Category: Kemalangan / Bencana

  • Warga emas maut, lapan cedera nahas tiga kenderaan

    Warga emas maut, lapan cedera nahas tiga kenderaan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki warga emas maut manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kereta di Felcra Melikai, Jalan Nitar, Mersing pada malam tadi.

    Kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta Honda City dan dua Proton Persona yang membabitkan sembilan mangsa.

    Komander Operasi dari Balai Bonba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Pegawai Bomba Kanan II Yusof Mat Yar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 8.09 malam.

    “Lapan anggota dengan sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Kemalangan tersebut mengakibatkan mangsa dalam kereta Honda City, Mat Yusof Deris, 66, tersepit manakala seorang lagi iaitu
    wanita dewasa cedera.

    “Pihak bomba kemudian mengeluarkan mangsa lelaki yang tersepit itu dengan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, pegawai perubatan yang hadir mengesahkan warga emas berkenaan sudah meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Sementara mangsa wanita berkenaan telah keluar dengan sendiri dari kereta tersebut dan orang awam yang berada di tempat kejadian menghantarnya ke hospital berdekatan,” katanya.

    Selain itu katanya, seorang wanita berusia 30-an serta seorang remaja lelaki berusia 17 dalam kereta Proton Persona turut cedera dan mereka keluar dengan sendiri kenderaan tersebut.

    Katanya, kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS dan ambulan dari klinik kesihatan berhampiran sebelum dihantar ke hospital.

    Menurutnya, lima mangsa dalam sebuah lagi Proton Persona turut cedera dan orang awam membantu menghantar mereka ke hospital sebelum pihak bomba tiba.

    “Operasi tersebut tamat pada pukul 9.22 malam ” katanya.

  • Kanak-kanak maut, 7 ahli keluarga dalam kemalangan di Setiau ketika beraya

    Kanak-kanak maut, 7 ahli keluarga dalam kemalangan di Setiau ketika beraya

    SEORANG  kanak-kanak lelaki maut, manakala tujuh ahli keluarganya cedera selepas terbabit kemalangan di Kilometer (KM) 85, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bahru berhampiran Kampung Alor Serdang di Setiu, semalam, ketika mereka dalam perjalanan pulang beraya ke kampung halaman.

    Kemalangan maut membabitkan Muhammad Aidil Fitri Osman, 5, itu berlaku selepas van Toyota Hiace dipandu ibunya, Asmah Zakaria, 45, yang hilang kawalan dan terbabas ke dalam parit di lokasi kejadian, sekitar jam 6.30 pagi, lapor Berita Harian.

    Bapa mangsa, Osman Intan, 51, yang juga peniaga pakaian serta dua kakak dan seorang abangnya parah, manakala Asmah bersama dua lagi abang mangsa pula cedera ringan di kepala.

    Adik-beradik Muhammad Aidil Fitri yang terbabit dalam kemalangan itu berusia dalam lingkungan 14 hingga 20 tahun.

    Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, sewaktu kejadian, mangsa bersama tujuh ahli keluarganya itu dipercayai dalam perjalanan untuk beraya di Kuala Nerus dari rumah mereka di Kangar, Perlis.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian, van Toyota Hiace Asmah dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.

    “Van dinaiki mereka kemudiannya terjatuh ke dalam parit sehingga menyebabkannya remuk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Afandi berkata, Muhammad Aidil Fitri disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Setiu di sini, pada 8.30 pagi.

    “Kesemua tujuh mangsa yang cedera menerima rawatan di wad hospital sama.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Pondok jeti runtuh, dua remaja maut, enam terselamat

    Pondok jeti runtuh, dua remaja maut, enam terselamat

    DUA remaja lelaki maut dipercayai terjatuh ke laut bersama enam remaja lain selepas pondok jeti di Kampung Gading-Gading dekat Semporna runtuh, semalam.

    Ketua Polis Daerah Semporna Supt Mohd Farhan Lee Abdullah berkata mangsa warga asing berusia 14 dan 19 tahun ditemukan dalam keadaan terapung pada 4.30 petang.

