Category: Kemalangan / Bencana

  • Pelajar lelaki meninggal dunia ketika lari rentas desa

    Pelajar lelaki meninggal dunia ketika lari rentas desa

    SEORANG pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di Marang, meninggal dunia ketika sedang menjalani latihan merentas desa pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Zain Mat Dris berkata, dalam kejadian pada 8.34 pagi itu, pelajar tersebut, Aman Basri Muhd Rohaizi, 16, dikatakan terjatuh ketika sedang berlari dan pengsan.

    “Berdasarkan temu bual bersama beberapa saksi pelajar sekolah yang sama, mereka telah cuba memberi bantuan pernafasan namun keadaan mangsa semakin lemah.

    “Guru yang bertugas telah membawa mangsa ke klinik Pengkalan Berangan untuk menerima rawatan namun doktor memaklumkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, terdapat luka di bahagian atas kening sebelah kanan, calar di bawah dagu sebelah kiri dan calar di belakang tangan sebelah kiri yang dipercayai berlaku semasa mangsa terjatuh.

    “Bapa mangsa telah membuat laporan polis dan menolak proses bedah siasat dilakukan kerana berpuas hati atas sebab kematian. Beliau juga menyatakan tidak akan mengambil sebarang tindakan sekiranya terjadi perkara berbangkit pada masa akan datang,” katanya.

    Hasil pemeriksaan pada fizikal mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – BERNAMA

  • Warga emas tinggal kereta Perodua Kancil sebelum terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang

    Warga emas tinggal kereta Perodua Kancil sebelum terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG warga emas meninggalkan kereta jenis Perodua Kancil di atas Jambatan Pulau Pinang sebelum dilaporkan terjatuh ke laut dalam kejadian awal pagi tadi.

    Mangsa disyaki lelaki, Lau Choon Chye, berusia 66 tahun itu dipercayai berasal dari Paya Terubong, Air Hitam, Pulau Pinang.

    Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed, pihaknya menerima panggilan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat berhubung kejadian individu dipercayai terjun Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 4.0 arah Perai menghala ke pulau pukul 7.07 pagi tadi.

    Jelasnya, maklumat kejadian disalurkan terus ke Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi untuk pengaktifan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT).

    Dalam masa sama ujar beliau, bot PERKASA 1221 diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian.

    Maritim mengarahkan bot PERKASA 1221 diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian

    “Operasi CARILAMAT yang diaktifkan pukul 8 pagi tadi turut membabitkan Jabatan Bomba Dan Penyelamat; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Pasukan Polis Marin Batu Uban,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) turut ditubuhkan di Jeti Polis Marin Batu Uban dan sehingga kini usaha pencarian masih diteruskan.

    Tambahnya, kes individu terjun dari jambatan itu adalah yang keempat direkodkan untuk awal bulan Mei ini sahaja dan yang kelapan secara keseluruhan dari awal Januari lalu.

    “Dalam pada itu, orang awam diminta melaporkan sebarang penemuan dan kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya. 

  • Pencemaran Sungai Skudai tidak jejas kualiti LRA

    Pencemaran Sungai Skudai tidak jejas kualiti LRA

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEADAAN pencemaran Sungai Skudai, Johor Bahru yang tular sejak beberapa hari lalu akibat kewujudan buih putih tidak menjejaskan kualiti air di Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Ismail dan kini dilaporkan berada pada paras normal.

    Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor segera melakukan pemantauan di sekitar kawasan sungai yang didakwa mengalami pencemaran itu.

    Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar berkata, siasatan sudah dilakukan susulan aduan pencemaran sungai berkenaan yang berbuih berwarna putih.

    “Saya selaku Exco bertanggungjawab telah turun sendiri bersama pasukan penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor untuk menjalankan siasatan.

    “Hasil siasatan yang dilakukan mendapati tiada lagi tompokan buih yang dikesan di lokasi berkenaan iaitu di kawasan Sungai Skudai berhampiran jambatan Taman Impian Emas, Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Selain itu, beliau berkata, persampelan kualiti air sungai di LRA Sultan Ismail turut mendapati tahap kualiti air adalah normal dengan bacaan Oksigen Terlarut (DO) 4.95 dan pH adalah 7.

    Sebelum ini, satu rakaman video yang memaparkan permukaan sungai berkenaan dipenuhi buih putih mulai tular dalam Facebook sejak semalam.

