Category: Kemalangan / Bencana

  • Tapak pelupusan mercun di Sentul Work terbakar

    Tapak pelupusan mercun di Sentul Work terbakar

    TAPAK  pelupusan mercun di Sentul Work, Kuala Lumpur terbakar dalam kejadian kira-kira 6.30 petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian tersebut dan operasi pemadaman sedang dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

    Menurutnya terdapat mangsa dalam kejadian tersebut namun belum dapat dipastikan kecederaan yang dialami.

    Kejadian tersebut tular di media sosial apabila beberapa keping gambar dan video dimuat naik dengan memaparkan pengguna jalan raya memberhentikan kenderaan bagi melihat kejadian dan kedengaran bunyi dentuman mercun dalam video berdurasi tiga minit 32 saat.

    Warganet turut berkongsi bahawa mereka turut merasai gegaran susulan letupan kuat mercun itu.

    — BERNAMA

  • Penuntut USM maut dipercayai jatuh tingkat 8 asrama kediaman

    Penuntut USM maut dipercayai jatuh tingkat 8 asrama kediaman

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG penuntut Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dijumpai maut dipercayai terjatuh dari tingkat lapan asrama penginapan Desa Siswa Tekun, Bayan Baru malam tadi.

    Mangsa yang dikenali Lukman Hakim Mat Rani, 22, dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di pekarangan bangunan berkenaan oleh orang awam.

    Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi media mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian melibatkan seorang penuntut di universiti berkenaan kira-kira pukul 10.30 malam tadi.

    Jelas beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi menunggu proses bedah siasat dijalankan termasuk ujian saringan Covid-19.

    “Polis juga mengenal pasti rakan sebilik si mati dan akan memanggil mereka untuk memberi keterangan mengenai kejadian itu,” katanya.

    Tambah beliau, siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan dan polis mengklasifikasikan kematian penuntut berkenaan sebagai mati mengejut (SDR) buat masa ini.

  • Treler bawa besi terbabas, pemandu mati tersepit, kelindan tercampak

    Treler bawa besi terbabas, pemandu mati tersepit, kelindan tercampak

    SEORANG pemandu treler dan kelindannya maut selepas kenderaan muatan besi yang dinaiki mereka terbabas semasa menuruni kawasan berbukit di KM55 Jalan Lipis-Merapoh, Lipis hari ini.

    Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, dalam kejadian sekitar 7 pagi itu, Mohamad Syawal Ahmad Basari, 34, yang beralamat di Tapah, Perak dan kelindannya Mohd Faizal Mohd Noor, 35, beralamat di Kota Bharu, Kelantan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    “Siasatan awal mendapati kenderaan yang dalam perjalanan dari Kuala Lipis ke arah Merapoh itu dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas ke arah bahu jalan sebelah kiri ketika menuruni bukit dan laluan berselekoh.

    “Akibat kemalangan itu, pemandu treler telah tersepit di tempat duduknya manakala kelindan tercampak keluar dari kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat selepas keputusan ujian saringan COVID-19 diperoleh dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Bayi 6 bulan maut, ibu patah paha dalam kemalangan

    Bayi 6 bulan maut, ibu patah paha dalam kemalangan

    SEORANG bayi lelaki berusia enam bulan maut manakala ibunya patah paha kaki kiri apabila kereta yang dinaiki bersama keluarga terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 75 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, dekat Kampung Air Sejuk, Setiu petang semalam.

    Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, bayi tersebut, Mohammad Qais Rizqi Shafiee dilaporkan meninggal dunia di Hospital Setiu sementara ibunya yang berusia 29 tahun kini dirawat di hospital sama.

    Menurut Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin, kemalangan tersebut melibatkan tiga kenderaan iaitu kereta Proton Saga FLX, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser dan motosikal Honda Wave.

    Menurut beliau, ketika kejadian, bapa mangsa yang memandu Proton Saga dalam perjalanan dari arah Rantau Panjang, Kelantan menuju ke Kuala Terengganu.

    Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, Toyota Unser dipandu peniaga berusia 49 tahun yang datang dari arah Kuala Terengganu menuju ke Kota Bharu dikatakan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta berkenaan.

    “Selepas itu, datang motosikal ditunggang seorang suri rumah dari arah sama dan juga Toyota Unser yang gagal mengelak lalu bergesel dengan kereta, itu” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Menurut Afandi, bapa bersama dua kakak mangsa yang berusia lima dan dua tahun tidak mengalami kecederaan.

    Beliau berkata, semua mangsa terlibat dihantar ke hospital dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan APJ.

  • Pemandu rentung dalam kereta terbakar

    Pemandu rentung dalam kereta terbakar

    SEORANG pemandu ditemui rentung di dalam sebuah kereta yang terbakar di Jalan PJS 11, Bandar Sunway berhadapan pusat beli-belah Sunway Pyramid, Selangor, malam tadi.

