Category: Jenayah

  • Polis buru 20 individu merusuh di premis pengurusan mayat

    Polis buru 20 individu merusuh di premis pengurusan mayat

    POLIS sedang memburu 20 individu dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap yang melakukan rusuhan dalam satu upacara pengebumian di sebuah premis pengurusan mayat bukan Islam di Bandar Raya Johor Bahru Selasa lepas.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sehari sebelum kejadian, seorang lelaki berusia 30an yang mempunyai beberapa rekod jenayah telah ditembak menggunakan senjata api di Taman Melodies di Johor Bahru.

    “Pada 20 Mac lepas, ada seorang lelaki telah ditembak namun siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui motif pembunuhan tersebut.

    “Keesokan harinya, semasa upacara pengebumian mangsa, sekumpulan 20 individu telah datang dan membuat kekacauan di tempat sembahyang mendiang, jadi usaha mengesan mereka sedang dijalankan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan juga Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

    Ditanya sama ada pembunuhan itu berkait dengan satu lagi kes pembunuhan melibatkan seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, Johor Bahru pada 2017, Kamarul Zaman berkata, pihaknya sedang menyiasat dakwaan terbabit.

    Pada 17 Disember 2017, seorang lelaki berusia 30an dilaporkan mati ditikam dan dilanggar dengan sebuah kereta yang dinaiki empat lelaki, di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi kira-kira pukul 7.30 malam ketika mangsa bersama seorang wanita warga asing berusia 20an yang dipercayai isterinya, sedang mengisi angin tayar kereta di stesen tersebut.

  • 6 ahli ajaran sesat Si Hulk hina Nabi di TikTok dikenal pasti

    6 ahli ajaran sesat Si Hulk hina Nabi di TikTok dikenal pasti

    POLIS mengenal pasti enam individu dipercayai ahli kumpulan ajaran sesat Si Hulk yang menghina Islam dan Nabi Muhammad di aplikasi TikTok.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, semua suspek berusia antara 20 hingga 30-an dan berasal di Johor dan identiti mereka dikesan berdasarkan dua video berasingan dimuat naik yang jelas menunjukkan wajah enam pelaku itu.

    Justeru, pihaknya menggesa semua enam individu berkenaan tampi menyerah diri sebelum mereka ditahan polis.

    “Kami bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) dalam kes berkenaan.


    “Kita masih siasat maklumat berkaitan mereka dan berharap mereka tampil serah diri,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini lapor Berita Harian.

    Sebelum ini, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan fahaman serta ajaran Si Hulk yang diasaskan Suhaimi Mohamammad sebagai sesat.

    Ia juga menyeleweng dan bercanggah akidah, syariah serta akhlak Islam sejak Julai 2021.

    Pada 19 Mac lalu, tukar rakaman video berdurasi seminit 17 saat memaparkan empat lelaki mengaku menyokong ajaran Si Hulk dan menyebut beberapa ayat menyeleweng akidah, antaranya Nabi Muhammad SAW adalah tuhan.

    Terdahulu, dua individu berbeza juga menyebarkan rakaman berkaitan fahaman itu di medium sama.

  • Kes tuntutan palsu lebih RM2.5 juta, 5 direman bantu siasatan

    Kes tuntutan palsu lebih RM2.5 juta, 5 direman bantu siasatan

    LIMA lelaki direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan tiga kes tuntutan palsu berjumlah lebih RM2.5 juta.

    Perintah reman terhadap mereka yang berusia lingkungan 40 hingga 52 tahun itu dikeluarkan Majistret Nur Syuhada Abdullah di Mahkamah Majistret Shah Alam di Shah Alam selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

    Tuntutan berkenaan membabitkan kerja-kerja penyelenggaraan, penambahbaikan dan membaik pulih fasiliti Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Selangor, pada 2020.

    Semua mereka ditahan semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

  • Lebih 4,000 kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak diselesai

    Lebih 4,000 kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak diselesai

    SEBANYAK 4,713 kes di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) telah diselesaikan sejak 2018 hingga Januari lepas.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Parlimen) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata dalam tempoh itu sebanyak 5,519 kes telah dilaporkan dan 3,060 kes telah dituduh dalam mahkamah.

    Justeru, beliau berkata penggubalan Akta 792 adalah langkah yang baik dalam membantu polis menjalankan siasatan dan pihak pendakwaan dalam merangka pertuduhan yang khusus di bawah Akta tersebut berbanding undang-undang jenayah am yang terpakai kepada orang dewasa seperti Kanun Keseksaan.

     “Ini kerana, sering kali kes kesalahan-kesalahan seksual yang melibatkan mangsa kanak-kanak ini akan mempunyai ciri-ciri kes yang unik, yang tiada di dalam kes-kes melibatkan orang dewasa. Oleh yang demikian, peruntukan di dalam Akta 792 dapat memberikan perlindungan yang lebih jitu dan menyeluruh kepada kanak-kanak,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai jumlah kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang telah dilaporkan, didakwa dan diselesaikan sejak Akta 792 dikuatkuasakan.

