Category: Kemalangan / Bencana

  • Dua mangsa kemalangan tunjuk perubahan sikap ketika Aidilfitri

    Dua mangsa kemalangan tunjuk perubahan sikap ketika Aidilfitri

    DUA  daripada lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini malam semalam menunjukkan perubahan sikap ketika meraikan Aidilfitri baru-baru ini.

    Yuzambree Ramlee Mohd Yunus, 46, bapa saudara kepada Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, berkata pelajar Diploma Kaunseling Islami itu tidak banyak bercakap seperti kebiasaannya dan tidak menyangka pertemuannya dengan Ahmad Akmal pada lima hari lepas merupakan yang terakhir sebelum anak saudaranya pulang ke USAS.

    “Kadang-kadang macam ada nampak perubahan tetapi tidak sangka jadi macam ini (kemalangan) dan mengejutkan kami,” katanya kepada pemberita di Kuala Kangsar hari ini.

    Beliau berkata Ahmad Akmal tinggal bersama keluarganya di Parit Buntar dekat sini selepas kematian neneknya dan pelajar itu dijaga oleh nenek selepas kedua ibu bapanya bercerai.

    Sementara itu, adik kepada seorang lagi mangsa, Mohd Fikri Aidol Munir Akbar, 16, pula berkata abangnya Muhammad Nasrun, 22, seolah-olah merajuk dengan mereka sekeluarga kerana hanya dapat beraya bersama pada petang Aidilfitri.

    “Pagi hari raya, arwah tidak dapat sambut dengan keluarga sebab kami berada di Selangor manakala dia di rumah opah (nenek) di Batu Gajah. Pagi itu dia raya tanpa di sisi keluarga.

    “Pada sebelah petang, baru kami sampai di Batu Gajah, nampak muka dan perangai dia lain sangat tidak dapat beraya dengan keluarga…sebelum ini dia ceria dan suka bergurau,” katanya dengan menambah ibu bapanya menerima maklumat kemalangan itu pada kira-kira 2.30 pagi tadi lalu mengejutnya dari tidur.

    Mohd Fikri berkata dia bersama ahli keluarga kali terakhir bertemu arwah pada Ahad lepas di rumah nenek saudaranya di Batu Gajah.

    Sementara itu, bapa kepada seorang lagi mangsa yang maut dalam kemalangan itu, Ahmad Hafizan Abdul Rahman, 49, berkata anaknya Ahmad Naim Najmi, 21, sempat memaklumkan sedang berada di Ipoh bersama rakan-rakannya untuk membeli buku dan barangan lain, menerusi panggilan telefon pada kira-kira 8 malam.

    “Pada waktu itu saya rasa semuanya dalam keadaan baik sahaja. Arwah sering dilihat senyap dan tidak banyak bercakap namun kerap terbabit dengan badan bukan kerajaan malah pernah menganggotai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sewaktu peringkat diploma sebelum melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda di universiti sama,” katanya.

    Ahmad Hafizan berkata beliau dan isteri menerima maklumat kemalangan daripada rakan arwah anaknya kira-kira 3 pagi lalu bertolak ke Kuala Kangsar dari kediaman mereka di Chukai, Terengganu kira-kira 7 pagi tadi.

    Selain Ahmad Akmal, Muhammad Nasrun dan Ahmad Naim Najmi, dua lagi pelajar yang maut selepas kereta dinaiki mereka terbakar akibat kemalangan dengan dua treler ialah Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Iqbal Hasnun Halimi, 23.

    — BERNAMA

  • Penunggang motosikal maut dalam kemalangan 13 kenderaan

    Penunggang motosikal maut dalam kemalangan 13 kenderaan

    SEORANG penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan 13 buah kenderaan termasuk sebuah treler yang mengalami masalah brek di Jalan Batu Kawan, Simpang Ampat di Nibong Tebal semalam.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supt Lee Chong Chern berkata, kemalangan pada kira-kira 6.20 petang itu mengakibatkan Tang Hai Kok, 46, yang menunggang motosikal Y110 meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di badan serta kepala.

