Category: Kemalangan / Bencana

  • 2 mayat lelaki terapung sekitar Pulau Indah

    2 mayat lelaki terapung sekitar Pulau Indah

    DUA mayat lelaki tanpa identiti ditemukan terapung di sekitar perairan Jeti Marina, Pulau Indah petang semalam.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, Pusat Operasi APMM Negeri Selangor telah menerima maklumat berkaitan penemuan itu daripada komuniti nelayan pada 4.26 petang dan bot PERKASA 36 yang sedang dalam operasi, diarahkan ke lokasi untuk mengesan dan melaksanakan tindakan selanjutnya.

    “Lebih kurang pada 4.45 petang, PERKASA 36 tiba di lokasi dan telah menemukan dua mayat itu, satu daripadanya lengkap berpakaian, manakala satu mayat lagi hanya berseluar panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kedua-dua mayat itu kemudian dibawa ke Jeti Marina untuk diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia bagi siasatan lanjut.

    Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi APMM Negeri Selangor di talian 03-21760627 dan sebarang maklumat berkaitan jenayah mahupun kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi APMM Negeri Selangor atau MERS 999. – BERNAMA

  • 2 kanak-kanak maut dalam kemalangan kereta dan treler

    2 kanak-kanak maut dalam kemalangan kereta dan treler

    DUA beradik maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 310.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Kampar awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Mohamad Nazri Daud berkata, mangsa, Nurqalesya Adriana Jaafar, 12, maut di lokasi kejadian manakala adiknya, Muhammad Saiful Amry, 9, meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Tapah.

    Katanya, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Iswara dan sebuah treler kira-kira 2.30 pagi.

    “Kereta itu dinaiki enam orang iaitu empat beradik serta bapa mangsa dan seorang wanita dipercayai tunang kepada bapa mangsa. Mereka dikatakan dalam perjalanan dari Baling, Kedah ke Seremban, Negeri Sembilan untuk menghantar kesemua adik beradik itu ke rumah ibu mereka.

    “Bapa mangsa Jaafar Ahmad, 49, mengalami kecederaan di kaki kanan manakala dua lagi anaknya masing-masing berusia 14 dan enam tahun hanya cedera ringan dan wanita berusia 24 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Nazri berkata, pemandu treler berumur 47 tahun pula tidak mengalami kecederaan.

    Beliau berkata punca kemalangan masih lagi dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

  • Pekerja jatuh bumbung, JKPP keluar notis larangan, sita lokasi kejadian

    Pekerja jatuh bumbung, JKPP keluar notis larangan, sita lokasi kejadian

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG pekerja lelaki warga tempatan maut selepas terjatuh ketika menjalankan kerja-kerja pemasangan bumbung di kawasan tapak pembinaan tempat meletak bas di sebuah kilang elektronik di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

    Dalam kejadian pukul 1.40 petang kelmarin itu, mangsa dikatakan telah terjatuh dari struktur bumbung pada ketinggian kira-kira lima meter.

    Sehubungan itu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang mengeluarkan satu Notis Larangan dan menyita lokasi kejadian serta-merta sehingga siasatan berhubung insiden tersebut selesai dijalankan.

    JKPP Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sepasukan pegawai penyiasat jabatan itu telah ke lokasi kejadian dan menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima aduan mengenai kemalangan tersebut.

    “Mangsa dikatakan telah terjatuh dari struktur bumbung pada ketinggian kira-kira lima meter dan dihantar ke hospital berdekatan, namun disahkan meninggal dunia di hospital pagi semalam,” demikian menurut kenyataan itu.

    Tambah kenyataan itu, tindakan perundangan akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ke atas pihak yang bertanggungjawab.

  • Dua budak hilang menjelang Hari Gawai ditemukan lemas pagi ini

    Dua budak hilang menjelang Hari Gawai ditemukan lemas pagi ini

    DUA kanak-kanak yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Semawang, Kapit, kelmarin, ditemukan lemas oleh orang awam pada pukul 7.15 pagi tadi.

    Mayat mangsa pertama, Damien Dashlley Sedan Donny yang merupakan kanak-kanak lelaki sembilan tahun ditemukan hanyut berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Embuau.

    Sementara mayat mangsa kedua, Chelsea Charity Darrie Ricky, kanak-kanak perempuan 10 tahun pula ditemukan di kawasan Song.

    Dua kanak-kanak yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Semawang, Kapit, kelmarin, ditemukan lemas, hari ini.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 5.42 petang kelmarin.

