Category: Kemalangan / Bencana

  • Luluh hati ibu apabila gagal selamatkan dua anak rentung

    Luluh hati ibu apabila gagal selamatkan dua anak rentung

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    LULUH hati seorang ibu apabila tidak berjaya menyelamatkan dua anaknya yang terperangkap dalam kebakaran sebelum rentung di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri, Johor Bahru, hari ini.

    Menurut bapa mangsa, Muhammad Fikri, 20-an, isterinya, Nurul Ain Najihah, 20-an masuk ke rumah untuk menyelamatkan dua anaknya semasa kebakaran tetapi tidak berjaya kerana api sudah marak.

    Menurutnya, isterinya cedera di bahagian kaki ketika cuba menyelamatkan anak-anaknya sebelum dibawa ke klinik untuk rawatan.

    Muhammad Zafran Muhammad Fikri yang berusia 3 tahun dan Nurul Hawa Zafira Muhammad Fikri berumur 2 tahun rentung dalam kebakaran itu.

    Dia berkata, kali terakhir berjumpa anak-anaknya itu pada sebelah pagi sebelum keluar bekerja di Kampung Melayu di Johor Bahru.

    “Kedua-dua anak saya nampak okay sebelum saya mendapat panggilan telefon daripada isteri, memaklumkan kejadian itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

    Dalam kejadian pada pukul 1.40 petang tadi, dua beradik tersebut rentung semasa tinggal berdua dalam rumah tersebut sementara Nurul Ain berada di rumah jiran semasa rumah mereka terbakar.

    Sementara itu, datuk saudara kepada dua kanak-kanak tersebut terkilan kerana tida dapat menyelamatkan dua beradik itu.

    Ismail Saad, 55, yang tinggal kira-kira lima meter dari rumah keluarga mangsa merupakan individu paling awal menyedari kejadian tersebut.

    “Saya ada bau hangit, bila keluar dari rumah tengok ada asap tebal dari rumah mangsa. Saya redah masuk dalam rumah, tengok di dapur tak jumpa budak-budak ni, saya tarik selimut, tak ada, susah cari sebab tak nampak, keadaan gelap, api juga sudah marak.

    “Saya memang cuba nak selamatkan mereka, tetapi tidak dapat, dah takdir. Saya tidak mendengar sebarang jeritan mangsa. Saya sedih apabila tidak berjaya menyelamatkan mereka sedangkan saya orang terawal yang menyedari kebakaran berlaku,” katanya ditemui di tempat kejadian.

    Ismail berkata, dua beradik itu ditemui berada di tepi pintu bilik selepas api dipadamkan bomba dalam keadaan pintu yang tidak berkunci.

    “Mereka memang selalu keluar masuk bilik. Lepas api padam, saya nampak mereka ada tepi pintu, mungkin cuba nak keluar. Kanak-kanak mungkin panik masa tu.

    Dua beradik rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri, Johor Bahru, hari ini

    “Kali terakhir saya jumpa mereka pagi tadi, mereka ceria sahaja bermain macam selalu,” katanya dan memberitahu keluarga mangsa menyewa di situ hampir dua tahun dan sangat rapat dengan kedua-dua mangsa.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Lim Jit Huey berkata, dua beradik itu tinggal berdua dalam rumah ketika kebakaran berlaku.

    Jelasnya, bapa mangsa keluar bekerja manakala ibu mereka berada di rumah jiran yang berada kira-kira lima meter dari lokasi kejadian.

    “Siasatan awal mendapati rumah ini dihuni suami isteri bersama dua anak, tetapi ketika kejadian, kanak-kanak hanya tinggal berdua sebelum dilaporkan terkorban,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

    Beliau berkata, setakat ini, pihaknya masih menjalankan siasatan mengikut laporan mati mengejut (SDR), selain dibantu pihak bomba dalam menjalankan siasatan forensik kebakaran bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

    “Kita juga tidak dapat memastikan sama ada kanak-kanak ini tidur ketika kejadian, siasatan masih dijalankan,” katanya dan jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru untuk siasatan lanjut.