    Raven Kumar meninjau keadaan sungai Skudai yang dicemari dengan tompok putih sebelum ini dan keadaan itu tular dalam media sosial

    Sementara itu, Raven Kumar berkata, kerajaan negeri menerusi JAS Johor akan terus menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca pencemaran yang berlaku.

    “Usaha itu melibatkan pemantauan terutamanya di premis-premis yang beroperasi di sepanjang Sungai Skudai yang dilihat berpotensi menyebabkan pencemaran sungai berbuih berlaku,” katanya.

    Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim berkata, pihak JAS sudah melakukan pemantauan dan anggota penguat kuasa jabatan itu berada di kawasan terbabit bagi mencari punca.

    “Saya juga telah menyelusuri kawasan sungai berkenaan namun buih putih sudah tidak sebanyak seperti di dalam video yang tular,” katanya.

    Timbalan Pengarah JAS Johor, Mohd. Rashdan Topa pula berkata, tahap alkali (ph) air sungai itu direkodkan pada bacaan 7 apabila sampelnya diuji.

  • Tinggal sehelai sepinggang, rumah terbakar ketika beraya

    Tinggal sehelai sepinggang, rumah terbakar ketika beraya

    SEBUAH keluarga di Sungai Petani tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran pada Hari Raya Aidilfitri pertama, pada pukul 2.30 petang Isnin lalu.

    Mangsa, Nadratul Rahmi, 43, berkata, ketika kejadian, dia dan suami, Azizan Saad, 48, bersama-sama dua lagi anak, Puteri Izzatul Aina, 13 dan Muhammad Adam Haziq, 7, sedang beraya kampung dekat Guar Chempedak, Yan.

    “Saya terkejut dapat panggilan rumah terbakar. Kami bergegas balik rumah selepas mengetahui kejadian itu.

    “Bagaimanapun, disebabkan jarak perjalanan jauh, rumah yang kami sewa kira-kira tujuh tahun lalu itu hangus sekelip mata.

    “Mujur semasa kejadian, anak sulung, Muhammad Nadzrul Fahmy, 17, sempat menyelamatkan diri setelah dibantu jiran yang lain,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Nadratul berkata, mereka lima beranak kini terpaksa menumpang berteduh di Dewan Belia Insan Sungai Pasir buat sementara waktu kerana masih belum dapat mencari rumah sewa baharu yang berpatutan.

    Nadratul bersama suami dan tiga anak terpaksa menumpang di sebuah dewan kerana masih belum dapat mencari rumah sewa yang berpatutan.

    “Kesemua perabot serta perkakasan rumah hangus tanpa sempat diselamatkan kerana api marak terlalu cepat.

    “Sayu melihat keadaan rumah, masa tinggal berada dalam keadaan elok tetapi bila balik semula, semua dah tiada,” katanya.

    Orang ramai yang bersimpati boleh membantu melalui RHB Bank bernombor 1-52028-0023572-0 atas nama Nadratul Rahmi

  • 4 cedera, letupan gas memasak rosakkan tiga buah rumah

    4 cedera, letupan gas memasak rosakkan tiga buah rumah

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEBANYAK tiga buah rumah mengalami kerosakan dengan sebahagian dinding runtuh dalam kejadian letupan berpunca daripada gas memasak di sebuah rumah di Taman Cenderawasih, Nibong Tebal, Pulau Pinang malam tadi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 9.57 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

    Menurutnya, apabila tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati tiga buah rumah yang setiap satu berkeluasan kira-kira 74 meter persegi mengalami kesan kemusnahan pada beberapa bahagian.

    Kesan kejadian itu seakan terkena bahan letupan di bahagian bumbang dan struktur dinding rumah yang berkemungkinan berpunca daripada kebocoran gas memasak.

    “Kesan itu seakan terkena bahan letupan di bahagian bumbang dan struktur dinding rumah yang berkemungkinan berpunca daripada kebocoran gas memasak.

    “Peratusan kemusnahan pada rumah yang terlibat adalah dianggarkan kira-kira 70 peratus dan 10 peratus,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Difahamkan, sekurang-kurangnya empat penghuni dilaporkan mengalami kecederaan akibat kejadian itu dan mereka kini mendapat rawatan susulan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

  • Remaja lemas jatuh sungai ketika berhari raya

    Remaja lemas jatuh sungai ketika berhari raya

    KEGEMBIRAAN sebuah keluarga melakukan ziarah sempena Hari Raya Aidilfitri bertukar menjadi tragedi apabila seorang remaja lelaki lemas selepas tergelincir dari jambatan di Kampung Banting, Sipitang, pukul 12 tengah hari semalam.

