Category: Jenayah

  • Bantu ah long simbah cat, bakar kereta untuk kurangkan hutang sendiri

    Bantu ah long simbah cat, bakar kereta untuk kurangkan hutang sendiri

    TERDESAK untuk mengurangkan hutang dengan ah long dari Singapura, dua lelaki sanggup mengambil upah daripada ah long sama untuk mengugut peminjam lain dengan menyimbah cat dan membakar kereta.

    Malah, dua lelaki tempatan itu turut mengajak dua wanita lain dipercayai teman wanita mereka untuk bersekongkol dalam perbuatan khianat tersebut.

    Bagaimanapun, selepas berjaya membakar sekurang-kurangnya tiga buah kenderaan dalam kejadian di Pulau Pinang, keempat-empat mereka yang berusia 22 hingga 33 itu akhirnya ditahan polis dalam serbuan berasingan di Ipoh, Perak pada 4 dan 6 Mei lalu.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, terdahulu polis menerima aduan daripada seorang wanita berusia 40 tahun yang memaklumkan kereta Perodua Kelisa milik anaknya dibakar pukul 4.20 pagi di Bukit Tengah, 30 April lalu.

    Pada tarikh sama, ujar beliau, polis turut menerima dua lagi laporan yang membabitkan kejadian membakar kereta masing-masing jenis Perodua Kelisa dan Perodua Alza iaitu di Bukit Minyak dan Air Itam.
    Menurutnya, semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek yang terlibat dalam kejadian itu menggunakan kereta jenis Toyota Yaris berwarna merah.

    “Hasil risikan polis berjaya mengesan kedudukan kereta itu di Jalan Kuala Kangsar, Ipoh dan ketika serbuan dilakukan pukul 12.05 tengah malam 4 Mei lalu, seorang lelaki dan teman wanitanya yang sedang tidur di dalam kereta itu telah ditahan.

    “Hasil soal siasat ke atas mereka kemudiannya berjaya menahan seorang lagi suspek lelaki di sebuah rumah di Taman Pakatan Jaya, Ulu Kinta, Perak sebelum polis menahan seorang lagi suspek wanita di Kampung Simee, Ipoh, 6 Mei lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di Georgerown hari ini.

    Tambahnya, siasatan, polis mendapati dua suspek lelaki terbabit meminjam wang sekitar RM1,000 hingga RM2,000 daripada seorang ah long dari Singapura yang dikenali sebagai Tian.

    Ujarnya, mereka menerima arahan terus daripada ah long berkenaan untuk melakukan khianat kepada peminjam lain yang gagal membayar hutang dan diberi upah sebanyak RM700 melalui kaedah tambah nilai Touch N Go E-Wallet.

    ”Teman wanita suspek pertama didapati membantu suspek menyemak alamat penghutang dalam laman sesawang Google Maps, manakala seorang lagi wanita berperanan menguruskan hal sewa kereta dan mendapatkan peralatan cat untuk tujuan khianat,” katanya.

    Jelas beliau, mereka melakukan jenayah itu sejak pertengahan Mac lalu dengan menumpukan kawasan utara iaitu Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

    Tambahnya, siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti kes-kes lain yang dilakukan sindiket terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951/ Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

  • Pembantu juruselam ditahan cabul pelancong

    Pembantu juruselam ditahan cabul pelancong

    SEORANG pembantu jurulatih selam skuba ditahan polis selepas disyaki mencabul seorang pelancong wanita warga China ketika melakukan aktiviti selaman di perairan Semporna.

    Lelaki berusia 27 tahun itu ditahan pada jam 12.50 tengah malam Ahad di sebuah tempat penginapan selepas laporan polis diterima daripada mangsa pada Sabtu.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna Asisten Superintenden Arif Abdul Razak berkata, kejadian berlaku pada Jumaat ketika mangsa berusia 25 tahun melakukan aktiviti selam skuba.

    “Laporan diterima oleh seorang pelancong wanita warga China yang mengatakan bahawa pada kira-kira jam 1 petang Jumaat dia telah dicium oleh seorang pembantu jurulatih selam skuba semasa melakukan aktiviti selam skuba di perairan sebuah pulau peranginan di daerah ini.

