Category: Jenayah

  • Suspek penyeludup ketum direman empat hari

    Suspek penyeludup ketum direman empat hari

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA individu yang ditahan sepasukan pegawai dan anggota tentera kerana disyaki penyeludup ketum di Kampung Sungai Kecil, Kuala Nerang Kedah semalam direman selama empat hari bermula hari ini.

    Perintah tahanan reman terhadap dua lelaki berusia 29 dan 31 tahun itu dikeluarkan Majistret, Nurul Huda Idris, hari ini.

    Terdahulu, suspek berusia 29 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret Jitra kira-kira pukul 8.45 pagi dengan memakai pakaian lokap berwarna jingga dan diiringi polis bersama beberapa tahanan lain.

    Selain itu, perintah tahanan reman untuk supek kedua berusia 31 tahun pula dikeluarkan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar kerana individu berkenaan masih menerima rawatan akibat kecederaan dialami.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam, dua suspek ditahan setelah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dinaiki mereka terbabas sewaktu cuba melarikan diri daripada ditahan tentera.

    Kedegilan mereka untuk berhenti mendatangkan bahaya kepada orang awam apabila mereka beberapa kali hampir melanggar kenderaan lain menyebabkan tembakan terpaksa dilepaskan oleh pegawai tentera bermotosikal.

    Pemeriksaan dijalankan menemukan bungkusan berisi daun ketum yang berat keseluruhan mencecah 1 tan dan bernilai kira-kira RM38,000.

    Kes tersebut kini disiasat di bawah kanun keseksaan dan Akta Racun 1952.

  • Dua mesin ATM bank diletupkan penjenayah

    Dua mesin ATM bank diletupkan penjenayah

    DUA buah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) diletupkan penjenayah dalam rompakan di sebuah bank di Setia Alam di Shah Alam, pagi ini.

    Memetik laporan Sinar Harian, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 6 pagi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, siasatan lanjut masih dijalankan di lokasi kejadian.

    “Ada berlaku kejadian sebuah mesin ATM diletupkan penjenayah, siasatan lanjut masih dijalankan pihak polis.

    “Perkembangan akan dikongsikan selepas ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

  • Dakwa SPRM tawar RM10 juta, pengguna TikTok ditahan

    Dakwa SPRM tawar RM10 juta, pengguna TikTok ditahan

    PENGGUNA TikTok, Mohamad Shafiq Abdul Halim yang mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menawarkan RM10 juta kepada Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, baru-baru ini, ditahan agensi itu semalam.

    Penahanan suspek disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

    Menurutnya, Shafiq ditahan mengikut Akta SPRM 2009 kerana mengganggu siasatan.

    “Dia datang ke pejabat setelah dapat arahan kita dan kemudian ditangkap di pejabat SPRM (Putrajaya) semalam, pukul 3.30 petang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, lapor Free Malaysia Today.

    Shafiq dalam kenyataan di Facebook, berkata dakwaan tawaran RM10 juta hanyalah berdasarkan khabar angin semasa di mahkamah, bahawa SPRM menawarkan RM10 juta kepada Wan Saiful untuk menukar kenyataan bagi menganiayai Muhyiddin.

    Wan Saiful tidak lagi menjadi ketua penerangan berkuat kuasa semalam selepas peletakan jawatannya diterima Muhyiddin selaku presiden Bersatu.

    Mengulas lanjut, Azam berkata, secara peribadi dakwaan Shafiq itu tidak boleh dimaafkan kerana merosakkan reputasi SPRM.

    “Mana saya nak ambik RM10 juta nak bagi kepada Wan Saiful?

    “Benda (video) ini tidak boleh dipadamkan. Mana-mana dan rata-rata pun masih lagi mempercayai wujudnya perkara ini,” katanya.

    Walaupun Shafiq memohon maaf semalam, beliau berasa tindakan itu seperti sengaja mahu dimainkan oleh pengguna TikTok itu.

