lelaki ditemukan meninggal dunia dalam tandas

    SEORANG lelaki hari ini disahkan meninggal dunia setelah dipercayai pengsan dalam tandas kediamannya di Setia Alam, di Shah Alam awal pagi tadi.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Bomba Selangor Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata terdahulu pihaknya menerima panggilan daripada isteri mangsa pada 3.04 pagi selepas mangsa Simon Tan Cheng Kim, 55, terkunci dalam tandas kediamannya di Jalan Setia Utama.

    “Enam pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik tiba di lokasi pada 3.22 pagi dan didapati mangsa terkunci dalam tandas serta dipercayai pengsan,” katanya dalam kenyataan.

    Mohamadul Ehsan berkata setelah pintu berjaya dibuka, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di atas lantai dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan.

  • Datuk, dua cucu cedera kereta dipandu rempuh stesen minyak

    Datuk, dua cucu cedera kereta dipandu rempuh stesen minyak

    DUA kanak-kanak cedera selepas kereta dipandu datuk mereka merempuh kedai serbaneka di sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Rambai, Melaka Tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian kira-kira pukul 7 malam itu berlaku selepas lelaki berusia 69 tahun itu selesai mengisi minyak kereta, yang dinaiki bersama dua cucunya berusia 13 dan 12 tahun.

    “Selesai sahaja mengisi minyak, warga emas itu secara tiba-tiba tertekan pedal minyak semasa memasuki gear D, mengakibatkan kereta jenis Hyundai Sonata dipandunya terbabas sebelum merempuh kedai serbaneka stesen minyak berkenaan.

    “Tiga beranak itu bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan dan kejadian itu tidak melibatkan pelanggan lain mahupun pekerja di situ,” katanya ketika dihubungi.

    Akibat pelanggaran itu juga, kata Christopher, sebanyak lima keping panel pintu kaca telah pecah.

    “Mangsa dibawa ke hospital oleh anaknya yang tiba di tempat kejadian selepas itu.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (1987),” tambahnya, lapor Astro Awani.

  • Penunggang motosikal maut dihempap pokok tumbang ketika ribut

    Penunggang motosikal maut dihempap pokok tumbang ketika ribut

    SEORANG lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dihempap pokok yang tumbang dalam kejadian ribut di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu menghala ke George Town, Pulau Pinang awal pagi tadi.

    Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 pagi itu, pokok tumbang terbabit turut menghempap beberapa kenderaan lain termasuk kereta jenis Marcedes Benz dan Perodua Myvi serta dua motosikal jenis Yamaha Y15 dan Avantis.

    Difahamkan, terdapat tiga mangsa iaitu dua lelaki yang juga penunggang motosikal dilaporkan mengalami kecederaan patah paha dan kaki manakala seorang wanita hanya cedera ringan.

    Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala mangsa maut diserahkan kepada pihak polis.

    Operasi menyelamat mangsa dilakukan oleh pasukan bomba dan pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) turut membantu melakukan kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian.

    Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd. Hafiz Hafizal Timaradin turut mengesahkan kejadian berlaku dan memberitahu pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.26 pagi.

  • Bapa hilang 3 anak berselang jam akibat kemalangan

    Bapa hilang 3 anak berselang jam akibat kemalangan

    WALAUPUN berat ujian diterima, Abu Bakar Ibrahim reda dengan kehilangan tiga anak lelakinya yang berselang hampir satu jam antara satu sama lain akibat kemalangan semalam.

    Pada kejadian 7.20 malam itu, Muhammad Firdaus, 28, Muhammad Solihin, 21, dan Ahmad Jazuly, 17, maut selepas lori dinaiki mereka terbabas lalu merempuh sebuah kren di Kilometer 136 Jalan Kuantan/Johor Bharu di Rompin.

    Abu Bakar, 54, yang semasa kejadian berada di Terengganu atas urusan kerja berkata mendapat panggilan telefon isterinya Norezah Rejab, 51, sekitar 7.30 malam memaklumkan anak ketiga mereka Muhammad Solihin meninggal dunia, lapor BERNAMA.

    “Hampir satu jam selepas itu, saya terima berita Along (Muhammad Firdaus) juga meninggal dunia sebelum disusuli panggilan ketiga memberitahu Ucu (Ahmad Jazuly) juga sudah tiada, sejam kemudian,” katanya semasa ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Setajam di Rompin hari ini.

    Abu Bakar juga sebak apabila memaklumkan tragedi itu berlaku pada ulang tahun kelahiran Ahmad Jazuly dan anak keempat itu ada menghantar pesanan WhatsApp untuk mengingatkannya tentang hari istimewa tersebut selain turut meminta kasut sebagai hadiah.

    Muhammad Solihin yang merupakan penuntut tahun akhir jurusan kejuruteraan mekanikal di Politeknik Muadzam Shah, juga ada menghantar WhatsApp kepada Abu Bakar pada 5.10 pagi semalam, kerana mahu meminta doa untuk peperiksaan tidak lama lagi.

    “Memang menjadi kebiasaan untuk dia meminta doa setiap kali hendak periksa, cuma semalam dia beritahu berasa sangat tenang,” katanya.

