Category: Kemalangan / Bencana

  • Cemas! Kanak-kanak tersangkut dalam mesin basuh

    Cemas! Kanak-kanak tersangkut dalam mesin basuh

    SEORANG kanak-kanak lelaki berhadapan saat cemas selepas terperangkap di dalam bahagian pengering mesin basuh di rumahnya di Kuala Paka, Dungun, malam tadi.

    Bagaimanapun suasana getir itu berakhir apabila mangsa berusia 4 tahun berjaya dikeluarkan oleh anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka, 9.30 malam tadi.

    Menurut Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azman Alias, sebelum kejadian, kanak-kanak berkenaan dikatakan cuba mengambil lampu suluh miliknya yang terjatuh ke dalam mesin basuh itu.

    Lalu katanya, mangsa masuk ke dalam mesin basuh tersebut sebelum tersangkut pada bahagian pengering mesin basuh separa automatik itu.

    “Mangsa didapati tersangkut dari bahagian kaki hingga paras pinggang, menyebabkan pihak kami terpaksa memotong dram mesin basuh terbabit menggunakan peralatan khas,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro Online.

    Beliau berkata, kanak-kanak itu bagaimanapun berjaya dikeluarkan setengah jam kemudian.

    Katanya, mangsa tidak tidak mengalami sebarang kecederaan dan kemudian diserahkan kepada ahli keluarganya.

  • 12 kontena musnah dalam kebakaran di Pelabuhan Barat

    12 kontena musnah dalam kebakaran di Pelabuhan Barat

    SEBANYAK 12 kontena berisi pelbagai barangan musnah dalam kebakaran, di Pelabuhan Barat, semalam.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 5.37 petang.

    Katanya, sepasukan 34 pegawai dan anggota bersama jentera dari 10 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dikejarkan ke lokasi kejadian.

    BBP terbabit adalah Pelabuhan Barat, Andalas, Kota Anggerik, Petaling Jaya, Shah Alam, Pelabuhan Klang, Puchong, Subang, Serdang dan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

    “Laporan awal, kebakaran membabitkan lapan unit kontena yang disusun secara empat tingkat.

    “Sehingga 9.30 malam tadi, 12 unit kontena dengan lapan muatan telah dikenalpasti iaitu alat ganti, alatan muzik, kapas, baby walker, minyak pelincir, benang, amionik dan sistem pemasangan bumbung.

    “Muatan empat lagi unit kontena masih belum dikenal pasti,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Norazam berkata, kerja-kerja mengalihkan kontena yang belum terbakar sedang dilakukan.

    Katanya, kebakaran itu tidak membabitkan mangsa.

  • Empat juruteknik maut dalam nahas empat kenderaan di Kuala Nerus

    Empat juruteknik maut dalam nahas empat kenderaan di Kuala Nerus

    EMPAT juruteknik syarikat swasta maut apabila van dinaiki mereka yang dalam perjalanan dari Setiu ke Kuala Terengganu, terlibat dalam kemalangan di Kampung Sungai Ikan, di Kuala Nerus petang semalam.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus Azmi Omar berkata kemalangan yang berlaku pada 6.22 petang itu turut melibatkan sebuah kereta Proton Wira dan Proton Persona dari arah yang sama, serta sebuah bas ekspres dari arah Temerloh, Pahang menuju ke Jertih.

    “Ketika sampai di tempat kejadian kami mendapati seorang mangsa yang menaiki van telah dikeluarkan orang awam manakala tiga lagi mangsa yang maut masih berada di dalam van tersebut.

    “Kejadian itu turut menyebabkan pemandu Proton Wira dan penumpang Proton Persona mengalami kecederaan, manakala 13 penumpang bas ekspres termasuk pemandu, serta pemandu Proton Persona tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi insiden.

    Mangsa yang maut adalah Syed Mohd Shukri Tuan Yahya, 36; Muhammad Saufi Jusoh, 34; Mohd Shahlan, 37, dan pemandu van yang masih belum dikenal pasti identitinya.