  • Tembakan kerana suspek ketum enggan berhenti kenderaan

    Tembakan kerana suspek ketum enggan berhenti kenderaan

    Oleh BADLISHAH MAT

    PEMANDU pacuan empat roda disyaki penyeludup daun ketum yang enggan memberhentikan kenderaan dan memandu secara bahaya memaksa tentera yang mengejar mereka melepaskan tembakan dalam kejadian di Kampung Sungai Kecil, Kuala Nerang di Padang Terap.

    Bagaimanapun, tembakan tersebut dilepaskan ke arah kenderaan jenis Toyota Hilux terbabit yang pada mulanya cuba menghimpit motosikal dinaiki pegawai dan anggota tentera itu yang mengejar mereka dari arah Durian Burung.

    Ketua Polis Padang Terap, Deputi Superintenden Mulkiaman Manzar berkata, kenderaan bernombor pendaftaran Thailand itu juga hampir melanggar kenderaan awam.

    “Situasi itu menyebabkan pegawai tentera yang membonceng motosikal telah melepaskan beberapa das tembakan dan menyebabkan kenderaan itu terbabas ke bahu kanan jalan.

    “Pasukan tentera pada mulanya mengekori kenderaan tersebut yang baru keluar dari kawasan hutan dan dipandu dalam keadaan mencurigakan. Walaupun diarah berhenti tetapi pemandunya terus memecut sehingga terpaksa dikejar,” katanya dalam kenyataan.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 12,30 tengah hari semalam, dua lelaki warga tempatan yang dipercayai penyeludup ketum diberkas setelah kenderaan dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang ketika dikejar anggota tentera.

    Insiden tersebut turut menyebabkan bungkusan plastik hitam disyaki berisi daun ketum bertebaran di bahu jalan dan kedua-dua suspek terbabit turut mengalami kecederaan akibat kemalangan itu.

    Salah seorang suspek mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan seorang lagi luka di kepala sebelum kedua-duanya dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk mendapatkan rawatan.

    Pemeriksaan yang dibuat oleh anggota tentera terhadap kenderaan pacuan empat roda itu menemukan beberapa lagi bungkusan disyaki berisi daun ketum yang berat keseluruhan mencecah 1 tan dan bernilai kira-kira RM38,000.

    Sementara itu, Mulkiaman berkata, tiada sebarang kejadian atau kecederaan melibatkan orang awam yang berada di sekitar lokasi kejadian dalam insiden terbabit.

    “Orang ramai juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu kerana kes masih dalam siasatan pihak polis,” katanya yang memaklumkan kes disiasat di bawah kanun keseksaan dan Akta Racun 1952.

  • Kenderaan bawa ketum terbabas dikejar tentera

    Kenderaan bawa ketum terbabas dikejar tentera

    Oleh BADLISHAH MAT

    DUA lelaki warga tempatan yang dipercayai penyeludup ketum diberkas setelah kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas ketika dikejar anggota tentera di Kampung Sungai Kecil, Kuala Nerang di Padang Terap hari ini.
     
    Dalam insiden kira-kira pukul 1 petang itu, bungkusan plastik hitam disyaki berisi daun ketum turut bertaburan di bahu jalan setelah kenderaan itu terbabas ke dalam longkang.

    Malah, kedua-dua suspek turut mengalami kecederaan akibat kemalangan itu.

    Difahamkan, anggota tentera turut melepaskan tembakan amaran ke udara setelah pemandu Toyota Hilux terbabit enggan memberhentikan kenderaannya.
     
    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Mulkiaman Manzar berkata, sepasukan tentera yang membuat rondaan bermotosikal di kawasan Durian Burung mengekori kenderaan bernombor pendaftaran Thailand itu yang dalam keadaan mencurigakan.
     
    “Bagaimanapun suspek terus memecut apabila kenderaan itu diarah berhenti sebelum aksi mengejar berlaku.

    Penyeludup ketum diberkas setelah kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas ketika dikejar anggota tentera di Kampung Sungai Kecil, Kuala Nerang di Padang Terap hari ini.

    “Kenderaan tersebut yang menghala ke Kuala Nerang dikatakan cuba menghimpit motosikal anggota tentera berkenaan serta hampir melanggar kenderaan orang awam sebelum terbabas ke sebelah kanan jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
     
    Mulkiaman berkata, salah seorang suspek mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan seorang lagi luka di kepala akibat kemalangan tersebut.