    “Anggota bertugas di Balai Polis Semporna menerima panggilan daripada anggota Pasukan Gerakan Am pada 4.17 petang mengenai kejadian lapan remaja terjatuh laut selepas pondok jeti di Kampung Gading-Gading tiba-tiba runtuh.

    “Dalam kejadian itu,  empat remaja lelaki serta dua perempuan berusia 11 hingga 19 tahun, yang kesemuanya juga warga asing berjaya diselamatkan anggota bertugas serta penduduk kampung, namun dua lagi hilang sebelum akhirnya ditemukan terapung, lemas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Farhan berkata sebelum kejadian, kesemua lapan mangsa berada di pondok jeti untuk melepak, dan kertas siasatan dibuka di bawah laporan mati mengejut.

    Beliau berkata punca kejadian jeti kampung berkenaan runtuh masih dalam siasatan pihak polis.

    “Sebarang maklumat berkenaan kejadian itu boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Nikan Najin di talian 016-5632379,” katanya.

    Mohd Farhan turut menasihatkan agar semua jawatankuasa kampung menjalankan pemeriksaan ke atas jeti di kampung masing-masing untuk memastikan keselamatan pengguna.

    — BERNAMA

  • Kanak-kanak maut dilanggar motosikal

    Kanak-kanak maut dilanggar motosikal

    SEORANG  kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas dilanggar motosikal ketika sedang melintas jalan di Batu 9, Kota Sarang Semut, Alor Setar, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, mangsa Muhammad Syafiq Haikal Sahfiee yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Haji Hassan Itam, Simpang Empat, maut di tempat kejadian.

    “Polis menerima maklumat kemalangan pada pukul 1.30 tengah hari. Hasil siasatan mendapati motosikal jenis Yamaha Y15 yang ditunggang lelaki berumur 22 tahun, sedang dalam perjalanan dari arah Kota Sarang Semut menghala ke Simpang Empat, manakala mangsa hendak melintas jalan dari arah kanan ke kiri.

    “Lelaki yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu sedang bergerak lurus dan mangsa yang melintas jalan secara tiba-tiba, menyebabkan motosikal berkenaan tidak sempat mengelak dan berlaku pelanggaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ahmad Shukri berkata mayat kanak-kanak dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk bedah siasat.

    “Penunggang motosikal yang mengalami luka di bahagian badan sebelah kanan telah dibawa ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    — BERNAMA

  • Wanita maut, suami dan anak cedera, kereta terbabas langgar pokok

    Wanita maut, suami dan anak cedera, kereta terbabas langgar pokok

    SEORANG wanita maut, suami dan anaknya cedera apabila kereta yang dipandu suaminya terbabas dan melanggar pokok di Jalan Dato Ali, Kuala Perlis, awal pagi Aidilfitri.

    Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata wanita berusia 33 tahun itu maut di tempat kejadian manakala suami dan anaknya mendapat rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar.

    “Pada kejadian 7.15 pagi itu, mangsa yang dikenali Mira Azira Mohamad, 33, disahkan maut di lokasi kejadian manakala suaminya Nor Radzuan Abd Rahman, 33, serta anaknya Rabiatul Adawiyah Nor Radzuan, empat tahun mengalami kecederaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    Yusharifuddin berkata kereta yang dipandu suami mangsa itu dipercayai terbabas dan melanggar sebatang pokok di bahu kiri jalan.

    Katanya siasatan awal mendapati tiada kesan brek di lokasi kejadian dan keadaan cuaca baik serta jalan kering.

    Beliau berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

    — BERNAMA

  • Anggota polis trafik maut SUV terjunam dalam sungai

    Anggota polis trafik maut SUV terjunam dalam sungai

    SEORANG anggota polis trafik maut selepas kenderaan yang dipandunya terlibat kemalangan di Kilometer 15, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, pada awal pagi tadi.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Supt Shuhaimi Jusoh berkata, dalam kejadian 4.50 pagi itu, mangsa Ahmad Ibrahim, 31, yang bertugas di Balai Polis Trafik Klang Selatan, Selangor maut di tempat kejadian, manakala anaknya Nur Ariana Sofia, 3, cedera parah dan lima penumpang lain cedera ringan.

