Category: Kemalangan / Bencana

  • Lori simen jatuh gaung, tiga pekerja maut

    Lori simen jatuh gaung, tiga pekerja maut

    TIGA lelaki maut apabila lori simen yang mereka naiki terjatuh ke dalam gaung di Jalan Merit, 30 kilometer dari Kapit, hari ini.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak memaklumkan, sepasukan 12 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapit digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan lebih kurang pukul 11.35 pagi.

    Bagaimanapun, berikutan jalan ke lokasi adalah jalan balak, anggota-anggota bomba tersebut terpaksa menaiki dua kenderaan pacuan empat roda milik syarikat simen itu untuk sampai ke lokasi kemalangan.

    “Setibanya di tempat kejadian, didapati berlaku kemalangan sebuah lori simen dinaiki tiga orang pekerja yang jatuh gaung sedalam enam meter,” kata jurucakap itu.

    Pasukan bomba telah memotong bingkai cermin lori tersebut bagi mengeluarkan mangsa-mangsa yang tersepit.

    Mangsa yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian adalah George Wong dan Steven Janggai Bungkang kedua-duanya berusia 33 tahun serta Bunyau Manggie, 40.

    Mereka dinaikkan ke jalan menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

  • Buruh Bangladesh maut dihempap paip pemercik

    Buruh Bangladesh maut dihempap paip pemercik

    SEORANG buruh binaan warga Bangladesh maut dihempap paip pemercik (sprinkler) dalam kejadian di tapak projek pembinaan di Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

    Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang menjalankan kerja pemasangan sistem pencegahan kebakaran (fire fighting) pada bangunan yang masih dalam pembinaan.

    Menurutnya, mangsa dipercayai dihempap oleh paip pemercik (sprinkler) yang disandarkan pada ‘scissor lift’ yang tiba-tiba terjatuh dan terkena kepala mangsa.

    “Susulan kejadian itu, satu notis larangan telah dikeluarkan dan lokasi kejadian telah disita serta-merta sehingga siasatan selesai dijalankan,” kata kenyataan itu hari ini.

    Tambah kenyataan itu, tindakan perundangan akan diambil terhadap pihak berkenaan sekiranya terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

  • Polis maut rempuh lori rosak semasa ke tempat kerja

    Polis maut rempuh lori rosak semasa ke tempat kerja

    SEORANG anggota polis berpangkat koperal maut selepas merempuh sebuah lori rosak di Batu 10, Hulu Langat berhampiran Taman Langat Ceria, pukul 6.30 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, mangsa, 32, dipercayai menunggang motosikal dari kediaman di Dusun Tua dan menuju ke tempat kerja yang terletak di Balai Trafik Petaling Jaya.

    “Mangsa telah melanggar belakang lori rosak yang berhenti di bahu kiri jalan tanpa mempamerkan tanda isyarat.

    “Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Mohd. Zaid berkata, pemandu lori berusia 57 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Kajang bagi hasil ujian saringan awal alkohol dan dadah adalah negatif.

    Katanya, polis kini masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca kejadian sekiranya terdapat kecuaian daripada pemandu lori atau unsur lain.

    “Polis kini membuka kertas siasatan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

    Sehubungan itu, individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi balai polis atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes Inspektor M. Somasureshan di talian 016-4915193.

  • Warga emas maut dalam kebakaran rumah bersebelahan tokong

    Warga emas maut dalam kebakaran rumah bersebelahan tokong

    SEORANG lelaki warga emas ditemukan maut selepas terperangkap dalam kebakaran membabitkan dua rumah dan sebuah tokong di Jalan Merah 1/4, Bukit Merah, Menglembu di Ipoh, hari ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memberitahu, mangsa, Loo Kin Chan@Loo Kok Chan, 78, ditemukan dalam salah sebuah rumah terbabit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pukul 5.25 pagi.

    “Kebakaran melibatkan dua rumah kelas B yang masing-masing musnah terbakar 80 peratus dan sebuah tokong terbakar 20 peratus.

    “Anggota bertindak membuat pemadaman dengan menggunakan aliran air. Operasi turut dibantu oleh pasukan daripada BBP Ipoh hingga api berjaya dipadam sepenuhnya,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 8.55 pagi

  • Dua nelayan ditemukan lemah selepas hilang malam tadi

    Dua nelayan ditemukan lemah selepas hilang malam tadi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA nelayan yang hilang di Sungai Telor, Kota Tinggi sejak malam tadi dijumpai selamat tetapi berada dalam keadaan lemah pada pagi tadi.