  • Dua budak rentung dalam kebakaran

    Dua budak rentung dalam kebakaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA beradik rentung dalam kebakaran di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri, Johor Bahru, hari ini.

    Mangsa merupakan adik beradik iaitu Muhammad Zafran Muhammad Fikri, 3, dan Nurul Hawa Zafira Muhammad Fikri, 2.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 1.41 petang sebelum 14 anggota dikerjakan ke tempat kejadian.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Ridzuan Malek Rivan berkata, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal berkeluasan 18 x 40 kaki.

    Rumah yang mengorbankan dua beradik terbakar 60 peratus dan kebakaran berjaya dipadamkan denga bantuan orang awam sebelum dikawal pihak bomba

    “Kebakaran mengakibatkan kemusnahan 60 peratus daripada keseluruhan rumah. Terdapat dua mangsa telah ditemui rentung di ruangan bilik tidur.

    “Pemadaman awal telah dilakukan oleh orang awam menggunakan jirusan air paip. Tindakan operasi pemadaman susulan dilakukan pihak bomba sehingga keadaan pada pukul 2.20 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, semasa kejadian kedua-dua mangsa tersebut tinggal bersama-sama ibunya.

    “Kita akan menyiasat keadaan ibunya dengan teliti termasuk meminta bantuan unit anjing pengesan bomba. Unit K9 dalam perjalanan ke Johor dari Kuala Lumpur,” katanya.

    Tambah beliau, jenazah mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

  • Pemuda lemas selepas 2 budak berpaut padanya

    Pemuda lemas selepas 2 budak berpaut padanya

    SEORANG lelaki lemas selepas menyelamatkan dua kanak-kanak yang tergelincir ketika mandi di Air Terjun Lata Kertas, Dabong di Kuala Krai pada pukul 10 pagi tadi.

    Mohd. Johari Mohd. Rozali, 36, sedang mandi sebelum dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia sembilan tahun tergelincir di atas batu dan terjatuh lalu berpaut pada mangsa.

    Dalam keadaan kelam kabut, orang awam yang berada di kawasan perkelahan itu menyelamatkan kedua kanak-kanak berkenaan.

    Dalam masa sama mangsa dilihat terkapai-kapai dan lemas sebelum bapa kepada seorang kanak-kanak itu menariknya naik dan memberikan bantuan pernafasan (CPR).

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dabong, Pegawai Bomba Kanan II Farizal Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 10.11 pagi dan tiba di lokasi kejadian 19 minit kemudian.

    Katanya, seramai enam pegawai dan anggota termasuk Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari BBP Dabong bergegas ke lokasi kejadian.

    “Sebaik tiba di lokasi, kami mengambil alih untuk memberikan CPR kepada mangsa, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital yang hadir untuk pemeriksaan.

    “Mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk tindakan lanjut.

    “Operasi berakhir pada pukul 11.15 pagi,” katanya memetik laporan Harian Metro.

  • Warga emas ditemukan lemas di Sungai Kedah

    Warga emas ditemukan lemas di Sungai Kedah

    SEORANG warga emas dipercayai terjatuh di Sungai Kedah di Alor Setar, semalam, ditemukan lemas hari ini.

    Lelaki berusia 65 tahun itu ditemukan pihak bomba terapung berhampiran muara sungai tersebut pukul 7.01 pagi tadi.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air.

    “Mayat lelaki itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat lelaki itu dan operasi mencari dan menyelamat sudah selesai.

    Dalam kejadian semalam, lelaki itu dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Kedah, kira-kira 10 pagi.

    Berdasarkan maklumat daripada anak, lelaki itu adalah pesakit psikiatri dan mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, namun tidak pernah keluar merayau seorang diri.

  • 32 mangsa terperangkap dalam kejadian kepala air

    32 mangsa terperangkap dalam kejadian kepala air

    SEBANYAK 32 individu termasuk 13 kanak-kanak terperangkap dalam kejadian kepala air di Lata Ulu Kasar, Sungai Tong di Setiu petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Setiu DSP Afandi Hussin berkata dalam kejadian kira-kira 5.30 petang, fenomena kepala air itu melanda tempat orang ramai beriadah, mandi manda dan berkhemah sehingga menyebabkan enam kereta turut terperangkap.