    Azmi berkata kemalangan itu dipercayai berlaku apabila van tersebut gagal memotong kereta Proton Wira sebelum bertembung dengan bas ekspres dari arah bertentangan.

    Katanya, perlanggaran itu menyebabkan kereta Proton Wira berkenaan merempuh kereta Proton Persona yang berada di laluan sama.

    Menurut Azmi, seramai 18 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus dan BBP Kuala Terengganu bersama tiga jentera terlibat dalam operasi mengeluarkan mangsa.

    Beliau berkata keseluruhan operasi selesai sepenuhnya pada 9.20 malam tadi dan keempat-empat mayat telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

    — BERNAMA

  • Dua beranak maut kena renjatan elektrik semasa tangkap ikan

    Dua beranak maut kena renjatan elektrik semasa tangkap ikan

    DUA beranak keturunan Orang Asli maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik semasa menangkap ikan menggunakan peralatan diperbuat daripada bateri kereta di Temerloh, semalam.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa yang juga seorang bapa berusia 45 tahun dan anak lelakinya berumur 16 tahun ditemukan pada 3.40 petang dalam keadaan terbaring di tepi sungai di dalam ladang kelapa sawit di Kuala Krau oleh sekumpulan penduduk kampung.

    “Kumpulan penduduk tersebut difahamkan mencari mangsa yang berasal dari Kampung Paya Sendayan kerana mereka dikatakan tidak pulang ke rumah selepas keluar pada Sabtu.

    “Siasatan awal dengan individu yang menjumpai mangsa mendakwa mereka terjumpa sebuah bateri kereta dan wayar serta peralatan menangkap ikan berdekatan mangsa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Ramli berkata, rumah mangsa dan lokasi mereka dijumpai adalah berdekatan dan boleh diakses dengan berjalan kaki.

    Mayat mangsa dua beranak yang maut itu dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk bedah siasat.

    Ramli juga menasihatkan orang ramai untuk tidak melakukan perbuatan yang boleh mendatangkan bahaya atau modifikasi yang boleh merisikokan diri. – BERNAMA

  • Dua beradik selamat selepas hanyut akibat enjin bot rosak

    Dua beradik selamat selepas hanyut akibat enjin bot rosak

    DUA beradik yang dikuatiri hilang selepas gagal pulang daripada aktiviti memancing di kawasan laut Semarang, Labuan sejak semalam, telah ditemui dengan selamat.

    Muhammad Nuhidayat Jafari, 18, dan abangnya Muhammad Nabil Jafari, 22, telah diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pagi tadi.

    Kedua mereka dilaporkan telah keluar ke laut pada jam 5 pagi 2 April, namun enjin bot mereka rosak ketika sedang memancing, namun berjaya membuat panggilan kepada ibu mereka hari ini, yang kemudiannya memaklumkan kepada pihak berkuasa.

    Ketua APMM Zon Labuan, Kapten Nurdin Jusoh berkata bot peronda telah dikerahkan untuk membuat operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas pihaknya menerima laporan pada 8.40 pagi tadi.

    SAR tersebut telah turut disertai anggota daripada polis marin, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

    “Pemancing adik beradik itu cuba mendapatkan bantuan daripada pemancing lain di kawasan itu namun tidak berjaya, sebelum operasi menemukan mereka dan bot mereka itu dibawa ke pangkalan APMM di sini” katanya.– Bernama

  • Bomba ambil masa 10 jam padam kebakaran 4 bot bawa muatan diesel

    Bomba ambil masa 10 jam padam kebakaran 4 bot bawa muatan diesel

    PASUKAN bomba dan penyelamat mengambil masa kira-kira 10 jam bagi memadamkan kebakaran empat bot, termasuk tiga yang sarat muatan diesel di jeti nelayan Sungai Endau, Mersing, tengah malam tadi.

    Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Alias Hussin, berkata tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

    Katanya, terdahulu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kebakaran bot melalui talian MERS999 pada pukul 12.08 tengah malam.

    Berikutan itu, katanya, tiga jentera LFRT, satu jentera membawa tangki air dan satu jentera EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, BBP Mersing, BBP Kuala Rompin dan BBP Endau dengan kekuatan seramai 32 anggota dihantar ke lokasi kejadian.