    “Berdasarkan siasatan, kemalangan berlaku selepas lori treler dipandu seorang lelaki yang mengalami masalah brek melanggar 12 kenderaan yang terdiri daripada lapan kereta, dua motosikal, sebuah pacuan empat roda dan sebuah van.

    “Seorang lagi penunggang motosikal, wanita warga emas berusia 64 tahun, mengalami kecederaan pada kaki dan bahu kiri, dan semua kenderaan terlibat dalam kemalangan itu mengalami pelbagai kerosakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Katanya, ujian saringan air kencing mendapati pemandu berumur 28 tahun yang ditahan untuk siasatan lanjut itu negatif dadah, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Hasrat ikut  jejak ibu dalam bidang perniagaan tidak kesampaian

    Hasrat ikut  jejak ibu dalam bidang perniagaan tidak kesampaian

    HASRAT  seorang daripada lima pelajar yang rentung dalam kebakaran kereta selepas kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Kuala Kangsar tengah malam tadi untuk mengikut jejak ibunya dalam bidang perniagaan tidak kesampaian.

    Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, yang beralamat di Batu Caves, Selangor adalah pelajar semester dua Diploma Pentadbiran Perniagaan di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

    Ibunya Siti Norazah Bahari, 42, berkata anak sulung daripada tiga beradik itu mempunyai minat mendalam dalam bidang perniagaan sejak dahulu dan bercita-cita untuk menjadi ahli perniagaan berjaya.

    “Arwah ambil jurusan perniagaan sebab dia memang minat berniaga macam saya tetapi kami keluarga terima atas apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar hari ini.

    Siti Norazah berkata kali terakhir dia berhubung dengan anaknya itu adalah petang semalam namun Muhammad Nabil Haikal tidak menunjukkan sebarang perubahan.

    “Arwah ada bertanya tentang kucing tetapi apabila dibalas sampai malam mesej menerusi aplikasi WhatsApp tidak berjawab.

    “Dia juga tidak ada memaklumkan hendak pergi ke mana-mana dan kami dapat tahu mengenai kejadian apabila rakan arwah menghubungi kami memaklumkan anak saya terlibat kemalangan,” katanya sebak.

    Katanya, dia baru sahaja menghantar Muhammad Nabil Haikal untuk pulang ke kuliah dengan menaiki Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) pada Isnin lepas bagi menjalani pembelajaran secara bersemuka buat pertama kali kerana hanya menghadiri kelas secara dalam talian sebelum ini.

    Siti Norazah berkata pemergian anak kesayangannya itu tidak disangka dan kehilangannya amat sukar dipercayai oleh mereka sekeluarga kerana amat manja dengan adik-beradiknya yang lain.

    Katanya, jenazah Muhammad Nabil Haikal akan dibawa untuk dikebumikan di Nilai, Negeri Sembilan selepas proses bedah siasat selesai di Hospital Kuala Kangsar.

    Dalam kejadian tengah malam tadi, Muhammad Nabil Haikal yang duduk di bahagian penumpang belakang rentung bersama empat rakan apabila kereta jenis Honda City dinaiki terbakar selepas kemalangan bersama dua treler KM 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, Kuala Kangsar.

    Empat rakannya yang turut terkorban adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, (pemandu), Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21 (penumpang hadapan), Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dan Iqbal Hasnun Halimi, 23, yang duduk di bahagian penumpang belakang.

    Sementara itu, Halimi Ali Yahad, 50, bapa kepada Iqbal Hasnun berkata dia menghantar anaknya pulang ke kampus bagi meneruskan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam pada Ahad lepas setelah  menyambut Hari Raya di Johor.

    “Saya tidak melihat perubahan pada anak saya semasa pulang beraya. Walaupun sedih tetapi Allah lebih menyayanginya apabila meninggal dalam keadaan muda dan kami reda,” katanya.

    Mengulas mengenai perwatakan Iqbal Hasnun, dia berkata anaknya itu seorang yang penyayang dan selalu berpesan kepada adik-adiknya supaya menjaga kesihatan.

    “Ini kerana Iqbal Hasnun menghidap penyakit pneumonia (radang paru-paru) sejak kecil lagi,” katanya.