    Katanya, ketika pasukan penyelamat tiba di kawasan rekreasi berkenaan pada 6.30 petang, didapati tempat kejadian tidak dapat dimasuki akibat arus deras.

    “Kejadian berpunca daripada kepala air dari bahagian hulu Sungai Ulu Kasar akibat hujan lebat menyebabkan mangsa dan kenderaan terperangkap.

    “Mangsa terperangkap terdiri daripada tujuh lelaki dewasa, 12 perempuan dewasa serta 13 kanak-kanak dan mereka telah diselamatkan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan awal pagi ini.

    Beliau berkata semua mangsa dibawa ke Masjid Merbau Menyusut Sungai Tong pada 8.40 malam oleh pihak polis, bomba serta orang awam untuk proses dokumentasi dan didapati tiada mangsa yang hilang atau lemas.

    Afandi berkata pihaknya turut menasihati semua mangsa terlibat untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital.

  • Kongsi lokasi di WhatsApp, 3 pendaki sesat ditemui selamat

    Kongsi lokasi di WhatsApp, 3 pendaki sesat ditemui selamat

    DUA lelaki dan seorang wanita yang dilaporkan sesat ketika mendaki Gunung Panti di sini semalam, ditemukan selamat selepas memaklumkan lokasi mereka melalui aplikasi WhatsApp, malam tadi. 

    Pegawai Bomba Kanan II Mohd Syukri Mohd Yusoff berkata kesemua mangsa Gan Chen Yang, 23, Yong Chin Cheng, 25, dan Wong Zao Yi (wanita), 22, ditemukan kira-kira pukul 10 malam, 300 meter dari ‘check point’ kedua gunung berkenaan, sebelum dibawa turun pasukan keselamatan itu. 

    “Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak melakukan pencarian bersama bantuan agensi lain dengan kaedah mengesan lokasi yang telah diberikan oleh mangsa melalui aplikasi WhatsApp,” katanya. 

    “Kesemua mangsa berjaya ditemukan dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan awal pagi ini. 

    Terdahulu, laporan dibuat sendiri oleh mangsa yang memaklumkan menerusi telefon bahawa mereka tersesat ketika dalam perjalanan turun dari gunung tersebut, pada 4.53 petang. 

    Susulan itu, seramai 10 anggota PKO dihantar ke lokasi kejadian dan difahamkan mereka yang memulakan pendakian pada 7 pagi dan dipercayai sudah biasa dengan aktiviti tersebut, masih boleh dihubungi cuma tidak menemukan jalan keluar. – BERNAMA 

  • Suami isteri maut, kereta terbabas

    Suami isteri maut, kereta terbabas

    SEPASANG suami isteri meninggal dunia selepas kereta dinaiki terbabas ke bahu jalan di Kilometer (km) 292.4 Lebuhraya Utara-Selatan (LRUS) hala utara di Kampar, tengah malam tadi.

    Pihak polis menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan kejadian kemalangan pada pukul 12.34 tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, pemandu, Tsia Kwai Weng, 61, yang parah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk rawatan lanjut.

    “Namun dimaklumkan meninggal dunia ketika menerima rawatan Unit Kecemasan hospital berkenaan, 5.40 pagi tadi.

    “Sementara penumpang Hooi Lai Kwean, 53, maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihak Balai Bomba Penyelamat (BBP) Gopeng menerima panggilan pada pukul 12.02 tengah malam.

    “Anggota mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas seterusnya menyerahkan mangsa yang cedera kepada pihak ambulans, manakala mangsa maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya, dengan operasi tamat pada 1.29 pagi.

  • Jenazah empat beranak maut kemalangan selamat dikebumikan

    Jenazah empat beranak maut kemalangan selamat dikebumikan

    JENAZAH empat beranak yang maut dalam kemalangan di Jalan Kampung Semanggar Dalam di Kota Tinggi semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Pasir Raja petang ini.

