Category: Kemalangan / Bencana

  • Guru dikhuatiri lemas dihanyut arus sungai

    Guru dikhuatiri lemas dihanyut arus sungai

    SEORANG guru Sekolah Kebangsaan Kampung Buluh, dikuatiri lemas selepas dihanyut arus sungai ketika memukat ikan di Pantai Kuala Baru, Mangkuk, Setiu pada pukul 12.45 tengah malam tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin, mangsa Sugani Yasin, 51, melakukan aktiviti memukat bersama 15 orang rakan lain.

    Menurut beliau, bilik gerakan menerima satu laporan daripada orang awam di kawasan muara sungai Kuala Baru, Kampung Mangkuk.

    Katanya, seorang rakan mangsa menyatakan dia bersama 15 individu menaiki bot dari pantai Kampung Fikri bagi tujuan memukat ikan sekitar pukul 9 malam.

    Beliau berkata, kumpulan itu memilih lokasi kejadian untuk melabuhkan pukat dan apabila waktu menaikkan pukat, saksi menyatakan 11 individu turun menarik pukat.

    “Mangsa bersama tiga lagi rakan hanya berjalan di kawasan berkenaan kerana air sedang surut,” katanya, lapor Harian Metro.

    Bagaimanapun kata Afandi, tanpa disedari mangsa termasuk ke laluan air dalam, lalu tenggelam dihanyutkan arus.

    “Mangsa gagal diselamatkan oleh tiga rakan yang berada berdekatan.

    “Operasi mencari dan menyelamat dilakukan pada pukul 1.40 pagi dengan kekuatan 19 anggota dan pegawai polis, 13 anggota bomba dan penyelamat, 10 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta orang awam.

    Sementara itu, Ketua BBP Setiu, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Razli Rapiae berkata, operasi menyelamat turut dibantu BBP Kuala Terengganu dan Jerteh.

  • Polis tahan juragan bot karam di Semporna

    Polis tahan juragan bot karam di Semporna

    POLIS hari ini menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 64 tahun yang merupakan juragan sebuah bot yang karam, menyebabkan lima penumpangnya lemas berdekatan perairan Kampung Tandoan, Pulau Timbun Mata di Semporna malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, penahanan lelaki itu adalah bagi membantu siasatan kejadian itu, di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu kerana menyebabkan kematian dengan cuai.

    “Pihak polis telah membuat tangkapan pada 12.50 tengah hari tadi dan beliau akan direman untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Dalam kejadian itu, dua kanak-kanak masih hilang iaitu Noranis Harimalam, 14, dan Aiman, 7, manakala 14 penumpang berjaya diselamatkan orang ramai.

    Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna Komander Maritim Norrimi Hassan berkata lima mangsa yang meninggal dunia, dikenali sebagai Bunga Basah Nuhalan, 40; Anisa Harimalam, 20; Syawal, 2; Iman, 2; dan Nurul Syafiqah, 4 tahun.

    “Lima mangsa yang meninggal dunia dan dua mangsa yang hilang itu mempunyai ikatan kekeluargaan, lokasi pencarian kini diluaskan lagi sehingga 68 batu nautika dari lokasi kejadian,” katanya dalam sidang media hari ini.

    Dalam pada itu, Norrimi berkata, lebih kira-kira 60 anggota penyelamat terdiri daripada APMM, bomba serta Pasukan Polis Marin dan orang kampung, kini giat melakukan pencarian dua mangsa yang belum ditemui.

    Menurutnya, kejadian bot karam itu dipercayai berlaku akibat cuaca buruk serta keadaan ombak besar. – BERNAMA

  • Lima mangsa lemas bot pam karam di Semporna

    Lima mangsa lemas bot pam karam di Semporna

    LIMA individu ditemukan lemas apabila sebuah bot pam membawa 21 penumpang karam di Pulau Tandoan, Timbun Mata dekat Semporna, lewat malam tadi.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, 14 penumpang bot pam itu berjaya diselamatkan penduduk kampung, manakala dua lagi mangsa yang dikenali sebagai Noranis, 14, dan Aiman, 6, kedua-duanya dari Kampung Sungai Nakit dekat sini, masih hilang.

    Beliau berkata, mangsa yang maut terdiri daripada dua wanita, dua kanak-kanak perempuan serta seorang kanak-kanak lelaki, berumur antara satu hingga 33 tahun.

    Katanya, bot tersebut dipercayai membawa beban lebih muatan.

    “Semua 21 mangsa ini dipercayai warga tempatan dan mereka ini dalam perjalanan dari Kampung Bakung Bakung menuju ke Kampung Tandoan.

    “Operasi mencari dan menyelamat mangsa hilang diaktifkan pada 11.45 malam tadi dengan bot Banggi 11 digerakkan ke lokasi kejadian bagi melaksanakan pencarian awal,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

    Norrimi berkata, operasi tersebut membabitkan 11 anggota serta dua aset bot APMM, selain lima anggota bomba berserta satu bot aluminium.