    Tambah beliau, kedua-dua suspek dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk mendapatkan rawatan.
     
    “Hasil pemeriksaan yang dibuat oleh tentera di dalam pacuan empat roda tersebut menemukan beberapa lagi bungkusan plastik hitam mengandungi daun disyaki daun ketum. 
     
    “Pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut termasuk mengenal pasti suspek,” katanya.
     
    Perintah reman terhadap kedua-dua suspek yang kini ditahan polis akan dikemukakan di Mahkamah Majistret Jitra, esok.

  • Warga UK dalang sindiket pelaburan RM200 juta dicekup SPRM

    Warga UK dalang sindiket pelaburan RM200 juta dicekup SPRM

    TANPA kehadiran pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan sindiket pelaburan antarabangsa didalangi warga United Kingdom (UK) dalam serbuan di 24 premis berasingan, semalam.

    Op Tropicana secara serentak itu diadakan di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang yang turut melibatkan pemeriksaan di tiga pusat panggilan, syarikat dan kediaman ahli sindiket terlibat.

    Memetik laporan Berita Harian, difahamkan, sindiket yang dipercayai beroperasi sejak 2019 mengaut hampir RM200 juta daripada mangsa warga Australia dan UK, malah dipercayai memberi suapan kepada pihak berkuasa supaya mereka boleh terus beroperasi.

    Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Cyber Security Malaysia, Telekom Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

    “Serbuan dijalankan dengan kaedah risikan ‘ intelligence based investigation’, financial investigation, covert operative, undercover dan beberapa kaedah siasatan digunakan.

    “Risikan juga dengan kerjasama antara agensi di Australia serta beberapa negara luar dan juga dibuat oleh Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) SPRM,” katanya.

    Mengulas lanjut Azam Baki berkata, modus operandi sindiket adalah menawarkan portfolio pelaburan tidak wujud menerusi iklan di media sosial dan ahli sindiket terdiri daripada warga Australia, Britain, Afrika Selatan dan Filipina.

    “Mereka dipercayai telah memperdaya mangsa dengan meyakinkan mereka supaya melabur ke dalam syarikat pelaburan yang tidak wujud dan syarikat tersebut hanyalah rekaan semata-mata.

    “Ini adalah sebahagian daripada sindiket antarabangsa yang dipercayai menipu mangsa di seluruh dunia sehingga RM1 bilion,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah AMLA SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin yang mengetuai serbuan mengesahkan 11 suspek disyaki terbabit dalam kegiatan itu ditahan, manakala 70 individu lagi ditahan JIM.

    “Sebanyak 74 akaun milik individu dan syarikat dibekukan, dianggarkan berjumlah RM11 juta.

    “Permohonan reman terhadap semua individu akan dilaksanakan pada 22 Februari (Rabu),” katanya.

  • PDRM tidak kompromi, lindungi anggota terlibat salah laku jenayah -Razarudin

    PDRM tidak kompromi, lindungi anggota terlibat salah laku jenayah -Razarudin

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan melindungi atau menyembunyikan warga kerjanya yang terlibat dengan sebarang bentuk salah laku jenayah atau dadah.

    Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata PDRM sama sekali tidak akan berkompromi dengan hal itu dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati bersalah.

    “Suka saya mengulangi peringatan pucuk pimpinan bahawa PDRM tidak akan melindungi atau menyembunyikan anggotanya yang terlibat dengan sebarang bentuk jenayah, dadah mahupun menjadi ahli kepada mana-mana kumpulan haram.

    “Warga PDRM juga diingatkan supaya sentiasa menjaga tingkah laku walau di mana berada serta apa jua keadaan sekalipun…kepesatan teknologi media sosial masa kini membuatkan kita sering menjadi perhatian masyarakat…setiap salah laku warga PDRM akan dilaporkan di media sosial,” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang (IPD), di Serdang, hari ini.

    Pembinaan IPD Serdang yang menelan kos sebanyak RM60 juta siap sepenuhnya pada 2011 dan memulakan operasinya pada 2012.

