Category: Kemalangan / Bencana

  • Kanak-kanak rentung dalam kebakaran, warga emas melecur

    Kanak-kanak rentung dalam kebakaran, warga emas melecur

    SEORANG kanak-kanak lelaki rentung sementara seorang lelaki warga emas melecur 30 peratus di bahagian belakang badannya, dalam satu kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah kediaman di Kampung Masjid, Kuala Baram dekat sini petang tadi.

    Mangsa yang terkorban dalam kejadian itu dikenal pasti sebagai Muhd Ikram Abdullah, 12, di mana mayatnya ditemukan di bawah timbunan zink rumah berkenaan, apabila kebakaran itu berjaya dikawal kira-kira pukul 6.21 petang.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak berkata, warga emas berusia 60 tahun itu, merupakan di antara tujuh penghuni rumah berkenaan yang berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian itu.

    “Sebaik saja panggilan kebakaran diterima pada jam 4.59 petang, sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng dengan kekuatan 10 anggota, satu jentera serta tiga kenderaan bomba digerakkan ke lokasi,” katanya ketika dihubungi malam ini.

    Selain itu, lapan anggota dengan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri Sentral turut berkejar ke tempat kejadian, yang terletak kira-kira 35 kilometer dari balai berkenaan. Punca kebakaran itu masih lagi dalam siasatan. – BERNAMA

  • Budak lelaki hiperaktif mati terjatuh dari tingkat 11

    Budak lelaki hiperaktif mati terjatuh dari tingkat 11

    SEORANG kanak-kanak lelaki hiperaktif berusia enam tahun maut dipercayai terjatuh dari kediamannya di tingkat 11 di Pangsapuri Intan, Taman Puchong Intan, Subang Jaya, dekat sini, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Abd Khalid Othman berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada 6.45 petang.

    Beliau berkata, mayat kanak-kanak berkenaan ditemukan terlentang di atas bumbung tempat letak kenderaan di aras dua bangunan tersebut.

    “Siasatan awal mendapati mangsa yang mempunyai masalah Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD) atau hiperaktif itu sedang bermain permainan video bersama tiga adik-beradik yang lain sebelum disedari hilang.

    “Ketika kejadian, ibu mangsa berada di rumah dan bekerja secara dalam talian manakala bapa kanak-kanak itu berada di kuil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Abd Khalid berkata, setakat ini, polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kes berkenaan dan siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001. – BERNAMA

  • Lelaki maut terkena renjatan elektrik dekat rumah

    Lelaki maut terkena renjatan elektrik dekat rumah

    SEORANG lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di pekarangan sebuah rumah di Kampung Numbak di Kota Kinabalu pagi tadi.

    Pusat operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, mangsa yang berusia 37 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.

    “Sepasukan empat anggota dan pegawai bersama van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) bergegas ke lokasi kejadian selepas pusat operasi JBPM Sabah menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 7.03 pagi,” menurut kenyataan itu.

    Pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) turut tiba di lokasi kejadian untuk memutuskan bekalan elektrik sebelum pasukan operasi membantu mengeluarkan mangsa dari lokasi kejadian.

    Menurut kenyataan itu, mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan pihak bomba kemudian melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan keadaan selamat sebelum operasi ditamatkan pada 9.02 pagi.

    Kampung Numbak merupakan sebuah penempatan yang majoritinya terdiri daripada rumah atas air dan terletak lebih 15 kilometer dari bandar raya Kota Kinabalu. – BERNAMA

  • [VIDEO] Polis tahan pemandu Bezza lawan arus di SKVE

    [VIDEO] Polis tahan pemandu Bezza lawan arus di SKVE

    POLIS menahan seorang lelaki tempatan yang memandu secara melawan arah dan disyaki melanggar dua penunggang motosikal di Kilometer 30.1 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) menghala ke arah Bandar Saujana Putra, petang semalam.

    Ketua Polis Kuala Langat, Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan selepas dia mendapatkan rawatan ekoran kecederaan di bahagian kepala di Hospital Banting sekitar pukul 4 petang semalam.

    Ahmad Ridhwan berkata, dalam kejadian pada kira-kira 2 petang semalam, pemandu Perodua Bezza itu terlebih dahulu melanggar seorang penunggang motosikal yang berhenti di lorong kecemasan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Tanjung 12 SKVE.

    “Selepas itu, pemandu kereta itu terus bergerak secara melawan arus di lorong kecemasan dan melanggar seorang lagi penunggang motosikal jenis Yamaha LC 135,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ahmad Ridhwan berkata, susulan pelanggaran tersebut kedua-dua mangsa cedera di kaki dan tangan dan dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut.

    Saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mazrol Mohd Din di talian 011-18539115 atau 03-31872222 dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Terdahulu, tular aksi lawan arus sebuah kereta Perodua Bezza menerusi video berdurasi 2.30 minit di laman sosial Facebook. – BERNAMA

  • Van sekolah terbabas, pemandu alami serangan jantung, 1 murid cedera

    Van sekolah terbabas, pemandu alami serangan jantung, 1 murid cedera

    SEORANG murid cedera manakala pemandu van sekolah tersepit apabila van berkenaan terbabas dan merempuh penghadang jalan di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur, pukul 1.24 tengah hari tadi.

    Insiden berkenaan dipercayai berlaku akibat pemandu van sekolah berkenaan mengalami serangan jantung.

    Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, Salmi Abdul Mukti berkata, satu jentera dan satu unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

    Katanya, setiba di lokasi kejadian, didapati van sekolah terbabit melanggar penghadang jalan, lapor Harian Metro.

    “Kemalangan membabitkan lima mangsa iaitu empat murid sekolah dan seorang warga emas yang juga pemandu van berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, seorang murid berusia tujuh tahun mengalami kecederaan di kepala manakala pemandu van tersepit di tempat duduk pemandu.

    “Pemandu van berkenaan berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dengan menggunakan peralatan khas.

    “Mangsa yang cedera dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

  • Tiga beranak maut dalam kemalangan tiga kenderaan

    Tiga beranak maut dalam kemalangan tiga kenderaan

    TIGA beranak maut selepas kereta Perodua Kancil dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 128 Jalan Kuantan-Johor Bharu di Rompin hari ini.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata dalam kejadian pada 1.30 tengah hari itu kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala.

    Mangsa terkorban adalah Nur Rawiyah Abu Samah, 25, yang juga pemandu kereta manakala dua lagi mangsa iaitu ibu dan bapa Nur Rawiyah – Saripah Ab Malek, 59, dan Abu Samah Mohamed, 74, kesemuanya beralamat di Kampung Gading, Jalan Muadzam Shah, Rompin.

    Cucu Abu Samah dan Saripah yang berusia satu tahun Muhammad Harraz Mikhael Shafiq Hayqal bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila van dipandu pekerja syarikat penghantaran dari Leban Chondong ke Kuala Rompin hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar kereta mangsa dan sebuah lori,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

    Kamarulzaman berkata pemandu van berusia 24 tahun dari Kampung Tengah, Kuantan dilaporkan patah bahu dan cedera kedua-dua kaki manakala pemandu lori berumur 49 tahun dari Rompin luka di tangan.

    Mayat mangsa dibawa ke Hospital Rompin untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • [VIDEO] Pelajar dilanggar kereta tak berhenti lampu isyarat merah

    [VIDEO] Pelajar dilanggar kereta tak berhenti lampu isyarat merah

    SEORANG pelajar sekolah dilanggar oleh sebuah kereta yang didakwa tidak berhenti semasa lampu isyarat berwarna merah di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Renggam, Johor, pagi semalam.

    Kejadian itu dapat disaksikan melalui rakaman video berdurasi 26 saat yang dikongsi dalam laman Facebook ‘Shamsiah Shaaban’ hari ini.

    Dalam video tersebut, dilihat kenderaan yang merakamkan kejadian berhenti sebelum lintasan belang yang terletak di hadapan sekolah berkenaan.

    Walau bagaimanapun, dua buah kereta kelihatan tidak berhenti di mana sebuah kereta berada di lorong paling kiri dan sebuah lagi yang berwarna putih di lorong paling kanan.

    Dalam masa beberapa saat selepas rakaman bermula, dilihat kereta putih terbabit melanggar seorang pelajar sekolah yang sedang melintas jalan.

    Remaja berkenaan kelihatan terbaring di atas jalan raya selepas dilanggar kereta yang berwarna putih itu namun tahap kecederaannya tidak diketahui.

    Berikutan kemalangan tersebut, ‘Shamsiah Shaaban’ meminta Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi segera mengambil tindakan.

    “Mohon YB Dato Onn Hafiz buat sesuatu untuk tindakan kawasan ni.. Dah lama pihak sekolah dan ibu bapa murid mohon jejantas..

    “Walau kawasan ni ada lampu isyarat tapi ada segelintir manusia yang tak reti faham bahawa MERAH itu berhenti…ini kejadian pagi semalam..

    “Mohon Dato usahakan jejantas di kawasan ini.. Kejadian depan sekolah SMK Simpang Renggam,” katanya.

    Ramai netizen yang menyaksikan video tersebut meluahkan perasaan kesal dengan sikap buruk pemandu yang tidak memberhentikan kenderaan masing-masing untuk memberi laluan kepada pelajar sekolah melintas.

    Mereka berharap agar jejantas segera dibina di lokasi tersebut manakala pemandu yang melanggar undang-undang jalan raya termasuk melanggar lampu isyarat dikenakan tindakan setimpal.

