Category: Kemalangan / Bencana

  • Polis tahan lelaki ceroboh, rosakkan gereja

    Polis tahan lelaki ceroboh, rosakkan gereja

    SEORANG lelaki dipercayai kurang siuman ditahan pihak polis selepas memecah masuk sebuah gereja St Francis Xavier di Keningau pada pukul 7.30 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Polis Nor Rafidah Kasim berkata,
    lelaki terbabit turut merosakkan beberapa barangan serta peralatan sembahyang.

    “Saringan ujian air kencing juga mendapati suspek yang berusia 34 tahun itu negatif penyalahgunaan dadah.

    “Suspek dan barang rampasan sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau untuk tindakan selanjutnya.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” kata beliau dalam kenyataan media, lapor Astro Awani hari ini.

    Menurut Nor Rafidah, siasatan awal juga turut mendapati pintu pagar gereja tidak berkunci dan kamera litar tertutup (CCTV) juga tidak berfungsi sewaktu kejadian.

  • Lori rempuh trafik sibuk di Tambak Johor

    Lori rempuh trafik sibuk di Tambak Johor

    KEMENTERIAN Pengangkutan akan melakukan siasatan segera dan mengambil tindakan tegas berhubung insiden sebuah lori perdagangan terbabit perlanggaran dengan beberapa kenderaan di Tambak Johor, pagi tadi.

    Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata ia termasuk menggantung permit syarikat serta Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL) pemandu lori berkenaan jika didapati gagal mematuhi peraturan ditetapkan

    Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai kejadian itu, sekali gus amat memandang serius kes sedemikian dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak kerana ia membabitkan keselamatan orang ramai.

    “Agensi bawah kementerian, termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), akan segera menjalankan siasatan Tata Amalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) berhubung insiden itu.

    “Selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan melakukan ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori berkenaan.

    “Tindakan tegas akan dikenakan kepada pemandu lori atau syarikat terbabit sekiranya didapati gagal mematuhi peraturan ditetapkan, selepas JPJ melengkapkan audit ICOP.

    “Ia termasuk menggantung lesen GDL pemandu lori, menggantung permit syarikat atau lain-lain hukuman termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Terdahulu, beberapa rakaman video tular dalam media sosial yang menunjukkan kira-kira 10 kenderaan dirempuh ketika trafik sibuk di Tambak Johor.

    Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan melakukan siasatan dari aspek teknikal, bagi mencari punca kemalangan itu.

    “Orang ramai yang berada di tempat kejadian ketika kemalangan itu berlaku pula diminta menyerahkan bukti-bukti seperti rakaman video sekiranya ada, bagi membantu siasatan.

    “Saya amat memandang serius kes seperti ini dan tidak akan berkompromi. Mana-mana pihak yang didapati bersalah akan dikenakan hukuman tegas kerana ia membabitkan soal keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya,” katanya.

  • Sumber air terkumpul di Gunung Inas punca banjir Baling – Sanusi

    Sumber air terkumpul di Gunung Inas punca banjir Baling – Sanusi

    SUMBER air yang terkumpul banyak di Gunung Inas yang mengalir turun dengan laju di sudut cerun yang curam dipercayai menyebabkan berlakunya kejadian banjir dan fenomena kepala air di Baling, Isnin lepas.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kesimpulan itu berdasarkan tinjauan udara yang dilakukan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam di kawasan gunung itu yang turut mendapati tiada pecahan takungan air seperti yang didakwa.

    “Saya berpeluang menaiki helikopter PDRM untuk meninjau kawasan bencana dan dapat melihat secara menyeluruh laluan aliran air yang berpunca dari Gunung Inas sehingga kawasan bencana dan Pekan Kupang.

    “Pemerhatian mata kasar dari udara, saya dapati air terkumpul begitu banyak dalam satu masa dan terdapat berpuluh-puluh lorong yang terbentuk di Gunung Inas yang mengalir ke bawah di sudut cerun yang sangat curam dan menyebabkan air bergerak begitu laju di Lata Celak ini dalam tempoh serentak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Muhammad Sanusi berkata, pada tinjauan itu, beliau mendapati takungan yang dibina di kawasan tanaman Musang King masih ada, dan takungan tempat pengumpulan air untuk dipam masuk ke kolam berkenaan juga tidak pecah.

