Category: Jenayah

  • Pemandu lori ditahan bersama 880,000 batang rokok seludup bernilai RM660,000

    Pemandu lori ditahan bersama 880,000 batang rokok seludup bernilai RM660,000

    MOHD LAZIM ENDUT

    SATU sindiket penyeludupan rokok secara haram berjaya dipatahkan Batalion 8 pasukan Gerakan Am (PGA) Tenggara selepas tertangkapnya seorang lelaki berusia 44 tahun yang juga pemandu lori dan merampas 880,000 batang rokok bernilai RM660,000 di Jalan Tendong-Melor, Kota Bharu Kelantan semalam.

    Ketika ditahan lelaki terbabit cuba menyembunyikan rokok-rokok itu di bawah timbunan baja bagi mengaburi pihak berkuasa.

    Menurut Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar,
    kesemua rokok tersebut dipercayai diseludup dari Thailand dan ia dimasukkan di dalam 88 kotak coklat dan dibawa dengan sebuah lori jenis Nissan UD, sebelum ditahan di lokasi berkenaan.

    Beliau berkata, anggota yang melakukan rondaan terserempak dengan lori itu yang kelihatan agak mencurigakan pada pukul 9 pagi, lalu meminta pemandu lori tersebut memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan.

    “Apabila pemeriksaan dibuat, anggota bertugas menemui rokok berwarna putih cuba disorokkan di bawah timbunan baja yang ditutup kanvas.

    “Pihak kami mendapati suspek cuba mengemukakan dokumen pengoperasian palsu semata-mata untuk mengaburi petugas di sekatan jalan raya (SJR) yang bakal dilalui,”ujarnya.

    Hassan Basri berkata, hasil siasatan mendapati kesemua rokok itu dibawa masuk secara haram melalui jalan sungai untuk pasaran Johor dan suspek mengaku bertanggungjawab sebagai ‘transporter’ yang menerima upah RM100 hingga RM300.

    “Kita telah menahan suspek dan merampas lori serta rokok berkenaan untuk disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya pada sidang media di Kem Batalion 8 PGA di Pengkalan Chepa hari ini.

    Turut hadir ialah Pegawai Pemerintah PGA8, Superintenden Mat Shukor Yusof.

    Menurut Hasan Basri, ujian air kencing dilakukan mendapati suspek juga positif dadah jenis Methamphetamine, namun dia tiada rekod jenayah lampau.

    “Kami percaya penyeludup memiliki lokasi atau gudang transit di sepanjang sempadan negara, namun bagi kes ini, barangan yang masuk tidak lebih dua jam akan terus dibawa menaiki lori agar tidak dikesan anggota bertugas.

    “Kegiatan tersebut dipercayai dilakukan dengan kerjasama kumpulan sindiket dan kita akan meneruskan siasatan ke atas suspek bagi mengenal pasti sindiket terbabit,” tambah beliau.

  • PGA Pengkalan Chepa cekup penyeludup pil kuda, erimin 5

    PGA Pengkalan Chepa cekup penyeludup pil kuda, erimin 5

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    DUA jenis dadah iaitu pil kuda dan erimin 5 bernilai RM19,450 berjaya dirampas bersama seorang lelaki yang ditahan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa semalam.

    Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan berhampiran kawasan pangkalan haram Setor Kayu Nibong, Pengkalan Kubor, Tumpat pada pukul 6 petang.

    Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Superintendan Mat Shukor Yusof, ketika melakukan rondaan, pihaknya terpandang sebuah kereta berada dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan.

    Berikutan itu katanya, anggota terbabit bertindak menahan lelaki itu untuk pemeriksaan.

    “Setelah pemeriksaan dilakukan, kita menemui sebuah beg plastik mengandungi sebanyak 1,198 biji pil kuda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut Mat Shukor, selepas pemeriksaan lanjut dibuat, membawa pula kepada penemuan sebanyak 500 biji pil erimin 5.

    Selain itu katanya, PGA turut merampas wang tunai berjumlah RM5,000 bersama suspek dipercayai hasil jualan dadah.

    Menurut beliau, siasatan awal mendapati bahan larangan tersebut diseludup masuk ke negara ini secara haram dari Thailand dengan menggunakan laluan tidak diwartakan.

    “Kita percaya dadah-dadah yang dibawa masuk itu untuk pasaran tempatan.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

    Beliau berkata, keseluruhan rampasan dadah dan wang tunai termasuk kereta dianggarkan berjumlah RM44,480.

    Ujarnya, kesemua rampasan dan suspek telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan dan siasatan lanjut.

    “Kita akan terus memperketatkan kawalan sempadan dengan memantau pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula dari Rantau Panjang sehingga ke Pengkalan Kubor, Tumpat dalam usaha membanteras aktiviti jenayah,” jelas beliau.