    — BERNAMA

  • [VIDEO] 5 pelajar USAS disahkan rentung kereta dirempuh treler

    [VIDEO] 5 pelajar USAS disahkan rentung kereta dirempuh treler

    LIMA mangsa yang rentung dalam kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Terowong Menora di Ipoh, dikenal pasti pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Ipoh.

    Memetik laporan Sinar Harian, pelajar-pelajar lelaki terbabit ialah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, pemandu kereta; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, penumpang hadapan; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, masing-masing duduk di bahagian belakang.

    Dekan Bahagian Hal Ehwal Pelajar USAS, Dr Ahmad Zaki Hasan mengesahkan, kelima-lima mangsa merupakan penuntut universiti berkenaan.

    Beliau berkata, dua daripada mangsa merupakan pelajar diploma manakala tiga lagi adalah pelajar ijazah sarjana muda.

    “Kesemua mereka sudah pun dikenal pasti oleh pihak hospital dan pihak polis.

    “Kita juga telah maklumkan mengenai kejadian ini kepada waris untuk mereka hadir ke hospital bagi proses pengecaman.

    “Kita akan cuba bantu apa yang diperlukan oleh waris, bagi memudahkan urusan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

    https://youtu.be/kXc3zcTnAJM

    Sementara itu, Bernama melaporkan, polis menahan pemandu treler membawa muatan besi pagar bagi membantu siasatan kemalangan melibatkan sebuah kereta dan dua treler hingga menyebabkan lima mangsa rentung.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada kira-kira 1.45 pagi dan lelaki berusia 28 tahun ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila treler yang membawa muatan mozek datang dari arah selatan menghala ke utara sedang memandu di lorong kanan disebabkan lorong kiri laluan dari KM 246 hingga 244.4 ditutup bagi penyelenggaraan jalan.

    “Pada masa sama, kereta jenis Honda City sedang mengekori di belakang treler itu dengan memperlahankan kenderaan namun dengan secara tiba-tiba datang treler membawa muatan besi pagar yang memandu dari arah sama di belakang kereta itu tidak sempat membrek dan mengelak lalu merempuh bahagian belakang kenderaan itu.

    “Treler itu kemudian menyeretnya ke hadapan sehingga melanggar bahagian belakang treler muatan mozek berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata akibat daripada kemalangan itu, kereta yang dinaiki lima lelaki dipercayai pelajar berusia 19 hingga 23 tahun berasal dari Kuala Kubu Bharu, Selangor; Chukai, Terengganu; Parit Buntar, Perak; Batu Caves, Selangor dan Senai, Johor terbakar sebelum merebak ke bahagian kepala treler di belakangnya.

    “Pemandu dan empat orang penumpang dalam kereta itu tersepit dan tidak sempat menyelamatkan diri hingga menyebabkan kesemua mereka rentung dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Pihak bomba kemudian berjaya mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit dan rentung sebelum dibawa untuk proses bedah siasat di Hospital Kuala Kangsar hari ini,” katanya. – BERNAMA

  • [VIDEO] 5 rentung dalam nahas kereta, treler di Lebuhraya Utara Selatan

    [VIDEO] 5 rentung dalam nahas kereta, treler di Lebuhraya Utara Selatan

    LIMA orang rentung apabila kereta dinaiki mereka terbakar selepas terlibat dalam nahas dengan dua buah treler di Kilometer 246 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, selepas susur keluar Kuala Kangsar, awal pagi ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mereka menerima panggilan mengenai nahas itu pada jam 12.52 pagi.

    Keadaan lori dan kereta yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan awal pagi ini – GAMBAR Jabatan Bomba dan Penyelamat.

    Menurutnya, nahas melibatkan sebuah kereta dan dua treler yang membawa muatan besi dan mozek sehingga mengakibatkan kedua-dua kenderaan itu terbakar 90 peratus.

    Memetik Astro Awani, jurucakap tersebut memberitahu, terdapat lima mangsa di dalam kereta dan disahkan maut oleh pegawai perubatan hospital.

