Category: Jenayah

  • Beri rasuah RM7,000 tarik balik laporan polis, penjawat awam ditahan

    Beri rasuah RM7,000 tarik balik laporan polis, penjawat awam ditahan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang penjawat awam di Sandakan hari ini kerana memberi wang rasuah kepada seorang pengadu sebagai dorongan untuk menarik balik satu laporan polis terhadapnya.

    Menurut sumber, suspek lelaki beruusia 40-an bertugas di Beluran telah disiasat polis mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana terbabit dengan kes samun berkumpulan.

    Suspek kemudian menawar serta memberikan wang RM7,000 kepada pengadu sebagai dorongan supaya laporan polis berkenaan ditarik balik pada pada 30 Okt 2021.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy, ketika dihubungi pemberita, mengesahkan penahanan suspek ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

    Katanya, suspek telah dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 beserta deposit RM1,000 dengan seorang penjamin, dan dijadualkan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Sandakan dalam masa terdekat. – BERNAMA

  • Renjatan elektrik punca kematian pelajar UUM

    Renjatan elektrik punca kematian pelajar UUM

    POLIS mengesahkan kematian seorang pelajar di asrama penginapan Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok pada Mei tahun lalu, adalah berpunca akibat terkena renjatan elektrik (electrocution).

    Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kematian pelajar berkenaan di asrama penginapan universiti itu pada pada 21 Mei 2022.

    Susulan daripada laporan itu, beliau berkata, pihaknya melakukan siasatan menyeluruh dengan kes kemudian diklasifikasi sebagai mati mengejut.

    “Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian terhadap pelajar terbabit.

    “Laporan Histopatologi Forensik terhadap tisu jantung pelajar berkenaan menunjukkan bahawa si mati ada mengidap penyakit ‘Myocardial Fibrosis’.

    “Kehadiran penyakit ini meningkatkan risiko seseorang untuk mengalami gangguan ritma jantung yang boleh mendatangkan maut ditambah dengan suatu renjatan elektrik yang bervoltan rendah,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar, hari ini.

    Wan Hassan berkata, hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang berlaku dan kes kemudian dirujuk kepada pihak koroner bagi keputusan lanjut.

    Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman dan kredibiliti mana-mana pihak termasuk siasatan yang dijalankan.

    “Orang ramai juga disarankan untuk memberi kerjasama serta membantu pihak polis dalam usaha membanteras jenayah dengan menyalurkan sebarang maklumat melalui talian MERS 999 atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan,” katanya, lapor BH Online.

    Media pada tahun lalu melaporkan kematian pelajar perempuan berusia 21 tahun di UUM Sintok yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan polis menunggu laporan bedah siasat terhadap mayat pelajar berkenaan.

    Unit Komunikasi Korporat UUM dalam kenyataan ketika itu berkata, pelajar terbabit, R Vinosiny adalah pelajar Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) dan pihak universiti turut menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian pelajar terbabit.

  • Kilang kitar semula beroperasi secara haram diserbu lagi

    Kilang kitar semula beroperasi secara haram diserbu lagi

    SEBUAH kilang kitar semula di Ijok, Kuala Selangor diserbu sepasukan anggota dan pegawai Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pada pukul 10 pagi kelmarin.

    Pengarah Jabatan Penguatkuasa MPKS, Mohamad Lutfi Mislah Hudin berkata, kilang itu sebelum ini pernah dikenakan tindakan sitaan pada 19 Januari lalu.

    “Kita dapati kilang ini masih berdegil dan masih meneruskan operasi haram hasil daripada maklumat awam dan risikan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mohamad Lutfi berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kilang itu semakin meningkatkan operasi memproses buangan terjadual seperti bahan buangan bateri kering, tembaga dan papan litar plastik.

    Premis itu katanya, diarah tutup serta-merta dan dikenakan kompaun kerana ingkar arahan notis penutupan sebelum ini.

    Selain itu, katanya, dua unit penjana kuasa elektrik dan satu jentera forklift disita bagi tindakan lanjut.

    Jelas Mohamad Lutfi, kes itu disiasat mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKS) 2007.

    “Jabatan Kesihatan MPKS mengeluarkan dua kompaun kerana membiarkan bangunan atau tanah dalam keadaan kotor dan mengalirkan kumbahan ke parit berdekatan,” kata beliau.

    Tambahnya, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) juga membantu proses pemotongan bekalan air premis terbabit.

    Katanya, JAS turut mengambil tindakan undang-undang mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

    “Pemilik kilang itu dinasihatkan berpindah ke kawasan industri berat kerana aktiviti kitar semula di bawah kategori tersebut,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Tiga pengarah syarikat ditahan bantu siasatan kes rasuah RM15 juta

    Tiga pengarah syarikat ditahan bantu siasatan kes rasuah RM15 juta

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pengarah syarikat semalam disyaki terlibat kes rasuah bernilai kira-kira RM15 juta berkaitan projek pembinaan sebuah pangkalan laut di Pahang.

    Menurut sumber, ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun berkenaan ditahan kira-kira 8.30 malam selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, di sini.

