Category: Kemalangan / Bencana

  • Pegawai farmasi hospital maut nahas tiga kenderaan

    Pegawai farmasi hospital maut nahas tiga kenderaan

    SEORANG pegawai farmasi Hospital Setiu maut selepas kereta dipandunya terlibat kemalangan dengan dua kenderaan di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Sungai Tarom, Setiu, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, kemalangan melibatkan mangsa, Nurul Atiqah Awang Lah yang berusia 36 tahun berasal dari Tanah Merah, Kelantan itu berlaku pukul 7.15 malam.

    “Kemalangan membabitkan Perodua Myvi, Perodua Alza dan sebuah lori jenis Hino.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa yang memandu Perodua Myvi dari arah Pekan Permaisuri menghala ke Sungai Tarom hilang kawalan dan melanggar Perodua Alza di simpang tiga Sungai Tarom.

    “Pemandu lori yang datang dari Sungai Tong menghala ke Rantau Panjang, Kelantan pula terkejut dan hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan laluan bertentangan lalu melanggar papan tanda jalan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini

    Katanya, mangsa bersama-sama dua anaknya, Tengku Daim Hadi Tengku Amirul Kamal, 6, dan Tengku Zaim Zuhdi Tengku Amirul Kamal, 9, mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Setiu untuk dapatkan rawatan awal.

    Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Setiu pada pukul 9 malam.

    “Pemandu dinasihatkan lebih berhati-hati dan patuh peraturan had laju ditetapkan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

  • Budak perempuan tahun satu maut dalam perjalanan ke sekolah

    Budak perempuan tahun satu maut dalam perjalanan ke sekolah

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut dalam perjalanan ke sekolah selepas kenderaan dinaikinya terbabas sebelum dirempuh sebuah lori di Jalan Krubong, Tampoi, Melaka Tengah, pukul 8.15 pagi tadi.

    Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, mangsa, Nurul Qalisha Abdul Rahim yang masih lengkap berpakaian sekolah disahkan maut di lokasi kejadian.

    “Siasatan mendapati mangsa menaiki kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu bapa saudara berusia 29 tahun bersama-sama neneknya.

    “Semakan menerusi rakaman ‘dashcam’ yang diperolehi mendapati kemalangan berlaku apabila perodua Kancil itu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum lori terlibat yang melalui jalan berkenaan tidak sempat mengelak sebelum berlaku pelanggaran.

    “Akibat rempuhan itu, pemandu kedua-dua kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan manakala nenek mangsa yang duduk dibahagian hadapan penumpang patah tangan kanan,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika hujan lebat dan rempuhan mengakibatkan kanak-kanak berkenaan yang duduk di bahagian penumpang belakang tersepit sebelum dikeluarkan pasukan bomba.

    Mayat mangsa katanya, dihantar ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat yang mana kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Mayat lelaki ditemukan tersangkut atas pokok kelapa

    Mayat lelaki ditemukan tersangkut atas pokok kelapa

    SEORANG lelaki ditemukan mati tersangkut pada sebatang pokok kelapa di FELDA Aring Satu, Gua Musang, pagi tadi.

    Ketika ditemui pada pukul 8.45 pagi tadi,mayat Zaharuddin Ramli, 47, dalam keadaan tersangkut pada pokok kelapa pada ketinggian 12 meter.

    Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor, pihaknya menerima aduan pada pukul 8.45 pagi sebelum sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.

    Katanya, sejurus tiba, anggota mendapati seorang lelaki yang tidak sedarkan diri berada dalam keadaan tersangkut pada sebatang pokok kelapa.

    “Anggota bomba terpaksa menggunakan tangga untuk memanjat pokok sebelum menurunkan mangsa pada ketinggian 12 meter menggunakan kaedah sambungan tali,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pegawai perubatan untuk tindakan seterusnya.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pada pukul 11.40 pagi,” ujarnya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

  • Lelaki ditemukan lemas di empangan Bakun

    Lelaki ditemukan lemas di empangan Bakun

    SEORANG lelaki yang dilaporkan terjatuh ke dalam sungai di Ulu Naha, tasik Empangan Elektrik Hidro Bakun, Belaga pada Selasa lepas, ditemukan lemas pukul 9.40 malam tadi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, mangsa Heli Nyalong, 36, dikenal pasti oleh penduduk kampung, berasal dari Blok P, Uma Bakah, Skim Penempatan Semula Sungai Asap Belaga.