  • Ular sawa 50 kg, 6 meter ditangkap di Lenggong

    Ular sawa 50 kg, 6 meter ditangkap di Lenggong

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berjaya menangkap seekor ular sawa yang beratnya dianggarkan 50 kilogram di Sungai Ulu Lenggong, Kampung Ulu Lenggong, kira-kira 80 kilometer dari Ipoh, hari ini.

    Jurucakap jabatan itu dalam satu kenyataan berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong menerima panggilan telefon mengenai reptilia itu yang berada di pintu empangan sungai berkenaan pada 9.30 pagi tadi.

    Beliau berkata, dengan kekuatan anggota bomba seramai lima orang, penjerut ular digunakan untuk menangkap haiwan itu yang dianggarkan berukuran sepanjang enam meter.

    “Ular sawa tersebut diserahkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dan menambah operasi itu tamat pada 10.10 pagi tadi. – BERNAMA

  • Kaki budak lelaki 3 tahun tersepit dalam eskalator

    Kaki budak lelaki 3 tahun tersepit dalam eskalator

    SEORANG kanak-kanak lelaki terpaksa menahan kesakitan hampir sejam setelah kaki kanannya tersepit dalam eskalator di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya hari ini.

    Kejadian berlaku kira-kira 1.30 tengah hari ketika mangsa berusia tiga tahun dikatakan turun bersama ibu bapanya menggunakan eskalator dari tingkat dua sebelum kaki kanannya secara tiba-tiba masuk dan tersepit di bahagian tepi eskalator berkenaan.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 1.48 tengah hari.

    “Kaki mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira setengah jam kemudian dan mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Seorang saksi ingin dikenali sebagai Nurul berkata dia terdengar jeritan yang amat kuat sebelum melihat seorang kanak-kanak tersepit di eskalator itu.

    “Keadaan memang panik, nasib baik ada yang segera menekan butang kecemasan bagi menghentikan eskalator itu. Kanak-kanak itu menangis hampir satu jam sebelum pihak bomba datang mengeluarkan kakinya yang tersepit,” katanya.

    Tinjuan Bernama di lokasi kejadian mendapati pihak pengurusan pusat beli belah terbabit telah menutup operasi eskalator itu buat sementara waktu. – BERNAMA

  • 6 rumah terbakar, RM26,000 disimpan bawah katil hangus

    6 rumah terbakar, RM26,000 disimpan bawah katil hangus

    SUDAH jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib malang dialami seorang wanita apabila bukan sahaja rumahnya terbakar, tetapi wang tunai RM26,000 miliknya turut hangus dalam kebakaran membabitkan enam buah rumah di Kampung Dalam Rhu, Tumpat, Kelantan tengah hari tadi.

    Dalam kejadian pada pukul 1.40 tengah hari itu menyebabkan empat keluarga tinggal sehelai sepinggang, manakala dua kediaman lagi terbakar 90 dan 10 peratus.

    Mangsa, Nur Nisha Farahin Mohd. Yuzairi, 29, berkata, wang tunai berkenaan hasil jualan runcitnya secara dalam talian dan disimpan di bawah katil.

    “Saya baru keluarkan duit itu semalam dan ingin memasukkannya ke dalam akaun Tabung Haji esok.

    “Saya menerima panggilan daripada jiran memaklumkan mengenai kebakaran ketika berada di Kota Bharu, apabila pulang rumah sudah hangus dan saya hanya mampu mengenangkan duit yang tersimpan di bawah katil,” katanya, lapor Harian Metro.

    Sementara ibunya, Mahani Abdul Rashid, 52, berkata, ketika kejadian dia berada di halaman rumah untuk menyiram bunga sebelum terdengar bunyi letupan kecil dari bahagian dapur.

    “Saya tidak mengendahkannya tapi selepas itu kedengaran sekali lagi letupan yang sama sebelum saya bergegas ke dapur dan alangkah terkejutnya apabila melihat api di dinding.

    “Saya terus menjerit memanggil jiran memberitahu kejadian itu dan dalam masa yang sama mengambil saluran paip getah untuk cuba memadamkan api namun gagal disebabkan ia marak dengan cepat,” katanya.

    Dia yang masih trauma berkata, tiada apa yang dapat diselamatkan kecuali sebuah motosikal yang di parkir di halaman rumah.

    Sementara itu, Ketua Zon Kota Bharu, Penguasa Bomba Suhaimi Mahmood berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.43 tengah hari dan seramai 21 pegawai dan anggota daripada tiga balai di Tumpat bergegas ke lokasi kejadian.

    Suhaimi berkata, sebaik tiba, api sedang marak dan kejadian itu membabitkan enam unit rumah jenis separuh kekal dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

    “Api marak dengan cepat disebabkan cuaca agak panas dan berangin namun dengan tindakan pantas anggota berjaya menghalang api daripada merebak ke rumah yang lain memandangkan kedudukan agak rapat,” ujar beliau.