LAGI insiden membabitkan sebuah pesawat ringan yang digunakan bagi tujuan latihan penerbangan bulan ini.
Di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) Kedah, sebuah pesawat latihan jenis Diamond DA-42D tersasar keluar dari landasan ketika melakukan pendaratan pagi ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Chester Voo dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku pada pukul 11.01 pagi ketika pesawat dengan pendaftaran 9M-HMY yang dikendalikan oleh dua juruterbang HM Aerospace Sdn Bhd (HMA) hilang kawalan ketika mendarat.
Bagaimanapun kedua-dua juruterbang itu katanya tidak cedera dan telah dibawa melakukan pemeriksaan kesihatan.
“Pesawat kemudiannya dialihkan pada pukul 12.05 tengah hari dan pemeriksaan penuh landasan telah dilakukan bagi memastikan keselamatan operasi lapangan terbang.
“Landasan LTAL dibuka semula pada pukul 12.20 tengahari dan siasatan lanjut dilaksanakan Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya.
Sementara itu Chester berkata, sebagai salah satu usaha CAAM mempromosikan keselamatan penerbangan, semua Pengurus dan Ketua Pegawai Eksekutif daripada organisasi latihan penerbangan akan dipanggil untuk taklimat keselamatan.
Tambahnya, semua aspek keselamatan pesawat dalam ekosistem organisasi latihan penerbangan akan dikaji semula untuk penambahbaikan bagi meningkatkan lagi tahap piawaian keselamatan semua pihak dalam industri penerbangan.
Dalam kejadian pada 1 Julai lalu, seorang juruterbang maut, manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah dalam nahas pesawat ringan terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah-Sungai Rokam, berhampiran Medan Gopeng, Ipoh, Perak.
Nahas melibatkan pesawat jenis Piper 28-161 yang sedang menjalani latihan penerbangan di Sungai Pinji selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah.