DUA Timbalan Pendakwaraya, pegawai kanan polis dan 14 anggota polis ditahan dalam serbuan di pusat hiburan di Seremban
Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman menahan seorang pegawai kanan polis, 14 anggota pasukan itu dan dua timbalan pendakwaraya ketika disyaki sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Dato Sheikh Ahmad di Seremban, awal pagi tadi.
Mereka ditahan dalam serbuan kira-kira jam 2.30 pagi.
Berita Harian melaporkan, brdasarkan laporan polis yang tular dalam media sosial, hanya seorang daripada yang ditahan disahkan negatif hasil ujian air kencing dijalankan, manakala selebihnya berada di bawah pengaruh dadah termasuk dua timbalan pendakwa raya terbabit.
Semua pegawai dan 14 anggota yang ditahan itu bertugas di pelbagai jabatan termasuk Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Nilai dan Tampin, selain Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Seremban serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.
Sementara dua timbalan pendakwa raya ditahan itu masing-masing bertugas di Shah Alam dan Negeri Sembilan.
Berdasarkan laporan JIPS, semua yang disahkan mereka positif berada di bawah pengaruh dadah jenis Ketamin, Amphetamin dan Methamphetamine. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, mengesahkan serbuan dilakukan JIPS Bukit Aman dengan kerjasama IPK negeri di pusat hiburan terbabit awal pagi tadi.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran terperinci dengan alasan ini siasatan awal masih dijalankan.
POLIS Pulau Pinang berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah bernilai RM5.78 juta apabila membongkar sebuah makmal haram memproses dadah jenis heroin di sebuah rumah teres dua tingkat di Tanjong Tokong.
Operasi itu dilakukan menerusi serbuan selama dua hari bermula pukul 4 petang, Selasa lalu di sekitar Georgetown dan Bukit Mertajam yang mana dua suspek lelaki berusia 42 hingga 46 tahun turut ditahan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, suspek pertama ditahan ketika sedang memandu kereta di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, Selasa lalu, manakala suspek kedua ditahan di parkir sebuah pusat membeli belah di Alma, Bukit Mertajam.
Jelasnya, penahanan suspek membawa kepada pembongkaran makmal haram memproses dadah di sebuah kondominium yang disewa suspek di Tanjong Tokong.
”Di makmal haram di kondominium tersebut, polis berjaya merampas dadah yang dianggarkan bernilai RM5.78 juta
“Dadah yang dirampas itu masing-masing heroin base seberat 65.48 kilogram, heroin (13.62 kilogram) dan serbuk kafein (8.48 kilogram),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di George Town hari ini.
Menurut Mohd. Kamarudin, dadah berkenaan dipercayai diseludup masuk menggunakan jalan darat dari Thailand sebelum diproses untuk pasaran tempatan dan polis masih mengesan saki baki ahli sindiket berkenaan.
Tambahnya, sindiket itu dipercayai mula aktif sejak awal tahun ini dan suspek berusia 42 tahun didapati mempunyai kepakaran memproses bahan-bahan untuk dijadikan dadah heroin.
”Kedua-dua suspek negatif dadah dan semakan rekod jenayah juga mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
”Kes disiasat di bawah seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman selama tujuh hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, tambah beliau, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (pelucuthakan harta) 1988 yang mana mana polis menyita sebuah kenderaan Toyota Estima yang disyaki diperolehi hasil jualan dadah dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan ialah RM5.85 juta.
POLIS Pulau Pinang menerima sebanyak 20 laporan berkaitan nama dan kad pengenalan digunakan individu lain untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) setakat ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, siasatan berhubung kes itu sedang berjalan dan tiada tangkapan dilakukan setakat ini.
Jelas beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
”Insiden ini menyebabkan 20 pengundi tidak dibenarkan mengundi kerana maklumat peribadi mereka sudah digunakan pihak lain,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.
Dalam pada itu, tambah beliau, polis juga menerima sebanyak 87 laporan membabitkan pelbagai kesalahan berkaitan pilihan raya sepanjang tempoh berkempen bermula 29 hingga 12 Ogos lalu.
Daripada jumlah itu, katanya, polis membuka 42 kes dan dua kertas inkuari polis (KEP) yang mana kesemuanya masih dalam siasatan.
“Kes-kes lain yang dibuka siasatan termasuk melibatkan khianat iaitu merosakkan banting; bendera atau bahan kempen.
“Selain itu, kita juga membuka kertas siasatan membabitkan dua kes berkaitan 3R (bangsa, agama dan raja) dan kes membabitkan fitnah terhadap calon, curi bendera, ugutan dan cetak kertas undi,” katanya.