    “Saya yakin prasarana moden yang dibina dengan kos sebanyak RM60 juta ini, bukan sahaja menjadi mercu kebanggaan buat warga IPD Serdang, tetapi juga dapat menyuntik semangat warga kerjanya untuk menjalankan tugas dengan efisien dalam persekitaran kerja yang lebih kondusif.

    “Pada masa yang sama, manfaat ini juga dapat memberikan keselesaan kepada masyarakat setempat yang datang berurusan di IPD Serdang,” katanya.

    Sementara itu, mengulas mengenai punca IPD Serdang lambat dirasmikan, Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. Anbalagan berkata perkara itu melibatkan perkara dasar PDRM.

    “Bukit Aman akan memilih IPD mana yang belum dirasmikan. Mungkin ada IPD lain yang lebih lama dan belum dirasmikan. Kebetulan IPD Serdang satu daripadanya dan tiada sebab lain,” katanya.

    Turut hadir sama pada majlis berkenaan ialah pemangku Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi.

  • 31 keldai akaun dikena tindakan, babitkan RM2.8 juta

    31 keldai akaun dikena tindakan, babitkan RM2.8 juta

    SERAMAI 31 individu disyaki keldai akaun ditahan sepanjang operasi di sekitar daerah Petaling Jaya sejak awal Januari hingga 20 Februari tahun ini.

    Serbuan terhadap keldai akaun terbabit dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hasil maklumat dan risikan yang dilakukan.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, polis membuka 29 kertas siasatan membabitkan kerugian berjumlah RM2.82 juta.

    “Perbuatan keldai akaun adalah satu jenayah yang boleh disabitkan dengan undang-undang dan semua tangkapan telah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

    “Sindiket memperdayakan mangsa sehingga mereka sanggup meminjamkan kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan nombor PIN dengan bayaran antara RM200 hingga RM2,000 bagi setiap transaksi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohamad Fakhrudin berkata, modus operandi sindiket untuk mendapatkan akaun berkenaan adalah melalui tawaran iklan di media sosial atau melalui rakan dengan jumlah bayaran tertentu.

    “Sasaran mereka terdiri daripada golongan yang memerlukan sumber kewangan dan pihak polis juga dapat membezakan golongan ini adalah mangsa keldai akaun atau bersubahat dengan sindiket dengan melihat laporan polis yang pernah dibuat oleh mereka.

    “Bagi mangsa keldai akaun pula secara kebiasaannya mereka mengalami kehilangan kad ATM sebelum membuat laporan polis bagi tujuan melindungi mereka daripada perkara berbangkit dikemudian hari,” katanya.

    Beliau berkata bagi mereka yang bersubahat dengan sindiket pula, akaun keldai yang dimiliki mereka biasanya lebih mempunyai hubungan dengan sindiket seperti adanya kemasukan wang yang mencurigakan,” katanya.

    Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya segera membuat laporan polis jika kehilangan apa sahaja dokumen diri yang penting bagi mengelakkan daripada mana-mana sindiket manggunakan maklumat tersebut untuk aktiviti-aktiviti haram.

    “Jangan membenarkan individu lain menggunakan akaun peribadi kita tanpa menyiasat kesahihan alasan yang diberi sekaligus melindungi diri daripada menjadi mangsa keldai akaun,” katanya lapor BH.

  • Empat anggota Maritim Malaysia minta suapan daripada nelayan ditahan

    Empat anggota Maritim Malaysia minta suapan daripada nelayan ditahan

    Oleh BADLISHAH MAT

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perlis menahan empat lagi anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang bertugas di Zon Maritim Langkawi bagi membantu siasatan kes meminta suapan.

    Ia susulan penahanan dua anggota Maritim Malaysia di Zon Maritim Kuala Perlis dan seorang individu pada awal bulan ini membabitkan kes rasuah secara bulanan yang diterima daripada pemilik bot nelayan di perairan negeri itu.

    Sumber memaklumkan, keempat-empat suspek yang baru ditahan itu berusia lingkungan 30-an hingga 40-an dan mereka dipercayai melakukan kegiatan sama dengan meminta suapan daripada pengusaha bot sebanyak RM500 sehingga RM4,000 sebulan sebagai wang perlindungan.

