Category: Jenayah

  • 70 peratus aset, dana 1MDB dikembalikan – Azam Baki

    70 peratus aset, dana 1MDB dikembalikan – Azam Baki

    KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, RM28.93 bilion iaitu lebih 70 peratus aset dan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dapat dikembalikan sehingga kini.

    “SPRM merupakan agensi utama dalam membantu kerajaan untuk mendapatkan kembali aset 1MDB.

    “Sehingga kini, sebanyak RM28.93 bilion, lebih 70 peratus daripada aset dapat dikembalikan dalam kes 1MDB ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menghadiri majlis tandatangan persefahaman antara SPRM, Universiti Teknologi Malaysia Mara dan Institut Akauntan Malaysia di Putrajaya hari ini.

    Katanya, aset dan dana terbaharu ditemui ialah AS$1.8 bilion (RM8 bilion) berikutan penyelesaian mengenai pertikaian mereka dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS (Aabar PJS).

    Pihaknya menganggarkan kira-kira 70 peratus daripada aset dan dana telah diperoleh semula.

    Azam berkata, SPRM adalah antara agensi utama yang ditugaskan untuk mendapatkan semula aset dan dana milik 1MDB.

    “Kita telah memainkan peranan penting dalam usaha mendapat semula (dana dan aset) termasuk menjalankan siasatan, membuat tangkapan dan mendakwa mereka yang terlibat dalam 1MDB,” ujar beliau.

    SPRM katanya, terutama bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram telah memainkan peranan penting sepanjang usaha mendapatkan semula aset tersebut.

    Tambahnya, usaha untuk mendapatkan semula aset dan dana 1MDB lain masih diteruskan.

    “Kita akan melakukan yang terbaik untuk mendapatkan semula sebanyak mungkin dana aset berkenaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji usaha penjawat awam terutamanya Jabatan Peguam Negara dan SPRM merujuk kepada kejayaan itu.

    Pemerolehan semula dana dari dua firma pelaburan IPIC dan Aabar PJS sebagai kejayaan besar.

    Anwar dilaporkan berkata, kejayaan itu juga menunjukkan kepakaran dan ketrampilan pegawai kerajaan sedia ada tanpa perlu bergantung kepada perunding atau konsultan.

    Kementerian Kewangan dalam kenyataan baru-baru ini memaklumkan dua firma pelaburan itu bersetuju membayar AS$1.8 bilion kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan 1MDB.

    Kementerian Kewangan memaklumkan penyelesaian itu dicapai dalam prosiding undang-undang yang berlangsung di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London dan Mahkamah Tinggi London.

    Dengan penyelesaian ini, Malaysia dan Abu Dhabi berharap untuk terus bekerjasama demi kemakmuran dan faedah ekonomi kedua-dua negara pada masa hadapan.

  • Penahanan Bendahari Agung Bersatu ikut kehendak kes-Azam Baki

    Penahanan Bendahari Agung Bersatu ikut kehendak kes-Azam Baki

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan tindakan reman ke atas Bendahari Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Salleh Bajuri baru-baru ini dibuat mengikut peraturan ditetapkan dan kehendak siasatan.

    “Tindakan tersebut mengikut kehendak dan keperluan kes,” tegas Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.

    Menurutnya, SPRM sebagai agensi penguat kuasa mengikut peraturan yang sudah ditetapkan dan penahanan dibuat atas kuasa budi bicara pegawai penyiasat.

    “Saya menyerahkan kepada pegawai penyiasat saya dan mereka memikirkan ada keperluan untuk menjalankan tangkapan dan reman,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA) di Putrajaya hari ini.

    Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempertikai penahanan Salleh oleh SPRM memandangkan parti itu memberi kerjasama penuh kepada agensi itu sejak Januari lalu.

    Hamzah dilaporkan berkata, tiada sebab munasabah untuk SPRM memohon penahanan reman terhadap Salleh atas alasan siasatan.

    Salleh ditahan reman selama dua hari bermula Khamis lalu hingga semalam selepas diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada Rabu untuk memberikan penjelasan berkenaan pembayaran yang dibuat oleh Bersatu kepada pembekal dan vendor parti.

    Berdasarkan rekod, ini penahanan kedua membabitkan pemimpin parti itu selepas bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad yang masing-masing dituduh kes rasuah di mahkamah berkaitan projek Jana Wibawa.