    “Mangsa yang memandu kereta Perodua Aruz itu dalam perjalanan dari Gua Musang untuk menghantar ahli keluarganya ke Kampung Manik Urai di Kuala Krai, dipercayai telah hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu terbabas ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Pemandu teksi maut tercampak dalam kemalangan

    Pemandu teksi maut tercampak dalam kemalangan

    SEORANG pemandu teksi maut selepas tercampak keluar kira-kira 10 meter dari kenderaan yang dipandunya selepas terbabas di susur keluar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) awal pagi tadi.

    Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Selangor Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima panggilan pukul 6.14 pagi daripada orang awam yang melaporkan kemalangan di susur keluar klia2 membabitkan dua kenderaan.

    Beliau berkata, jentera digerakkan dan tiba di lokasi kejadian pada 6.24 pagi sebelum operasi menyelamat ditamatkan pukul 6.50 pagi.

    “Kemalangan melibatkan dua buah kenderaan menyebabkan pemandu teksi jenis Toyota Innova berumur 38 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian…seorang lagi mangsa yang memandu Perodua Alza tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – BERNAMA

  • Bot bilis terbakar, 24 kru terselamat

    Bot bilis terbakar, 24 kru terselamat

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBUAh bot bilis yang dioperasikan oleh 24 kru, terbakaf di laut berhampiran Pulau Buyong, Langkawi, hari ini.

    Ketua Polis Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kesemua kru dalam bot berkenaan bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius.

    “Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 7.30 petang dengan bot-bot bilis dan nelayan lain turut membantu memadam kebakaran serta menyelamatkan kru terlibat.

    “Kesemua 24 kru termasuk tekong berjaya diselamatkan dan dibawa balik ke Pangkalan Polis Marin Bukit Malut oleh bot Pasukan Polis Marin,” katanya.

    Tambahnya setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat.

  • Ibu, anak maut kereta terbabas, terbalik

    Ibu, anak maut kereta terbabas, terbalik

    SEORANG wanita dan anaknya maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di Persiaran Timur dari Kajang menghala ke Pinggiran Putra, Putrajaya, hari ini.

    Amalina Azman, 32, dan anaknya, Dzul Qarnain Mohd. Iqbal berusia dua tahun dua bulan maut dalam nahas berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, dalam kejadian pada pukul 2.45 petang itu, pemandu kereta jenis Perodua Myvi yang merupakan suami mangsa disyaki mengantuk.

    “Kereta itu hilang kawalan dan terlanggar penghadang di bahu kiri jalan sebelum terbabas.

    “Kemalangan tersebut mengakibatkan wanita itu parah dan disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya manakala anaknya maut di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, pemandu kenderaan tersebut tidak mengalami kecederaan.

    Katanya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Dua maut, tiga parah nahas di Jeli

    Dua maut, tiga parah nahas di Jeli

    DUA maut manakala tiga lagi parah dalam kemalangan yang membabitkan dua kenderaan di Kilometer 108, Jalan Raya Timur Barat dekat Jeli, Kota Bharu, kira-kira pukul 11 malam tadi.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian terdiri daripada pemandu Perodua Alza, Mohd Hazlan Ibrahim @ Saleh, 33, dan pemandu Proton Wira, Muhamad Baijuri Mohd Shariff, 26.

    Beliau berkata, tiga lagi yang parah adalah penumpang Perodua Alza iaitu wanita berusia 31 tahun, dua kanak-kanak berusia lapan dan enam tahun, manakala seorang kanak-kanak berusia satu tahun yang turut terbabit dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Wira terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar Perodua Alza. Kesemua mangsa kemalangan dibawa ke Hospital Jeli untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Shuhaimi berkata siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.