    “Lelaki pertama dipercayai seorang pengarah syarikat yang melobi projek pembinaan tersebut manakala dua lagi disyaki meminta serta menerima rasuah kononnya untuk diserahkan kepada seorang bekas menteri,” katanya.

    Sumber berkata Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya ke atas kesemua individu berkenaan selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

  • 42 individu termasuk tokan dadah dicekup

    42 individu termasuk tokan dadah dicekup

    Oleh BADLISHAH MAT

    POLIS memberkas empat lelaki dipercayai pengedar yang menjadikan hutan bakau di sepanjang Sungai Merbok di Sungai Petani sebagai lokasi mengedar dadah dalam operasi khas selama dua hari.

    Kegiatan tersebut dipatahkan polis menerusi Op Tapis Bersepadu yang dilaksanakan sepasukan angggota dan pegawai daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dan Balai Polis Merbok.

    Operasi yang berakhir semalam turut menahan 38 lelaki lain yang melakukan pelbagai kesalahan membabitkan penyalahgunaan dadah. Kesemua mereka yang merupakan penduduk tempatan berumur antara lingkungan 20-an hingga 50-an.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman berkata, serbuan dibuat bermula Isnin lalu hasil risikan pihaknya selepas mendapati beberapa lokasi di Merbok menjadi lokasi penagihan dan pengedaran dadah.

    “Modus operandi tokan di kawasan itu adalah mereka akan berlegar-legar di sepanjang laluan berdekatan hutan bakau sebelum dihampiri pembeli. Selepas itu penagih terbabit akan memasuki kawasan paya bakau di situ untuk melepaskan gian mereka. Proses jual beli itu didapati berlaku tanpa mengira masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Anuar berkata, pihaknya juga berjaya merampas sebanyak 149.78 gram dadah jenis heroin dan 2.05 gram dadah jenis syabu yang keseluruhannya bernilai RM5,450.

    “Turut ditahan ialah seorang suspek yang dikehendaki kerana terlibat dalam kes curi motosikal yang dilaporkan hilang di Kubang Pasu, Januari lalu,” katanya.

    Beliau berkata, kesemua individu yang ditahan dibawa ke IPD Kuala Muda untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 39(a)(1); Seksyen 12((2) dan
    Seksyen 15(1)(a) akta sama.

  • Bot nelayan tempatan gajikan PATI ditahan

    Bot nelayan tempatan gajikan PATI ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan pukul 7.15 petang semalam selepas didapati menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai kru.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, penahanan itu dibuat ketika pemeriksaan terhadap sebuah bot nelayan tempatan kelas C yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dalam rondaan rutin OP PERTIWI dan OP TANJUNG.

    Jelas beliau, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu ditahan pada kedudukan sekitar 23 batu nautika barat laut Pulau Kendi.

    “Pemeriksaan awal mendapati, bot dikendalikan oleh seorang tekong dan empat kru kesemuanya warga Myanmar berumur  antara 19 hingga 44 tahun.

    “Hasil pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, tekong dan semua kru bot itu gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah serta surat kelulusan bertulis atau permit kerja dari Ketua Pengarah Perikanan, Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

     
    Sehubungan itu, tambah Abd. Razak, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu pemilik bot menggunakan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.

     
    Jelasnya, bot serta kesemua kru ditahan termasuk 300 kilogram hasil laut sebelum dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

    Dalam pada itu, ujar beliau, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan pendatang tanpa izin (PATI) untuk bekerja di atas bot mereka walaupun amaran telah diberikan dan beberapa tangkapan telah dilaksanakan.

    “Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia,” katanya.

    Ujar beliau, sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04 – 2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

  • 2 lelaki termasuk Datuk direman SPRM kes tender pembersihan bernilai hampir RM8j

    2 lelaki termasuk Datuk direman SPRM kes tender pembersihan bernilai hampir RM8j

    SERAMAI dua individu termasuk seorang bergelar Datuk direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama tiga hari bermula hari ini kerana disyaki mengemukakan dokumen penyata akaun bank syarikat palsu bagi mendapatkan tender perkhidmatan pembersihan bernilai RM7.97 juta daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

    Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Majistret Hadi Hakimi Harun di Mahkamah Sivil, George Town, Pulau Pinang hari ini selepas Pegawai Penyiasat SPRM, Afiqa Liayana Rozman mengemukakan permohonan reman tersebut.

    Selain lelaki bergelar Datuk berusia 64 tahun yang juga merupakan pemilik sebuah syarikat pembersihan itu, turut direman ialah seorang pengurus syarikat pembersihan berusia 74 tahun.

    Kedua-dua mereka yang dari syarikat pembersihan berbeza ditahan ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Pulau Pinang semalam.

    Menurut sumber, kedua-dua mereka disyaki mengemukakan penyata bank palsu untuk mendapatkan kerja-kerja tender perkhidmatan pembersihan am jalan bagi Zon Bertam, Seberang Perai Utara, bagi tempoh lima tahun dengan jumlah keseluruhan RM7.97 juta daripada MBSP.

    Kes tersebut disiasat mengikut mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan kesemua suspek akan ditahan reman di lokap SPRM Pulau Pinang.