    “Setiba Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, kami dapati dua bot kelas B dan dua bot kelas C sedang terbakar.

    “Bot pertama berkelas B yang tiada muatan minyak diesel, musnah kira-kira 70 peratus, manakala satu lagi kelas B membawa 5,000 liter diesel musnah 80 peratus.

    “Bot ketiga dan keempat berkelas C yang membawa muatan 8,000 liter diesel musnah kira-kira 85 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, PKO bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran hos dan tiga pancutan sumber air terbuka.

    Katanya, operasi ditamatkan pada pukul 10.42 pagi tadi.

  • Dua maut kereta terbalik selepas langgar pokok

    Dua maut kereta terbalik selepas langgar pokok

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA maut selepas kereta Toyota Vios dinaiki terbabas dan melanggar sebatang pokok sebelum terbalik di Jalan Kluang, Sri Lalang, Kluang, malam tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pada pukul 11 malam itu, pemandu kereta itu yang merupakan seorang lelaki berusia 23 tahun dan penumpang wanita berumur 40-an maut di tempat kejadian.

    Menurut Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Fauzi Md. Nor, seramai sembilan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

    Beliau berkata, mereka dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

    “Tiba di tempat kejadian, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Zaidi Tumiran dan pasukannya mendapati, kedua-dua mangsa tidak tersepit tetapi pintu kereta tidak dapat dibuka terutama bahagian pemandu remuk teruk.

    “Kemalangan dipercayai berlaku selepas pemandu hilang kawalan dan melanggar sebatang pokok di kawasan selekoh tajam di jalan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Menurutnya, kedua-dua mangsa yang berketurunan Melayu disahkan sudah meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir.

    Katanya, kedua-dua mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 5.30 pagi ini.

  • Dua hari hilang, pembantu kesihatan ditemukan meninggal dunia

    Dua hari hilang, pembantu kesihatan ditemukan meninggal dunia

    SEORANG Pembantu Kesihatan Awam dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sabak Bernam, Selangor yang dilaporkan hilang sejak dua hari lalu, ditemukan meninggal dunia dalam tali air Parit 8 Barat, semalam. 

    Mayat mangsa berusia 50 tahun ditemukan oleh rakannya dalam keadaan terlingkup di lokasi kejadian pada pukul 2.15 petang. 

    Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd. Alias berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan pemeriksaan sejurus menerima maklumat daripada rakan mangsa.

    “Siasatan awal mendapati terdapat satu mayat dalam keadaan terlingkup berserta topi keledar bersebelahan dengannya.

    “Pemeriksaan lanjut juga mendapati motosikal mangsa berada dalam tali air terbabit dengan jarak kira-kira 400 meter daripada lokasi mangsa ditemukan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

    Agus Salim berkata, pihaknya meminta bantuan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar untuk mengeluarkan mayat mangsa dan motosikal miliknya dari tali air itu. 

    Beliau juga berkata, hasil pemeriksaan awal ke atas tubuh badan mangsa mendapati tiada sebarang kecederaan. 

    “Berdasarkan keterangan rakan mangsa yang juga pengadu, dia bersama mangsa akan ke Klang bagi mengambil racun bagi tujuan kerja ‘fogging’. 

    “Pada pukul 7 pagi semalam, pengadu sampai di Unit Vektor PKD Sabak Bernam dan mendapati mangsa belum sampai.

    “Dia menunggu sehingga pukul 8 pagi sebelum menghubungi keluarga mangsa. Bagaimanapun, keluarganya memaklumkan mangsa tidak pulang ke rumah sejak kelmarin. 

    “Pengadu kemudian memaklumkan perkara itu kepada penyelianya dan mereka bertindak mencari mangsa,” katanya.

    Agus Salim berkata, rakan mangsa kemudian menjumpai topi keledar dipercayai milik mangsa dan ketika diperiksa, mereka mendapati ada mayat berdekatan topi keledar itu.

    Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sabak Bernam dan diserahkan kepada Jabatan Forensik untuk bedah siasat.