    “Kejadian itu berlaku sehari menjelang perayaan Hari Gawai ketika dua kanak-kanak yang tinggal di Rumah Panjang Ekaw itu mandi di tepi sungai bersama beberapa ahli keluarga mereka.

    “Mereka dikatakan tiba-tiba hanyut dan hilang dibawa arus deras, kira-kira pukul 5 petang,” katanya memetik laporan Harian Metro.

  • Wanita maut, Mercedes-Benz rempuh lori baiki jalan

    Wanita maut, Mercedes-Benz rempuh lori baiki jalan

    SEORANG wanita maut selepas kereta dipandunya merempuh belakang sebuah lori di Kilometer 9.6 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) menghala ke Puchong, Petaling Jaya, pukul 12.20 tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu membabitkan sebuah Mercedes Benz dan sebuah lori.

    “Ketika kejadian, lori berkenaan berhenti di lorong kanan laluan terbabit untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan jalan.

    “Kereta dipandu mangsa secara tiba-tiba datang dari arah belakang di lorong sama dan melanggar bahagian belakang lori terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Katanya, pelanggaran itu mengakibatkan mangsa berusia 22 tahun disahkan maut di lokasi kejadian.

    Dalam kemalangan berasingan, seorang lelaki maut apabila motosikal dinaikinya melanggar bahagian belakang sebuah kereta di Kilometer 23.3 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala ke Plaza Tol Duta, Petaling Jaya, malam tadi.

    Mohamad Fakhrudin berkata, kedua-dua kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor R. Navalan di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan,” katanya.

  • Timbalan Pengarah Bomba Sabah bantu wanita bersalin dalam kereta

    Timbalan Pengarah Bomba Sabah bantu wanita bersalin dalam kereta

    SEORANG wanita berdepan detik cemas apabila terpaksa bersalin dalam kereta kerana tidak sempat ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas, Kota Kinabalu pada pukul 1.45 tengah hari akibat kesesakan jalan.

    Wanita berusia 39 tahun terbabit yang menaiki Perodua Viva dipandu suaminya terpaksa berhenti di tepi jalan kerana sudah tidak sakit sebelum melahirkan anak perempuan dalam kenderaan berkenaan.

    Kebetulan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan yang melihat kereta tersebut di tepi jalan tersebut dalam keadaan mencurigkan menarik perhatiannya.

    Farhan kemudian berhenti untuk memeriksa kereta itu ketika dalam perjalanan menuju ke Ibu Pejabat JBPM Sabah yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

    “Saya melihat kelibat seorang wanita terbaring dalam kenderaan dan gelagat lelaki berdepan kecemasan.

    “Sebaik menyedari kejadian sebenar, saya menghubungi pasukan bomba dan membantu menenangkan mangsa serta mengikat tali pusat bayi terbabit.

    “Pasukan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) yang hadir di lokasi terus memberi rawatan awal sebelum diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Farhan berkata, mangsa dan bayi terbabit dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan kini ditempatkan di Hospital Likas untuk rawatan lanjut.

    Sementara itu, Farhan berkata, kes kecemasan seperti ini bukanlah yang pertama dihadapinya selaku pegawai bomba.

    Katanya, pernah juga ada kes di mana wanita terpaksa melahirkan anak di balai bomba akibat masalah kesesakan untuk ke hospital yang memaksa mangsa singgah ke balai bomba untuk meminta bantuan dihantar ke hospital berhampiran.

    “Ada juga kes di kawasan pedalaman yang mana wanita terpaksa melahirkan anak dalam helikopter bomba semasa dalam penerbangan ke hospital.

    “Menerusi pengalaman seperti ini, jabatan ini akan sentiasa menerapkan ilmu berkaitan kes kecemasan kepada pasukan bomba terutama kepada unit EMRS supaya lebih bersedia,” katanya.

  • Dua budak dikhuatiri lemas dihanyutkan arus deras

    Dua budak dikhuatiri lemas dihanyutkan arus deras

    KEGEMBIRAAN menjelang sambutan Hari Gawai di Sarawak esok bertukar hiba apabila dua kanak-kanak di Rumah Panjang Ekaw, Nanga Sungai Sawang di Kapit dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras, pukul 5.12 petang tadi.

    Mangsa merupakan seorang kanak-kanak perempuan, Chelsea Charity Darrie Ricky, 10, dan kanak-kanak lelaki, Damien Dashlley Sedan Donny, 9, yang sebelum itu mandi bersamas-ama keluarga mereka.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 5.42 petang tadi.