    “Pengadu kemudian membuat laporan polis pada keesokan harinya sebelum bergerak ke Lapangan Terbang Tawau untuk berlepas ke Kuala Lumpur dan seterusnya menyambung penerbangan balik ke negara asalnya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

    Susulan daripada laporan itu, Arif berkata, tangkapan segera dilakukan terhadap suspek dalam kes ini.

    “Suspek adalah warga tempatan yang bekerja separuh masa sebagai pembantu jurulatih selam skuba dengan sebuah pusat selaman skuba.

    “Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan reman telah dimohon di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut,” katanya lapor Sinar Harian.

  • 580 individu ditahan terlibat judi dalam talian di Johor

    580 individu ditahan terlibat judi dalam talian di Johor

    POLIS menahan 580 individu yang disyaki terlibat dengan kegiatan judi dalam talian dalam 554 serbuan menerusi Op Dadu Khas di Johor sejak 1 Januari hingga Sabtu.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua yang ditahan berusia 17 hingga 60 tahun, yang terdiri daripada 562 penjaga premis dan 18 pemain judi.

    Beliau berkata, 44 premis diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala lapan premis telah mendapat kelulusan pembatalan lesen daripada pihak berkuasa tempatan.

    “Kita turut merampas 606 unit telefon bimbit pelbagai jenama, tujuh unit tablet, enam unit komputer riba dan wang tunai berjumlah RM190,890,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM50,000 dan penjara maksimum tiga tahun, jika disabit kesalahan.

    Kamarul Zaman berkata, tahun lepas 1,080 individu ditahan melibatkan 1,012 penjaga premis dan 68 pemain judi dalam talian, semuanya berumur antara 17 dan 60 tahun.

    “Sekiranya terdapat sebarang maklumat berhubung kegiatan perjudian dalam talian, orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran atau pun bilik gerakan polis Johor di talian 07-221 2999 atau 07-225 4677,” katanya.

  • Banyak usaha sedang dibuat untuk dapatkan semula aset 1MDB – Johari

    Banyak usaha sedang dibuat untuk dapatkan semula aset 1MDB – Johari

    PENGERUSI Pasukan Petugas 1MDB, Johari Abdul Ghani berkata, pelbagai usaha sedang diambil untuk mendapatkan semula aset berkaitan 1MDB, termasuk daripada Goldman Sachs.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, keutamaan pasukan petugas itu adalah untuk mendapatkan semula aset berkenaan, manakala kes melibatkan jenayah dan tangkapan pula akan dilakukan oleh pihak berkuasa.

    “Ini kena bezakan, saya lebih menumpukan kepada mendapatkan kembali aset (1MDB). Mana-mana melibatkan kes-kes jenayah dan juga melibatkan penangkapan, akan dibuat oleh pihak berkuasa.

    “Jadi insya-Allah, saya fikir lebih banyak yang kita tengah buat khususnya dengan Goldman Sachs,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Wilayah Persekutuan di Kampung Baru, hari ini, lapor Malaysiakini.

  • SPRM rampas dokumen sekutu Jho Low

    SPRM rampas dokumen sekutu Jho Low

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas beberapa dokumen ketika penggeledahan rumah sekutu Jho Low yang ditahan Rabu lalu selepas enam tahun menghilangkan diri.

    Sumber berkata, dokumen terbabit diambil bagi membantu siasatan berhubung skandal 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

    “Setakat ini tiada aset baharu yang dirampas sebaliknya sebelum ini SPRM dengan kerjasama Commercial Affairs Departments Singapura (CAD Singapura) telah menyita akaun bank miliknya berjumlah kira-kira AS$5.2 juta (RM23.07 juta).

    “Usaha mengesan aset 1MDB kini sedang dijalankan bagi menyelesaikan kes terbabit,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Sumber berkata, SPRM juga sedang giat mengesan dan bekerjasama dengan agensi luar bagi suspek lain yang melarikan diri serta mendapat kembali wang yang diterima mereka.

    Semalam, Harian Metro melaporkan cubaan suspek skandal 1MDB dan SRC International Sdn Bhd pulang ke negara ini selepas enam tahun menghilangkan diri, gagal apabila ditahan SPRM.

    Menurut sumber, suspek yang difahamkan bersembunyi di Hong Kong mencuba nasib pulang ke tanah air, namun tidak menyangka dia termasuk dalam senarai orang dikehendaki.

    Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kerajaan sedang mengadakan rundingan menerusi saluran diplomatik dengan beberapa negara bagi mempercepatkan proses membawa pulang Jho Low.

    Anwar dilaporkan berkata, proses berkenaan agak rumit kerana membabitkan beberapa negara termasuk aspek perisikan dan Interpol.

  • Pukul isteri, tendang anak OKU, lelaki mabuk ditahan

    Pukul isteri, tendang anak OKU, lelaki mabuk ditahan

    POLIS menahan seorang lelaki mabuk yang memukul isteri dan anak kurang upaya (OKU) lembam di Kampung Tasik Permai, Ampang Jaya, Khamis lalu.

    Wanita berusia 51 tahun itu dikatakan dipukul ketika tidur, manakala anak perempuannya ditendang selepas suspek pulang dalam keadaan mabuk pada pukul 11.15 malam Rabu lalu.

    Suspek juga dipercayai mengugut akan membunuh mangsa dengan pisau, sebelum dia meminta bantuan anak sulungnya dan membuat laporan polis.

    Ketua Polis Ampang, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek ditahan anggota kereta peronda IPD Ampang Jaya susulan laporan itu.

    Katanya, hasil semakan mendapati suspek memiliki 13 rekod jenayah lampau.

    “Ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas sebarang penyalahgunaan dadah.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya menurut Harian Metro.

  • Sami lari didakwa liwat pengawal keselamatan

    Sami lari didakwa liwat pengawal keselamatan

    SEORANG sami dari Persatuan Kesedaran Krishna Antarabangsa (Iskcon) dituduh meliwat dan melakukan penyeksaan seksual terhadap seorang pengawal keselamatan yang bekerja untuk organisasi itu.

    India Today melaporkan, sami itu dikenal pasti sebagai Jagadartiha Das atau Jayanta Kumar Saha yang memegang jawatan sebagai ketua penyelaras di ibu pejabat kuil Iskcon di Mayapur, Nabadwip.

    Sami itu kini melarikan diri daripada polis, sumber memberitahu India Today.

    Pengadu ialah seorang pengawal keselamatan berusia 29 tahun yang dikaitkan dengan Iskcon sejak enam tahun lalu.

    Dia mendakwa dipanggil ke kamar peribadi sami yang tertuduh pada malam 16 Januari. Pengawal itu berkata, sami itu melakukan penyeksaan seksual dan merogolnya.

    Kata pengadu lagi, apabila dia membantah tindakan sami itu, tertuduh mengugutnya akan kehilangan pekerjaan jika memberitahu sesiapa mengenainya.

    Pengawal keselamatan itu berkata, “beliau memaksa saya untuk melakukan hubungan seks yang menyimpang dengannya di atas kerelaan saya.

    “Saya diserang secara fizikal oleh sami. Selepas kejadian itu, saya mengalami kemurungan mental untuk masa yang lama, saya tidak dapat berkongsi masalah ini dengan sesiapa kerana takut kehilangan pekerjaan juga.”

    Pengadu berkata, apabila dia berkongsi kejadian itu dengan beberapa rakan sekerjanya selepas beberapa hari, dia mendapati perkara yang sama berlaku dengan beberapa daripada mereka.

    Menurut pengawal itu, tertuduh sami melakukan serangan seksual terhadap empat orang lagi yang bekerja di pejabat Iskcon yang sama.

    Selepas insiden itu diketahui, pengarah bersama Mayapur Iskcon membentuk jawatankuasa siasatan dalaman.

    Pihak berkuasa mereka mengeluarkan kenyataan mengatakan sami Jagadartiha Das yang tertuduh, akan hilang kelayakan daripada memegang sebarang jawatan pengurusan di Mayapur Iskcon.

    Kes itu disiasat mengikut Seksyen 342 (kurung yang salah), 377 (kesalahan luar tabii), dan 506 (ugutan jenayah) Kanun Keseksaan India, menurut aduan bertulis oleh pengawal keselamatan.

  • Polis Thailand dedah syabu, yaba banyak diseludup ke Malaysia

    Polis Thailand dedah syabu, yaba banyak diseludup ke Malaysia

    KETUA Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Anuruth Imarb mendedahkan, syabu dan yaba merupakan antara dua jenis dadah yang paling banyak diseludup masuk ke Malaysia.