    “Pada pukul 11.30 malam semalam, PGO telah menerima panggilan daripada Komander Operasi Bomba di lokasi memaklumkan mayat mangsa telah dijumpai timbul pada jam 9.40 malam oleh penduduk kampung pada jarak lima meter dari lokasi mangsa terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke rumah panjang berhampiran sementara menunggu untuk dibawa ke Hospital Nyabau, Bintulu hari ini bagi tujuan bedah siasat sebelum diserahkan kembali kepada keluarganya untuk dikebumikan.

    Menurutnya, Balai Bomba dan Penyelamat Belaga menerima panggilan tentang kejadian itu pada pukul 3.15 petang Selasa dan tempoh perjalanan menggunakan bot dilengkapi enjin sangkut 40 kuasa kuda ke lokasi kejadian adalah kira-kira empat jam. – Bernama

  • Kanak-kanak lelaki tiga tahun maut terjatuh dari tingkat 10

    Kanak-kanak lelaki tiga tahun maut terjatuh dari tingkat 10


    SEORANG  kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 10 sebuah kondominium di Jalan Dutamas, Kuala Lumpur petang ini.

    Mayat kanak-kanak itu ditemukan di tingkat tiga kondomium itu.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata pihaknya menerima panggilan MERS 999 berhubung kemalangan terbabit kira-kira jam 3.30 petang tadi.

    “Mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Kuala Lumpur,” katanya kepada Bernama.

    Menurut Beh, sebelum kejadian mangsa dan ibunya berada di ruang tamu sebelum mangsa berlari ke bilik air dan memanjat tab mandi lalu naik ke atas tembok dalam tandas itu.

    “Mangsa dipercayai membuka tingkap tandas sebelum menyusup keluar dan terjatuh di perimeter laluan bomba di tingkat tiga,” katanya.

    Difahamkan ibu mangsa yang berusia 32 tahun kemudian turun memaklumkan kepada pengurusan mengenai kejadian itu.

    Beh berkata polis sedang menyiasat dengan lebih lanjut berhubung kejadian itu.

    Mayat mangsa dibawa keluar oleh ibu mangsa pada kira-kira jam 7.30 malam sebelum menaiki kenderaan polis ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat.

    — BERNAMA

  • Pusat tahfiz di Seri Iskandar terbakar pagi tadi

    Pusat tahfiz di Seri Iskandar terbakar pagi tadi

    ENAM pelajar lelaki Pusat Tahfiz Dar al-Fawzan di Seri Iskandar, Perak terselamat dalam kebakaran awal pagi tadi membabitkan sebuah bilik di asrama yang dihuni mereka.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.46 pagi.

    “Kebakaran melibatkan sebuah bilik di tingkat atas berkeluasan 15×10 kaki persegi musnah terbakar kira-kira 15 peratus.

    “Seramai enam pelajar yang tinggal di asrama tersebut semasa kejadian itu berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jurucakap itu berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar dengan bantuan BBP Batu Gajah yang dikejarkan ke lokasi kejadian menggunakan satu aliran hos bagi melakukan pemadaman dan operasi tamat sepenuhnya pada kira-kira 5.20 pagi. – BERNAMA

  • Kediaman rasmi Pengarah Hospital Kemaman terbakar

    Kediaman rasmi Pengarah Hospital Kemaman terbakar

    SEBUAH rumah setingkat kediaman rasmi Pengarah Hospital Kemaman Dr Amran Japar di Kampung Gong Limau, Chukai, Kemaman, terbakar 50 peratus malam tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai Mohd Zailani Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.49 malam dan 17 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Chukai serta BBP Kemaman dikerah ke lokasi kejadian.

    “Kebakaran dipercayai berpunca daripada sebuah bilik sebelum api merebak ke ruang tamu dan stor melalui siling.

    “Operasi pemadaman agak mencabar kerana kerangka bumbung daripada kayu menyebabkan api cepat merebak namun kepantasan anggota bomba dapat menyelamatkan rumah tersebut dari terbakar 100 peratus,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

    Difahamkan, ketika kejadian berlaku, pengarah hospital itu tiada di rumah kerana mempunyai tugasan rasmi di Kuala Lumpur.

    Mohd Zailani berkata, hanya dua anak dan isteri Dr Amran sahaja yang berada di rumah namun mereka berjaya menyelamatkan diri lebih awal dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku.

    Katanya, operasi selesai sepenuhnya pada 1.45 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

    Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Nasional Terengganu Hanafiah Mat berkata, pihaknya sudah menyediakan sebuah rumah inap desa untuk didiami selama tiga hari oleh keluarga Dr Amran.