DUA beradik antara tiga lelaki tempatan yang ditahan polis Pulau Pinang selepas dipercayai menjadi ahli sindiket memproses dan mengedar pelbagai jenis dadah termasuk heroin.
Kesemua mereka berusia 25 hingga 37 tahun itu ditahan dalam dua serbuan di Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan (SPS) dan Taman Sejahtera, Seberang Perai Tengah (SPT) semalam.
Dalam serbuan itu, polis turut membongkar makmal haram memproses heroin di sebuah rumah teres dua tingkat dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM200,000.
Difahamkan, seorang suspek adalah pemilik kedai dobi manakala dua suspek lagi yang merupakan adik beradik adalah pengusaha bengkel lori dan pemandu lori.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kesemua mereka ditahan dalam serbuan serentak kira-kira pukul 4.30 petang semalam.
Jelasnya, dalam serbuan itu, polis merampas sebanyak 30 bungkusan dadah jenis heroin seberat 13.5 kilogram bernilai RM184,800; dua kotak berisi 230 batang rokok dadah jenis ‘mushroom’ seberat 244 gram (RM13,800) dan serbuk kafein seberat 4.23 kilogram (RM1,400).
Selain itu, katanya, polis turut merampas pelbagai peralatan dan perkakasan untuk memproses dadah dan bahan kimia dipercayai untuk menghasilkan dadah.
‘Hasil risikan mendapati sindiket ini telah aktif memproses dan mengedar dadah sejak tiga bulan lalu untuk pasaran tempatan.
”Kita masih menyiasat sekiranya ada sindiket yang lebih besar berada di belakang mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.
Menurut Kok Chin, hasil ujian air kencing mendapati kesemua tangkapan negatif dadah dan semakan mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau kesalahan membabitkan jenayah dan dadah.
Jelasnya, kesemua tangkapan ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, katanya, polis turut menyita enam buah kereta mewah antaranya jenis Alphard; BMW; Mitsubshi Triton serta barang kemas dengan jumlah sitaan RM690,680.
PENERBANGAN pesawat Malaysia Airlines MH122 dari Sydney, Australia ke Kuala Lumpur tergendala apabila seorang lelaki mengancam kru dan penumpang pesawat berkenaan, tengah hari ini.
The Sydney Morning Herald melaporkan pesawat itu yang sepatutnya berlepas jam 1.06 tengah hari tadi (waktu tempatan) terpaksa berpatah balik semasa berada di New South Wales sebelum mendarat di Lapangan Terbang Sydney.
Menurut sumber daripada pelbagai lapangan terbang, sekurang-kurangnya 50 penerbangan masuk dan keluar terpaksa ditunda susulan kejadian itu.
Apabila berlaku kecemasan, penerbangan akan dihentikan sehingga menerima arahan kecemasan daripada pihak berkuasa.
Insiden itu tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki dalam pesawat berkenaan menjerit terhadap kru dan penumpang lain sambil memeluk sebuah beg di dadanya.
Pesawat itu berada di Lapangan Terbang Sydney, manakala penumpang akan dibenarkan keluar dari pesawat berkenaan selepas melalui proses pemeriksaan keselamatan.
Malaysia Airlines dalam kenyataan memaklumkan ketua penerbangan pesawat itu membuat keputusan untuk berpatah balik ke Sydney atas faktor keselamatan.
“Pesawat itu membawa 194 penumpang dan lima anak kapal selamat mendarat jam 3.47 petang (waktu tempatan).
“Keselamatan dan keselesaan kru serta penumpang kami adalah paling penting bagi Malayisa Airlines,” katanya, lapor Harian Metro.
Jurucakap Polis Persekutuan Australia (AFP) berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada pihak lapangan terbang dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan kemudian.
Sementara itu, jurucakap Lapangan terbang Sydney, pihaknya membantu pihak berkuasa bagi menguruskan insiden berkenaan.
DAKWAAN kononnya wujud bas digunakan bagi membawa pengundi hantu di negeri ini seperti yang ditularkan dalam sebuah klip video di media sosial sejak pagi tadi adalah tuduhan yang tidak benar.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh menegaskan, bas-bas itu bukan membawa pengundi hantu sebaliknya disewa khas oleh pihak polis untuk membawa lebih 7,000 pegawai dan anggota polis yang bertugas di negeri ini bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurutnya, hampir 2,000 daripada pegawai dan anggota terlibat datang dari luar Kedah antaranya Bukit Aman dan Perlis.
