Category: Kemalangan / Bencana

  • Budak lelaki 9 tahun lemas dalam Sungai Plentong

    Budak lelaki 9 tahun lemas dalam Sungai Plentong

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang dilaporkan hilang di Taman Plentong, Masai pada Jumaat lepas, ditemukan lemas dalam Sungai Plentong di Johor Bahru pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan mayat kanak-kanak itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun di sungai berkenaan kira-kira pukul 11.30 pagi.

    “Kami menerima laporan kehilangan kanak-kanak itu pukul 6.49 petang semalam daripada seorang wanita berusia 40 tahun yang memaklumkan bahawa anaknya masih tidak pulang sejak keluar dari rumah kira-kira pukul 3 petang pada Jumaat lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Sohaimi berkata, mayat kanak-kanak itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat.

    Menurutnya, mangsa disahkan sebagai anak wanita yang hilang itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – BERNAMA

  • [VIDEO] Asrama lelaki SMK Agama di Pedas terbakar

    [VIDEO] Asrama lelaki SMK Agama di Pedas terbakar

    ASRAMA pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato’ Haji Abu Hassan Haji Sail, Pedas dekat Rembau terbakar 80 peratus tengah hari tadi namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Mohd Izwan Md Said berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.18 tengah hari dan tiba di lokasi tiga minit kemudian.

    “Kebakaran melibatkan bangunan asrama lelaki di tingkat tiga yang mempunyai kira-kira 10 bilik dan berkeluasan 40×200 kaki persegi,” katanya dalam kenyataan.

    Sumber video: Akaun TikTok juraizacheyap

    Beliau berkata, operasi pemadaman yang turut dibantu anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kota serta Senawang itu tamat sepenuhnya pada 3.51 petang manakala punca kejadian sedang disiasat. – BERNAMA

  • Wanita memancing di sungai hilang disambar buaya

    Wanita memancing di sungai hilang disambar buaya

    SEORANG wanita hilang selepas dipercayai disambar buaya dalam satu kejadian di Kampung Tanjung Bulat, dekat Kinabatangan, hari ini.

    Mangsa, Norsila Sayong, 32, dilaporkan memancing di tebing air sebelum tiba-tiba disambar reptilia berkenaan pada pukul 3.40 petang.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kes itu pada pukul 3.42 petang.

    “Sejurus itu lima anggota bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

    “Sebelum kejadian, mangsa sedang memancing di tebing anak sungai yang bersambung dengan Sungai Kinabatangan.

    “Lokasi itu memang menjadi lokasi memancing penduduk ketika air sungai pasang.

    “Tiba-tiba mangsa dilaporkan disambar lalu dibawa ke dalam dan hilang,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Azlan berkata, SAR kemudiannya dijalankan dan sebarang perkembangan semasa akan dimaklumkan.

  • Pemuda lemas ketika berkelah

    Pemuda lemas ketika berkelah

    SEORANG pemuda ditemukan lemas selepas mandi-manda di kawasan air terjun Lata Renyok di Jeli hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Ahmad Ariffin berkata, mayat Izham Mohamad Saupi, 24, ditemukan pada pukul 12.40 tengah hari oleh bapanya, Mohamad Saupi Yusuf.

    “Sebelum kejadian mangsa bersama 10 ahli keluarganya datang ke kawasan berkenaan untuk berkelah pada pukul 9 pagi.

    “Bagaimanapun, pada pukul 11.40 pagi mangsa dikatakan telah turun ke dalam air untuk mandi manda,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, selang 10 minit kemudian Mohamad Saupi telah ternampak anaknya itu sudah tenggelam di dalam air tersebut.

    “Mohamad Saupi telah bertindak menyelamatkan anaknya itu kerana keadaan arus air yang deras menyebabkan mangsa telah tenggelam,” katanya.

    Ahmad berkata, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Jeli untuk bedah siasat.