    “Semoga beliau tabah dengan dugaan ini dan saya difahamkan beliau sekeluarga akan berpindah masuk ke kuarters kosong di Hospital Kemaman selepas ini,” katanya. – Bernama

  • 10 penumpang cedera bas ekspres terbalik

    10 penumpang cedera bas ekspres terbalik

    SERAMAI 10 penumpang cedera selepas bas ekspres yang dinaiki hilang kawalan dan terbalik di Jalan Gunong-Jelawat dekat Kampung Bator, Bachok pada pukul 5.30 pagi tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, ketika kejadian bas terbabit dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Jelawat.

    “Sebaik tiba di selekoh Kampung Bator, bas yang dipandu lelaki berusia 27 tahun hilang kawalan lalu terbabas sebelum terbalik di bahu jalan.

    “Terdapat seramai 10 penumpang yang berada di dalam bas terbabit dan kesemua mereka hanya mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Katanya, usaha mengalih dan mengangkat bas sudah dilakukan oleh syarikat bas berkenaan pada 11 pagi tadi dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

  • [VIDEO] Menara azan masjid 169 tahun musnah dipanah petir

    [VIDEO] Menara azan masjid 169 tahun musnah dipanah petir

    BEBERAPA jemaah di Masjid Jamek Datuk Andak Kampung Serkam Pantai, Melaka terselamat daripada terkena serpihan batu konkrit puncak menara, yang terjatuh di ruang solat utama masjid berusia 169 tahun itu akibat dipanah petir awal pagi ini.

    Timbalan pengerusi masjid berkenaan, Zakaria Abu Bakar berkata, kejadian pada kira-kira pukul 6.45 pagi itu berlaku semasa beliau bersama imam dan beberapa jemaah sedang meneruskan aktiviti mengaji dan berwirid selepas lebih 30 jemaah lain beredar dari ruangan berkenaan sesudah menunaikan solat Subuh.

    Bercakap kepada pemberita di Jasin hari ini, beliau berkata, pada mulanya mereka terdengar dentuman guruh kuat serta sedikit gegaran yang disusuli dengan bekalan elektrik terputus, dan kemudian barulah tempias air hujan mulai terasa selepas puncak menara itu disambar petir.

    Bahagian atas menara azan Masjid Jamek Datuk Andak Kampung Serkam Pantai musnah disambar petir pagi tadi. (Gambar: Facebook Zakaria Abu Bakar)

    Bagaimanapun katanya, beliau amat bersyukur kerana tiada kecederaan yang menimpa mana-mana jemaah dalam kejadian itu.

    Sementara itu salah seorang penduduk, Mohd Sufian Hashim, 43, berkata ,selepas solat Subuh, beliau berada di rumahnya dan secara kebetulan menyaksikan kejadian itu menerusi tingkap rumahnya yang berhampiran dengan masjid.

    Kredit video: Saluran YouTube Astro Awani

    “Saya terdengar dentuman yang sangat kuat dan kali kedua saya dari jauh ternampak petir memanah puncak menara masjid menyebabkan percikan api dan mengeluarkan kepulan asap,” katanya. – BERNAMA

  • Remaja lemas ditemukan mayatnya terapung selepas 3 hari hilang

    Remaja lemas ditemukan mayatnya terapung selepas 3 hari hilang

    SEORANG remaja yang hilang semasa mandi sungai sejak tiga hari lalu, ditemukan mayatnya di Sungai Moyog, Penampang, hari ini.

    Operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu menemukan mayat tersebut yang merupakan mangsa kedua lemas di Sungai Moyog pukul 11 pagi tadi.

    Mayat Tomansi Olaf, 17, ditemukan dalam keadaan terapung oleh pasukan bomba dan orang awam yang turut terlibat dalam SAR itu.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, operasi itu melibatkan pelbagai unit bomba termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan Unit K9 dengan menggunakan anjing pengesan.

    “Operasi SAR dimulakan pada pukul 9 pagi tadi dan pencarian dilakukan di sekitar pesisir sungai menggunakan bot bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang awam.

    “Mangsa kemudian ditemukan di Sungai Moyog iaitu kira-kira 300 meter dari pos kawalan kedua pasukan bomba.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak polis,” katanya dalam kenyataan dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Katanya lagi, dengan penemuan kedua-dua mangsa lemas termasuk Harold Walter, 17, semalam menamatkan operasi SAR yang dilaksanakan di kawasan berkenaan.

    Sebelum itu, media melaporkan, dua remaja dikhuatiri lemas manakala empat lagi rakan mereka yang terperangkap ketika melakukan aktiviti mandi sungai di Kampung Pogunon berjaya diselamatkan pasukan bomba pada Sabtu lalu.