Category: Jenayah

  • 3 lelaki ditahan bergaduh selepas perlawanan bola sepak

    3 lelaki ditahan bergaduh selepas perlawanan bola sepak

    TIGA lelaki tempatan berumur antara 20 hingga 23 tahun ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam insiden pergaduhan di luar Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang malam semalam selepas perlawanan bola sepak antara Penang FC menentang Perak FC.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, salah seorang suspek yang ditahan turut mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.

    Jelas beliau, hasil semakan polis mendapati kejadian itu berlaku pada 1 April, pukul 12.30 tengah malam di luar stadium.

    ”Pergaduhan berpunca daripada provokasi antara penyokong kedua-dua pasukan lawan, pihak polis berjaya mengawal keadaan serta menahan tiga lelaki tenpatan yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Video pergaduhan itu yang menunjukkan sekumpulan penyokong bola sepak membuat rusuhan di luar kawasan stadium dipercayai di kawasan Pulau Pinang turut tular di media sosial sejak awal pagi ini.

    Menurut Soffian, hasil awal saringan air kencing mendapati kesemua tangkapan bebas daripada sebarang jenis dadah dan kesemua mereka dilepaskan dengan jaminan polis setelah soal siasat selesai.

    Dalam pada itu, katanya, polis juga sedang giat mengesan individu-individu lain yang terlibat dengan kejadian ini dan kes disiasat dibawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh.

    “Kita juga menasihati orang ramai tidak menularkan rakaman video kejadian itu untuk mengelakkan sebarang spekulasi,” katanya.

  • Pemandu bas tular guna telefon disaman

    Pemandu bas tular guna telefon disaman

    TINDAKAN pemandu bas menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan tular di media sosial mengundang padah apabila polis mengeluarkan saman ke atas lelaki itu.

    Menurut Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, tindakan diambil ke atas pemandu bas berkenaan mengikut Peraturan 17A LN166/59 kerana memandu menggunakan telefon tanpa alat bebas tangan.

    Beliau berkata, siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku pada 28 Mac lalu di Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan).

    “Polis berjaya mengesan pemandu bas terbabit dan mengarahkan dia hadir ke Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah bagi membantu siasatan,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata demikian dalam kenyataan di laman sosial Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang, hari ini.

    Mohd Shuhaily berkata, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

    Namun katanya, ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas pemandu bas itu didapati ia bebas daripada penyalahgunaan dadah.

    Terdahulu tular video berdurasi 21 saat pada Jumaat lalu memaparkan seorang pemandu bas menggunakan telefon ketika memandu dan perbuatan itu mendapat reaksi warga net yang mahukan pihak berkuasa mengambil tindakan ke atasnya.

  • 128 saman terhadap penunggang motosikal hanya dalam tiga jam operasi

    128 saman terhadap penunggang motosikal hanya dalam tiga jam operasi

    HANYA dalam tempoh tiga jam operasi, seramai 119 daripada 367 penunggang motosikal yang diperiksa dikenakan 128 notis saman atas pelbagai kesalahan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang.

    Saman itu dikeluarkan menerusi Ops Bersepadu Luaran oleh Unit Operasi JPJ Pulau Pinang yang dijalankan di lorong motosikal plaza tol Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) antara pukul 11.45 malam hingga 2.30 pagi kelmarin.

    Turut terbabit dalam operasi itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri dengan kekuatan 21 anggota.

    Menurut JPJ Pulau Pinang dalam satu kenyataan, operasi motosikal yang diadakan itu bertujuan memastikan penunggang serta pembonceng motosikal mematuhi peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan ketika ini.

    Pada masa sama katanya, mereka juga perlu memastikan tiada sebarang pengubahsuaian dibuat terhadap motosikal masing-masing untuk tujuan lumba haram, uji kelajuan atau rempit.

    “Antara kesalahan yang dikesan dalam operasi itu termasuk tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.