    Pasangan suami isteri, Mohamad Suti Yahaya, 39, dan Siti Jamaliah Mohd Yatim, 27, serta anak mereka Nurfatihah Jannah berusia sembilan bulan selamat dikebumikan dalam satu liang lahad sekitar pukul 5.30 patang.

    Jenazah seorang lagi anak pasangan itu, Nur Firman Hadi Abdul Rahman, 5, tiba lebih awal kira-kira 3.40 petang untuk dikebumikan secara berasingan di tanah perkuburan sama mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan berikutan disahkan positif COVID-19.

    Terdahulu, jenazah Mohamad Suti, isteri dan anak perempuannya itu dibawa ke Masjid Jamek al-Sharif, Felda Pasir Raja sebelum disembahyangkan serta diberi penghormatan terakhir oleh ahli keluarga dan kenalan.

    Ketiga-tiga jenazah kemudian dibawa ke tanah perkuburan kira-kira satu kilometer dari masjid untuk disemadikan dalam suasana pilu serta penuh hiba, dan hujan renyai.

    KEMALANGAN-KEBUMI 2 (AKHIR) KOTA TINGGI

    Pasangan itu meninggalkan seorang cahaya mata Nur Suzila berusia lapan tahun yang kini di bawah jagaan ibu Siti Jamaliah, iaitu Rosni Sintingan, 53.

    Semalam, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora dilaporkan berkata kejadian pada pukul 1.20 tengah hari itu dipercayai berlaku apabila Mohamad Suti yang membawa tiga lagi mangsa, gagal mengawal motosikal yang dinaiki mereka semasa melalui selekoh dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori.

    Kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.- BERNAMA

  • Lelaki Rohingya lemas semasa seberang sungai selepas menjala ikan

    Lelaki Rohingya lemas semasa seberang sungai selepas menjala ikan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki etnik Rohingya ditemukan lemas dihanyutkan arus semasa menyeberang Sungai Melayu di Kilometer 6.6 Jalan Ismail Sultan, Gelang Patah, Iskandar Puteri, hari ini.

    Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Anayatullah Habi Rahman, 27, berjaya menemukan mayatnya pada pukul 7 petang tadi.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Khairi Zainuddin berkata, sebelum itu Anayatullah yang berusia 27 tahun pergi menjala bersama-sama rakannya pada pukul 9 pagi.

    Menurut Mohd Khairi, semasa menyeberang sungai untuk pulang ke rumah, mangsa hanyut dibawa arus dan hilang.

    Pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 3 petang sebelum tujuh anggota dari BBP Iskandar Puteri dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Mayat Anayatullah ditemukan kira-kira pada pukul 7 petang. Mayat ditemukan tersangkut pada ranting-ranting dan kayu yang hanyut pada jarak kira-kira 15 meter dari kawasan dia dihanyutkan arus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

  • Warga emas sesak nafas sebelum maut semasa mendaki gunung

    Warga emas sesak nafas sebelum maut semasa mendaki gunung

    Oleh ABU UBAIDILLLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki warga emas mengalami sesak nafas sebelum maut semasa mendaki Gunung Pulai, Jalan Semangat, Kampung Sri Gunung Pulai, Kulai, tengah hari tadi.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, semasa mendaki, mangsa, Chua Kok Wah, 62, mengalami sesak nafas dan jatuh pengsan semasa tiba di Kilometer 3.3 dari kaki gunung berkenaan.

    “Mangsa kemudian dibawa turun ke kaki gunung sebelum pemeriksaan menpatinya sudah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan II Asmiza Zaini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 10.11 pagi.

    “Tujuh anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian. Pada awalnya mangsa pengsan sebelum dibawa turun ke pondok pengawal di kaki gunung oleh orang awam sebelum bomba sampai di lokasi,” katanya.

    Beliau berkata, pihak bomba membuat pemeriksaan awal terhadap mangsa sebelum disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir.

    Menurut Asmiza, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi menyelamat tamat pada jam 12.34 tengah hari.