Category: Jenayah

  • Lelaki jatuh dari kapal semasa buang air kecil, dikhuatiri lemas

    Lelaki jatuh dari kapal semasa buang air kecil, dikhuatiri lemas

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEORANG lelaki warga India yang sedang membuang air kecil dari atas kapal terjatuh ke dalam sungai dan dikhuatiri lemas di Wharf Komersial, Marudi, Sarawak awal pagi ini.

    Kejadian tersebut dilaporkan kepada Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak pada pukul 1.54 pagi.

    Berikutan itu tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi dikerahkan ke lokasi kejadian.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan memberitahu, mangsa dikenali sebagai Rajan Ranjesh, 29, terjatuh ke sungai dan rakan sekerjanya yang menyaksikan kejadian itu mendakwa ia berlaku ketika mangsa sedang membuang air kecil.

    “Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan kejadian sekitar tebing sungai itu, dalam keadaan cuaca hujan serta gelap,” katanya dalam satu kenyataan.

    Katanya, berikutan faktor cuaca dan keadaan agak gelap, operasi SAR terpaksa ditangguhkan sementara sebelum disambung semula pagi ini.

  • Dua polis maut kemalangan ketika kejar suspek lumba haram

    Dua polis maut kemalangan ketika kejar suspek lumba haram

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    DUA anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang maut dalam kemalangan semasa mengejar suspek lumba di Kilometer 24.4 Lebuhraya Sistem Lingkaran Kajang (SILK) dari arah Kajang menghala ke Putrajaya, awal pagi ini.

    Dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi itu, kedua-dua mangsa yang berpangkat Sarjan dan Konstabel berusia 36 tahun dan 26 tahun, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Mangsa yang berpangkat Sarjan bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) manakala rakannya yang berpangkat Konstabel bertugas di Cawangan Jenayah (D4).
    .
    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, ketika kejadian, mereka sedang bersama-sama melakukan tugas dalam Operasi Samseng Jalanan BSPT IPD Kajang di laluan terbabit yang sering digunakan samseng jalanan untuk berlumba.

    “Kedua-dua mangsa, masing-masing menunggang motosikal jenis Yamaha 115Z dan Yamaha RXZ mengejar suspek lumba haram dalam operasi itu.

    “Ketika sedang mengejar, mangsa yang menunggang Yamaha 115Z dari arah Kajang bertembung dengan motosikal rakannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd. Zaid berkata, akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian muka serta kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Jenazah mereka dibawa ke Hospital Serdang untuk urusan bedah siasat dan siasatan lanjut sedang dibuat bagi mengenal pasti punca kemalangan,” katanya dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Pasangan suami isteri OKU, nyaris maut rumah terbakar

    Pasangan suami isteri OKU, nyaris maut rumah terbakar

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    Sepasang suami isteri orang kurang upaya (OKU) yang bisu dan pekak nyaris maut dalam kebakaran di rumah mereka di Kota Kemuning, Shah Alam pada awal pagi ini.

    Kejadian pada jam 4.17 pagi itu melibatkan kebakaran rumah dua tingkat berkeluasan kira-kira 400 meter persegi yang terbakar sebanyak 50 peratus di tingkat bawah.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam yang tiba di lokasi kejadian sejurus selepas itu berjaya memadamkan api serta mengeluarkan mangsa terperangkap dalam rumah.

    “Ketika kejadian, suami isteri bisu dan pekak berusia 39 serta 31 tahun itu ditemui berlindung dalam tandas.

    “Isterinya yang mengalami sesak nafas telah diserahkan kepada pasukan perubatan untuk diberikan rawatan lanjut,” katanya hari ini.

  • Empat pelajar tingkatan 4 antara 15 remaja ditahan terbabit parti liar

    Empat pelajar tingkatan 4 antara 15 remaja ditahan terbabit parti liar

    SEBANYAK 15 remaja termasuk empat pelajar tingkatan empat ditahan selepas disyaki terbabit dalam parti liar dalam satu serbuan di sebuah kondominum mewah di Seksyen 7, Shah Alam di sini, awal pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, hasil dari aduan awam bahawa terdapat sejumlah individu berkumpul di lokasi terbabit, polis telah melakukan serbuan sekitar 1.30 pagi dan mendapati empat daripada mereka adalah remaja yang masih bersekolah.

