Category: Kemalangan / Bencana

  • Mangsa ribut tinggal sehelai sepinggang selepas rumah roboh dihempap pokok

    Mangsa ribut tinggal sehelai sepinggang selepas rumah roboh dihempap pokok

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH keluarga yang menjadi mangsa ribut di Kampung Melayu Pandan, Johor Bahru, Jumaat lalu, tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya roboh dihempap pokok tumbang.

    Helda Mohd. Salleh, 49, berkata, tiada apa yang sempat dapat diselamatkan kerana kejadian berlaku terlalu pantas pada kira-kira pukul 1.30 petang dalam keadaan hujan gerimis.

    “Semasa kejadian saya, suami, dua anak dan seorang cucu lelaki berada di rumah, tiba-tiba pokok tumbang hempap tengah rumah. Kebetulan cucu berusia tiga bulan ada di ruang depan dekat dengan pintu, selepas itu kami semua lari keluar rumah dan tumpang rumah jiran.

    “Selepas itu, penduduk kampung datang membantu memotong dahan yang jatuh atas bumbung. Semasa kerja-kerja memotong dahan itu, ada dahan jatuh dan menghempap rumah hingga mengakibatkan rumah kami roboh terus kerana struktur kayu asalnya sudah tidak kukuh lagi,” katanya.

    Dia yang merupakan suri rumah berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pelangi Indah di sini semalam yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Jafni Md. Shukor.

    Jumaat lalu, kira-kira 50 kediaman di Rumah Pangsa Ros Merah dan beberapa rumah di Kampung Melayu Pandan dan dilanda ribut, 22 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya setelah kediaman mereka rosak dan musnah dinaiki air akibat hujan lebat.

    Seramai 18 keluarga mangsa ribut di PPS berkenaan akan berpindah ke PPR tersebut bermula Rabu untuk tempoh tiga bulan sehingga rumah mereka siap dibaiki dengan kos lebih RM1 juta.

    Seorang lagi mangsa, Muhammad Farhan Kassim, 28, yang tinggal di tingkat empat rumah pangsa tersebut bersyukur kerana semasa kejadian dia, isteri serta anaknya tiada di rumah dan kejadian tersebut dimaklumkan jirannya.

    “Semasa ribut saya dalam perjalanan balik ke rumah dari Pasir Gudang sementara isteri sedang bekerja dan anak pula di rumah pengasuh. Kejadian itu menyebabkan perabot dan perkakas rumah semuanya musnah, kerugian dianggarkan RM10,000,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.

    Shahrom Hassan, 57, yang juga tinggal di tingkat empat rumah pangsa berkenaan berkata, semasa kejadian seakan berlaku gempa bumi dengan bunyi bising yang sangat kuat.

    “Saya bersama cucu lelaki berusia 15 tahun terus menyelamatkan diri ke tangga di bahagian bawah rumah pangsa ini. Perabot dan barangan elektrik semuanya musnah. Rumah saya adalah yang paling teruk dipukul ribut, kerugian dianggarkan RM15,000.

    “Saya bersyukur kerana dapat berteduh di PPS tersebut dan sekarang di PPR ini, harap proses baik pulih rumah kami dapat dilakukan segera, terima kasih kepada semua pihak yang membantu terutama kerajaan negeri,” katanya.

    Nizam Mastam, 45, tinggal di tingkat yang sama berkata, bukan sahaja barang-barang dalam rumah rosak tetapi juga najis burung banyak yang terkumpul di bahagian atas bumbung masuk ke dalam rumahnya.

    “Keadaan dalam rumah amat menyedihkan, bekalan elektrik sudah terputus dan paip juga sudah pecah,” ujarnya yang bekerja sebagai pembantu stor dan tinggal bersama ibu dan bapanya di rumah itu.

  • Mayat remaja, kanak-kanak dikhuatiri lemas ditemukan

    Mayat remaja, kanak-kanak dikhuatiri lemas ditemukan

    MAYAT pertama mangsa yang hilang dibawa arus deras Sungai Triang dekat Kampung Kerayong di Bera berjaya ditemukan pada pukul 10.30 malam tadi.

    Menurut Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, mangsa, Muhammad Nik Iqmal Shah Ismail, 15, ditemukan kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

    “Mayat diserahkan kepada pihak polis bagi tujuan pengecaman identiti, sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah (HoSHAS) untuk bedah siasat,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Katanya, mayat kedua, Muhammad Danial Isryad Norazlan, 11, pula ditemukan timbul di permukaan sungai pada pukul 1.30 pagi.

    Menurutnya, mayat ditemukan oleh orang awam dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.