    Katanya, kawasan pencarian turut meliputi sepanjang Terusan Sigalong hingga Timbun Mata dan Pangkalan Hadapan Carilamat APMM dibuka di Jeti Pelancongan Semporna.

    Pulau Tandoan terletak kira-kira empat kilometer (km) dari Semporna, sebuah daerah di pantai timur Sabah terletak lebih 555 km dari Kota Kinabalu.

    Sementara itu, polis akan menyiasat kejadian bot pam karam berdekatan perairan Kampung Tandoan, Pulau Timbun Mata malam tadi mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu kerana menyebabkan kematian dengan cuai.

    Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan melibatkan semua aspek insiden tersebut yang mengakibatkan kematian lima penumpang terdiri daripada dua wanita, dua kanak-kanak perempuan serta seorang kanak-kanak lelaki.

    Dalam kemalangan itu, dua kanak-kanak lelaki dan perempuan masing-masing berumur 7 dan 14 tahun masih hilang, manakala 14 penumpang berjaya diselamatkan orang ramai.

    “Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. Bot dinaiki kesemua penumpang ini dalam perjalanan dari Kampung Bakung Bakung menuju ke Kampung Tandoan, Pulau Timbun Mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, katanya orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes tersebut supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna, Insp Khadijah di talian 019-8718002 atau di balai polis berdekatan.

    Mohd Farhan turut menasihatkan pengusaha bot serta pengguna laut lain agar berwaspada dengan mematuhi jumlah muatan penumpang yang dibenarkan serta memakai jaket keselamatan. – BERNAMA

  • Suspek terlibat dua kes langgar lari dikenal pasti

    Suspek terlibat dua kes langgar lari dikenal pasti

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS sudah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kes langgar lari melibatkan sebuah kereta dan motosikal di Kilometer 16, Jalan Johor Bharu-Air Hitam, Iskandar Puteri, pada pukul 9 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, laporan polis kejadian tersebut sudah dibuat terhadap suspek yang memandu kereta jenis Toyota CH-R merah.

    “Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan.

    “Suspek sudah dikenal pasti dan sedang dikesan untuk diambil keterangan. Kes masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Tular video berdurasi 34 dan 23 saat memaparkan sebuah kereta melanggar sebuah motosikal sebelum bertindak melarikan diri.

    Selain itu katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri sedang menyiasat satu lagi kes langgar lari melibatkan suspek di Persiaran Ledang, Iskandar Puteri pada pukul 9.30 malam Isnin.

    Tambah beliau, laporan polis juga sudah dibuat terhadap kes berkenaan.

  • Dua anggota TLDM maut, motosikal rempuh treler

    Dua anggota TLDM maut, motosikal rempuh treler

    DUA anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut dalam kemalangan di Jalan Sabah Port, Sepanggar, Kota Kinabalu, pukul 9 malam tadi.

    Ahmad Faiz Mohd. Hanif, 39, dan Norasnizam Mohd. Alui, 36, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.14 malam.

    “Dilaporkan kejadian melibatkan dua motosikal merempuh sebuah treler dari arah belakang.

    “Akibat kejadian itu dua penunggang motosikal parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, pasukan bomba yang tiba bertindak menjalankan operasi sebelum menyerahkan mangsa kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

    “Pemeriksaan di sekitar lokasi turut dilakukan bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi ditamatkan pukul 10.33 malam,” katanya.

  • Motosikal gagal potong lori muatan batu, pesara KTMB maut

    Motosikal gagal potong lori muatan batu, pesara KTMB maut

    SEORANG pesara syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya gagal memotong sebuah lori di jalan simpang tiga Pak Badol, Bachok, 11.30 pagi semalam.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh, mangsa, Wan Razak Wan Jambul, 65, yang menunggang motosikal jenis Honda EX-5 maut di lokasi selepas mengalami kecederaan parah.

    “Siasatan awal mendapati semasa kejadian lori yang dipandu lelaki berusia 49 tahun itu dalam perjalanan membawa batu dari kuari di Gunong Bachok menghala ke tapak pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Jerus Pasir Puteh.

    “Setiba di lokasi kejadian, pemandu lori berkenaan telah berhenti di persimpangan dan mahu membelok ke kiri jalan.

    “Sebelum membelok pemandu tersebut sudah membuat pemeriksaan bagi memastikan keadaan selamat. Namun semasa membelok ke sebelah kiri, secara tiba-tiba pemandu lori itu telah terdengar bunyi geseran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, pemandu itu kemudian terus memberhentikan lorinya dan mendapati seorang lelaki bersama motosikalnya berada dalam keadaan terbaring sambil berlumuran darah.

    Shuhaimi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pembantu perubatan dari Hospital Tengku Anis.