“Sebanyak 34 bas disewa khas untuk membawa pegawai dan anggota polis tersebut dengan 24 daripadanya disewa dari luar Kedah dan 10 dari dalam negeri ini. Pemeriksaan terhadap nombor plat bas yang tular tersebut mendapati, tiga bas berkenaan merupakan sebahagian daripada bas yang disewa.
“Saya memberi jaminan bahawa apa yang dibangkitkan itu (dakwaan wujud pengundi hantu) tidak betul. Tetapi kami mengalu-alukan pihak yang membuat membuat tuduhan itu, untuk membuat laporan polis bagi membuktikan dakwaan tersebut.
“Ini bagi memberi keadilan kepada pihak yang menuduh,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar hari ini.
Sejak pagi tadi tular tindakan pihak tertentu menahan tiga buah bas kerana didakwa membawa pengundi hantu. Dalam klip video tersebut, terdapat penggunaan kata-kata kesat oleh pihak terlibat dengan mereka mendakwa kejadian itu merupakan satu ‘sejarah’ kerana sebelum ini tidak pernah muncul bas di kawasan tersebut ketika pilihan raya berlangsung.
Pada sidang akhbar tersebut, Fisol turut membacakan beberapa nombor pendaftaran bas yang disewa khas polis untuk tujuan berkenaan.
Mengulas lanjut Fisol berkata, kejadian itu berlaku di Sungai Petani dan ketika bas tersebut ditahan, kalangan pegawai serta anggota terlibat sudah pun turun dari kenderaan berkenaan dan sedang menjalankan tugas masing-masing di serata tempat.
“Saya ingatkan di sini bahawa individu terlibat bertanggungjawa mengeluarkan satu isu yang telah menjadi kegusaran, kononnya terdapat pengundi hantu di Kedah. Disebabkan itu, saya segera mengadakan sidang akhbar bagi mengelakkan spekulasi,” katanya.
Dalam pada itu Fisol memaklumkan, pihaknya menerima tiga laporan dari orang awam yang mendakwa mereka tidak dapat mengundi kerana nama masing-masing telah digunakan individu lain.
“Selain itu, kami juga memandang serius dakwaan dibuat di media sosial oleh sepasang warga emas yang mendakwa petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memangkah di tempat yang salah sewaktu membantu sang suami mengundi.
“Difahamkan petugas SPR tersebut akan membuat laporan polis selepas beliau menamatkan tugas berkenaan dakwaan tersebut dan kami juga menyeru agar pasangan warga emas berkenaan turut melakukan tindakan sama,” katanya.
SEORANG anggota polis ditahan kerana disyaki menjadi tokan dadah dalam serbuan dilakukan di Taman Sejati Indah, dekat Sungai Petani, Kedah, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, suspek yang berusia 32 tahun ditahan kira-kira pukul 12.05 tengah hari oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkoti (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.
Dalam serbuan dijalankan itu katanya, polis turut menemukan lima bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu dianggarkan bernilai kira-kira RM168,000.
“Suspek tidak memiliki sebarang rekod lampau dan ujian saringan awal urin mendapati dia negatif dadah.
“Kesemua bungkusan dadah itu dianggarkan seberat 5.2 kilogram (Kg),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, suspek yang sudah berkahwin direman tujuh hari bermula semalam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Kesemua dadah itu jika terlepas ke pasaran dianggarkan boleh digunakan oleh 26,450 penagih,” katanya.
LIMA lelaki termasuk remaja berusia 15 tahun dicekup disyaki merogol berkumpulan, di Telok Panglima Garang, Banting pada 29 Julai.
Ketua Polis Kuala Langat Ahmad Ridhwan Mohd Nor, berkata tangkapan itu susulan laporan diterima daripada mangsa berusia 15 tahun yang mendakwa diperlakukan sedemikian kira-kira 2 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa dibawa seorang daripada suspek ke sebuah rumah sebelum dirogol secara bergilir-gilir.
“Bertindak atas maklumat, polis menahan lima lelaki warga tempatan berumur antara 15 hingga 23 tahun di kawasan Klang dan Telok Panglima Garang.
“Hasil semakan, kesemua suspek didapati tidak memiliki sebarang rekod jenayah. Ujian saringan awal air kencing terhadap mereka juga negatif dadah,” katanya dalam kenyataan lapor FMT
Katanya, semua suspek telah direman lapan hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 375(B) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman memperuntukkan penjara selama tempoh tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun.
TAKTIK licik sindiket penipuan pelaburan yang bersembunyi di sebuah premis di USJ 1, Subang Jaya selama setahun berjaya ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seramai 101 ahli sindiket itu berjaya ditahan polis dalam serbuan yang dilakukan pada 7 Ogos lalu.