    Pada Selasa dua mangsa tersebut dikhuatiri lemas selepas hilang dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Triang.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Bera, N. Kumaran melaporkan, kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu berlaku ketika mangsa bersama enam lagi rakannya mandi menggunakan pelampung tayar di sungai berkenaan

  • Kanak-kanak warga Perancis maut disengat obor-obor

    Kanak-kanak warga Perancis maut disengat obor-obor

    SEORANG kanak-kanak lelaki warga Perancis berusia lima tahun meninggal dunia akibat terkena sengatan obor-obor semasa mandi di pantai Teluk Nipah di Pulau Pangkor, pada Isnin.

    Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi berkata dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang, mangsa menjerit kesakitan semasa mandi bersama-sama keluarganya di pantai berkenaan.

    “Orang awam yang berhampiran dengan mangsa telah datang dan membawa mangsa ke tepi pantai dan mendapati mangsa telah terkena sengatan obor-obor.

    “Semasa mangsa dibawa naik ke darat, mangsa mula tidak sedarkan diri dan keluarganya telah membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Pangkor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Nor Omar berkata pihaknya menerima panggilan telefon daripada petugas klinik kesihatan tersebut pada 7.30 malam memaklumkan mangsa telah disahkan meninggal dunia.

    Katanya, pemeriksaan ke atas mangsa menemukan kesan lilitan dipercayai sengatan obor-obor pada bahagian perut, tangan kiri dan kaki kiri mangsa. 

    Beliau berkata hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Seri Manjung mendapati punca kematian adalah disebabkan jellyfish envenomation atau pembisaan obor-obor dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

    Pulau Pangkor terletak lebih kurang 90 kilometer dari sini.- BERNAMA

  • Pekerja kontrak maut dihempap dinding batu

    Pekerja kontrak maut dihempap dinding batu

    SEORANG pekerja kontrak maut akibat dihempap dinding batu ketika sedang melakukan kerja-kerja pengubahsuaian bangunan di ladang kelapa sawit Jemima & Sungai Sendayan Estate Sdn Bhd, Springhill Port Dickson, petang ini.

    Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson Mohamad Rosman Md Nor berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian pada pukul 3.55 petang sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.

    “Pekerja kontrak itu sedang memecahkan dinding dan kerja-kerja itu juga hampir siap, namun dia tidak sempat melarikan diri, lalu kakinya terhempap runtuhan dinding. Pasukan kami membantu mengeluarkannya daripada runtuhan,” katanya ketika dihubungi.

    Katanya lelaki berusia 53 tahun berstatus pemastautin tetap itu disahkan meninggal di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM), dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    —  BERNAMA

  • Lebih 70 rumah dipukul ribut di Dungun, Kemaman

    Lebih 70 rumah dipukul ribut di Dungun, Kemaman

    LEBIH 70 buah rumah di daerah Dungun dan Kemaman rosak dipukul ribut dalam kejadian berlaku pada pukul 4.30 petang semalam.

    Kejadian berlaku di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) dan Bandar Bukit Besi di Dungun manakala di Kemaman pula melibatkan Bandar Baru Cheneh dan Felda Neram.

    Insiden itu berlaku selama kira-kira setengah jam itu mengakibatkan sebahagian bumbung rumah penduduk tercabut dan rosak dipukul ribut.

    Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, sebanyak 52 buah rumah di Bukit Besi dan AMBS yang dikenal pasti terlibat setakat ini.

    “Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) telah ke lokasi untuk melihat kerosakan dan bantuan atap telah dihantar ke rumah penduduk terlibat.

    “Ttiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku ekoran kejadian itu. Angin kuat dan hujan lebat menyebabkan banyak pokok tumbang namun tiada rumah penduduk yang dihempap pokok dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab. Razak Ibrahim berkata, sebanyak 27 buah rumah dihuni oleh 135 penduduk di kawasan Cheneh dan Felda Neram dikenal pasti terlibat dalam kejadian ribut tersebut.

    Menurutnya, jumlah sebenar rumah dan penduduk yang terlibat sedang dikemas kini.

    “Kita akan gunakan peruntukan Tabung Darul Iman untuk kerja-kerja pembaikan,” katanya.

  • Dua lelaki rempuh SJR diberkas selepas lari sejauh 36 kilometer

    Dua lelaki rempuh SJR diberkas selepas lari sejauh 36 kilometer

    POLIS menahan dua lelaki selepas dikejar sejauh kira-kira 36 kilometer kerana ingkar arahan berhentikan kereta ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Sungai Dua Utara pada pukul 11.45 malam tadi.