    Muhammad Sanusi berkata, pokok-pokok besar di sepanjang aliran air di gunung itu juga masih ada dan tidak ditebang sewaktu ladang hutan tanaman durian Musang King dibangunkan.

    Justeru beliau berkata kesimpulan pada masa ini sebelum mendapat laporan daripada jabatan teknikal seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) ialah aliran air bergerak begitu laju di cerun yang curam daripada sumber air yang terlalu banyak dan bercantum menjadi satu di aliran Lata Celak yang mengalir ke Sungai Kupang.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang Isnin lepas, banjir dan fenomena kepala air di Baling mengakibatkan tiga nyawa terkorban dan lebih 1,400 penduduk dipindahkan ke tiga pusat pemindahan selain 15 rumah musnah dihanyutkan arus deras. – BERNAMA

  • Lelaki maut kereta rempuh tiang SmartTAG di LDP

    Lelaki maut kereta rempuh tiang SmartTAG di LDP

    SEORANG lelaki maut selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh tembok pembahagi Plaza Tol Penchala arah selatan, Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Kuala Lumpur, tengah malam tadi.

    Kemalangan pada pukul 12.30 pagi ketika cuaca dalam keadaan baik, lapor Astro Awani, hari ini.

    Mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan jenis MINI Cooper S dipandunya terbabas merempuh tembok di laluan SmartTAG.

    Rempuhan itu menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.

    Dia disahkan maut akibat kecederaan parah di badan dan kepala oleh paramedik selepas berjaya dikeluarkan anggota Jabatan Bomba Dan Penyelamat Taman Tun Dr Ismail.

    Mangsa dikenali sebagai Wong Kok Wai, 37 tahun, beralamat di Bandar Damansara Perdana.

    Tiga lorong kanan di plaza tol itu ditutup sepenuhnya untuk siasatan kemalangan.

    Mayat dibawa ke Hospital Sungai Buloh.

  • Tunggu laporan jabatan, agensi berkaitan punca kepala air di Baling

    Tunggu laporan jabatan, agensi berkaitan punca kepala air di Baling

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KERAJAAN negeri Kedah perlu menunggu laporan daripada agensi mahu pun jabatan berkaitan bagi menentukan punca kejadian bencana kepala air dan banjir yang menyebabkan tiga kematian, kelmarin.

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pandangan kesemua agensi terlibat tentunya berbeza daripada pandangan netizen memandangkan jabatan tersebut seperti Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Jabatan Perhutanan serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memiliki kepakaran tersendiri.

    Jelasnya, jika mahu menjadi popular, beliau boleh saja mengambil jalan mudah dengan mengikut dan menyokong kata-kata netizen sekali gus membantunya meraih undi lebih banyak untuk menang pilihan raya.

    “Tetapi saya bukan nak popular sebaliknya nak memimpin. Kepimpinan saya mesti berdasarkan fakta, bersandarkan laporan rasmi jabatan dan agensi.

    “Jika masih tiada laporan, tak bolehlah cakap lagi. Kena tunggulah ‘sat’” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Pejabat Daerah dan Tanah Baling, hari ini.

    Muhammad Sanusi menambah, ketika ini banyak pihak cuba menyalahkan ladang Musang King sebagai punca kejadian itu.

    “Depa semua nak salahkan Musang King tetapi saya kata Gunung Jerai tak ada Musang King, tiada penggondolan serta pembalakan tetapi kepala air tetap berlaku juga.

    “Dua lokasi ini jelas berbeza tetapi fenomenanya sama iaitu aliran air dalam kuantiti banyak pada waktu sama,” katanya.

    Muhammad Sanusi dalam pada itu menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya beliau cuba mempertahankan pengusaha durian premium itu.