Jelas beliau, serbuan itu dilakukan selepas pihaknya mengesyaki sindiket berkenaan menjalankan kegiatan penipuan pelaburan atas talian menggunakan nama GCM Asia.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
GAMBAR: Warta Rakyat
“Hasil serbuan tersebut, seramai 65 lelaki dan 36 wanita warga tempatan berusia dalam lingkungan 19 hingga 41 tahun ditangkap.
“Tangkapan terdiri daripada pengurus, pengurus operasi, juruteknik bahagian IT dan pekerja khidmat pelanggan pusat panggilan tersebut.
“Polis turut membuat rampasan sebanyak 94 komputer, 47 telefon pejabat, 96 telefin bimbit, sebuah modem dan sebuah router,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.
Sebahagian daripada komputer yang dirampas selepas polis berjaya menahan 101 individu yang terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan atas talian menggunakan nama GCM Asia ketika Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
Mengulas lanjut, Hussein berkata, hasil siasatan mendapati sindiket tersebut menggunakan media sosial dan rangkaian internet dalam mempromosikan pelaburan mereka.
Katanya, operator di bahagian pemasaran akan membuat panggilan kepada orang ramai melalui nombor telefon yang dibekalkan oleh ketua sindiket.
Menurut Hussein, pelabur akan diberikan link untuk melayari lama web GCM Asia dan membuat pendaftaran sebelum membuat pembayaran mengikut jumlah yang ditetapkan.
Sebahagian daripada telefon pejabat yang dirampas selepas polis berjaya menahan 101 individu yang terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan atas talian menggunakan nama GCM Asia ketika Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
“Pelaburan tersebut menawarkan pakej pelaburan dalam bidang forex, emas, minyak, saham dan lain-lain dengan jumlah minimum USD 100,” katanya.
Sementara itu, Hussein memaklumkan, pemeriksaan awal terhadap barang kes yang dirampas mendapai aplikasi pelaburan GCM Asia dan nombor akaun bank yang diguna pakai terlibat dengan beberapa laporan polis yang telah dibuat mangsa di Selangor dan negeri lain.
Menurut Hussein, sasaran sindiket tersebut adalah warganegara Malaysia dan anggaran kerugian mangsa setakat ini mencecah RM2 juta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada komputer, telefon pejabat, telefon bimbit, modem dan router yang dirampas selepas berjaya menahan 101 suspek yang terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan atas talian menggunakan nama GCM Asia ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dalam mencari pekerjaan dalam media sosial yang menawarkan gaji lumayan.
“Selidik dahulu latar belakang syarikat tersebut sebelum menerima sebarang tawaran pekerjaan.
“Pihak polis juga memberi amaran kepada mana-mana individu agar tidak bekerja dengan sebarang sindiket penipuan seperti ini,” katanya, lapor Utusan TV.
POLIS Terengganu menerima laporan berhubung hantaran tular yang mendakwa calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) memberi RM200 kepada pengundi awal untuk mengundi calon tersebut.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, laporan itu diterima di Balai Polis Chukai semalam.
“Berdasarkan laporan itu, pengadu mendapati terdapat hantaran tular ketika melayari laman Facebook yang telah memfitnah calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai memberi RM200 kepada polis untuk mengundi calon berkenaan.
“Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, beliau memberitahu, pihak polis menerima tiga lagi laporan pada hari sama berkenaan aduan wujud unsur sogokan oleh calon yang bertanding, risalah memburukkan imej calon dan ceramah tanpa permit.
“Laporan itu disiasat di bawah Seksyen 10 Akta Pilihan Raya 1954, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” ujarnya lapor Sinar Harian.
Dalam pada itu, beliau berkata, satu aktiviti ceramah dikesan dijalankan tanpa mendapat permit dan terdapat dua permohonan ceramah yang bertindih dengan permohonan parti lain semalam.
“Secara keseluruhan pihak polis telah menerima 88 permohonan dan daripada jumlah itu sebanyak 86 permohonan telah diluluskan semalam (Selasa).
“Sebanyak 38 permohonan ceramah oleh BN, 46 permohonan oleh Perikatan Nasional (PN) dan masing-masing satu permohonan oleh Pakatan Harapan (PH) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda),” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mazli memberitahu, aktiviti kempen semakin rancak di semua kawasan khususnya melibatkan PN dan BN.
Justeru, katanya, parti-parti bertanding diingatkan supaya berkempen secara berhemah dan tidak membuat sebarang provokasi yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.