    Kejadian tersebut dimaklumkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang pada pukul 12.20 tengah hari sebelum enam anggota bergegas ke lokasi yang terletak sejauh 20 kilometer dari BBP Sipitang.

    Ketua BBP Sipitang, Syahdennie Alidinsah berkata, remaja lelaki berusia 15 tahun itu ditemui lemas oleh ahli keluarganya di sekitar lokasi dia jatuh pada pukul 1.21 petang.

    “Pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bertindak memberikan rawatan awal kepada mangsa namun disahkan meninggal oleh pasukan perubatan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya lagi, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Sipitang untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 2.03 petang.

  • Warga emas rentung, dua ahli keluarga melecur

    Warga emas rentung, dua ahli keluarga melecur

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KEBAKARAN melibatkan sebuah rumah di Jalan Parit Abas, Benut di Pontian awal pagi ini mengorbankan seorang warga emas lelaki yang ditemukan rentung di dalam bilik di kediaman tersebut.

    Pasukan Bomba dan Penyelamat yang menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.40 pagi segera ke lokasi kejadian, namun rumah separuh kekal tersebut didapati sudah terbakar hampir keseluruhan.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Penolong Penguasa Bomba Azhar Abd. Jalil berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut melalui Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor.

    “Mayat warga emas yang telah rentung ditemukan di dalam bilik rumah tersebut, manakala dua mangsa lagi berjaya menyelamatkan diri.

    “Kedua-dua mereka mengalami kecederaan melecur di bahagian kaki dan diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan daripada Klinik Kesihatan Benut,” katanya di sini, hari ini.

    Tambah Azhar, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut dan operasi terbabit ditamatkan pada pukul 4.50 pagi setelah keadaan didapati terkawal.

    Operasi tersebut diketuai oleh Penolong Penguasa Bomba Othman Baher selaku Komander Operasi dengan dibantu oleh 27 orang anggota.

    Sebanyak tiga jentera FRT, masing-masing sebuah jentera FRV dan EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian oleh BBP Pontian dengan dibantu oleh anggota dari BBP Pontian Baru, BBP Rengit dan Fire Post Benut.

  • Disangka sedang menyelam rupanya sudah tidak bernyawa

    Disangka sedang menyelam rupanya sudah tidak bernyawa

    SEORANG pendawai elektrik yang keluar memancing bersama-sama rakannya ditemui dalam keadaan terapung dan tidak sedarkan diri di Sungai Sempit, Kampung Orang Asli Batu 16, Gombak, semalam.

    Mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun dan ke kawasan tersebut untuk memancing sekitar pukul 8 pagi.

    Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, ketika kejadian, rakan mangsa memancing di bahagian atas sungai tersebut manakala mangsa ke bahagian bawah Sungai Sempit berhampiran Lubuk Jepun.

    “Mangsa kemudian sebelum didapati hilang sekitar pukul 9 pagi sebelum rakan mangsa turun ke bahagian bawah sungai dan memanggil nama mangsa namun tiada maklum balas.

    “Rakan mangsa berusaha mencarinya namun menjadi panik apabila menemui rakannya itu dalam keadaan terapung.

    “Pada awalnya rakan mangsa beranggapan sahabatnya itu sedang menyelam berikutan keadaan mukanya berada di dalam air.

    “Setelah menyedari sesuatu yang buruk berlaku, rakan mangsa bertindak terjun ke dalam sungai dan hasil pemeriksaan mendapati mangsa sudah tidak bernyawa,” katanya dalam kenyataan, hari ini, memetik laporan Sinar Harian.

    Beliau berkata, rakan mangsa menghubungi talian kecemasan MERS 999 sekitar pikil 10.10 pagi untuk meminta bantuan.

    Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) sementara siasatan dijalankan.

    “Hasil pemeriksaan fizikal pada badan mangsa mendapati terdapat kesan lebam pada dahi sebelah kiri namun tiada kecederaan lain.

    “Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Heirme Che Mat di talian 014-2389151 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222,” ujarnya.