    Menurut sumber itu, dua daripada mereka berpangkat Laskar Kanan Maritim, manakala masing-masing seorang Pegawai Waran II Maritim dan seorang Bintara Kanan Maritim.

    “Rentetan daripada tangkapan awal dua anggota Maritim Malaysia Zon Kuala Perlis berhubung kes rasuah yang diterima secara bulanan daripada pengusaha dan pemilik bot di perairan Perlis.

    “Empat lagi anggota Maritim Malaysia Zon Langkawi yang melakukan kegiatan sama turut direman selama empat hari bermula hari ini,” katanya di Langkawi, hari ini.

    Perintah reman terhadap keempat-empat suspek dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen dan Majistret Langkawi, Helmi Ghani selepas mereka dibawa ke mahkamah tersebut, pagi ini.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Perlis, Suzeliyana Hashim mengesahkan penahanan terbabit dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    Pada 3 Februari lalu, dua anggota Maritim Malaysia Zon Kuala Perlis serta seorang individu berperanan sebagai orang tengah ditahan berhubung kes suapan dengan melakukan pemerasan terhadap nelayan sebagai perlindungan di perairan negeri ini.

    Dua anggota berjawatan Laskar Kanan Maritim dan Bintara Muda Maritim gred T4 serta T5 itu ditahan di pejabat SPRM Perlis selepas menerima aduan awam mengenai kegiatan dilakukan suspek terlibat.

    Jumlah suapan yang diterima dianggarkan antara RM20,000 hingga RM30,000 setahun daripada seorang pemilik bot nelayan.

  • Kegiatan seleweng diesel bersubsidi di kawasan perlombongan pasir tumpas

    Kegiatan seleweng diesel bersubsidi di kawasan perlombongan pasir tumpas

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak melakukan serbuan ke atas sebuah premis di kawasan perlombongan pasir di Chenderiang, dekat Tapah semalam.

    Serbuan itu membongkar aktiviti penyelewengan bahan api bersubsidi diesel kata Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail.

    “Serbuan yang dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Perak kira-kira pukul 4.30 petang semalam itu hasil risikan selama seminggu di beberapa stesen minyak termasuk di Tapah dan Kampar.

    “Hasil pemeriksaan di premis berkenaan pihaknya menemukan sembilan tong drum berisi minyak disyaki diesel dengan anggaran sebanyak 1,800 liter.

    “Siasatan lanjut mendapati minyak diesel itu disyaki diperolehi daripada aktiviti pembelian minyak diesel bersubsidi menggunakan lori melalui tangki asal di stesen minyak yang berdekatan secara berulang kali, dan kemudiannya dipindahkan ke tong drum untuk dikumpulkan dan digunakan oleh jentera bagi industri perlombongan pasir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, hasil siasatan lanjut juga mendapati premis itu telah beroperasi tanpa sebarang lesen atau kebenaran untuk menyimpan barang kawalan diesel.

    Sehubungan itu katanya, KPDN Negeri Perak telah bertindak dengan menyita sebanyak 1,800 liter minyak disyaki diesel dengan anggaran bernilai RM4,820.

    Ujarnya, ketika serbuan pihaknya telah mengambil keterangan daripada seorang wanita berusia 40 tahun disyaki pemilik syarikat dan kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

    Sementara itu, Kamalludin menjelaskan kerajaan hanya membenarkan pembelian maksima 250 liter minyak diesel atau petrol dalam sehari melalui satu transaksi ke atas tangki lori.

    “Sementara bagi syarikat berskala kecil, organisasi atau individu perlu memohon permit khas mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, untuk melayakkan membeli petrol dan diesel daripada stesen minyak untuk kegunaan sendiri bagi pembelian melebihi 20 liter.

    “Pihak yang diberi kebenaran untuk membeli minyak petrol dan diesel melalui Permit Khas boleh menggunakan tong drum, plastik atau apa-apa bekas yang bersesuaian mengikut kuantiti harian yang diluluskan,” katanya, lapor Astro Awani.

    Justeru katanya, masyarakat diminta untuk menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa dengan memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang maklumat terutamanya berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.