    Katanya, ketika serbuan dibuat, suspek berumur antara 16 hingga 20 tahun dilihat dalam keadaan berkhayal dipercayai di bawah pengaruh dadah dan keletihan setelah berparti dari pukul 9 malam.

    “Pihak polis telah merampas satu peket disyaki ganja dengan anggaran berat 2.3 gram di lokasi kejadian.

    “Unit kondominium mewah tersebut disewa oleh salah seorang suspek dengan kadar RM200 semalam dan semua suspek berhubung menggunakan aplikasi WeChat,” katanya hari ini.

    Baharuddin berkata, semakan juga mendapati tiga termasuk penganjur parti liar itu yang bekerja sebagai penghantar makanan mempunyai satu rekod lampau membabitkan dadah.

    Ujarnya, hasil ujian saringan awal polis yang dijalankan mendapati seramai lapan remaja lelaki positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC), amphetamine, methamphetamine dan benzo.

    “Kesemua mereka kemudiannya dikompaun RM2,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

    Sementara itu, Baharudin berkata, Mahkamah Majistret Shah Alam pada hari ini telah membenarkan reman ke atas mereka yang terlibat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tiga hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • PGA rampas haiwan eksotik bernilai RM67,600

    PGA rampas haiwan eksotik bernilai RM67,600

    Oleh:Bernama

    BATALION 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai haiwan eksotik bernilai RM67,600 di pangkalan haram Bilah Dollah dekat Rantau Panjang di sini, semalam.

    Difahamkan, kesemua haiwan yang diseludup masuk itu adalah untuk pasaran tempatan ekoran mempunyai permintaan tinggi khususnya dalam kalangan peminat dan pemelihara haiwan eksotik.

    Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA Supt Nor Azizan Yusof berkata rampasan dilakukan selepas sepasukan pegawai dan anggota pasukan itu terserempak dengan sekumpulan lelaki di tebing Sungai Golok berdekatan pangkalan haram berkenaan.

    Beliau berkata ketika itu kumpulan lelaki terbabit dilihat sedang memunggah kotak-kotak berwarna coklat dalam keadaan mencurigakan dari dalam perahu ke tebing sungai kira-kira 7 malam.

    “Menyedari kehadiran PGA, kumpulan lelaki itu melarikan diri menggunakan perahu ke negara jiran dan meninggalkan kotak-kotak di tebing sungai itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Nor Azizan berkata pemeriksaan di sekitar tebing sungai itu menemukan beberapa kotak pelbagai saiz berisi 206 katak, 50 labi-labi, 24 anak ular, tiga burung kakak tua dan seekor iguana.

    Beliau berkata kesemua haiwan eksotik itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 kerana memburu atau menyimpan hidupan liar tanpa kebenaran.- BERNAMA

  • 10 laporan polis diterima berkaitan kenyataan Muhyiddin

    10 laporan polis diterima berkaitan kenyataan Muhyiddin

    Polis menerima sebanyak 10 laporan polis berkaitan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa pihak mencetus kemelut politik ketika ini, tidak senang dengan beliau kerana enggan mencampuri urusan mahkamah.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, sehubungan itu pihaknya membuka satu kertas siasatan bagi menyiasat laporan tersebut.

    Beliau berkata, siasatan akan dijalankan daripada pelbagai sudut.

    “Buat masa ini, kita belum memanggil dan merakam keterangan mana-mana individu lagi bagi membantu siasatan kes.

    “Kes disiasat mengikut seksyen apa akan dimaklumkan kemudian,” katanya hari ini.

    Rabu lalu, Perdana Menteri berkata, ada kumpulan tidak selesa dengan ketegasannya yang enggan melayan desakan mereka supaya membebaskan individu tertentu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.

    Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, pihak terbabit cuba menangguk di air yang keruh dengan mencetuskan kemelut politik, walaupun negara sedang berdepan krisis pandemik yang kian memuncak.

    Ini mendorong beberapa bahagian Pemuda Umno seperti Pasir Puteh, Tambun, Kampar, Langkawi dan Alor Setar membuat laporan polis berhubung isu itu.

    Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan, laporan itu bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan wujud desakan kepada Perdana Menteri untuk campur tangan dalam kes mahkamah yang sedang berlangsung.

  • Video pegang pistol tular, 3 remaja ditahan

    Video pegang pistol tular, 3 remaja ditahan

    Oleh: Bernama

    POLIS menahan tiga remaja lelaki selepas tular rakaman video menunjukkan salah seorang daripadanya memegang senjata menyerupai pistol, ketika mereka berada di hadapan sebuah rumah di Ipoh, semalam.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya mengesan rakaman video ketiga-tiga remaja berusia 20 hingga 22 tahun itu melalui aplikasi Whatsapp, pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi.

    “Perbuatan tiga remaja tersebut telah mendatangkan kegusaran kepada masyarakat terhadap keselamatan awam.

    “Bertindak atas maklumat, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak berjaya menangkap dua remaja yang terlibat, serta merampas satu senjata tiruan yang menyerupai senjata api jenis pistol semi-auto pada kira-kira pukul 2.30 petang.

    “Ketika ditahan, kedua-dua remaja tersebut sedang berkeliaran menaiki motosikal di Jalan Kampung Paloh, manakala seorang lagi remaja yang terlibat telah ditahan pada kira-kira pukul 7 petang,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

    Beliau berkata ketiga-tiga remaja itu mengaku telah membeli pistol tiruan berkenaan dan berkumpul di hadapan sebuah rumah semalam sambil meminum arak, dan salah seorang daripada mereka mempamerkan pistol tiruan yang dimiliki dengan dirakam oleh rakan yang lain sebelum video ditularkan.

    Mior Faridalathrash berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 36 Akta Senjatapi 1960 kerana memiliki senjata tiruan tanpa lesen yang sah, dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya.

    “Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan sebarang aksi dan perbuatan yang boleh mengganggu gugat keselamatan awam, dan mendatangkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya.

    Katanya pihak polis turut berterima kasih kepada pihak masyarakat yang memberikan maklumat dan kerjasama, dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara.- BERNAMA

  • Wang RM260,000 milik peguam lesap ditipu ‘pegawai’ LHDN

    Wang RM260,000 milik peguam lesap ditipu ‘pegawai’ LHDN

    SEORANG peguam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang kerugian hampir RM260,000 selepas dipercayai diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Dalam kejadian Rabu lalu, mangsa berusia 40 tahun itu dikatakan mula terjerat dalam sindiket berkenaan selepas menerima panggilan telefon ketika berada di rumahnya di Sungai Petani, Kedah.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Asisten Komisioner Mohd. Rosni Mohd. Lazim, menerusi panggilan telefon itu, suspek mendakwa kononnya mangsa mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM32,000 susulan pembukaan sebuah syarikat di Melaka.

    Tambahnya, mangsa bagaimanapun menafikan perkara itu sebelum panggilannya disambungkan kononnya kepada dua pegawai polis yang kemudiannya mendakwa pula dia terlibat dalam kes dadah.

    “Suspek ketiga yang memperkenalkan diri sebagai Asisten Komisioner Koh Fei Chew memaklumkan nama mangsa boleh dibersihkan namun perlu membuat pemindahan wang berjumlah RM259,900.

    “Mangsa yang terpedaya dengan kata-kata suspek itu telah membuat transaksi pindahan wang secara berperingkat ke dalam tiga akaun bank berbeza sebelum menyedari ditipu dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah semalam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Menurut Mohd. Rosni, semakan polis ke atas nombor akaun sebuah bank yang diberikan oleh suspek kepada mangsa dipercayai milik keldai akaun namun tiada laporan polis dibuat setakat ini.