    “Kesalahan lain ialah mempamerkan nombor pendaftaran ‘fancy’ dan ekstrem, tiada cermin sisi selain mengubah suai motosikal tanpa kebenaran,” katanya

    Sehubungan itu, katanya, penunggang dan pemilik motosikal khususnya dinasihatkan mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada serta memandu dengan cermat dan berhemah bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian membabitkan golongan berkenaan yang tinggi ketika ini.

  • 13 Proton Wira buat bising disita

    13 Proton Wira buat bising disita

    Oleh BADLISHAH MAT

    POLIS menyita 13 buah kereta Proton Wira setelah tindakan sekumpulan lelaki berkumpul di kawasan parkir di Jalan Alamanda, Sik yang mengeluarkan bunyi bising kenderaan masing-masing.

    Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata; operasi disertai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik bermula pukul 11 malam hingga 2 pagi.

    Selain Proton Wira yang disita dalam Op Bersepadu dan Samseng Jalanan itu, polis turut menyita tiga motosikal kerana melakukan pelbagai kesalahan antaranya tiada cukai jalan, tiada lesen memandu dan nombor pendaftaran.

    Tindakan mereka itu juga mengganggu ketenteraman awam ketika bulan Ramadan dan polis bertindak berdasarkan maklumat yang diterima.

    “Jumlah saman yang dikeluarkan dalam operasi ini adalah 101, termasuk 13 kenderaan dan tiga motosikal mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    “Antara kesalahan yang dilakukan tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, insuran, nombor pendaftaran, aksesori, cermin sisi dan mengubah suai ,” katanya.

    Abdull Razak berkata, jumlah individu yang ditahan dalam operasi itu pula seramai tiga orang berusia 19 hingga 27 tahun membabitkan empat kes.

    “Antara kesalahan adalah Seksyen 42 (1) APJ 1987 (2 kes), Seksyen 108 (3) (f) 1987 (1 kes) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (1 kes),” katanya.

  • Lelaki OKU cederakan bekas majikan tak bayar hutang

    Lelaki OKU cederakan bekas majikan tak bayar hutang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki bisu dan pekak ditahan polis bagi membantu siasatan kes bekas majikannya yang ditemukan berlumuran darah di Jalan Pertanian 26, Taman Universiti, Skudai, Johor Bahru, malam tadi.

    Kejadian tersebut dilaporkan orang awam kepada pihak polis pada pukul 10.56 malam.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superitendan Fariz Ammar Abdullah berkata, mangsa, 45, bekerja sebagai pemandu lori dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

    “Mangsa mengalami kecederaan di bahagian tangan, muka dan telinga dipercayai terkena ojbek tajam.

    “Hasil tindakan pantas polis pada jam 12.15 tengah malam tadi berjaya menahan suspek yang merupakan warga tempatan berusia 26 tahun di rumahnya di Taman Universiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, pakaian digunakan suspek yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan bisu semasa kejadian turut dirampas.

    Jelasnya, semakan lampau mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau melibatkan tiga kes jenayah dan satu kes dadah.

    “Motif kejadian kerana mangsa dikatakan tidak membayar gaji semasa suspek bekerja dengannya sebagai kalindan lori,” ujar beliau.

    Suspek katanya, direman selam tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat.

  • 91 sindiket edar dadah dah tumpas

    91 sindiket edar dadah dah tumpas

    POLSI menumpaskan 91 sindiket pengedaran dadah tumpas susulan pelbagai operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara sejak Januari hingga semalam.

    Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dalam kenyataan memberitahu, sepanjang tempoh itu 256 individu dan tiga ahli kimia disyaki terbabit dengan sindiket terbabit ditahan dan turut berjaya membongkar tiga makmal ‘memasak’ dadah.

    “JSJN juga berjaya merampas 7,538 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah dan 1,013 liter pelbagai jenis cecair dadah.