  • Pengarah syarikat rugi lebih RM400,000 ditipu dapatkan gelaran, tanah kurnia

    Pengarah syarikat rugi lebih RM400,000 ditipu dapatkan gelaran, tanah kurnia

    SEORANG pengarah syarikat kerugian RM406,400 selepas ditipu dalam urusan mendapatkan gelaran ‘Datuk Seri Utama’ dan sebidang tanah kurnia.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur ACP Mohd Mahidisham Ishak berkata mangsa yang merupakan lelaki berusia 33 tahun mendakwa menerima panggilan daripada seorang individu pada 28 Mac lepas dengan dimaklumkan Istana Negara akan mengurniakan darjah kebesaran Seri Utama Mahkota Wilayah dan sebidang tanah kurnia berkeluasan dua hektar kepadanya.

    Beliau berkata pada hari sama, mangsa menyerahkan salinan maklumat butiran syarikat dan butiran peribadinya kepada individu tersebut di sebuah restoran berhampiran Pintu 2 Istana Negara.

    “Pada 6 April lepas, mangsa diarahkan membuat pembayaran sebanyak RM9,400 ke dalam satu akaun yang diberikan oleh suspek. Mangsa juga melakukan empat transaksi pembayaran berjumlah RM247,000 ke satu akaun lain yang diberikan oleh suspek antara 30 April hingga 17 Jun lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Mohd Mahidisham berkata mangsa turut menyerahkan wang tunai sebanyak RM150,000 kepada suspek.

    Beliau berkata selepas bayaran dibuat, mangsa mengesyaki sesuatu lalu membuat semakan ke atas akaun yang diberikan suspek dan mendapati akaun tersebut adalah di atas nama syarikat yang tidak berdaftar.

    “Identiti (suspek) masih belum diperoleh. Pengadu (mangsa) cuma bercakap menerusi telefon dan berjumpa sekali sahaja (dan dipercayai) ada tiga suspek dalam kes ini,” katanya.

    Sehubungan itu, Mohd Mahidisham berkata pihaknya sedang memburu tiga individu bagi membantu siasatan yang dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan menggunakan saluran yang betul dalam urusan mendapatkan anugerah atau gelaran.

    “Jangan mudah terpedaya dengan tawaran yang diberikan tanpa memeriksa transaksi pembayaran yang dibuat. Sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan, hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.- BERNAMA

  • Wanita maut dirogol, diliwat

    Wanita maut dirogol, diliwat

    SEORANG wanita berusia 40 tahun ditemui maut selepas dipercayai dirogol dan diliwat dalam kejadian di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Seruling Emas, Nibong Tebal, Pulau Pinang semalam.

    Lebih tragis, mayat wanita itu ditemui disorok di bawah katil di salah sebuah bilik di tingkat bawah rumah berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern, kejadian menimpa mangsa itu disedari rakannya yang mencarinya di rumah selepas mangsa tidak datang berjumpanya walaupun berjanji bertemu pukul 3 petang semalam.

    Ujarnya, ketika tiba di rumah mangsa, rakannya itu melihat seorang lelaki meninggalkan rumah berkenaan menaiki sebuah motosikal sebelum bertindak menghubungi kakak mangsa yang kemudiannya melaporkan kepada polis.

    “Pemeriksaan polis mendapati keadaan rumah mangsa berselerak dan mayatnya ditemui terbaring di bawah katil di dalam bilik tingkat bawah.

    “Selain itu, seorang jiran mangsa turut mendakwa nampak pergerakan keluar seorang lelaki dengan motosikal jenis SYM dari rumah itu kira-kira pukul 4.30 petang semalam,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Chong Chern berkata, berdasarkan maklumat itu polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 29 tahun ketika dipercayai bersembunyi di Changkat Sungai Jawi, Nibong Tebal.

    Jelas beliau, siasatan ke atas suspek yang mempunyai lima rekod jenayah lampau itu mendapati sehari sebelum kejadian dia pergi menghisap syabu di rumah rakannya di Kampung Wellesley, Sungai Bakap kira-kira pukul 6 petang.

    “Suspek kemudian meminjam motosikal rakannya untuk bersiar-siar di kawasan taman perumahan itu kira-kira pukul 2 pagi sebelum masuk rumah mangsa melalui tingkap di bahagian belakang.

    “Suspek mendakwa telah masuk ke dalam bilik tidur dan nampak mangsa sedang tidur di atas katil sebelum merogol dan meliwatnya,” katanya.

    Beliau berkata, suspek turut bertindak menyumbat seluar dalam mangsa ke dalam mulut dan menutup mulutnya dengan tangan selepas suspek cuba melawan.

    “Suspek kemudiannya mendapati mangsa tidak bergerak dan disyaki meninggal dunia sebelum menarik mayatnya dan disembunyikan di bawah katil,” katanya.

    Tambah beliau, suspek turut mengaku mengambil sebuah telefon bimbit, wang tunai dan loket milik mangsa sebelum keluar dari rumah itu namun telah membuangnya ke dalam sungai.