    Jelasnya, nombor telefon yang digunakan sindiket pula pernah dilaporkan bersangkut tiga laporan sebelum ini iaitu masing-masing di Bukit Mertajam; Dato Keramat dan di Nilai, Negeri Sembilan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseskaan iaitu menipu,” katanya.

  • Kertas siasatan kes amang seksual artis veteran sedang dilengkapkan

    Kertas siasatan kes amang seksual artis veteran sedang dilengkapkan

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya masih menyiasat kes amang seksual membabitkan artis lelaki yang popular pada era 80-an.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman berkata, pihaknya sedang melengkapkan siasatan kes terhadap artis veteran itu yang juga bapa kepada seorang penyanyi wanita.

    “Apabila kertas siasatan sudah lengkap akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

    “Setakat ini siasatan masih berjalan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Sebelum ini media melaporkan artis veteran berkenaan ditahan selepas dipercayai melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan sejak Ogos tahun lalu.

    Pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 3 petang, 21 Julai lalu.

    Kejadian pertama berlaku terhadap mangsa berusia 14 tahun itu pada Ogos tahun lalu di rumah rakan ibunya di sebuah kondominium di Puchong Prima.

    Dua lagi kejadian amang seksual fizikal dilakukan suspek terhadap mangsa yang masih bersekolah di Tingkatan Dua di sebuah sekolah menengah di Puchong itu berlaku pada Oktober dan November lalu.

    Suspek yang ditahan sebelum ini dibebaskan dengan jaminan polis memandangkan dia menghidap penyakit jantung.

  • Nelayan Vietnam bakar tayar atas bot elak ditahan Maritim Malaysia

    Nelayan Vietnam bakar tayar atas bot elak ditahan Maritim Malaysia

    NELAYAN Vietnam dikesan menggunakan helah membakar tayar serta barangan lain di atas bot bagi menghasilkan asap tebal untuk menghalang Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menangkap mereka.

    Pengarah Maritim Terengganu Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata tindakan yang dilakukan pada 12.30 tengah hari, Selasa lepas itu, bagaimanapun tidak berjaya dan 18 individu serta dua buah bot telah ditahan pada jarak 66 batu nautika dari Kuala Kemaman.

    “Nelayan Vietnam cuba melarikan diri dengan bertindak memotong pukat, memecut bot dan membakar tayar bagi menghasilkan asap tebal agar bot APMM tidak dapat mendekati bot mereka. Mereka turut memalsukan nombor pendaftaran bot mereka sendiri.

    “Selalunya nombor bot nelayan Vietnam ini memaparkan lima nombor tetapi ia telah dipadamkan dan diganti dengan nombor pendaftaran baharu dengan hanya memaparkan tiga nombor sahaja di badan bot,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Kuala Terengganu di sini hari ini.

    Muhammad Suffi berkata hasil siasatan lanjut mendapati 18 individu itu, termasuk dua tekong, yang berusia dalam lingkungan 17 hingga 44 tahun, tidak mempunyai sebarang pengenalan diri dan permit kerja yang sah.

    Turut dirampas ialah 3.5 tan hasil laut termasuk ikan campur dan ikan baja, 1,500 liter diesel serta peralatan menangkap ikan yang dianggarkan berjumlah RM3 juta.

    Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara serta Akta Imigresen 1959/63.

    Dalam perkembangan lain, APMM hari ini telah melupuskan empat buah bot nelayan Vietnam untuk dijadikan tukun tiruan pada jarak empat batu nautika dari Pantai Batu Buruk.

    “Dengan pelupusan bot sebagai tukun tiruan ini, dapat mengimbangkan semula ekosistem yang telah rosak akibat aktiviti bot tunda yang mencerobohi Zon A, selain turut dijadikan sebagai tempat pembiakan ikan,” katanya.

    Kesemua bot berkenaan telah dilucut hak oleh mahkamah kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara.- BERNAMA