LAPAN lelaki yang berhimpun di hadapan pusat beli belah SOGO di Kuala Lumpur, Sabtu lalu bagi menyokong hak golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ) Sabtu lalu, sudah ditahan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, berkata semua individu berusia antara 18 hingga 56 tahun ditahan pada hari kejadian.
Menurut beliau, pada himpunan terbabit, mereka mempamer plakad dan kain rentang selain melaungkan “Hanya Tuhan Boleh Menghakimi dan Menjadi Gay Bukan Jenayah’ dan ‘Down down Syariah Court’.
Siasatan mendapati semua mereka adalah pengikut ajaran ‘Ahmadi The Religion of Peace and Light’ sejak dua tahun lalu.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas polis, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil dan Seksyen 9 Akta Perhimpunanan Aman 2012.
“Siasatan lanjut mendapati salah seorang daripada mereka pernah ditahan di Putrajaya dua minggu lalu kerana mengedarkan risalah mengenai ajaran itu di Masjid Putrajaya, dua minggu lalu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain.
GAMBAR: Warta Rakyat
Katanya, kesemua suspek direman sehari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
“Setakat ini kita sudah merakam keterangan 11 saksi berkait kes ini dan kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.
“Polis turut difahamkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga sedang menjalankan siasatan ke atas kumpulan ajaran berkenaan,” katanya, lapor Berita Harian.
Terdahulu tular satu satu video berdurasi 48 saat dimuat naik pengguna TikTok memaparkan beberapa lelaki memegang plakad menyokong LGBTQ di hadapan pusat beli belah Sogo.
Antara mesej terpampang di plakad berkenaan adalah ‘Gay people are not criminals and being gay is not a crime’ bermaksud golongan gay bukan penjenayah dan menjadi gay bukan satu jenayah.
ORANG kena tahan (OKT) warga asing berjaya ditahan semula beberapa jam selepas meloloskan diri dari kenderaan polis di Jalan Kuching arah pusat bandar, di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, suspek yang mempunyai kepakaran membuka gari melompat dari trak polis yang sedang bergerak pukul 12.50 tengah hari.
Beliau memberitahu, pihaknya menutup beberapa jalan untuk mengesan OKT berkenaan yang berjaya meloloskan diri dan berjaya ditangkap semula pukul 9.20 malam di Masjid Medan Idaman, Setapak, di Kuala Lumpur.
“Ketika kejadian, OKT berkenaan dalam perjalanan pulan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju selepas selesai permohonan reman di Lokap Berpusat Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.
Menurutnya, hasil soal siasat, suspek dipercayai mengambil masa sekitar 30 minit bagi melepaskan diri dari gari sebelum terjun.
Jelasnya, pihak polis sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan.
“Siasatan turut dijalankan terhadap anggota kerana kecuaian ketika menjalankan tugas,” katanya.
Tambahnya, pihak polis sedang mengesan dua rakan sejenayah OKT yang dipercayai terbabit dengan kegiatan samun di sekitar ibu negara.
“Kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut,” katanya, lapor Harian Metro.
POLIS sedang memburu seorang individu selepas dipercayai memecah masuk dan mencuri beberapa barang kes di stor eksibit Ibu Pejabat Polis (IPD) Sepang di Sepang, Jumaat lalu.
Menurut sumber, antara yang dilaporkan hilang dipercayai dicuri individu terbabit adalah beberapa barangan kes yang sedang menunggu untuk dilupuskan membabitkan siasatan sejak 2014.
“Ia dalam tindakan pelupusan yang disimpan di ruang khas di pejabat stor terbabit dan barang kes terbabit dalam proses dikemas kini ke dalam komputer bimbit.
“Kuantiti terperinci barangan yang hilang masih dalam siasatan,” katanya di Sepang, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu namun enggan mengulas lanjut.
“Saya sahkan kejadian ini dan ia masih dalam siasatan pihak polis,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi hari ini.
PEMUDA Perikatan Nasional (PN) hari ini tampil membuat dua laporan polis terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Ketua Pemudanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, laporan pertama membabitkan ucapan Ahmad Zahid berkaitan pengumuman kewangan dalam sebuah program di Terengganu yang berbau sogokan.
Katanya, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu jelas menyalahgunakan kuasanya dan kemudahan jawatan kerajaan untuk kepentingan politik sendiri apabila mengumumkan sejumlah peruntukan.
“Ahmad Zahid telah mengumumkan peruntukan kewangan sekiranya belia di Terengganu mengundi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN). Ini merupakan rasuah.
“Beliau (Ahmad Zahid) menyebut, kalau tadi Belia Ketengah memberikan peruntukan RM30,000 dan saya tambah RM70,000 jadi RM100,000, untuk Majlis Belia Terengganu saya luluskan RM250,000. Untuk pasukan bermotosikal Terengganu saya beri peruntukan sebanyak RM200,000.