  • KPDN sita 12,000 liter diesel cuba diseleweng

    KPDN sita 12,000 liter diesel cuba diseleweng

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sarah Hidup (KPDN) Kedah menyita sebanyak 12,000 liter diesel yang disyaki digunakan untuk penyelewengan dalam serbuan dijalankan di sebuah stor tidak bernombor dalam sebuah ladang kelapa sawit di Bedong, Sungai Petani, semalam.

    Pengarah Pejabat KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, serbuan itu dilaksanakan kira-kira pukul 1.30 petang di premis tersebut yang didapati tidak berpenghuni.

    Katanya, nilai diesel yang disita itu dianggarkan kira-kira RM25,800.

    “Selain itu pihak kami turut merampas 2 ‘skid tank’ dan empat unit hos paip dianggarkan berjumlah RM10,200. Anggaran jumlah nilai rampasan keseluruhan adalah RM36,000.

    “Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1981 kerana menyimpan barang kawalan iaitu minak diesel di tempat yang tidak mendapati keenaran pengawal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    KPDN rampas 2 ‘skid tank’ dan empat unit hos paip dianggarkan berjumlah RM10,200. Anggaran jumlah nilai rampasan keseluruhan adalah RM36,000

    Tambahnya, individu berseorangan yang didapati bersalah dalam kes itu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama.

    Sementara bagi kesalahan kedua katanya, individu terlibat boleh didenda tidak lebih RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Bagi pertubuhan perbadanan pula, jika sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak lebih RM2 juta bagi kesalahan pertama atau maksimum RM5 juta bagi pertuduhan kedua,” katanya.

    Katanya, pihak kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dengan sindiket dan aktivii penyelewengan barangan kawalan sedemikian.

    Jika didapati bersalah dalam kes itu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama

    “Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di mahkamah bersandarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasli Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613).

    “Jika sabit kesalahan dibawa Akta 613, individu terlibat boleh dipenjarakan tidak lebih 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa dilakukan atau lima RM5 juta, bergantung mana lebih tinggi,” katanya.

  • Bapa mertua maafkan menantu walaupun anak ditembak mati, reda ketentuan Allah

    Bapa mertua maafkan menantu walaupun anak ditembak mati, reda ketentuan Allah

    WALAUPUN agar sukar menerima kenyataan, namun bapa kepada seorang mangsa yang maut akibat tembakan oleh suaminya sendiri reda dengan ketentuan Allah dan memaafkan menantunya yang merupakan seorang anggota polis.

    “Terus terang, saya memaafkan apa yang dia (menantu) lakukan dan terima ujian ini seadanya kerana saya sudah anggapnya macam anak saya sendiri.”

    Begitulah luahan ikhlas Salleh Eizan, 63, yang juga bapa kepada suri rumah Allahyarham Safsufarnisya Salleh, 26, yang maut selepas ditembak oleh suaminya yang juga anggota polis berpangkat Lans Koperal di kediaman mereka di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, Kangar hari ini.

    Salleh berkata, walaupun pada mulanya dia agak sukar untuk menerima dengan apa yang berlaku terutama membabitkan kehilangan nyawa anaknya, dia akhirnya pasrah dan reda dengan ketentuan Ilahi.

    “Ketika kejadian berlaku, saya susah untuk terima keadaan ini namun hari ini saya sedikit demi sedikit mula menerima keadaan yang berlaku dan redha dengan kehendak Allah.

    “Saya juga sudah menganggap menantu (suspek) sebagai anak saya sendiri jadi segala apa yang berlaku itu, saya maafkan,” katanya memetik laporan BH Online.

    Sementara itu, isteri Salleh, Che Mas Taha, 63 berkata, selepas kejadian yang berlaku itu, dia dan keluarganya ada membuka almari pakaian di bilik anak bongsunya itu dan terkejut apabila terdapat beberapa pakaian bayi tersimpan kemas dalam plastik dalam almari itu.

    “Adik (Safsufarnisya) dengan suaminya, rupa-rupanya sudah menyediakan kelengkapan menyambut kelahiran bayi sulung mereka tanpa pengetahuan kami.

    “Memang kami tahu Adik sedang hamil tetapi kami tidak pula tahu bila mereka beli baju dan seluar bayi ini malah apabila melihatnya baju dan seluar bayi itu kami menjadi sedih dan sayu teringatkan Adik,” katanya.