  • Dua lelaki hilang, perahu karam ketika lalui jeram

    Dua lelaki hilang, perahu karam ketika lalui jeram

    DUA lelaki hilang apabila perahu yang dinaiki karam semasa melintasi salah satu jeram di kawasan Pelagus, Batang Rajang, Kapit dekat Sibu, semasa dalam perjalanan untuk menjala ikan, petang Jumaat.

    Ketua Bomba Zon 4 Sibu, Janggan Muling berkata, panggilan kecemasan kejadian yang melibatkan Ngalang Demong, 73, dan Richelles Seli Lasu, 21, itu diterima pihak Ibu Pejabat Polis Kapit, pukul 11.35 pagi tadi.

    Beliau berkata, menurut saksi, kejadian tersebut berlaku semasa saksi bersama datuknya, Ngalang Demong dan bapa saudara, Richelles Seli Lasu dalam perjalanan menjala ikan dari rumah panjang di Nanga Pelagus, Kapit.

    “Sebelum melintasi salah satu jeram di kawasan Pelagus, saksi diminta turun dari perahu dan berjalan kaki mengikut laluan pejalan kaki di tebing sungai manakala datuk dan bapa saudaranya bergerak menggunakan perahu.

    “Semasa melintasi jeram tersebut, saksi melihat perahu yang dinaiki mereka karam dan kedua-dua mangsa hilang,” katanya dalam kenyataan petang hari ini dan menambah, gerakan awal mencari dan menyelamat oleh penduduk kampung telah dilakukan bagaimanapun kedua-dua mangsa masih belum dijumpai.

    Beliau berkata, pasukan penyelamat terdiri daripada bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia digerakkan menggunakan bot bomba dari Pangkalan Kubo, Kapit ke lokasi kejadian yang memakan masa dua jam melalui sungai.

    Katanya, sehingga pukul 3.30 petang ini operasi mencari dan menyelamat masih lagi dijalankan. – Bernama

  • Bomba guna helikopter selamatkan pendaki wanita letih terkandas di Kem Berlumut

    Bomba guna helikopter selamatkan pendaki wanita letih terkandas di Kem Berlumut

    SEORANG wanita terkandas kerana terlalu penat untuk meneruskan pendakian di Kem Berlumut, Gunung Tahan, pukul 7.15 pagi tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd. Noor, wanita itu, Nadia Azmi berusia 39 tahun dari Putrajaya bersama sekumpulan 21 orang pendaki lain memulakan ekspedisi mendaki pada 27 Julai lalu melalui Merapoh.

    Katanya, kumpulan itu dipandu oleh tiga orang Malim Gunung dari Kuala Juram ke Kem Berlumut lebih kurang 21 kilometer.

    “Ketika kejadian, keadaan cuaca mendung, berawan dan berkabus. Bantuan helikopter Bomba yang berlepas dari Subang ke Merapoh pukul 12 tengah hari, hari ini.

    “Seramai lima anggota Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) telah naik ke Kem Berlumut untuk memberi bantuan awal kepada mangsa,” katanya memetik laporan Astro Awani.

  • Pemandu ekskavator maut ditimbus runtuhan batu

    Pemandu ekskavator maut ditimbus runtuhan batu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang pemandu ekskavator maut setelah gagal menyelamatkan diri dari runtuhan batu di sebuah tapak pembinaan, dekat Jalan Padang Tembak, Bukit Pinang, Pokok Sena, pagi tadi.

    Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd. Zain, mangsa, Muhammad Nasir Awang Ali, 40, maut di lokasi kejadian akibat tertimbus sedalam kira-kira tiga meter.

    Menurutnya, terdapat saksi melihat mangsa sempat meninggalkan jentera berat tersebut ketika kejadian itu berlaku.

    “Mangsa dikatakan terlebih dulu melompat keluar dari ekskavator tersebut namun gagal berlari ke lokasi yang selamat. Disebabkan itu, mangsa terperangkap dalam runtuhan batu tersebut.

    “Kami menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9.37 pagi dan setibanya di lokasi, pencarian dibuat di dua sektor lokasi kejadian.