    Azalina berkata kerajaan sedang dalam proses membuat beberapa pindaan kepada Akta 792 bagi menambah baik peruntukan sedia ada.

    Selain itu, beliau berkata kerajaan juga akan meminda Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Akta 676) bagi memperuntukkan mengenai pendengaran khas sebagai suatu lagi mekanisma iaitu keterangan saksi kanak-kanak boleh diambil dalam bentuk rakaman video supaya kanak-kanak tidak perlu menghadiri perbicaraan.

    Katanya, pindaan ini juga akan memperuntukkan pemberian kuasa kepada mahkamah untuk melarang soalan-soalan tidak wajar diajukan kepada kanak-kanak bagi memastikan seseorang saksi kanak-kanak itu dapat memberikan keterangan dengan lebih tenang, lancar dan selesa.

    “Semua langkah yang diambil dalam proses sistem keadilan jenayah (criminal justice system) bagi sesuatu kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak hendaklah mesra kanak-kanak (child friendly),” katanya.

  • AGC tak tahu adakah Rohana dah kembalikan wang AS$10 juta

    AGC tak tahu adakah Rohana dah kembalikan wang AS$10 juta

    JABATAN Peguam Negara (AGC) tidak mengetahui sekiranya bekas Pegawai Eksekutif Astro, Rohana Rozhan telah memulangkan wang AS$10 juta yang dikaitkan dengan 1MDB.

    Rohana ialah bekas teman wanita kepada bekas jurubank Goldman Sachs, Tim Leissner yang terlibat dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Perkara itu dinyatakan dalam jawapan bertulis di parlimen oleh Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman bagi menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong)

    Terdahulu, Lip Eng bertanya kepada Perdana Menteri apakah Rohana telah memulangkan wang tunai berjumlah AS$10 juta itu.

    Beliau juga meminta Perdana Menteri menyatakan berapa banyak aset 1MDB yang telah dikembalikan kepada kerajaan dan berapa hutang 1MDB yang masih perlu dibayar kerajaan.

    “Jabatan peguam negara tiada pengetahuan berkenaan perkara ini. Terima kasih,” kata Azalina bagi pihak Perdana Menteri, lapor Malaysiakini.

    Februari tahun lalu, Leissner memberitahu mahkamah Amerika Syarikat (AS) bahawa dia mempunyai hubungan sulit dengan tiga wanita Malaysia, termasuk Rohana.

    Pada satu ketika, Leissner membelanjakan AS$10 juta untuk membeli sebuah rumah di London untuk Rohana selepas wanita itu kecewa kerana dia memutuskan hubungan mereka selama 10 tahun untuk berkahwin dengan model AS, Kimora Lee Simmons pada 2013.

    Dalam keterangannya Leissner berkata dia membeli rumah itu kerana Rohana mengancam untuk mendedahkan penglibatannya dalam 1MDB.

    Susulan itu media tempatan melaporkan Rohana bersetuju memulangkan aset AS$10 juta itu, tetapi tiada pengesahan rasmi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang pada masa itu telah pun menemu bualnya.

    Pada Mac tahun lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Rohana disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Amla) dan harta Rohana di London serta aset lain dibekukan.

    Pada 13 Mac lalu, Parlimen diberitahu baki hutang 1MDB ialah sebanyak RM9.7 bilion manakala RM41.6 bilion aset 1MDB telah diperoleh semula.

  • Polis Kelantan rampas RM17.9 juta syabu dalam van

    Polis Kelantan rampas RM17.9 juta syabu dalam van

    POLIS merampas 499 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM17.9 juta yang dijumpai di dalam sebuah van di tepi jalan Kampung Wan Ahmad, Isnin lepas.

    Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Azman Ayob berkata dalam kejadian pada 9.30 malam itu, seorang suspek bertindak melarikan diri ke arah semak samun berhampiran dan meninggalkan van itu dalam keadaan enjin masih hidup, ketika serbuan dijalankan oleh Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu dalam Op Wawasan.

    “Pemeriksaan lanjut di bahagian belakang van terbabit mendapati 13 guni putih berisi dadah jenis syabu disorokkan di dalam timbunan pakaian terpakai.

    “Bekalan dadah tersebut dipercayai dibawa masuk melalui pangkalan haram berdekatan sempadan Malaysia-Thailand untuk pasaran ke Lembah Klang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, di sini hari ini.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

  • Program ‘Thai Hot Guy’ dibatalkan – Polis

    Program ‘Thai Hot Guy’ dibatalkan – Polis

    ACARA pembukaan sebuah bar yang menampilkan ‘Thai Hot Guy’ dibatalkan susulan amaran keras pihak polis dan bantahan pelbagai pihak.

    Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Ashari Abu Samah, mereka telah memberikan amaran keras kepada penganjur dalam pertemuan pada awal petang ini.