    Selain itu juga, seorang kakak mangsa, Safsuzafira, 37 mendedahkan bahawa adik bongsunya itu ada menulis di cermin meja solek di bilik pasangan itu dengan gincu yang tertera ‘Welcome Junior Ijat’ sebagai menandakan kehamilan anak sulung pasangan itu.

    Terdahulu, Salleh dan Che Mas menerima kehadiran Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain bersama Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad yang meluangkan masa selama 30 minit berkunjung ke rumah mereka dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga berkenaan.

    Turut hadir adalah Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Ru’sele Eizan yang juga adalah bapa saudara mangsa, pimpinan kanan Polis Perlis dan Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop.

    Jenazah Safsufarnisya dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Putra, Simpang Empat, Kangar selepas Isyak semalam.

    Semalam, Safsufarnisya yang juga suri rumah maut selepas ditembak oleh suaminya yang juga anggota polis berpangkat Lans Koperal di Simpang Empat, Kangar.

    Kejadian berlaku sekitar pukul 6 pagi di dalam sebuah bilik di kediaman pasangan terbabit di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat.

    Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 12 Mac hadapan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Samun guna pistol, pekerja bank parah ditembak di perut

    Samun guna pistol, pekerja bank parah ditembak di perut

    SEORANG lelaki parah ditembak di perut dalam satu kejadian samun di sebuah bank, di Jalan Tanjung Datuk, Kota Pekanbaru di Riau, 6.40 pagi semalam.

    Penjenayah berjaya membawa lari wang tunai berjumlah RM29,301 atau 100 juta rupiah.

    Memetik laporan Kompas.com, mangsa yang dikenali sebagai Kurnia Ilahi, 33, ditembak ketika mengisi wang tunai ke dalam mesin teler automatik (ATM) di bank berkenaan.

    Menerusi rakaman kamera litar tertutup, seorang lelaki dillihat berpura-pura hendak mengambil duit dari ATM tersebut, tetapi pengawal keselamatan yang berada di pintu meminta untuk tunggu sebentar kerana proses pengisian wang yang sedang dilakukan.

    Bagaimanapun, suspek secara tiba-tiba mengeluarkan pistol dan cuba menembak ke arah pengawal keselamatan, tetapi senjata gagal berfungsi kerana peluru tersekat.

    Melihat kejadian itu, dua kakitangan bank berlari keluar dan seorang suspek masuk ke dalam dan melarikan kaset wang tunai.

    Menurut Pengarah Siasatan Jenayah Riau, Komisioner Asep Darmawan berkata, ketika kejadian, dua kakitangan itu tidak sempat memasukkan wang tunai ke dalam mesin ATM.

    Katanya, siasatan mendapati terdapat empat suspek bersenjatakan pistol dalam kejadian tersebut.

    “Salah seorang kakitangan telah ditembak di bahagian perut ketika keluar dari bank.

    “Mangsa telah dikejarkan ke hospital bagi rawatan lanjut,” ujarnya.

    Jelas Asep, siasatan di tempat kejadian telah menemui kelongsong peluru bersaiz 9 milimeter yang disyaki milik perompak.

    Usaha memburu penjenayah terbabit giat dijalankan.

  • Seleweng zakat MAINS: 11 individu dipanggil beri keterangan

    Seleweng zakat MAINS: 11 individu dipanggil beri keterangan

    SEBELAS individu melibatkan pegawai Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Zakat Sdn Bhd dipanggil memberi keterangan berkenaan dakwaan penyelewengan wang zakat membabitkan jabatan itu, kata Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.

    Ahmad Dzaffir berkata pihaknya masih menunggu arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) sekiranya perlu mengambil keterangan individu lain berkenaan perkara tersebut.

    “Setakat ini segala kenyataan yang diambil dan siasatan dijalankan adalah pandangan dan nasihat daripada Pejabat Pengarah Pendakwaan (PPN) Negeri Sembilan.

    “PDRM Negeri telah melengkapkan siasatan dan kertas siasatan telah dihantar semula ke pejabat TPR pada 2 Mac. 11 individu tersebut (termasuk bukan pegawai MAINS) turut diambil keterangan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, hari ini.

    Katanya siasatan dijalankan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pecah amanah.

     Pada 13 Feb lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor mengesahkan kes berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat membabitkan agensi berkenaan dikaji semula untuk melihat keterangan yang ada.

    Sebelum ini, tular di aplikasi Telegram mengenai laporan pecah amanah wang kutipan zakat melibatkan pegawai jabatan berkenaan.