    Dua pemandu treler dan seorang kelindan tidak mengalami kecederaan.

    https://youtu.be/kXc3zcTnAJM

    Setakat ini identiti kesemua mangsa masih belum dikenal pasti.

  • Baru sahaja dibaik pulih, atap rumah Kamsiah rosak balik dibadai angin kencang

    Baru sahaja dibaik pulih, atap rumah Kamsiah rosak balik dibadai angin kencang

    BARU sahaja mengeluarkan perbelanjaan hampir RM25,000 bagi mengubah suai rumah sebelum sambutan Aidilfitri, Kamsiah Sanusi, 65, tidak menyangka beliau perlu mengeluarkan lagi modal untuk membaiki rumahnya yang rosak akibat dilanda ribut dan angin kencang awal pagi tadi.

    “Baru sahaja habis baiki bahagian hadapan rumah dua hari sebelum hari raya, tidak sangka pula atap dapur rumah diterbangkan angin ribut pagi tadi,” luahnya sebak.

    Mengimbas kembali kejadian hujan lebat berserta angin ribut sekitar 2 pagi, Kamsiah berkata insiden kira-kira satu jam itu disifatkan antara yang terburuk pernah dialami beliau dan juga jiran-jirannya di kawasan Kampung Sawah Sempadan serta kampung berdekatan antaranya Kampung Sungai Burong dan Kampung Sungai Sireh.

    “Masa kejadian memang saya bersama emak yang uzur sedang tidur. Tiba-tiba angin yang sangat kuat berserta hujan datang tanpa henti. Emak ketika itu tidur berdekatan dengan bahagian atap dapur yang diterbangkan angin.

    “Saya segera dapatkan emak dan pindahkan beliau ke hadapan dan hanya mampu berpelukan dua beranak berharap angin tersebut cepat reda. Air pun sudah mula memenuhi ruang rumah sehingga paras buku lali,” katanya.

    Kamsiah berkata dianggarkan lebih 10 rumah penduduk di kampung itu terjejas susulan kejadian berkenaan dengan kebanyakannya rosak pada bahagian bumbung rumah.

    Seorang lagi penduduk, Mahadi Hasmeon, 56, berkata beliau tidak menyangka kejadian angin ribut berserta hujan itu akan menimpa rumahnya kerana selama ini hanya dialami oleh jiran kampungnya.

    “Sepanjang hayat saya di sini, ini pertama kali atap rumah pusaka ibu saya diterbangkan angin, namun ia tidak seteruk rumah orang lain,” katanya.

    Sementara itu, Salleh Mustaram, 86, berkata kejadian hujan ribut awal pagi tadi disifatkan terburuk baginya kerana hanya atap bahagian dapur rumah sahaja yang tinggal untuk mereka sekeluarga kekal berteduh.

    “Ketika ribut itu saya memang dengar bunyi hujan lebat dan tanpa disedari atap bahagian hadapan dan tengah rumah kesemuanya telah diterbangkan angin kuat betul-betul di sebelah rumah. Hanya tinggal siling sebagai pengganti atap sebelum ia bocor kerana hujan lebat.

    “Buat masa ini saya, isteri yang sedang terlantar dan dua anak tinggal di bahagian dapur yang masih elok, namun berharap agar malam ini tidak hujan kerana tidak ingin perkara yang lebih buruk terjadi,” katanya.

    Awal pagi tadi tular di akaun Facebook I Love Tanjong Karang berhubung kejadian hujan lebat serta ribut dan angin kencang dengan penduduk tempatan berkongsi gambar dan video keadaan rumah mereka yang rosak susulan insiden berkenaan.

  • Remaja 13 tahun maut, seorang lagi parah dalam kemalangan

    Remaja 13 tahun maut, seorang lagi parah dalam kemalangan

    SEORANG pelajar lelaki berusia 13 tahun maut manakala seorang lagi yang berusia 14 tahun cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Jalan Lahar Kepar, Kepala Batas, awal pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, mangsa yang maut merupakan pelajar Tingkatan Satu dan seorang lagi mangsa patah kaki kanan serta cedera di bahagian badan.