    Suspek berusia 21 dan 23 tahun yang menaiki kereta jenis Perodua Alza itu memecut biarpun arahan berhenti dengan membunyikan wisel dan menunjukkan isyarat tangan yang mudah difahami ke arah pemandu telah dibuat.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, polis bertindak mengejar kenderaan tersebut dari Plaza Tol Sungai Dua Pulau Pinang hingga ke Plaza Tol Sungai Petani Selatan, Kedah selain membunyikan siren dan speaker suara ke arah suspek.

    “Arahan berhenti dan menggunakan lampu beacon tidak diendahkan sehingga suspek dilihat memecut dan melakukan aksi zig-zag sepanjang lebuh raya dari Kilometer 113 sehingga Kilometer 108 susur keluar Sungai Petani yang membahayakan pengguna jalan raya lain.

    “Semasa sampai di Plaza Tol Sungai Petani, kenderaan tersebut telah melanggar palang di plaza tol di Lorong K06,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Zaidy berkata, selepas melanggar palang tol, kenderaan suspek terus memecut ke Jalan Lencongan Barat sehingga lampu isyarat Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani.

    Katanya, semasa hendak menahan kenderaan tersebut di lampu isyarat, suspek telah melanggar arahan lampu isyarat merah serta merempuh sebuah kereta jenis Honda Accord.

    Menurutnya, suspek turut melanggar pembahagi jalan dan tiang lampu isyarat menyebabkan kenderaan tersebut berpusing satu kali serta tayar bahagian hadapan kiri dan bahagian belakang kiri meletup.

    “Suspek keluar dari kereta dan melarikan diri ketika cuba ditangkap sehingga berlaku pergelutan, namun kedua-duanya berjaya ditahan.

    “Pemeriksaan ke atas kenderaan suspek tidak menemui apa-apa barang salah bagaimanapun pemandu kenderaan berusia 23 tahun tidak mempunyai lesen memandu,” ujarnya.

    Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Van sekolah bawa 16 murid terbabas ke parit

    Van sekolah bawa 16 murid terbabas ke parit

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SERAMAI 16 pelajar berdepan pengalaman menakutkan apabila van sekolah dinaiki mereka terbabas dan termasuk ke dalam sebuah parit di jalan berdekatan Taman Rhu, Tikam Batu dekat Sungai Petani di Kedah, pagi tadi.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7.40 pagi tadi.

    Setibanya di lokasi katanya, didapati terdapat 17 individu terdiri daripada seorang pemandu van dan 16 pelajar terlibat dalam kemalangan itu.

    “Pemandu van tersebut yang berusia kira-kira 50-an cedera ringan di kepala manakala 15 pelajar lain turut mengalami kecederaan ringan di beberapa anggota badan.

    Van tersebut dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas sendiri ke bahu jalan

    “Namun terdapat seorang pelajar perempuan dianggarkan berusia antara 8 hingga 10 tahun patah tangan kanan. Pemeriksaan dijalankan mendapati tiada mangsa yang tersepit,” katanya.

    Tambahnya, van tersebut dikatakan terbabas sendiri ke bahu jalan.

    “Pihak kami kemudiannya menghantar tiga mangsa terdiri daripada dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan.

    “Selebihnya, mereka dibawa ke hospital oleh ambulans,” katanya.

  • Murid tahun enam maut terkena renjatan elektrik ketika guna telefon bimbit

    Murid tahun enam maut terkena renjatan elektrik ketika guna telefon bimbit

    SEORANG murid tahun enam maut dipercayai terkena renjatan elektrik semasa panahan petir berlaku di Kampung Sungai Raya Luar di Gua Musang pada pukul 4.50 petang semalam.

    Nur Asyqin Qistina M. Nor Zawawi,12, ditemukan dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di atas tilam dalam bilik tidurnya.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati terdapat kesan lecur pada tangan kanan mangsa dan terbakar di bahagian tilam tempat tidurnya.

    “Menurut maklumat daripada pengadu yang merupakan bapa kepada kanak-kanak itu mendapati terdapat telefon bimbit dan pengecas berdekatan anaknya semasa kejadian.

    “Semasa kejadian bapa mangsa baharu selesai menunaikan solat Asar di surau hadapan rumahnya dan terdengar bunyi petir.

    “Sebaik sahaja pulang ke rumah pengadu telah dimaklumkan bahawa bekalan elektrik telah tiada dan kemudian dia menghubungi pihak invertor solar,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Katanya, selang 15 minit kemudian, isterinya memaklumkan bahawa Nur Asyqin Qistina telah pengsan di tempat tidurnya dan mendapati terdapat telefon bimbit serta pengecas berdekatan mangsa.