    Anuruth yang memaklumkan perkara tersebut dalam sidang akhbar di pejabatnya semalam berkata, semua dadah itu dipercayai dibawa masuk menggunakan pangkalan haram di sempadan Thailand-Malaysia di sepanjang Sungai Golok.

    Menurutnya, kerajaan Thailand amat bimbang dengan situasi tersebut kerana Narathiwat merupakan wilayah dan lokasi yang mudah untuk pengedaran dadah khususnya ke Malaysia kerana bersempadan dengan Kelantan.

    “Kesemua dadah berkenaan dibawa masuk dari kawasan utara Thailand iaitu di Segi Tiga Emas melalui sindiket-sindiket dadah sebelum tiba di sempadan wilayah selatan di sini,” ujarnya.

    Beliau berkata, kejayaan terbesar yang telah direkodkan pihaknya setakat ini ialah pada 2 Julai dan 10 Ogos lalu melibatkan dadah seberat 2,000 kilogram (kg) di Sungai Golok.

    Tambahnya, rampasan itu melibatkan nilai berjumlah RM20 juta.

    Anuruth memberitahu, siasatan yang dilakukan mendapati kebanyakan pengedar bermula sebagai penagih.

    “Kita juga mendapati suspek yang ditahan akan memberitahu bahawa ketua terbesar mereka berasal dari Songkhla.

    “Polis Wilayah Narathiwat sentiasa mengatur pelbagai langkah untuk mencegah, menyekat dan menyelesaikan masalah dadah,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Maqis rampas 82 kotak akar teratai tercemar dari Singapura

    Maqis rampas 82 kotak akar teratai tercemar dari Singapura

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor merampas 820 kilogram (kg) sayur jenis akar teratai dicemari tanah di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri semalam.

    Menurut Maqis dalam satu kenyataan, memaklumkan hasil pemeriksaan oleh pegawai penguasa mendapati akar teratai dimuatkan dalam 82 kotak bernilai RM7,000 itu dibawa masuk dari Singapura.

    Jabatan berkenaan memberitahu, pemeriksaan terhadap sebuah lori yang membawa pelbagai jenis sayur-sayuran pada pukul 2.50 petang itu, telah menemukan muatan 1,060 sayur jenis akar teratai dan mendapati sebanyak 820kg sayur tersebut dicemari dengan tanah.

    “820kg sayur tersebut dimuatkan di dalam 82 kotak sayur bertanah yang disorokkan di bahagian bawah dan ditindih menggunakan kotak sayuran yang bersih bagi mengaburi mata pegawai pemeriksa dan telah ditahan,” menurut kenyataan berkenaan hari ini.

    Tegasnya, mengimport produk pertanian dengan kehadiran perosak adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah seksyen sama.

    Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

  • Bau busuk disangka dari tandas rupanya disebabkan mayat belakang rumah

    Bau busuk disangka dari tandas rupanya disebabkan mayat belakang rumah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SANGKAAN seorang individu bahawa bau busuk di rumahnya datang dari tandas, meleset apabila dia kemudiannya menemukan pula mayat seorang wanita di belakang kediaman tersebut di Taman Perpaduan, Sungai Petani , Kedah, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat itu kira-kira pukul 5.47 petang.

    Katanya, saksi mendakwa pada mulanya dia menyangka bau busuk di rumahnya berpunca daripada tandas.

    “Individu berkenaan lalu membasuh tandas rumahnya namun bau busuk itu tidak hilang.

    “Dia kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut dengan membuka pintu belakang. Sebaik membuka pintu belakang, dia ternampak mayat seseorang dalam longkang,” katanya.

    Tambahnya, pemeriksaan dijalankan pihak polis mendapati mayat wanita itu hanya berpakaian baju kelawar tanpa pakaian dalam.

    Zaidy berkata, Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah telah melakukan pemeriksaan di tempat kejadian dan mayat wanita terbabit trlah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.

    Katanya, sesiapa yang memiliki maklumat mengenai kejadian itu atau kehilangan ahli keluarga, diminta tampil bagi menyalurkan maklumat ke balai polis terdekat.

    “Buat masa ini polis mengklasifikasikan sebagai mati mengejut sebelum mendapat keputusan hasil bedah siasat,” katanya.