    “Buat apa saya nak ‘cover’ Musang King sedangkan saya tak ada kepentingan apa-apa? Musang King itu ditanam sebelum saya menjadi Menteri Besar.

    “Cumanya saya nak fakta dan angka (Facts and figures) untuk bersikap adil kepada semua. Saya tak akan boleh pertahankan sesiapa dan kita hanya akan selamat apabila berpegang kepada fakta dan angka,” katanya.

    Beliau dalam pada itu turut menegaskan yang dirinya tidak berniat untuk mencari salah mana-mana pihak dan tidak berhasrat mengajak rakyat bermain ‘blame game’.

    “Ini satu tragedi, tak patutlah kita adakan blame game dan siapa yang dipersalahkan itu pula sentiasa cari jalan macam mana nak lepaskan diri.

    “Tetapi ada ahli politik yang bijaksana ini, awal-awal lagi dia dah ‘kelepiaq’. Menitis air mata dua tiga titik, dia ‘kelepiaq’ dan dia ‘blah’.

    “Dia selamatlah tetapi selepas itu orang lain kena tanggung pula. Saya fikir kalau jadi pemimpin dan kerajaan, kemudian bersikap ‘play safe’ serta bermain ‘blame game’, masyarakat kita tak ke manalah,” katanya.

    Mengulas lanjut mengenai isu Ladang Musang King di Gunung Inas, Muhammad Sanusi berkata, beliau telah lebih awal bercakap mengenai perkara itu berbanding ahli-ahli politik lain yang cuba membangkitkan isu tersebut sekarang.

    “Pada 2020 lagi saya dah bercakap, dua tahun mendahului ‘depa’. Sekarang ini pun ‘depa’ dah berhenti kerja jadi nak kata apa lagi?

    “Tetapi bila kita bagi arahan berhenti kerja, bukit itu takkan tumbuh hutan serta-merta. Pokok-pokok hutan ini ambil masa 30 tahun untuk besar, matang dan jadi hutan semula dan itu bermakna pada 2050, barulah jadi hutan balik,” katanya.

    Beliau berkata, dalam menyelesaikan isu berbangkit, semua pihak harus memandang ke depan terutamanya bagi mengatasi masalah infrastruktur dan lain-lain masalah dihadapi penduduk.

    “Kalau nak main ‘blame game’ ini saya serah kepada netizen. ‘Blame’ lah siapa pun, ikut sukalah” katanya.

  • Pekerja ladang cedera dipijak gajah liar

    Pekerja ladang cedera dipijak gajah liar

    SEORANG pekerja ladang di Temerloh mengalami kecederaan pada bahagian kaki akibat dipijak seekor gajah liar semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Mohd. Yusoff, mangsa seorang lelaki berusia lingkungan 50-an itu kini ditempatkan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk menerima rawatan.

    Menurutnya, kejadian berlaku pada pukul 7 pagi dan pihak polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 7.45 malam.

    Beliau berkata, mangsa menghubungi penolong pengurus ladang untuk memaklumkan kejadian yang menimpa dirinya.

    “Penolong pengurus itu kemudiannya membawa mangsa yang cedera ke hospital.

    “Kita telah memaklumkan mengenai kejadian ini kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Sinar Harian.

    Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai dan individu yang bekerja di kawasan berdekatan supaya berwaspada dan berhati-hati.

    “Sekiranya ternampak atau terkesan kehadiran haiwan liar itu sila hubungi balai-balai polis yang berdekatan,” ujarnya.

    Sementara itu, Pengarah Perhilitan Pahang, Rozidan Md. Yasin mengesahkan telah menerima laporan mengenai kejadian berkenaan dan sedang memantau situasi tersebut.

  • 6 rumah atas air musnah, dua terjejas dalam kebakaran

    6 rumah atas air musnah, dua terjejas dalam kebakaran

    TUJUH keluarga kehilangan tempat tinggal selepas enam rumah atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Lok Urai Pulau Gaya, Kota Kinabalu, pukul 11 malam tadi.

    Menurut Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu, kebakaran itu juga mengakibatkan dua lagi rumah terjejas kira-kira 50 peratus.