    Kejadian disedari orang awam sebelum dilaporkan kepada Pusat Kawalan Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menerusi panggilan MERS 999 pukul 7.57 malam.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata siasatan awal mendapati kereta dipercayai jenis PROTON itu berada di atas pembahagi jalan dan terbakar.

    “Kereta terbabit dipercayai terbabas sebelum terbakar sehingga menyebabkan kenderaan itu musnah sepenuhnya.

    “Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya turut dikejarkan ke lokasi dan berjaya memadamkan kebakaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Satu Berita.

    Beliau berkata, seorang mangsa dipercayai pemandu ditemui rentung dalam kenderaan terbabit, bagaimanapun identitinya tidak dapat dipastikan lagi.

    Setakat ini, polis masih menyiasat sama ada kejadian itu berlaku akibat terbabas atau kemalangan membabitkan kenderaan lain. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • [VIDEO] Asrama sekolah agama didiami 43 pelajar terbakar

    [VIDEO] Asrama sekolah agama didiami 43 pelajar terbakar

    SEBUAH asrama Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Sultan Hishammuddin Sungai Berteh di Klang terbakar pada pukul 9.30 malam tadi.

    Namun kebakaran itu tidak membabitkan sebarang kecederaan dan kehilangan jiwa kerana semua 43 penghuninya menunaikan solat tarawih.

    Sinar Harian melaporkan, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.46 malam.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, seramai 29 anggota dari enam Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja, Pelabuhan Klang, Kapar, Kota Anggerik, Shah Alam dan Subang dikejarkan ke lokasi kejadian

    “Pemeriksaan mendapati kebakaran membabitkan asrama di tingkat tiga bangunan sekolah berkenaan.

    “Operasi pemadaman di tingkat tiga segera dilakukan dengan anggaran kemusnahan 70 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Norazam berkata, operasi pemadaman di tingkat tiga segera dilakukan dengan anggaran kemusnahan 70 peratus.

    Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.09 malam dan tidak membabitkan sebarang mangsa.

    “Punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan lanjut,” katanya.

  • Budak perempuan maut tengkorak patah digilis kereta undur sendiri

    Budak perempuan maut tengkorak patah digilis kereta undur sendiri

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati setelah dia terperosok di bawah kereta milik keluarganya sendiri, di Kampung Keledang Luar Tawar di Baling, Kedah semalam.

    Ketua Polis Baling, Superitendan Shamsudin Mamat berkata, pemeriksaan awal mendapati kanak-kanak perempuan tersebut mengalami pendarahan di kepala dengan tengkoraknya dipercayai turut patah akibat digilis kereta jenis Proton Wira tersebut.

    Menurutnya, bapa dan nenek mangsa tiada di rumah ketika kejadian itu berlaku dengan mangsa hanya tinggal bersama bapa saudaranya, serta adik-beradik lain yang berumur antara tujuh hingga 15 tahun.

    “Kira-kira pukul 2.15 petang, bapa saudara mangsa yang bekerja sebagai pemandu ambulans swasta terdengar jeritan anak-anak saudaranya yang lain menyatakan mangsa berada di bawah kereta.

    “Dia kemudiannya menolak kereta tersebut ke arah depan dan berjaya mengeluarkan mangsa sebelum membawanya ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani, menggunakan ambulans yang majikannya,” katanya.

    Tambahnya, mangsa ketika itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum pihak hospital mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan.

    “Menurut saksi kejadian, mangsa telah masuk ke dalam kereta dan bermain di bahagian pemandu. Kanak-kanak itu bagaimanapun dipercayai menurunkan brek tangan, menyebabkan kereta itu mengundur ke belakang.

    “Mangsa yang panik kemudiannya turun dari kereta dan berlari ke belakang untuk menahan kenderaan tersebut. Tindakan itu menyebabkan dia digilis kenderaan tersebut,” katanya.

    Tambahnya, pemeriksaan mendapati rumah tersebut tidak berpagar dan terletak di kawasan yang agak cerun serta berbukit.

    “Kereta itu diletak di bawah beranda dan permukaan beranda adalah bercerun hingga ke laman rumah.

    “Kereta yang melanggar mangsa itu mempunyai kesan kemik di belakangnya dipercayai akibat berlanggar dengan sebatang pokok. Kereta itu dipercayai hanya terhenti apabila berlanggar dengan pokok tersebut,” katanya.

    Tambahnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat.

    “Kes kini disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 namun kematian tersebut setakat ini diklasifikan sebagai kematian mengejut (SDR).