  • Orang tak siuman tikam pesakit di hospital

    Orang tak siuman tikam pesakit di hospital

    SEORANG pesakit yang menunggu rawatan di bahagian kecemasan Hospital Selayang ditikam seorang lagi pesakit yang mengalami masalah psikiatri semalam.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mengesahkan kejadian itu dan menegaskan penyerang dibawa masuk oleh polis.

    “Kejadian tikaman itu dilakukan oleh pesakit psikiatri yang dibawa masuk oleh polis, ia boleh berlaku di mana-mana sahaja.

    “Kami perlu melindungi pesakit kami di jabatan kecemasan dan klinik kami. Kami perlu menyemak SOP (prosedur operasi standard) kami untuk pesakit yang mengalami gangguan psikiatri,” tulis Noor Hisham di Twitter.

    Noor Hisham mengulas artikel akhbar Straits Times Singapura yang melaporkan kejadian itu dan mendakwa penyerang menjadi ganas selepas lama menunggu untuk dimasukkan.

    Laporan itu mendakwa bahawa semua wad di hospital berkenaan penuh ketika itu manakala ramai yang menunggu giliran di bahagian kecemasan.

    Semakan di KKMNow – laman web data terbuka Kementerian Kesihatan – mencadangkan penggunaan katil Hospital Selayang berada pada tahap 69.6 peratus setakat malam tadi.

    Hospital Selayang mempunyai jabatan psikiatri dan kesihatan mental.

    Menurut Straits Times, mangsa ditikam tiga kali – sekali di bahagian belakang dan dua kali di perut.

    Sementara itu, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata dia telah melawat hospital malam tadi selepas sidang Dewan Rakyat untuk bertemu keluarga mangsa dan pasukan yang merawat mangsa.

    “Status terkini pesakit juga akan dilaporkan dari masa ke semasa kepada keluarga.

    “Perkara ini sedang dalam siasatan pihak yang berwajib,” katanya, lapor MalaysiaKini.

  • Sumbangan dana politik: SPRM akan panggil Muhyiddin

    Sumbangan dana politik: SPRM akan panggil Muhyiddin

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka memanggil Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung siasatan ke atas kewangan parti berkenaan.

    SPRM yang mengesahkan perkara itu kepada New Straits Times berkata, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan bekas Perdana Menteri, akan dipanggil dalam tempoh terdekat.

    Muhyiddin akan dipanggil bagi dirakam kenyataan mengenai dakwaan RM300 juta yang diterima parti terbabit sebagai dana politik daripada kontraktor yang dianugerahkan projek ketika pentadbirannya,” katanya.

    Sumber terbabit turut mengesahkan dua akaun bank milik Bersatu dengan jumlah baki RM40 juta sudah dibekukan suruhanjaya berkenaan.

    Katanya, beberapa pemimpin Bersatu juga sudah dipanggil untuk direkod kenyataan, termasuk bendahari parti terbabit.

    “Hasil pemeriksaan menunjukkan semua penyumbang kepada parti terbabit adalah kontraktor yang menerima kontrak kerajaan ketika pentadbiran Muhyiddin,” katanya.

    Dilaporkan kontraktor terbabit dikenal pasti selepas SPRM menyiasat beberapa akaun milik BERSATU yang dibekukan hujung bulan lalu.

    Bersatu dilapor terima dana politik RM300 juta daripada kontraktor

    Bersatu sebelum ini dilaporkan menerima hingga RM300 juta daripada kontraktor berkenaan sebagai dana politik susulan persetujuan dibuat dengan beberapa pemimpin parti, termasuk mereka yang berkhidmat di bawah pentadbiran Muhyiddin ketika itu.

    Difahamkan lebih 15 individu termasuk pemimpin Bersatu dan pihak kontraktor sudah dipanggil SPRM untuk dirakamkan kenyataan.

    Sebelum itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman, berkata SPRM sudah membekukan beberapa akaun milik parti itu, baru-baru ini.

    Beliau mendakwa pembekuan akaun itu ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap dana kerajaan RM92.5 bilion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan PN ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik COVID-19.

    Pada 1 Februari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan SPRM sudah membekukan akaun Bersatu sebagai membantu siasatan ke atas wang disyaki hasil haram.

    Azam berkata, siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

    Disember lalu, media melaporkan SPRM mengesahkan sudah menerima butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 berhubung pengurusan COVID-19 daripada Kementerian Kewangan.

    SPRM dalam kenyataan sebelum ini berkata, fokus siasatan terarah RM92.5 bilion membabitkan dana kerajaan daripada nilai dakwaan penyelewengan wang perbelanjaan negara yang dianggar hampir RM600 bilion.

    Terdahulu di Dewan Rakyat semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan akan ada pemimpin semasa pentadbiran PN yang akan disiasat SPRM.

    Menurutnya, ada banyak kerosakan yang dilakukan sewaktu pemerintahan terdahulu.

    “Memang ada kebenaran semasa kerajaan Barisan Nasional, ada ketirisan dan kes terbabit seperti 1MDB. Tetapi masa pemerintahan PN, ada banyak kerosakan juga,” katanya menjawab soalan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) isu ketirisan dalam kerajaan sebelum ini.