    “Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik HUSM Kubang Kerian untuk tindakan lanjut. Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

  • Tiga remaja maut motosikal bertembung sesama sendiri di Jeli

    Tiga remaja maut motosikal bertembung sesama sendiri di Jeli

    TIGA remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggang mereka bergesel sesama sendiri dipercayai ketika berlumba di Jalan Kampung Sungai Satan-Jalan Malaysia, di Jeli malam tadi.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan Supt Shuhaimi Jusoh berkata Muhammad Nordanial Izuan Izaraman, 15, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Muhamad Firdaus Mohd Azli, 15, dan Ahmad Tahfiz Irfan Ahmad Nasri, 14, meninggal dunia ketika rawatan di Hospital Jeli.

    Beliau berkata kejadian turut menyebabkan seorang lagi remaja lelaki, Muhammad Aidid Darwisy Mohammad Azhary, 15, cedera parah di kepala dan dirawat di hospital sama.

    “Kejadian berlaku pada 9 malam, ketika kejadian keempat-empat remaja terbabit dipercayai sedang berlumba di kawasan jalan kampung sebelum bergesel sesama sendiri menyebabkan berlaku pelanggaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Shuhaimi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    — BERNAMA

  • Budak perempuan 4 tahun maut dihempap tiang batu pagar

    Budak perempuan 4 tahun maut dihempap tiang batu pagar

    SEORANG kanak-kanak perempuan yang sedang bermain di luar rumah maut selepas dihempap tiang batu pagar rumahnya di Kampung Bangla, Bukit Nangka, Alor Gajah pada pukul 7 petang semalam.

    Nur Iman Irdina Abdul Nuur, 4, sedang bermain bersendirian, manakala ibu mangsa sedang menyiapkan juadah berbuka di dapur dan abangnya berada di ruang tamu.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, secara tiba-tiba tiang batu pagar rumah yang terletak di ruang beranda tumbang dan menghempap tengkuk mangsa.

    Menurutnya, ibu mangsa yang terdengar bunyi dentuman kuat dari arah luar rumah segera melulu ke arah mangsa dan mendapati mangsa berada dalam keadaan tertiarap serta berlumuran darah pada kepala.

    “Mangsa telah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan.

    “Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Tambahnya, Nur Iman Irdina merupakan anak bongsu daripada lima beradik dan bedah siasat dijalankan mendapati, mangsa mati akibat kesan hentakan kuat dari objek keras.

    “Hasil siasatan awal didapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

  • Maut kemalangan, dipercayai sewaktu mencari pencuri

    Maut kemalangan, dipercayai sewaktu mencari pencuri

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG peniaga kedai runcit maut apabila terbabit dalam kemalangan setelah dikatakan keluar bagi mencari pencuri di Kampung Mengkuang Hujung, Jalan Parit Panjang menuju ke Kuala Pegang di Baling, Kedah semalam.

    Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mangsa yang dikenali sebagai Mohd. Rosdi Md. Darus maut di lokasi kejadian setelah motosikal jenis Honda ditunggangnya terbabas lalu merempuh sebuah tiang elektrik.

    Menurutnya, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu setelah menerima panggilan telefon dari orang awam pukul 6.59 petang semalam.

    “Mengikut keterangan awal isteri mangsa, Mohd. Rosdi ketika itu keluar mencari pencuri sebaik mendapat tahu terdapat pencuri yang melarikan diri.

    “Namun sama ada kejadian berlaku ketika mangsa mengejar pencuri, itu tidak dapat disahkan kerana tiada saksi yang melihat mangsa sedang mengejar pencuri,” katanya.

    Tambahnya, pihak polis bagaimanapun sedang mengumpulkan segala maklumat berkaitan kejadian tersebut.

    “Setakat ini isteri mangsa atau mana-mana individu belum membuat laporan polis berkaitan kejadian curi seperti yang didakwa,” katanya.

    Mayat mangsa telah dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Kulim untuk tujuan bedah siasat dengan kejadian itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Hampir 100 rumah di Bahau rosak akibat ribut

    Hampir 100 rumah di Bahau rosak akibat ribut

    HAMPIR 100 rumah penduduk di beberapa taman perumahan di sekitar Bahau, Jempol, termasuk Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bahau, mengalami kerosakan akibat dilanda hujan lebat dan ribut petang tadi.

    Komander Operasi BBP Bahau, Muhamad Rasul Hashim berkata, kejadian ribut kira-kira pukul 2.45 petang hingga 4 petang itu, mengakibatkan sebahagian bumbung rumah penduduk tercabut diterbangkan angin kuat, serta ada rumah yang ditimpa pokok tumbang.

    “Ini termasuk di sekitar Taman Bahau, Kampung Baru Indah, Taman Penaga, Taman Merbau dan sekitar pekan Bahau, selain beberapa laluan utama di sekitar kawasan berkenaan turut ditutup sementara, susulan pokok yang tumbang itu.

    “Bagaimanapun, setakat ini tiada mangsa dilaporkan cedera akibat kejadian berkenaan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Beliau berkata, pihaknya turut memantau keadaan rumah penduduk yang terjejas, dan menasihatkan mereka supaya sentiasa berjaga-jaga dengan bahaya elektrik dan runtuhan, selain memaklumkan segera kepada pihak berkuasa sebarang kejadian yang berlaku. – BERNAMA