    Dalam perkembangan lain, Ahmad Dzaffir melaporkan kes jenayah komersial di negeri itu pada tahun lepas merekodkan kerugian RM62.51 juta berbanding RM43.12 juta pada tahun sebelumnya.

    Katanya Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri telah membuka 2,833 kertas siasatan dan 1,425 individu ditangkap atas pelbagai kesalahan komersial dan 469 individu dituduh di mahkamah pada tahun ini.

    “Jenis kes didapati menunjukkan peningkatan adalah 318 kes bagi penipuan telekomunikasi, 93 kes penipuan pelaburan tidak wujud dan 38 kes bagi penipuan kewangan dalam talian. Terdapat pertambahan RM1.55 juta kerugian bagi kes pembelian dalam talian dan RM862,000 bagi pelaburan,” katanya.

    Dalam pada itu beliau berkata polis menerima dua laporan melibatkan dua mangsa yang didakwa telah ditipu dalam pelaburan tidak wujud yang ditawarkan menerusi Facebook pada 20 Feb dan 22 Feb ini.

    “Mangsa pertama melibatkan pesara swasta yang kerugian RM1.2 juta dan seorang wanita berusia 49 tahun merupakan akauntan syarikat swasta mengalami kerugian RM200,000. Mangsa dimasukkan dalam grup WhatsApp dan seterusnya ditawarkan pelaburan yang dijanjikan pulangan tinggi,” katanya.

    Katanya dua kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Beliau berkata polis telah mengenal pasti empat individu yang dipercayai dapat membantu siasatan tersebut iaitu V. Paramesvaran, 38; Muhamad Subris Abdullah, 55; Muhammad Asyraf Mohd Hissam, 27; dan Muhammad Sabran Alias, 38 tahun.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Mohd Arif Jamaluddin di talian 019-4005037.

  • Mangsa ditembak suami hamil lima bulan

    Mangsa ditembak suami hamil lima bulan

    SURI rumah yang maut ditembak suaminya yang juga anggota polis semalam di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, hamil lima bulan ketika kejadian.

    Ibu mangsa, Che Mas Taha, 63, berkata, Safsufarnisya Salleh, 26, hamil anak pertama selepas berkahwin dengan suspek selama dua tahun.

    Menurutnya, Safsufarnisya merupakan anak bongsu daripada empat beradik.

    “Memang anak saya hamil lima bulan ketika dia meninggal semalam.

    “Malah, kami tidak sangkalah perkara ini boleh berlaku kerana menantu (suspek) ini memang baik orangnya sehinggakan kami sudah anggap dia sebagai anak sendiri.

    “Jadi kehilangan Safsufarnisya ini adalah sesuatu yang sukar untuk saya terima terutama dalam keadaan apa yang terjadi tempoh hari,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, di Kangar hari ini.

    Katanya, jika dilihat daripada keadaan sebelum ini menantunya yang berasal dari Setiu, Terengganu itu adalah seorang yang ‘ringan tulang’ dan gemar membantu keluarga termasuklah membelikan pelbagai keperluan termasuk makanan di rumah itu.

    “Dia tidak pernah berkira dan kalau dia pulang ke rumah ini, dia pasti akan membawa pulang makanan termasuklah lauk pauk.

    “Paling mengharukan adalah menantu makcik ini sering membawa kami termasuk Allahyarham keluar bersiar-siar sekiranya ada kelapangan.

    “Oleh itu, bagaimanalah kami tak anggap dia sebagai anak sendiri tapi benda sudah jadi maka tidak boleh buat apa-apa sekarang,” katanya.

    Che Mas turut memberitahu bahawa menantunya itu dipercayai mempunyai masalah kemurungan beberapa tahun sebelum ini.

    Ini disebabkan menantunya ada menunjukkan perilaku yang tidak menentu sebelum ini.

    “Pada Aidiladha lalu, menantu saya ini pernah memandu tanpa hala tuju di lebuh raya seorang diri sehingga petrol keretanya habis.

    “Apabila petrol sudah habis, dia kemudian bersolat di tepi lebuh raya itu dan kemudian menangis terisak-isak di tepi lebuh raya.

    “Allahyarham terpaksa menghubungi tempat suaminya bertugas untuk mengesan dan membawanya pulang semula jadi saya tidak menjangkakan ia berlarutan sehingga terjadinya kejadian semalam,” ujarnya, lapor Berita Harian.