    Beliau memberitahu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala manakala mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan.

    “Polis menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada jam 12.30 tengah malam. Siasatan mendapati kemalangan berlaku membabitkan dua buah motosikal yang ditunggangi pelajar berusia 13 dan 14 tahun.

    “Ketika kejadian, pelajar berusia 13 tahun yang menunggang motosikal jenis SYM warna biru sedang dalam perjalanan dari arah Penaga menghala ke Kepala Batas.

    “Apabila sampai di lokasi kejadian motosikal terbabit telah memotong sebuah kereta di hadapannya lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangi pelajar berusia 14 tahun dari arah bertentangan” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Astro Awani.

    Katanya, kedua-dua motosikal yang ditunggangi pelajar berkenaan adalah milik bapa mereka.

    Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Mayat remaja ditemukan 100 km dari lokasi dilaporkan lemas

    Mayat remaja ditemukan 100 km dari lokasi dilaporkan lemas

    SEORANG remaja lelaki yang dilaporkan lemas ketika mandi di Sungai Kampung Durok Baru, Keningau pada Sabtu lalu ditemui terapung di Sungai Padas Kampung Labi Gadong, Beaufort, semalam.

    Mayat Al Sharil, 16, ditemui oleh orang awam kira-kira sejauh lebih 100 kilometer dari lokasi dia dilaporkan lemas.

    Pihak bomba menerima panggilan berhubung penemuan tersebut pada pukul 5 petang.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, susulan itu seramai empat anggota BBP Beaufort dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 15 kilometer dari balai.

    “Anggota bomba kemudian membantu mengangkat mayat berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak polis.

    “Mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Beaufort untuk tujuan pengecaman dan operasi ditamatkan pada jam 8.55 malam,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Sebelum itu, media melaporkan mangsa dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Pagalan bersama keluarganya di Kampung Baru Durok, Keningau.

  • Suami isteri maut dalam kemalangan di Gerik

    Suami isteri maut dalam kemalangan di Gerik

    SUAMI  isteri maut manakala dua anak mereka cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 76, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di Gerik semalam.

    Mangsa yang dikenali sebagai Mohd Azmi Imas, 47, dan isterinya Rohani Abdullah, 48, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala anak lelaki berusia 14 tahun dan perempuan berusia 18 tahun yang berada di tempat duduk penumpang belakang, mengalami patah tangan kiri serta luka ringan di tangan kanan.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata kemalangan melibatkan kereta jenis Nissan Latio, dinaiki keluarga yang berasal dari Kuala Berang, Terengganu berkenaan dengan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton, yang dinaiki tiga lelaki yang berasal dari Kedah pada kira-kira pukul 8.15 malam.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan ini dipercayai berlaku apabila Mohd Azmi yang memandu dari arah Gerik, dipercayai telah hilang kawalan semasa melalui selekoh dan terbabas masuk ke kanan jalan serta telah melanggar kenderaan yang berada di laluan yang bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata akibat kemalangan itu, suami isteri itu disahkan meninggal dunia  di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan dari Hospital Jeli.

    Mior Faridalathrash berkata kedua-dua anak mangsa bersama seorang lagi penumpang dari kenderaan pacuan empat roda itu yang berusia 48 tahun, turut dibawa ke hospital sama untuk dirawat.

    Katanya siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca kemalangan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    — BERNAMA

  • Mayat lelaki warga emas terapung di Empangan Perting

    Mayat lelaki warga emas terapung di Empangan Perting

    MAYAT seorang lelaki warga emas ditemui terapung di Empangan Hulu Perting, Bentong, kira-kira pukul 1 petang tadi.

    Penemuan mayat berkenaan kemudian dimaklumkan kepada pihak bomba pada pukul 1.13 petang sebelum 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong ke lokasi kejadian.

    Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihak bomba membantu pihak polis mengambil mayat lelaki berusia dalam lingkungan 67 tahun itu.

    “Pihak bomba menggunakan sebuah bot milik orang awam untuk mengambil mayat berkenaan.

    “Mayat tersebut kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.