    “Bedah siasat akan dijalankan selepas ujian saringan COVID19 diperoleh dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 3.48 petang.

  • 15 kedai musnah dalam kebakaran

    15 kedai musnah dalam kebakaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KIRA-KIRA 15 kedai di Pasar Yong Peng Sdn Bhd, Yong Peng, Batu Pahat musnah dalam satu kebakaran pada pukul 2.20 pagi.

    Orang awam yang menyedari kejadian tersebut menghubungi pihak bomba pada jam 2.29 pagi sebelum 17 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Penolong Penguasa Bomba Asyraf Nur Mohd Yusof berkata, bagaimanapun tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku kerana semasa kejadian bangunan itu kosong.

    “Kebakaran melibatkan 15 lot kedai penjaja kecil berkeluasan 15 X 51 meter dalam bangunan pasar basah struktur separuh kekal yang berkeluasan keseluruhan 22 x 51 meter.

    “Kebakaran memusnahkan 80 peratus daripada keseluruhan bangunan. Kebakaran turut melibatkan sebuah motosikal Suzuki RG, memusnahkan 95 peratus kenderaan.

    “Kebakaran tidak melibatkan mangsa dan kerja-kerja ‘overhaul’ sedang dijalankan di tempat kejadian. Operasi tamat pada pukul 9.05 pagi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

    Sementara itu, insiden tersebut turur menarik perhatian Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Dr. Wee Ka Siong yang turut memuat naik beberapa foto kejadian berkenaan dalam Facebook miliknya.

    “Kebakaran berlaku di Pasar Awam Jalan Templer, Yong Peng kira-kira pukul 2.30 pagi tadi. Saya kini berada di Desaru untuk menghadiri Majlis Perasmian Terminal Feri Desaru di Desaru Coast Ferry Terminal yang akan disempurnakan oleh DYMM Tuanku Sultan Johor pada pagi ini.

    “Seawal pukul 6 pagi, saya menghubungi YB Ling Tian Soon, Exco Kerajaan Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng yang berada di tempat kejadian,” tulisnya dalam entri berkenaan.

    Anggota bomba memadamkan kebakaran melibatkan 15 lot kedai yang musnah sehingga 95 peratus

    Katanya, laporan awal mendapati 70 peratus daripada bangunan pasar musnah dan seramai 17 pemilik gerai terjejas.

    Beliau yang juga Menteri Pengangkutan bersyukur kerana tiada sebarang kecederaan berlaku.

    “Selaku Ahli Parlimen Ayer Hitam, saya telah memaklumkan kepada YB Ling Tian Soon untuk memberikan bantuan segera RM1,000 daripada saya

    kepada setiap pemilik gerai di samping menunggu laporan lengkap dari pihak bomba dan polis.

    “Kami berdua akan melakukan yang terbaik untuk membantu semua mangsa kebakaran. Saya bersama-sama dengan ADUN Yong Peng akan berbincang dengan pihak Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) serta mencari kaedah terbaik untuk membina semula pasar yang terbakar,” katanya.

  • Empat rumah musnah dijilat api

    Empat rumah musnah dijilat api

    EMPAT buah rumah di Kampung Motou, Jalan Masak, di Keningau, Sabah musnah dalam kebakaran pada pukul 7.45 malam tadi.

    Semua penghuni empat rumah itu selamat, tetapi tinggal sehelai sepinggang apabila tidak sempat menyelamatkan barangan mereka.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8 malam dan 16 anggota dan pegawai dikerahkan ke lokasi kejadian.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian, api sudah memusnahkan sebahagian besar daripada empat rumah berkenaan dan operasi dimulakan segera bagi mengelakkan api daripada terus merebak ke rumah berhampiran,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Menurutnya, api dikawal daripada terus merebak ke 13 lagi rumah berhampiran.

    Katanya, tiada mangsa atau kecederaan dilaporkan dan api berjaya dikawal pada 9 malam sebelum .

    “Pasukan bomba kemudiannya membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi ditamatkan pada 1.47 pagi,” katanya.