  • Hukuman berat menanti pemandu, pemilik MPV rempuh pemotong rumput

    Hukuman berat menanti pemandu, pemilik MPV rempuh pemotong rumput

    HUKUMAN berat mengikut Akta Pengangkutan Jalan boleh dikenakan kepada sesiapa yang membenarkan anak atau remaja tidak cukup umur memandu, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

    “Bukan sahaja terhadap pemandu bahkan pemilik kenderaan juga akan dikenakan tindakan paling berat kerana kecuaian dan menyebabkan kecederaan mana-mana pihak.

    “Sesiapa yang disabit kesalahan ini boleh diambil tindakan keras, sebab remaja itu tiada lesen memandu dan perlindungan insurans,” katanya ditemui media pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022 di Seri Perdana di Putrajaya, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden remaja berumur 16 tahun yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) merempuh dua pemotong rumput hingga mengakibatkan seorang daripadanya maut di Jalan Pintasan Semeling, Sungai Petani, Kedah, semalam.

    Terdahulu media melaporkan, Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata, remaja itu tidak memiliki lesen memandu dan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu Wee berkata, krisis Ukraine-Rusia yang telah memacu harga minyak mentah dunia, menjadi antara sebab harga tiket penerbangan domestik dan antarabangsa naik mendadak, selain permintaan yang tinggi.

    Bagaimanapun, katanya Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah diminta untuk memantau peningkatan harga tiket berkenaan.

    Wee turut mengulangi bahawa harga tiket penerbangan yang dibeli pada saat akhir boleh menjadi mahal kerana penggunaan mekanisme penetapan harga dinamik, dengan memberikan contoh pembelian tiket pada musim Tahun Baru Cina dibuka pada harga antara RM300 hingga RM400, tetapi pembelian tiket beberapa hari sebelum penerbangan pula menyaksikan harga yang jauh lebih tinggi. – BERNAMA

  • Remaja OKU maut tertiarap dalam kebakaran

    Remaja OKU maut tertiarap dalam kebakaran

    SEORANG remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) maut dalam insiden kebakaran sebuah bilik di rumahnya di tingkat lapan Pangsapuri Desa Bayan, Bayan Lepas dekat George Town hari ini.

    Muhammad Nur Iqmal Aiman Mohd Shakrisham, 18, ditemukan dalam keadaan tertiarap dengan 80 peratus bahagian belakang badannya melecur.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, Mohd Hafiz Hafizal Timaradin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.59 pagi dan jentera pertama dari Bayan Baru tiba di lokasi kira-kira tujuh minit kemudian.

    “Sebaik tiba, kami mendapati sebuah rumah di tingkat lapan berlaku kebakaran dan kediaman itu dalam keadaan berkunci, pasukan bomba bertindak memecahkan pintu rumah bagi menjalankan operasi pemadaman di situ.

    “Sebaik pintu berjaya dipecahkan, kami mendapati kebakaran itu melibatkan sebuah bilik berkeluasan 9.3 meter persegi dan selepas operasi pemadaman, kami menemukan seorang mangsa lelaki dalam keadaan tertiarap di bucu bilik tersebut,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

    Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati mangsa meninggal dunia selepas dipercayai lemas akibat asap kebakaran itu dan berdasarkan siasatan, mangsa adalah seorang yang hiperaktif.

    “Kami dimaklumkan jika bapanya keluar ke tempat kerja, mangsa akan ditinggalkan sendirian dalam bilik tersebut dan mereka memang tinggal berdua sahaja di rumah itu… seorang lagi adik perempuan si mati tidak tinggal bersama,” katanya sambil menambah mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

    Bapa mangsa, Mohd Shakrisham Mohamad, 40-an, pula berkata dia masih terkejut dengan insiden yang telah meragut nyawa anaknya itu.

    “Saya pergi kerja pada 6.40 pagi dan tutup pintu seperti biasa… ketika sedang bekerja, ada orang beritahu rumah terbakar dan saya terus pergi lihat, tengok-tengok itu rumah saya dan dimaklumkan anak saya turut terlibat,” katanya sambil menahan sebak.

    Pekerja kedai runcit itu yang kematian isteri pada 9 Mac lepas akibat kanser juga berkata sebelum keluar bekerja, dia memeluk serta meminta maaf kepada anaknya dan mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan.

    “Memang itu yang saya lakukan setiap hari dan dia juga sebelum tidur setiap malam peluk serta minta maaf dengan saya, dia juga cakap sayangkan saya,” katanya. – BERNAMA