    “Pihak polis menasihati orang ramai atau penjaga supaya sentiasa prihatin dan melindungi keselamatan anak-anak dengan baik bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

  • Pekerja balak warga Indonesia amuk bakar kereta peronda polis

    Pekerja balak warga Indonesia amuk bakar kereta peronda polis

    SEORANG pekerja balak warga Indonesia dikatakan secara tiba-tiba mengamuk dan membakar sebuah kereta peronda polis (MPV) dalam kejadian di Kampung Silicon, Nenasi, Pekan, malam tadi.

    Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, panggilan mengenai kejadian itu diterima pihaknya pada pukul 11.47 malam.

    Menurut beliau, sebaik sahaja menerima panggilan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nenasi, Pekan bersama sebuah jentera terus bergegas ke lokasi kejadian.

    Beliau berkata, berdasarkan laporan, kebakaran dipercayai dilakukan seorang pekerja ladang yang mengamuk apabila sengaja membakar kereta peronda polis tersebut.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian, kita tidak dapat melakukan operasi pemadaman serta-merta kerana faktor keselamatan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

    Menurut Ismail, atas arahan Ketua Balai Polis Nenasi, anggota bomba akhirnya dibenarkan menjalankan operasi pemadaman setelah keadaan didapati selamat.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemusnahan akibat kebakaran adalah 100 peratus.

    Ujarnya, pasukan bomba meminta bantuan Unit K9 untuk membantu siasatan kebakaran.

    Sementara itu memetik laporan Bernama,

    Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 11 malam apabila pihaknya menerima maklumat daripada penjaga tanah matau balak yang mengatakan terdapat seorang lelaki warga Indonesia berusia 30-an sedang mengamuk di kawasan rumah kongsi.

    Beliau berkata, tiga anggota polis ke lokasi kejadian dengan menaiki kereta peronda berkenaan dan sejurus tiba suspek berada seorang diri di kawasan rumah kongsi tersebut.

    “Semasa pemeriksaan dilakukan suspek telah bertindak agresif terhadap anggota polis dengan memukul dan mencederakan dua anggota sebelum bertindak masuk ke rumah kongsi dan mengambil satu objek menyala seperti api dan membalingnya ke dalam kenderaan polis.

    “Seorang anggota yang masih berada di dalam kenderaan bertindak keluar daripada kereta untuk menyelamatkan diri manakala suspek terus lari ke dalam kawasan hutan berhampiran dan sehingga kini masih belum dapat dikesan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd Zaidi berkata, dua anggotanya hanya hanya mengalami kecederaan ringan akibat bergelut dan kini Op Tutup dilaksanakan untuk mengesan suspek di sekitar lokasi kejadian.

    Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

    Dalam perkembangan terkini, pekerja balak warga Indonesia yang dipercayai membakar kereta peronda polis terbabit telah ditahan polis.

    Mohd Zaidi berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan berhampiran lokasi kejadian pada 4.20 petang tadi dan polis turut merampas sebatang tukul dan sebatang kayu daripada suspek.

    “Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret esok untuk pemohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

  • Peluncur udara warga Bangladesh maut tersangkut atas pokok balak

    Peluncur udara warga Bangladesh maut tersangkut atas pokok balak

    SEORANG peluncur udara warga Bangladesh maut selepas tersangkut di atas sebatang pokok balak ketika melakukan aktiviti berkenaan di Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, hari ini.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.56 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

    Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu tiba di lokasi kejadian pukul 5.02 petang.

    “Mangsa, Mohammad Farhad Khalid, 44 yang merupakan warga Bangladesh tidak sedarkan diri ketika ditemui dan cedera patah kaki serta mengalami pendarahan.

    “Orang Asli di kawasan itu bertindak memanjat pokok tersebut dan mengikatnya menggunakan tali paragliding untuk menurunkan mangsa bagi mengelakkan mangsa terjatuh ke bawah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, bagaimanapun, pihak ambulans dari Hospital Kuala Kubu Bharu mengesahkan mangsa disyaki meninggal dunia semasa tersangkut di atas pokok tersebut.

  • 13 cedera dalam nahas lima kenderaan

    13 cedera dalam nahas lima kenderaan

    SERAMAI 13 orang cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer (KM) 357, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, Slim River, tengah malam tadi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian terbabit, 11.53 malam tadi.

    Beliau berkata, kemalangan tersebut membabitkan sebuah Proton Perdana, Perodua Bezza, Proton Wira, Audi dan Honda HRV.

    “Sepasukan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Tiba di tempat kejadian, lima kenderaan terbabit dalam kemalangan, termasuk dua kenderaan terbalik.

    “Seramai 13 mangsa terbabit dalam kemalangan berkenaan iaitu lapan lelaki dan lima perempuan mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Jurucakap JBPM berkata, sebahagian mangsa berjaya keluar sendiri dari kenderaan dan selebihnya dengan bantuan orang awam.

    “Anggota bomba bertindak memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera.

    “Semua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Slim River untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

    Katanya, operasi tamat pukul 12.40 tengah malam tadi.