    “Panggilan kecemasan itu dibuat selepas kira-kira 30 minit kedua-dua mangsa hilang dibawa arus.

    “Mereka dikatakan tiba-tiba hanyut sebelum hilang dibawa arus deras,” katanya dalam kenyataan, malam ini, lapor Harian Metro.

    Menurutnya, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan kejadian itu.

    “Komander operasi melaporkan pencarian awal dilakukan bersama dengan penduduk kampung. Bagaimanapun, keadaan cuaca gelap menyebabkan operasi terpaksa ditangguhkan pada 7.05 malam,” katanya.

  • Warga emas maut jatuh pangsapuri 14 tingkat

    Warga emas maut jatuh pangsapuri 14 tingkat

    SEORANG lelaki warga emas ditemui maut selepas terjatuh dari sebuah bangunan pangsapuri 14 tingkat di Banda Hilir, Melaka awal pagi tadi.

    Orang awam kemudian membuat laporan kepada pihak polis berhubung penemuan mayat lelaki berusia 67 tahun itu pada pukul 8.50 pagi.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian mangsa memandu sebuah kereta ke pangsapuri berkenaan.

    “Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

    “Setakat ini kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan siasatan punca kematian masih diteruskan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Tambahnya, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang sering sakit pernah memaklumkan kepada isterinya yang dia tidak mahu hidup lama.

  • Polis buru penagih dadah bakar rumah

    Polis buru penagih dadah bakar rumah

    SEORANG lelaki yang dipercayai penagih dadah diburu polis kerana disyaki membakar sebuah rumah di Kampung Keruak di Hulu Besut, di Jertih petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Besut, Supt Abdul Rozak Muhammad berkata, lelaki tempatan berusia 40an itu dipercayai sedang bersembunyi di dalam hutan di sekitar kampung tersebut selepas melakukan perbuatan khianat itu kira-kira pukul 4 petang.

    “Polis turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran dan kes ini sedang disiasat menurut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

    “Suspek dikatakan mahir dengan selok-belok di dalam hutan di situ menyebabkan usaha memberkasnya berdepan kesulitan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Dalam kejadian tersebut, rumah milik Nor Baidi Abdullah, 60, musnah sepenuhnya dipercayai dibakar oleh lelaki itu menggunakan minyak petrol.

    Menurut Nor Baidi, perbuatan suspek itu sempat dilihat oleh anak lelakinya berusia 16 tahun yang ketika itu berada di dalam bilik air sebelum terdengar suatu bunyi mencurigakan.

    “Anak saya terkejut kerana ketika mengintai melalui lubang bilik air, dia ternampak suspek sedang menjirus cecair dipercayai petrol ke dinding rumah sebelum suspek bertindak membaling kain yang dinyalakan api ke salah satu bilik tidur.

    “Kejadian kali ini merupakan perbuatan kali keenam suspek membakar rumah saya termasuk ada sekali suspek membakar kereta saya dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, namun kami sekeluarga sempat memadamkan api sebelum merebak pada lima cubaan sebelum ini,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

    Nor Baidi berkata, beliau tidak mengetahui motif lelaki berkenaan bertindak sedemikian kerana beliau sekeluarga tidak pernah mengganggunya selama ini. – BERNAMA

  • Imam maut selepas habis mengajar di maahad tahfiz

    Imam maut selepas habis mengajar di maahad tahfiz

    SEORANG imam masjid meninggal dunia dalam kemalangan apabila motosikal ditunggang merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 64 Jalan Teluk Intan-Klang di Sabak Bernam, pukul 4.15 petang semalam.

    Difahamkan mangsa yang berusia 32 tahun baharu sahaja selesai mengajar di sebuah maahad tahfiz, menunggang Yamaha LC dan maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, siasatan mendapati mangsa baru pulang mengajar di sebuah maahad tahfiz di daerah Sabak Bernam dan menuju ke rumahnya di Tanjong Karang.

    Beliau berkata, ketika kejadian, sebuah treler dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun berhenti di lorong kecemasan.

    “Akibat kemalangan itu, mangsa yang juga imam sebuah masjid di Tanjong Karang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Katanya, semasa kejadian pemandu treler dipercayai tidak meletakkan sebarang tanda atau isyarat untuk berhenti di lorong kecemasan.

    “Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.