    “JSJN juga berjaya merampas 24,760 kg daun ketum dan 18,049 liter air ketum serta dua batang pokok ganja yang membawa nilai rampasan adalah sebanyak RM199.5 juta,” menurut kenyataan itu, hari ini.

    JSJN berkata, sepanjang tempoh itu juga, keseluruhannya mereka menahan 50,109 individu di bawah pelbagai seksyen di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Akta Racun 1952, dan Akta Penagih Dadah 1983.

    Katanya, daripada jumlah itu 90 individu ditahan mengikut Seksyen 3(1) ADB 1952 Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

    Selain itu, 2,135 penagih dadah tegar yang mempunyai rekod kesalahan dadah berulang di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 telah dituduh mengikut Seksyen 39C akta sama dan 1,189 disabit kesalahan.

    “JSJN juga tidak berkompromi terhadap penjawat awam yang terlibat apabila 156 penjawat awam turut ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah di mana empat daripadanya ditahan mengikut Seksyen 3(1) ADB 1952 Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985,” katanya.

    JSJN memaklumkan, keseluruhannya 20,204 kertas siasatan dibuka di mana 88.14 peratus atau 17,807 kes berjaya dituduh di mahkamah.

    “Bagi melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di Malaysia, pelbagai aset sindiket dadah yang bernilai RM23.67 juta telah disita manakala sebanyak RM1.89 juta nilai harta yang telah dilucut hak.

    “Sehubungan itu, JSJN menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan anda, sila salurkan ke Hotline JSJN di talian 012-208 7222,” katanya, lapor Harian Metro.

  • SPRM jumpa Bachar Kiwan di Perancis tahun lalu – Azam

    SPRM jumpa Bachar Kiwan di Perancis tahun lalu – Azam

    SEPASUKAN pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuan (SPRM) telah bertemu ahli perniagaan Syria-Perancis, Bachar Kiwan pada Mac 2022 untuk mendapatkan maklumat mengenai penglibatannya dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.

    Ini termasuk dakwaan pengubahan dana 1Malaysia Development berhad (1MDB) melalui Kuwait.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini, mengesahkan dakwaan Bachar mengenai pertemuan di Paris, Perancis, di mana anak kelahiran Kuwait itu tinggal sejak dia melarikan diri dari negara teluk itu pada 2017.

    “Ya, pegawai SPRM bertemu Muhammad Bachar Kiwan di Paris pada Mac tahun lalu.

    “Mesyuarat itu diadakan dengan kehadiran Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Undang-undang dan Hak Asasi Manusia ketika itu Azalina Othman dan Ketua Pengarah Pusat Anti Jenayah Kewangan Kebangsaan Mustafar Ali,” kata Azam.

    Azam, bagaimanapun, memberitahu bahawa SPRM tidak memperoleh sebarang maklumat penting daripada Bachar berhubung siasatan mereka yang pada mulanya mendedahkan jejak wang dari China ke bank China di Kuwait dan seterusnya ke entiti Cayman Islands yang dikawal oleh Low.

    Bachar, yang menggambarkan dirinya sebagai seorang pemberi maklumat, dalam temu bual dengan Malaysiakini mendedahkan bahawa dia bertemu dengan pegawai SPRM pada Mac tahun lepas.

    “Bagaimanapun, mereka telah menjelaskan bahawa Peguam Negara tidak akan meluluskan kes yang akan mendedahkan Najib lagi pada masa itu,” katanya merujuk kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang pada masa itu telah pun dibicarakan berhubung deposit RM2.28 bilion dana 1MDB ke dalam akaun bank peribadinya.

    Pertemuan itu diadakan kira-kira sebulan selepas Bachar menuduh SPRM sengaja melengahkan untuk bertemu dengannya, walaupun terdapat komunikasi awal antara peguamnya dan peguam SPRM dari Mei 2021 hingga Oktober tahun yang sama.