    “Pasukan Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.06 malam sebelum menggegaskan lapan pegawai dan anggota bersama jentera serta dibantu 15 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) ke lokasi kejadian.

    “Operasi pemadaman awal dijalankan oleh PBS Pulau Gaya menggunakan satu aliran hos sumber air dari kapal pembekal air.

    “Operasi kemudiannya disambung pasukan bomba sebelum api berjaya dikawal pada pukul 12 tengah malam,” katanya memetik laporan Utusan Borneo, hari ini.

    Beliau berkata, kebakaran memusnahkan enam buah rumah manakala dua yang lain terbakar 50 peratus dan lokasi kejadian membabitkan kawasan seluas 50 meter persegi.

    “Tiada mangsa dilaporkan cedera atau kehilangan jiwa dalam kes ini dan pasukan operasi terus melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi unsur bahaya lain di lokasi sebelum menamatkan keseluruhan operasi pada pukul 12.40 tengah malam,” katanya.

    Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan berkata, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini berikutan kesemua mangsa masing-masing tinggal di rumah keluarga terdekat.

  • Banjir Baling: Azeez mahu projek Musang King dihentikan

    Banjir Baling: Azeez mahu projek Musang King dihentikan

    AHLI Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berharap projek tanaman durian Musang King di Gunung Inas di Baling dihentikan, selepas ia didakwa sebagai antara punca kejadian banjir dan fenomena kepala air yang berlaku di beberapa buah kampung di daerah itu, petang semalam.

    Beliau berkata, sebelum ini pihaknya yang mewakili penduduk di kawasan sekitar telah menghantar memorandum bantahan projek itu kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

    “Saya mewakili penduduk sudah membawa memorandum bantahan yang ditandatangani oleh 900 penduduk sekitar berserta dengan nombor kad pengenalan mereka, penduduk pun sudah banyak kali melakukan demonstrasi berhubung isu ini.

    “Projek ini diluluskan oleh kerajaan negeri sebelum ini, isu ini bukan sebulan dua tapi sudah bertahun-tahun,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian di Kampung Iboi di Baling hari ini.

    Beliau turut melahirkan rasa sedih dengan bencana itu yang mengorbankan tiga beranak berusia antara 14 hingga 53 tahun termasuk seorang wanita hamil empat bulan.

    “Saya sudah cakap dalam Parlimen enam bulan lalu, kita di Baling perlukan RM300 juta untuk menyelesaikan isu banjir di Baling, sudah berulang kali saya merayu termasuk kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air, akhirnya hari ini berlaku juga kejadian tidak diingini,” katanya.

    Sementara itu Muhammad Sanusi dalam sidang media hari ini berkata dakwaan bahawa projek tanaman durian Musang King di Gunung Inas sebagai punca kejadian itu belum disahkan.

    Katanya dakwaan itu perlu disahkan dengan maklumat lengkap sebelum sebarang tuduhan dilemparkan kepada pihak yang terbabit. – BERNAMA

  • Tiada pengesahan projek ladang Musang King punca banjir Baling

    Tiada pengesahan projek ladang Musang King punca banjir Baling

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TIADA pengesahan sama ada projek ladang durian Musang King di Gunung Inas sebagai punca fenomena banjir dan kepala air yang melanda Baling petang semalam.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata demikian ketika ditanya tentang dakwaan penduduk tentang kemungkinan itu.

    “Perkara itu belum dapat disahkan dan perlu perincian lanjut tetapi janganlah longgok kat dia (pengusaha) semua, kesian dia juga. Saya bukan kesian apa tetapi kalau kita tak dapat sahkan secara saintifik serta bukti nyata dan tiba-tiba buat kenyataan begitu, tak adillah.

    “Pada 2020 saya dah arahkan untuk pengusaha segera tanam tanaman tutup bumi di kawasan yang telah digondolkan dan saya dapati ada tanaman tersebut ditanam di situ. Mungkin tutup bumi itu tak mampu serap aliran air yang banyak, maka berlakulah apa yang telah berlaku dan kita akan tengok perkara itu kemudian,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berkaitan bencana itu di Tabika Kemas Kampung Bendang Bechah yang dijadikan sebagai pusat media bencana dekat Baling, hari ini.