    “Dengan bantuan dua ekskavator lain, mayat mangsa berjaya ditemukan kira-kira pukul 12.38 tengah hari,” katanya.

    Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12.51 tengah hari.

  • Mayat wanita tanpa identiti ditemukan terapung

    Mayat wanita tanpa identiti ditemukan terapung

    SATU mayat seorang wanita tanpa identiti ditemukan penduduk di Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini.

    Pusat Gerak Operas (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, mereka menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sekitar pukul jam 10.51 pagi.

    “Sebuah jentera, bot, dan dua unit kayak bersama 12 anggota dari Balai Bomba Bukit Jal8l dan Jalan Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Setibanya pasukan bomba di lokasi, pihak polis memaklumkan menerima laporan disyaki ada satu mayat sedang terapung di lombong berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah.

    “Siasatan awal mendapati mayat tersebut seorang wanita dewasa, identiti belum dikenal pasti dan telah berjaya dibawa naik ke tebing pada jam 12.16 tengah hari,” menurut kenyataan tersebut, lapor Sinar Harian.

    Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan pihak polis untuk mengenal pasti identiti dan punca kematian tersebut.

    “Seterusnya, mayat diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada pukul 12.51 tengah hari,” ujarnya.

  • Bomba selamatkan bayi terperangkap dalam kereta

    Bomba selamatkan bayi terperangkap dalam kereta

    PASUKAN bomba terpaksa dipanggil bagi membantu mengeluarkan bayi lelaki berusia 10 bulan yang terperangkap dalam sebuah kereta di Jitra, Kedah pada Khamis.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan mengenai kes itu pukul 7.40 pagi.

    Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Sezali Hassan tiba di lokasi tidak lama kemudian, lapor Berita Harian.

    “Setiba di lokasi, didapati bayi lelaki berusia 10 bulan itu masih terperangkap di dalam kereta jenis Honda City yang terkunci.

    “Komander operasi mengarahkan anggota untuk berusaha membuka pintu kereta dengan menggunakan peralatan khas yang dibekalkan,” katanya.

    Tambahnya, operasi itu tamat pada pukul 8.34 pagi setelah pihak bomba berjaya mengeluarkan bayi tersebut dan diserahkan kepada keluarga.

    “Pintu kereta itu berjaya dibuka dan bayi 10 bulan berkenaan berjaya diselamatkan sebelum diserahkan kepada keluarganya,” katanya.

  • 2 kanak-kanak maut tertimbus tanah runtuh

    2 kanak-kanak maut tertimbus tanah runtuh

    DUA kanak-kanak maut manakala dua lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Nenas, Kota Kinabalu, malam tadi.

    Mangsa Isa Sabri, 2, dan Norain Jaziz, 11, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

    Sementara Siti Nur, 28, patah tangan dan suaminya Sabri Botong, 28, cedera ringan di kaki menerima rawatan di hospital sama.

    Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 8.26 malam.

    Katanya, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu membabitkan 10 anggota bersama BBP Lintas seramai 12 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh tujuh kilometer.

    “Kejadian membabitkan tanah runtuh yang menghempap sebuah rumah di bawah bukit yang didiami sembilan sekeluarga.

    “Lima penghuni sempat menyelamatkan diri tetapi empat lagi mangsa iaitu tiga termasuk dua beranak tertimbus dalam tanah dan pokok manakala seorang lagi cedera di bahagian kaki.

    “Kanak-kanak berusia dua tahun telah di hantar ke hospital sebelum pasukan bomba tiba di lokasi manakala dua mangsa perempuan dikeluarkan oleh pasukan bomba dengan bantuan orang awam kira-kira jam 9 malam,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya lagi, anak kepada pasangan suami isteri terbabit bersama sepupu kanak-kanak berkenaan disahkan meninggal dunia di hospital.

    “Operasi kemudian ditamatkan pada jam 10 malam selepas kawasan dipastikan selamat,” katanya.