    “Amaran keras telah diberikan oleh pihak polis kepada pihak penganjur agar program tersebut tidak diteruskan dan dibatalkan.

    “Pihak penganjur dan pengurusan akur untuk membatalkan program tersebut dan tiada sebarang program atau aktiviti yang tular sebelum ini akan diadakan,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Bagaimanapun, kata Ashari, polis akan membuat pemantauan berterusan ke atas premis tersebut dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku perlanggaran undang-undang.

    Jelas beliau, setakat pukul 4 petang hari ini, polis menerima 60 laporan yang membantah penganjuran program berkenaan.

    “Pihak polis peka mengenai penganjuran program-program yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum yang boleh mengganggu gugat ketenteraman dan keselamatan negara,” katanya.

    Pihak polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menjalankan apa-apa aktiviti yang melanggar undang-undang sehingga menggugat ketenteraman awam.

    Pada Ahad lalu, sebuah kelab menyiarkan poster pelancarannya dalam media sosial menampilkan persembahan oleh pelayan lelaki berbadan sasa berpakaian wanita dikenali sebagai Thai Hot Guy sekali gus mengundang reaksi negatif orang ramai.

    Acara itu dikatakan akan diadakan pada 30 Mac di Privacy Club Tun Razak, Kuala Lumpur.

  • Program ziarah gereja: Polis rekod keterangan 5 individu

    Program ziarah gereja: Polis rekod keterangan 5 individu

    SERAMAI lima individu dipanggil polis untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung program ‘Jom Ziarah Gereja’.

    Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, ketika ini kertas siasatan sudah di peringkat akhir penelitian sebelum diserahkan kepada pejabat Pendakwa Raya.

    “Setakat ini, kita telah memanggil lima individu termasuk Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Badrul Hisham Shaharin (Chegubard),” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Mengulas mengenai dakwaan Chegubard berkaitan isu kaum terhadap pegawai polis yang mengambil keterangannya dan Hannah, Eng Lai berkata, siasatan polis adalah adil dan saksama tanpa mengira bangsa.

    “Mungkin secara kebetulan sahaja, penyiasatan polis adalah adil dan saksama tidak kira bangsa seseorang pegawai penyiasat dan pengadu,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Kelmarin media melaporkan, polis membuka satu kertas siasatan berhubung penganjuran program ‘Jom Ziarah Gereja’.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim dilaporkan berkata, walaupun program itu telah dibatalkan pada Sabtu, namun satu laporan polis telah diterima berhubung kes itu.

    Pada 14 Mac lalu, Hannah ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat menjelaskan bahawa, program ‘Jom Ziarah Gereja’ tidak melibatkan individu beragama Islam.

  • Polis buru wanita curi barang jemaah dalam Masjid Taman Temerloh Jaya

    Polis buru wanita curi barang jemaah dalam Masjid Taman Temerloh Jaya

    POLIS kini memburu seorang wanita yang bertindak mencuri barangan milik jemaah wanita di Masjid Taman Temerloh Jaya pada malam Sabtu.

    Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Mohd. Yusoff berkata, pihaknya menerima dua laporan mengenai kejadian pada petang kelmarin.

    Beliau berkata, dalam kejadian pukul 8.48 malam, suspek dipercayai seorang wanita Melayu berusia 40-an dilihat mencuri barang peribadi milik jemaah wanita bernilai RM3,500.

    “Siasatan mendapati suspek menaiki kereta Proton Wira biru atau kelabu dan kertas siasatan kini dibuka di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Jelasnya, suspek kini giat dikesan dan sebarang maklumat mengenai kejadian boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Sarja Md Tarmizan Mohamed di talian 013-3418771 atau kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh di talian 09-2716222.

  • Mayat buruh lemas ditemui selepas 30 jam

    Mayat buruh lemas ditemui selepas 30 jam

    MAYAT seorang buruh yang lemas semasa mandi bersama rakannya di Sungai Lebir, Manek Urai, Kuala Krai kelmarin ditemui dalam keadaan terapung di kawasan sungai tersebut selepas lebih 30 jam hilang.

    Mangsa, Mohd. Zulkifli Salleh, 31, dijumpai kira-kira 1.2 kilometer dari lokasi dia mandi selepas memancing bersama tiga rakannya oleh pasukan penyelamat yang terdiri daripada anggota polis dan bomba kira-kira pukul 7.24 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, mayat mangsa yang berasal dari Kampung Slor Machang, Sungai Sak di Kuala Krai ditemui terapung di bahagian sebelah kiri sungai berkenaan.

    “Mayat mangsa dibawa ke darat sebelum proses pengecaman dilakukan oleh keluarga mangsa.

    “Mayat Mohd. Zulkifli dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk dibedah siasat dan operasi mencari mangsa ditamatkan pada pukul 7.50 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Kosmo!.

    Media sebelum ini melaporkan, kegembiraan empat sahabat memancing di Sungai Lebir, Manek Urai di sini berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas semasa mandi di sungai itu petang Ahad lalu.