“Kenyataan ini juga boleh disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas beliau menyebut, lepas ini bila PM datang, dia akan tambah insyaAllah, asalkan pada 12 Ogos nanti, para belia mengikut ‘Gelombang Biru dan Merah’ di Terengganu, boleh?” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ketua Armada Bersatu Wilayah Persekutuan, Mohd Safwan Manoga membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini.
Pada 27 Julai lalu media melaporkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersetuju memperuntuk geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) bagi tujuan pembangunan aktiviti golongan itu di negeri berkenaan.
Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kenyataan yang mempunyai unsur sogokan terhadap pengundi-pengundi bagi PRN ke-15 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
Menterinya, Ahmad Zahid berkata jumlah itu mungkin bertambah bergantung kepada prestasi golongan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Pada program Sentuhan Kasih Desa, yang dihadiri Anwar, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 untuk Majlis Belia Malaysia Terengganu dan RM200,000 bagi persatuan permotoran di negeri itu.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Machang menggesa SPRM menyiasat kenyataan Ahmad Zahid merangkap Pengerusi BN yang didakwa berbaur sogokan bagi meraih undi pada PRN mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Sementara itu menurutnya, laporan lain yang dibuat membabitkan ucapan Anwar yang didakwa menggunakan kuasa eksekutif untuk mengerah agensi penguatkuasaan membuat siasatan yang bermotif politik.
“Pada 24 Julai lalu di Machang, Anwar menyebut, tiga kali dah saya tegaskan kamu mesti pulangkan balik wang dan harta yang kamu curi daripada rakyat. Kalau tidak, saya minta semua badan siasat, pergi rumah dan pejabat dia, tengok akaun (bank) dia, semak mana yang dia curi (kemudian) ambil balik.
“Anwar telah menyalahgunakan kuasanya selaku Perdana Menteri untuk menekan badan penguat kuasa memulakan siasatan terhadap PN untuk memberi gambaran salah bahawa tindakan Mahkamah yang diambil mempunyai asas sedangkan ia adalah palsu sama sekali.
“Tindakan dan komplot Anwar dalam menggunakan agensi penguatkuasa bagi tujuan kolateral dan bagi kepentingan mereka sendiri adalah bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan prinsip pengasingan kuasa,” katanya, lapor MalaysianGazette.
Wan Ahmad Fayhsal mendakwa, Anwar melibatkan agensi penguatkuasaan supaya menyiasat dan mengenakan pendakwaan jenayah terpilih terhadap pemimpin pembangkang bagi melumpuhkan PN pada PRN yang sedang berlangsung.
Dakwanya lagi, ia bagi menakut-nakutkan dan mendiamkan mulut pembangkang.
Justeru Wan Ahmad Fayhsal menggesa PDRM menyiasat kedua-dua Anwar dan Ahmad Zahid bagi mengekang perbuatan jenayah dan salah guna kuasa oleh pemimpin kerajaan.
POLIS Pulau Pinang menerima tiga laporan berhubung kejadian merosakkan bendera parti politik bermula hari berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) kelmarin setakat tengah malam tadi.
Jurucakap Media PRN Ke-15, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner W. Pusphanathan berkata, ketiga-tiga kejadian itu dilaporkan berlaku di daerah Seberang Perai Tengah (SPT); Seberang Perai Utara (SPU) dan Barat Daya.
Pusphanathan yang juga Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti PDRM Pulau Pinang menambah, kesemua kes itu kini sedang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat) kerana kesalahan merosakkan bendera parti politik bertanding, namun tiada tangkapan dilakukan setakat ini.
“Bermula tempoh kempen PRN sejak kelmarin juga, polis Pulau Pinang telah meluluskan sebanyak 107 permit bagi mengadakan ceramah oleh parti-parti yang bertanding setakat ini.
“Kita telah meluluskan permit bagi kesemua permohonan untuk mengadakan ceramah di semua daerah di negeri ini yang mana tiada permohonan ceramah ditolak setakat ini.
“Bagaimanapun, kita tetap menasihatkan parti-parti politik bertanding supaya memohon permit ceramah lebih awal supaya tiada masalah dari segi kelulusan,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, hari ini.
Sementara itu, Pusphanathan berkata, polis setakat ini juga tidak menerima sebarang laporan berkaitan kesalahan yang menyentuh mengenai isu agama, kaum dan raja (3R) sepanjang waktu berkempen.
Dalam masa sama, pihaknya juga tidak menerima sebarang maklumat berkenaan wujud elemen perjudian oleh mana-mana pihak sepanjang proses PRN negeri ini setakat ini.
“Kita juga terus mengingatkan parti-parti dan individu terutama penyokong parti supaya tidak memainkan isu 3R dan tidak melakukan sebarang provokasi, kacau ganggu atau pergaduhan yang boleh mendatangkan ketidakharmonian dan kesejahteraan di negeri ini.