    Wan Nain Wan Abd. Kadir, 44 tahun dan Nik Norzi Abd. Rahman, 48 tahun, ditemukan anggota bomba pada jarak 700 meter pukul 7.40 pagi.

    Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Kanan II Asmiza Zaini, mereka ditemukan di tepi jalan utama di Kampung Sungai Telor dan seorang daripadanya cedera.

    “Anggota bomba dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) EMRS merawat luka kaki mangsa sebelum diserahkan kepada polis,” katanya dalam satu kenyataan di Johor Bahru hari ini.

    Terdahulu katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 9.24 malam tadi.

    Susulan itu seramai tujuh anggota dari BBP berkenaan dikejarkan ke tempat kejadian dengan satu EMRS.

  • Seorang pemancing dikhuatiri lemas, dua bot berlanggar

    Seorang pemancing dikhuatiri lemas, dua bot berlanggar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pemancing dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki bersama dua rakan berlanggar dengan sebuah bot pemancing lain di Jalan Kerisi Kampung Sungai Sembayong di Kota Tinggi, hari ini.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Rafiee A Karim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 5.11 petang.

    “Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian mendapati kemalangan dua buah bot berukuran panjang empat dan sembilan meter.

    “Akibat pelanggaran itu tiga lelaki dewasa dari bot berukuran empat meter telah tercampak ke sungai.
    Bagaimanapun dua mangsa berusia 38 tahun dan 29 tahun berjaya diselamatkan orang awam.

    “Mangsa berusia 29 tahun yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili menggunakan kenderaan awam manakala seorang lagi mangsa iaitu lelaki berusia 35 tahun masih hilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Susulan itu kata beliau, seramai 10 anggota dikejarkan ke tempat kejadian dengan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang masih dilakukan.

    Menurut Rafiee, kerja-kerja pencarian awal secara teknik permukaan sedang dijalankan menggunakan dua bot milik orang awam.

  • Ibu lihat dua anak rentung berpelukan

    Ibu lihat dua anak rentung berpelukan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    IBU kepada dua beradik yang rentung di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri di Johor Bahru, semalam menemukan dua anaknya keadaan berpelukan.

    Nurul Ain Najihah Zulkifli, 27, berkata, selepas kebakaran dapat dikawal, dia mula mencari dua anaknya itu sebelum menemukan dua beradik itu dalam bilik tidur rumah mereka.

    Dia yang berasal dari Ampang Jaya, Selangor merupakan orang pertama masuk ke rumah tergamam dan merasa teramat sedih melihat keadaan mereka.

    “Saya ‘okay’, cuma mula-mula tu saya sedih sebab saya nampak dia kat situ, dia (anak sulung) peluk adik dia. Saya redha, anak-anak saya anak syurga, saya tak risau apa,” katanya.

    Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas jenazah dua beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tebrau, Taman Istimewa di sini hari ini.

    Jenazah Muhammad Zafran Muhammad Fikri, 3 dan Nurul Hawa Zafira, 2, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira pukul 5.30 petang selepas selesai proses bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru.

    Majlis pengebumian itu dihadiri kira-kira 50 ahli keluarga dari Perak, Negeri Sembilan dan Selangor.

    Bapa mangsa pula, Muhammad Fikri Abdul Mubian, 28, ketika ditemui melahirkan rasa lega apabila kedua-dua anaknya sudah selamat dikebumikan.

    Dalam kejadian pada pukul 1.40 petang semalam dua beradik tersebut ditemukan rentung di belakang pintu dalam kebakaran berkenaan semasa mereka tinggal berdua di rumah itu.

  • Bot karam: 4 nelayan diselamatkan Maritim Malaysia

    Bot karam: 4 nelayan diselamatkan Maritim Malaysia

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang berjaya menyelamatkan empat nelayan selepas bot dinaiki mereka karam pada kedudukan 6.6 batu nautika selatan Pulau Kendi, Georgetown, awal pagi tadi.

    Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kesemua mereka yang merupakan warga tempatan berusia antara 31 hingga 43 tahun berjaya diselamatkan kira-kira pukul 10.45 pagi.