    Bapanya telah membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Kuala Betis dan mangsa telah disahkan meninggal dunia, katanya.

    “Hasil siasatan tempat kejadian didapati tiada terdapat keterangan yang boleh mengaitkan sebab kematian simati adalah disebabkan

    perlakuan jenayah dan dipercayai kesan renjatan elektrik daripada kejadian panahan petir terhadap invertor solar rumah pengadu,” katanya.

    Tambah beliau, jenazah mangsa telah dibawa ke Hospital Gua Musang pukul 8 malam tadi untuk tindakan selanjutnya.

  • Wanita rentung kereta dipandu terbakar terbabit nahas

    Wanita rentung kereta dipandu terbakar terbabit nahas

    SEORANG pemandu wanita rentung apabila kereta yang dipandunya terbakar selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Nanga Medamit, dekat sini, hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang dan polis di tempat kejadian mengenal pasti mangsa, Dorris Serudin, 55, yang memandu kereta jenis Proton Saga manakala pemandu lelaki kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux cedera.

    Komander operasi dari BBP Limbang  Awangku Mohd Hazman Awang Zainal, berkata, setiba di lokasi kejadian, kereta Proton Saga itu terbakar dan kenderaan Hilux terbabas di tepi jalan.

    “Selepas pemadaman selesai, pasukan bomba mendapati pemandu kereta Proton Saga rentung di dalam kenderaan itu sebelum mengeluarkan mangsa dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya

    Menurutnya, pemandu lelaki kenderaan pacuan empat roda itu yang mengalami kecederaan dibawa ke hospital oleh orang ramai untuk menerima rawatan.  – BERNAMA 

  • Selepas 6 hari hilang, Painah ditemukan dalam kebun sawit

    Selepas 6 hari hilang, Painah ditemukan dalam kebun sawit

    PAINAH Siwan, 79, wanita yang hilang sejak Rabu lalu selepas keluar ke kebun sawit berhampiran rumahnya di Kampung Parit Sayang, Senggarang, Batu Pahat, ditemukan dalam keadaan lemah berhampiran lopak air dalam kawasan kebun berkenaan.

    Warga emas itu ditemukan penduduk yang turut menyertai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pukul 11.25 pagi dalam lingkungan 900 meter dari pos kawalan operasi.

    Ketika itu, terdapat bersama-samanya sepasang selipar dan secekak lidi daun sawit yang sebahagiannya telah diraut.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, Painah dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di Batu Pahat dengan ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM).

    Sementara itu, anak mangsa, Sadiah Mohari, 42, melahirkan rasa syukur dengan penemuan semula ibunya dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang membantu mencari wanita berkenaan.

    Katanya, keyakinan ibunya akan ditemukan dalam keadaan selamat serta doa yang tidak putus-putus daripada anak-anak serta penduduk kampung, akhirnya termakbul.

    “Syukur Alhamdulilah, pagi ini kami menerima berita yang dinantikan selama enam hari. Paling penting emak ditemui dalam keadaan selamat.

    Painah ditemukan penduduk yang turut menyertai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pukul 11.25 pagi dalam lingkungan 900 meter dari pos kawalan operasi

    “Ketika ini emak berada di hospital bagi mendapatkan rawatan kerana keadaannya masih lagi lemah. Buat masa ini, biarlah dia berehat dulu,” katanya ketika dihubungi seperti dilapor BH Online.

    Painah gagal dikesan selepas dikatakan ke kebun kelapa sawit berhampiran rumahnya, pukul 3.30 petang Rabu lalu. Pasukan mencari dan menyelamat kemudian digerakkan termasuk dengan khidmat anjing pengesan (K9).

    Sadiah ketika ditemui pemberita pada Sabtu lalu, memaklumkan keluarga buntu ibunya tidak ditemui walaupun pelbagai usaha dibuat, termasuk bantuan mencari dan menyelamat daripada pihak berkuasa, selain individu yang arif agama.

    “Ada juga pihak arif agama datang membantu dan memberitahu, emak selamat di alam ghaib, masih ada sekitar kawasan ini. Dia mahu balik tapi tak mampu menjelmakan dirinya di dunia nyata,” katanya seperti dilaporkan sebelum ini.

    Painah biasa ke kebun untuk mencari sisa daun kelapa sawit yang sudah dibuang pekebun untuk dijadikan penyapu lidi dan akan pulang selepas itu.

    Susulan kehilangannya, SAR digerakkan melibatkan 187 anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Batalion ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penduduk setempat.