“Polis akan mengambil tindakan tegas terrhadap mana-mana parti politik atau individu yang dikesan melakukan kesalahan ini tanpa mengira status mereka.
“Berkempenlah secara harmoni dan patuhilah peraturan-peraturan serta undang-undang pilihan raya sepanjang tempoh berkempen,” katanya.
Dalam pada itu, tambahnya, polis Pulau Pinang turut mewujudkan 50 kumpulan cantas atau pemantau dengan kekuatan seramai 44 pegawai dan 195 anggota bagi memastikan ketenteraman awam terkawal sepanjang tempoh berkempen PRN kali ini.
POLIS menahan seorang lelaki berumur 36 tahun di sini semalam, yang disyaki terlibat membaling batu ke arah Ibu Pejabat Pas Pusat di Jalan Raja Laut, kelmarin, sehingga mengakibatkan dinding kaca pejabat itu pecah.
Menurut sumber, penganggur itu ditahan di Lorong Tiong Nam, Chow Kit pada pukul 10 malam dan dia akan direman hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana kesalahan khianat.
Menurut sumber itu lagi, difahamkan lelaki berkenaan berbuat demikian kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan parti PAS, dari segi kerjasama politik.
“Siasatan awal juga mendapati suspek mempunyai 16 rekod jenayah lampau termasuk sembilan rekod kesalahan dadah,” katanya kepada Bernama.
Sabtu lepas, Pas membuat laporan polis selepas dinding kaca di Ibu Pejabat Pas Pusat dibaling dengan batu oleh seorang lelaki, beberapa jam sebelum bermula proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki termasuk seorang pegawai penguat kuasa sebuah Suruhanjaya Tinggi kerana didakwa bersubahat menyalahgunakan Visa Luar Negara (VLN) untuk membawa masuk warga Bangladesh.
Sumber SPRM berkata, turut ditahan pengarah urusan sebuah syarikat pembekal tenaga kerja, dipercayai bersekongkol dengan pegawai terbabit untuk meluluskan visa warga Bangladesh, kononnya untuk melancong namun sebaliknya bekerja di Malaysia.
Menurutnya, siasatan mendapati pegawai terbabit bersubahat dengan agensi pekerjaan di Bangladesh dan Malaysia sejak 2021 dan menerima bayaran sekitar USD300 ke USD500 bagi setiap kelulusan permohonan VLN.
“Ia membabitkan jumlah rasuah dianggarkan lebih RM100 juta, meskipun pembayaran visa yang ditetapkan oleh kerajaan hanya RM105 sahaja,” katanya, memetik laporan FMT.
Sumber berkata, penahanan itu adalah ketiga membabitkan pegawai agensi penguat kuasa untuk membantu siasatan Op Taka dilancarkan April lalu oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Imigresen.
Suspek yang berusia lewat 30-an ditahan 6.30 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Majistret M. Mageshwary membenarkan suspek direman empat hari sehingga 31 Julai selepas SPRM mengemukakan permohonan di Mahkamah Shah Alam hari ini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan menjelaskan siasatan dibuat di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009.
SEORANG lelaki berusia 30-an parah selepas lehernya dikelar dengan pisau oleh penagih dadah di Rantau Panjang, Pasir Mas kelmarin.
Ketua polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner, Kama Azural Mohamed berkata, mangsa sempat menaiki motosikal ke tempat kerja ibunya dalam keadaan berlumuran darah untuk mendapatkan bantuan dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu.
“Ibu mangsa membawanya ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang untuk rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu akibat pendarahan serius.
“Luka kelar di bahagian leher itu turut terkena bahagian saluran pernafasan mangsa. Mangsa kini ditidurkan dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPZ II,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek telah ditangkap di Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang malam kelmarin dan direman selama tujuh hari bermula 27 Julai hingga 2 Ogos ini.
Katanya, suspek yang mempunyai rekod lampau berkait kes dadah dan jenayah, didapati positif dadah jenis Methamphetamine ketika ditahan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” ujarnya, memetik laporan Astro Awani.
SEORANG lelaki warga emas warga tempatan ditemukan maut dengan kesan cedera di mulut, mata dan muka, di tempat letak kereta sebuah hotel di Genting Highlands, selepas dirakam bergaduh di lobi hotel.
Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata mangsa yang berusia 67 tahun, ditemukan pada 5.39 petang semalam, dalam keadaan terlentang.
“Hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, berlaku pergaduhan antara mangsa dengan seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun di lobi, sebelum mereka beredar ke tempat letak kereta dan sekali lagi bergaduh.
“Siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada salah faham dan tidak puas hati antara mangsa dan suspek, disebabkan bilik hotel,” katanya menerusi kenyataan di Kuantan hari ini.
Zaiham berkata suspek yang mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau, kini direman selama tujuh hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat.
Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian, diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di 09-2222222 atau balai polis berhampiran.