    “Dan selepas saya menawarkan maklumat yang banyak kepada mereka, mereka memberitahu saya pada September 2022 mereka tidak menerima lampu hijau untuk meneruskan kes untuk mendapatkan semula dana untuk Malaysia,” dakwa Bachar.

    Difahamkan terdapat percubaan yang gagal untuk mengadakan perjanjian antara Bachar dan SPRM dengan maklumat mengenai Jho Low ditawarkan sebagai pertukaran untuk mendapatkan bantuan bagi pembebasan Bachar daripada tuduhan pengubahan wang haram yang dibicarakan di Kuwait pada masa itu.

    “Bachar Kiwan, seperti Jho Low, adalah seorang pelarian dan disabitkan kesalahan tanpa kehadiran dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun,” tegas Azam yang merujuk kepada sabitan terbaru mahkamah Kuwait.

    Kisah Bachar mengenai hubungannya dengan Jho Low juga telah dilaporkan secara terperinci oleh The Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report pada 2020.

    Pada masa itu, WSJ melaporkan bahawa Jho Low didakwa bersubahat dengan seorang elit Kuwait – seorang pegawai kerajaan pada masa itu untuk mencuci wang melalui syarikat Bachar Al Waseet.

    Laporan itu mendakwa bahawa Bachar telah menunjukkan dokumen yang membuktikan bahawa Jho Low akhirnya berjaya memindahkan 1.4 bilion yuan (RM790 juta pada kadar pertukaran semasa) melalui anak syarikat Al Waseet yang tidak dinamakan.

    Pemilikan anak syarikat itu akhirnya dipindahkan kepada golongan elit Kuwait.

    Pada Rabu, akhbar Kuwait, Al-Qabas melaporkan bahawa seorang syeikh, pasangannya dan dua warga asing telah dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun, manakala seorang peguam dijatuhi hukuman tujuh tahun, atas tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana Malaysia.

    Sarawak Report mengenal pasti syeikh itu sebagai Sheikh Sabah Jaber, anak kepada bekas perdana menteri Kuwait. Pasangannya dikenal pasti sebagai sekutu Jho Low, Hamad Al Wazan dan peguamnya sebagai Saud Abdelmohsan.

    Menurut Al-Qabas, kelima-lima mereka didakwa melakukan pengubahan wang haram dalam mata wang China bersamaan dengan KD343,700,000 (RM4.95 bilion), kerana mengetahui ia adalah hasil haram yang digelapkan daripada dana kekayaan negara Malaysia.

    Dana itu digunakan untuk membayar hampir AS$1 bilion (RM4.4 bilion) bagi aset dikawal Jho Low di Malaysia, untuk membayar sebahagian daripada hutang 1MDB.

  • Polis tahan lelaki ugut, khianat pemandu lain di lampu isyarat Pasir Gudang

    Polis tahan lelaki ugut, khianat pemandu lain di lampu isyarat Pasir Gudang

    POLIS menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kes ugutan dan perbuatan khianat terhadap seorang pemandu lain, di persimpangan lampu isyarat di Pasir Gudang, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, telah menangkap lelaki itu di kawasan Pasir Putih, Pasir Guaang, pada pukul 6.20 petang.

    Beliau berkata kejadian itu dipercayai berpunca apabila lelaki berusia 35 tahun itu, dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang telah memotong kenderaannya, kira-kira pukul 2.15 petang.

    Tambah beliau, dia kemudiannya bertindak menghimpit dan melanggar belakang kereta mangsa, sebelum mereka kemudiannya berhenti di tepi jalan dan dia mengeluarkan sebatang besi lalu mengugut untuk memukul mangsa.

    “Selain itu, kita turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan sebatang besi berukuran 60 sentimeter.

    “Bagaimanapun, hasil semakan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Mohd Sohaimi berkata lelaki itu kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini, di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
    Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

    Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Mohd Sohaimi berkata pihaknya telah menahan seorang lelaki tempatan kerana memiliki pelbagai jenis mercun dan bunga api tanpa lesen, dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Jaya, Pasir Gudang, petang semalam.

    Beliau berkata lelaki berusia 28 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5.10 petang dan pihaknya turut merampas kesemua barangan tersebut, yang dianggarkan bernilai RM8,000 dan dipercayai untuk dijual sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri akan datang.

    Mohd Sohaimi berkata antara yang dirampas ialah tiga guni mercun bola Thai, satu kotak mercun ‘Happy Boom’ Padi, satu kotak mercun ‘Happy Boom Sunset Bar’ dan satu kotak mercun ‘Happy Boom Assorted Celebrations Cake.

    “Bagaimanapun, hasil semakan mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

    “Lelaki itu kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari bermula hari ini,” katanya.

  • Gempur 7 pusat pelacuran beroperasi ketika Ramadan

    Gempur 7 pusat pelacuran beroperasi ketika Ramadan

    DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggempur tujuh pusat pelacuran yang beroperasi pada bulan mulia ini di sekitar Jalan Petaling, Kuala Lumpur malam tadi.

    Operasi Tindakan Khas Premis Berisiko itu bermula 9 malam, dijalankan bersama polis selepas risikan di beberapa lokasi panas di ibu negara.

    DBKL dalam kenyataan hari ini memberitahu, pihaknya mengenal pasti premis-premis perniagaan yang menawarkan aktiviti seks dan pelacuran melibatkan wanita warga asing.

    “Tujuh premis diserbu dan menahan empat wanita Bangladesh, India (satu) dan Indonesia (satu) disyaki bekerja sebagai pelayan.

    “Seramai 16 lelaki terdiri daripada dua warga tempatan disyaki penjaga premis dan 14 warga asing dipercayai pelanggan turut ditahan,” menurut kenyataan tersebut.

    DBKL mengarahkan semua premis ditutup mengikut Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan turut dikenakan notis kompaun.

    “DBKL bertindak memecahkan 85 bilik yang dibina tanpa kelulusan serta membuat tindakan sita terhadap 212 pelbagai barangan dan peralatan dipercayai bagi menjalankan aktiviti tidak bermoral.

    “Antaranya, kondom, minyak pelincir, tisu basah, kipas dinding, cctv dan dibawa ke Stor Sitaan DBKL, Jalan Lombong, Taman Miharja untuk tindakan lanjut,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Penyanyi sambilan ditahan pukul anak angkat hingga muntah, sukar bernafas

    Penyanyi sambilan ditahan pukul anak angkat hingga muntah, sukar bernafas

    SEORANG remaja perempuan mendakwa dipukul ibu angkatnya yang juga penyanyi sambilan sehingga muntah, badan menggeletar dan susah bernafas dalam kejadian di rumahnya di Ukay Perdana, Ampang Jaya.

    Perkara tersebut terbingkar selepas remaja berusia 16 tahun itu berjumpa guru kaunseling kelmarin.

    Remaja itu datang ke bilik gurunya pada pukul 8 pagi dalam keadaan sukar bernafas dan badan menggeletar sebelum muntah.

    Gurunya kemudian bertanya sebelum dia mendakwa dipukul ibu dan diugut bunuh sebelum guru berkenaan tampil membuat laporan polis.

    Mangsa turut dibawa ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan selepas dilihat dalam keadaan lemah.

    Difahamkan kejadian berpunca apabila mangsa ingin pergi solat tarawih namun tidak dipercayai ibu angkatnya yang mengesyaki dia mahu bertemu rakan lelaki menyebabkan berlakunya insiden dipukul.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Farouk Eshak berkata, susulan laporan diterima, polis kemudian menahan wanita berusia 46 tahun itu di pangsapuri di Ukay Perdana semalam.

    Menurutnya, semakan terhadap suspek mendapati dia memiliki satu rekod lampau jenayah tidak dikehendaki polis.

    “Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek negatif dadah.

    “Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.