    Menurut beliau, Pusat Operasi Maritim Malaysia Pulau Pinang menerima laporan berkaitan kejadian itu kira-kira pukul 9.15 pagi daripada pengadu yang juga mangsa bot karam tersebut.

    Kata beliau, sebaik sahaja menerima laporan tersebut, bot PERKASA 1220  Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi untuk membuat pencarian dan pemantauan di sekitar lokasi aduan.

    “Keadaan laut yang bergelora serta lokasi yang tidak tepat bagaimanapun menyukarkan anggota Maritim Malaysia negeri melakukan pencarian. 

    “Namun, bot PERKASA 1220 akhirnya menjumpai keempat-empat mangsa bot karam tersebut dalam keadaan selamat sedang berpaut di bot yang terbalik.

    “Kesemua mangsa dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban dekat sini untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Sementara itu, Abd. Razak menasihatkan setiap komuniti nelayan mengutamakan keselamatan di laut termasuk peralatan untuk ke laut dan bot sentiasa berada di dalam keadaan yang baik bagi persediaan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

    Katanya, pemilik bot juga dinasihatkan berhati-hati dan menyemak ramalan kaji cuaca sebelum turun ke laut.

    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut boleh segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.

  • Pegawai Imigresen maut dirempuh kereta, polis kesan pemandu

    Pegawai Imigresen maut dirempuh kereta, polis kesan pemandu

    SEORANG pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) maut manakala rakan setugas patah kaki kanan selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggang masing-masing terbabit dalam kemalangan di Kilometer 83.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala Utara, hari ini.

    Memetik laporan Harian Metro, dalam kejadian pada 9.30 pagi itu, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Muhammad Nizam Samsudin, 46, meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala.

    Seorang lagi mangsa, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan Zaili Nizam Muhammad, 43, sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata siasatan awal mendapati dua lelaki berkenaan menunggang motosikal masing-masing iaitu Kawasaki KLE650-C dan mereka dalam perjalanan menghala ke utara.

    “Bagaimanapun, sebuah kereta yang datang dari arah sama merempuh motosikal ditunggang si mati menyebabkan ia hilang kawalan dan terbabas di lorong kecemasan.

    “Pada masa sama, rakannya yang berada di belakang serta menunggang di lorong kecemasan tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal si mati,” katanya.

    Menurutnya, mangsa yang dirempuh kereta meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala seorang lagi penunggang patah kaki kanan dan sedang menjalani ujian X-ray di kepala.

    “Hasil siasatan dan pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua penunggang motosikal berkenaan bertugas sebagai pegawai imigresen di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang.

    “Kita juga sedang mengesan pemilik kereta yang didakwa menyebabkan berlakunya kemalangan itu dan siasatan awal mendapati pemandunya dipercayai melarikan diri,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian terbabit diminta menghubungi balai polis berhampiran.

  • Warga emas tak sengaja rempuh isteri hingga maut

    Warga emas tak sengaja rempuh isteri hingga maut

    SEORANG wanita warga emas maut selepas dilanggar kereta yang bergerak ketika suaminya menghidupkan enjin dalam keadaan bergear di hadapan sebuah rumah di Kampung Bukit Tukang Jusoh, Sungai Petani, pukul 3.10 petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, insiden itu menyebabkan mangsa yang berusia 69 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian kerana kecederaan dalam badan.

    “Pasangan suami isteri warga emas terbabit pada mulanya menghadiri majlis kenduri kahwin di kampung berkenaan.

    “Sebaik tiba, suami mangsa meletakkan kereta di hadapan sebuah rumah penduduk dan selepas selesai menghadiri kenduri mereka bersiap untuk pulang ke rumah di Kampung Telok Amboi, di Sungai Petani.

    “Suami mangsa yang berusia 76 tahun kemudian menghidupkan enjin kereta yang masih dalam keadaan bergear menyebabkan kenderaan terbabit bergerak ke hadapan dan melanggar isterinya,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat dan polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Pemeriksaan mendapati Proton Iswara Aeroback yang dinaiki pasangan itu mengalami kerosakan di bahagian hadapan kiri dan pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

    Difahamkan, suami isteri warga emas itu dikenali ramai kerana menjalankan perniagaan menjual pulut udang di kawasan kampung mereka.