    Che Mas mendirikan rumahtangga dengan suaminya, Salleh Eizan, 61 dan hasil perkongsian hidup, mereka turut dikurniakan empat anak berusia antara 39 dan 26 tahun.

    Allahyarham Safsufarnisya pula berkahwin selepas bertemu suspek ketika menjalani latihan praktikal dalam bidang pengurusan forensik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis beberapa tahun lalu.

    Jenazah Safsufarnisya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Simpang Empat selepas proses bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

    Terdahulu, kenalan, rakan sekampung Allahyarham dan sanak saudara hadir menziarahi keluarga mangsa.

    Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Ru’sele Eizan yang juga bapa saudara mangsa.

  • Wanita cedera ‘diserang’ isteri ketiga suami

    Wanita cedera ‘diserang’ isteri ketiga suami

    SEORANG wanita cedera pada jari tangan selepas dipercayai terlibat dalam pertengkaran dan pergelutan dengan madunya yang tiba-tiba menceroboh masuk ke dalam kawasan rumahnya dalam kejadian di Chukai, Kemaman, pukul 2.15 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, insiden berkenaan berlaku ketika mangsa yang berusia 34 tahun itu berada di rumah bersama seorang anak lelaki berusia lapan tahun.

    “Berdasarkan aduan, wanita tersebut yang merupakan seorang peniaga mendakwa madunya berusia 28 tahun itu turut merosakkan sebuah motosikal dan sebuah kereta milik suaminya.

    “Suspek didakwa telah menerpa masuk ke dalam kawasan pagar rumah dan terus bertindak memecahkan cermin hadapan dan belakang sebuah kereta milik suami pengadu dengan menggunakan bakul mengisi buah sebelum berlaku pertengkaran mulut dan pergelutan antara mereka.

    “Ketika kejadian, suspek juga didakwa bertindak mencalarkan sarung belakang sebuah motosikal,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Katanya, siasatan mendapati suspek datang ke rumah pengadu untuk mencari suaminya yang didakwa tidak pulang ke rumah selama dua hari.

    Suspek juga ujar Hanyan, ada bertanyakan kepada mangsa sama ada mengetahui bahawa suaminya itu telah berkahwin dengan adiknya sendiri iaitu adik suspek.

    Difahamkan, suspek masih belum disahkan bercerai dengan suaminya melalui Mahkamah Syariah.

    Hanyan berkata, suspek yang juga seorang peniaga turut membuat laporan polis mendakwa pengadu merosakkan kereta jenis BMW miliknya ketika kejadian.

    “Suspek telah ditahan dan kes itu disiasat dibawah Seksyen 447/427 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Lans Koperal tembak isteri direman tujuh hari

    Lans Koperal tembak isteri direman tujuh hari

    SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal yang dipercayai menembak mati isterinya direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 12 Mac.

    Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Ana Rozana Mohd Nor di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Suspek berusia 27 tahun itu kini mendapat rawatan di hospital berkenaan.

    Bernama semalam melaporkan suspek menembak mati isterinya berusia 26 tahun di kediaman pasangan itu di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat dan motif kejadian masih dalam siasatan.

  • Polis tahan tok siak, warga emas disyaki cabul budak perempuan

    Polis tahan tok siak, warga emas disyaki cabul budak perempuan

    POLIS menahan tok siak dan warga emas kelmarin bagi membantu siasatan kes cabul melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di Hulu Selangor.

    Timbalan Ketua Polis Hulu Selangor, Mohd Asri Mohd Yunus, berkata pihaknya mengesahkan menerima satu laporan polis berhubung kejadian itu pada 4.53 petang kelmarin.

    Katanya, siasatan awal mendapati kejadian terbabit dipercayai berlaku di tandas surau dan rumah suspek di Bukit Sentosa.

    “Laporan membabitkan seorang kanak-kanak perempuan dicabul dua lelaki berusia 56 dan 74 tahun.

    “Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Hulu Selangor menahan dua lelaki terbabit di dua lokasi berasingan, pada hari sama.

    “Kedua-dua suspek masing-masing adalah tok siak dan warga emas,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi, menurut Berita Harian.

    Mohd Asri berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan saringan ujian air kencing mereka adalah negatif.

    Katanya, dua suspek terbabit direman tujuh hari bermula semalam hingga 10 Mac ini bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 15 (a)(i) akta sama,” katanya.