    Muhammad Solihin tinggal di asrama dan menurut Abu Bakar, kali terakhir mereka bertemu ialah hujung Mei lepas, apabila anaknya pulang ke rumah dengan meminjam motosikal rakan supaya dapat berjumpa sebelum dia ke Terengganu.

    Arwah pulang ke rumah semalam, memandangkan dia tidak mempunyai kertas peperiksaan atau tugasan lain pada hari ini.

    Sementara itu, adik bongsu mangsa Nur Faqihah, 16, berkata kejadian berlaku semasa abangnya dalam perjalanan pulang ke rumah di Jalan Sungai Kolek , selepas membantu ibu mereka mengangkat benih padi di sawah yang diusahakan di Kampung Setajam.

    Katanya, ibu mereka juga pergi bersama, namun memandu kereta sendiri dan semasa kejadian, agak ketinggalan daripada lori dinaiki abang-abangnya kerana berhenti mengisi minyak.

    “Saya tak sangka Along (Muhammad Firdaus) ada dalam lori kerana semasa pergi, dia bersama emak.”

    “Along memang suka membantu dan kerap mengikut emak ke sawah walaupun dia Orang Kurang Upaya (OKU) selain paling manja dengan emak,” katanya.

    Nur Faqihah berkata mereka merancang untuk makan istimewa pada malam semalam sempena hari jadi Ahmad Jazuly dan ibunya menyediakan kari ayam kegemaran arwah sebagai juadah tengah hari yang sempat dijamah arwah sebelum ke sawah.

  • Pelajar USAS lemas di Air Terjun Batu Hampar

    Pelajar USAS lemas di Air Terjun Batu Hampar

    PELAJAR lelaki Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) meninggal dunia dipercayai akibat lemas ketika mandi bersama rakan di Air Terjun Batu Hampar dekat Padang Rengas pagi tadi.

    Mangsa, Muhamad Arif Arsyad Md. Salleh, 23, datang ke kawasan itu untuk berkelah bersama 10 rakan lain.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan kejadian itu diterima pada pukul 11.19 pagi.

    “Maklumat awal mangsa telah lemas di air terjun sekitar 20 minit sebelum anggota tiba di lokasi kejadian.

    “Mangsa dibawa naik oleh rakan-rakannya yang berada di situ.

    “Anggota bomba telah berikan bantuan CPR (resusitasi kardiopulmonari) kepada mangsa sebelum menyerahkan kepada ambulans untuk rawatan selanjutnya,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Kangsar dan operasi tamat pada pukul 12.43 tengah hari.

  • Buruh tunggang motosikal melawan arus maut bertembung lori

    Buruh tunggang motosikal melawan arus maut bertembung lori

    Oleh BADLISHAH MAT

    SEORANG lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya secara melawan arus bertembung sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Jalan Jabi – Pokok Sena, di Alor Setar pada 12.35 tengah hari semalam.

    Ahmad Nawawi Din, 66, yang bekerja sebagai buruh dan berasal dari Kampung Kepala Bukit meninggal dunia pada pukul 2.40 petang ketika menerima rawatan di hospital.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, sebuah lori mengangkut tanah yang dipandu lelaki berusia 57 tahun sedang bergerak dari arah Alor Setar menuju ke Pokok Sena.

    “Setiba di persimpangan lampu isyarat Jabi, sebuah motosikal sedang bergerak dari arah Pokok Sena dalam keadaan melawan arus di bahu sebelah kiri jalan.

    “Tiba-tiba penunggang itu terus melintas untuk ke kanan jalan dan ketika itu pemandu lori tidak sempat mengelak dan menekan brek lalu merempuh motosikal mangsa,” katanya.

    Ahmad Shukri berkata, mangsa tercampak ke atas jalan manakala motosikalnya terseret sejauh kira-kira 50 meter hingga memasuki laluan bertentangan.

    Katanya, pemandu lori terbabit pula sempat terjun daripada kenderaannya tanpa mengalami sebarang kecederaan.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Van sekolah tembung motosikal, lima murid luka terkena serpihan kaca

    Van sekolah tembung motosikal, lima murid luka terkena serpihan kaca

    SERAMAI lima daripada 10 murid mengalami luka apabila van sekolah dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah motosikal di simpang tiga Jalan Nusari Bayu 1, di Seremban hari ini.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Taware berkata, kejadian pukul 7.25 pagi itu dipercayai berlaku apabila van dipandu lelaki berusia 65 tahun dari arah Taman Nusari Aman 1 menuju ke arah Taman Nusari Bayu 2.

    “Apabila tiba di lokasi kejadian, van tersebut telah membelok ke kanan simpang, namun sebuah motosikal jenis Modenas Pulsar dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kiri van.

    “Kejadian itu mengakibatkan lima murid berusia enam hingga 12 tahun mengalami cedera luka kecil akibat terkena serpihan kaca,” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian.

    Menurut beliau, kesemua mereka dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban manakala pemandu van dan lima lagi murid tidak alami sebarang kecederaan.

    “Penunggang motosikal berusia 17 tahun itu patah tangan kanan dan luka di bahagian kaki turut dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

    “Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Seremban di talian 06- 6033222 bagi membantu siasatan,” katanya.

    Kes disiasat di bawah Sek 43(1)Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.