    Menurut Muhammad Sanusi, secara keseluruhannya terdapat 12 kampung terjejas akibat kejadian itu melibatkan 627 mangsa dan tiga kematian.

    Sementara itu katanya, kejadian tersebut dilihat menyamai fenomena kepala air yang berlaku di Gunung Jerai tahun lalu.

    Katanya, beliau telah melihat gambar yang diambil dari udara menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan mendapati penampan dibina penduduk untuk menakung air masyarakat di gunung itu tidak musnah dan hanya dipenuhi timbunan pasir.

    “Penampan air digunakan pengusaha tanaman durian juga tidak pecah. Itu bermaksud aliran air yang membentuk kepala air semalam merupakan air yang terkumpul di alur-alur sepanjang Gunung Inas sebelum secara serentak mengalir ke bawah.

    “Air itu terlebih dulu disekat reba kayu sebelum mengalir serentak ke bawah. Itulah yang membentuk kepala air dan fenomena ini menyamai kejadian yang berlaku di Gunung Jerai, tahun lalu,” katanya.

    Beliau turut memaklumkan, penilaian dilakukan jabatan berkaitan menetapkan bahawa kejadian itu masih belum sampai ke tahap yang melayakkan kawasan terlibat diisytiharkan sebagai kawasan Darurat Bencana.

    Muhammad Sanusi turut memaklumkan, kerajaan negeri Kedah akan membantu menyediakan penempatan sementara buat kesemua sembilan keluarga yang kehilangan rumah masing-masing akibat dihanyutkan kepala air serta banjir.

    Menurut beliau, kerajaan negeri Kedah dalam masa sama akan mengusahakan rumah ganti kepada mereka yang kehilangan rumah itu.

    “Kita akan sewa beberapa rumah untuk mereka duduki secara sementara. Dalam masa sama, kerajaan negeri akan usahakan rumah ganti jika mereka mempunyai tapak baharu lebih selamat.

    “Kalau tiada tapak lain, mereka kena tunggu sebab kita bimbang untuk bangunkan tapak rumah baharu di tapak asal. Sungai yang dulunya dalam kini berubah cetek akibat kejadian semalam dan disebabkan itu, kita bimbang akan berlaku limpahan lebih banyak sekiranya kejadian sama berulang pada masa akan datang,” katanya.

  • PM arah bantuan segera mangsa banjir Baling

    PM arah bantuan segera mangsa banjir Baling

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pihak berkuasa berkaitan untuk segera membantu mangsa-mangsa banjir di Baling, Kedah.

    Walaupun kini berada di Turkiye untuk lawatan rasmi, Ismail Sabri berkata, beliau sentiasa mengikuti perkembangan bencana yang menimpa Keluarga Malaysia di Baling.

    “Saya telah mengarahkan Setiausaha Politik, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus mewakili saya, turun ke kawasan bencana bagi meninjau dan memastikan bantuan disalurkan dengan secepatnya kepada mangsa.

    “Kita meninjau keperluan segera yang diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir yang terlibat di Baling, dan bantuan harus segera disampaikan kepada mangsa walaupun saya berada di Turkiye,” katanya dalam catatan di Facebook rasmi beliau hari ini.

    Perdana Menteri turut berkongsi gambar dan video lawatan Mohammad Anuar di Baling hari ini dalam catatan itu.

    Ismail Sabri turut melahirkan rasa sedih dan simpati dengan bencana banjir itu yang mengakibatkan tiga nyawa terkorban setakat ini dan mendoakan semoga semua mangsa banjir tabah menghadapi dugaan itu.

    “Takziah kepada mereka yang kehilangan insan tersayang, sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah dan didoakan semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang semalam, banjir lumpur di Baling mengakibatkan tiga nyawa terkorban, dan beratus-ratus penduduk dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara dengan lebih 80 rumah terjejas. – BERNAMA