  • Duda ditangkap khalwat dengan ibu tunggal

    Duda ditangkap khalwat dengan ibu tunggal

    HELAH seorang lelaki berusia 46 tahun menumpang sementara di rumah seorang ibu tunggal yang dakwanya akan dinikahinya gagal apabila dia ditangkap berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), semalam.

    Lelaki berstatus duda itu ditahan bersama pasangannya, wanita 38 tahun yang mempunyai tiga anak di sebuah rumah kedai di Pekan Air Hitam, Kedah kira-kira pukul 12.45 tengah malam.

    Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pasangan itu dicekup sepasukan anggota JAIK selepas pihaknya menerima aduan awam mengenai aktiviti maksiat.

    Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, terdapat seorang kanak-kanak lelaki dipercayai anak wanita itu berada dalam rumah kedai berkenaan.

    “Pasangan itu gagal menunjukkan mempunyai hubungan mahram atau suami isteri dan disyaki melakukan maksiat.

    “Lelaki itu memberi alasan seperti itu bagi mengelak ditahan namun gagal kerana tidak munasabah dan ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

    Wanita berkenaan dipercayai menjalankan perniagaan di rumah kedai tersebut manakala lelaki terbabit bekerja sebagai pembantu kedai wanita itu.

    Radzi berkata, mereka kemudian ditahan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.

    Beliau menambah, jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

  • Polis kemuka permohonan siasat dakwaan dua rakyat Malaysia ditahan di Afghanistan

    Polis kemuka permohonan siasat dakwaan dua rakyat Malaysia ditahan di Afghanistan

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah mengemukakan permohonan kepada agensi keselamatan luar negara bagi menyiasat dakwaan berhubung dua rakyat negara ini yang ditahan pihak berkuasa Taliban di Afghanistan.

    Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihaknya mengambil maklum mengenai laporan berita dua rakyat negara ini ditahan kerana penglibatan mereka sebagai pejuang Daesh.

    “Setakat ini, PDRM tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung penglibatan rakyat Malaysia dengan aktiviti Daesh di Afghanistan.

    Bagaimana pun, siasatan sedang dijalankan berhubung kemungkinan berita yang dilapor tersebut melibatkan pejuang Daesh warganegara Malaysia yang telah sedia ada berada di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

    Media antarabangsa hari ini melaporkan dua rakyat Malaysia antara enam individu yang ditahan pihak berkuasa Taliban kerana terbabit dalam pertemburan bersenjata di Kabul, Afghanistan pada Khamis lepas.-BERNAMA

  • PGA ambil alih aset Aksem di Kelantan

    PGA ambil alih aset Aksem di Kelantan

    KESEMUA aset termasuk kenderaan dan bangunan milik Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) di Kelantan bakal diambil alih oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) mulai 1 Okt ini susulan pembubaran agensi itu oleh kerajaan, baru-baru ini. 

    Komander Briged Tenggara PGA SAC Hasan Basri Ahmad Safar berkata susulan itu 101 anggota polis yang berkhidmat di dalam agensi berkenaan di negeri ini juga akan diserapkan ke dalam PGA.

    Beliau berkata dengan pembubaran itu juga pejabat Aksem di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga, Pengkalan Kubor serta Rantau Panjang akan diserahkan kepada PGA.

    “Setakat ini anggota polis di dalam Aksem akan diserapkan ke dalam satu kompeni Batalion Ke-8 PGA yang berpangkalan di Pengkalan Chepa di sini.

    “Kita berharap segala proses akan berjalan dengan sempurna bagi melancarkan dan memperkasa penugasan anggota di sempadan Malaysia-Thailand,” katanya ketika ditemui di Kem Batalion Ke-8 PGA Pengkalan Chepa hari ini.

    Hasan Basri berkata penugasan Aksem di tiga sekatan jalan raya (SJR) membabitkan Lalang Pepuyu di Tanah Merah, Neting di Pengkalan Kubor serta Chabang Empat Salam di Rantau Panjang juga akan diambil alih oleh PGA.

    Pada Jun lepas, kerajaan mengumumkan Aksem yang ditubuhkan pada Disember 2017 dibubarkan manakala tugas agensi tersebut diambil alih sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia.

    Dengan pembubaran itu PGA akan meneruskan semua fungsi Aksem di sempadan negara menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada.- BERNAMA

  • Pekerja maut terjatuh ketika tukar bumbung, JKPP Pulau Pinang lakukan siasatan

    Pekerja maut terjatuh ketika tukar bumbung, JKPP Pulau Pinang lakukan siasatan

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    JABATAN Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang menyita sebuah kilang di Kawasan Perusahaan Prai bagi siasatan lanjut berhubung insiden seorang pekerja maut selepas terjatuh ketika menukar bumbung premis terbabit kelmarin.

    Jabatan itu dalam satu kenyataan di sini hari ini memaklumkan, kejadian terbabit dilaporkan berlaku kira-kira pukul 11.45 pagi melibatkan seorang pekerja buruh am warga tempatan yang terjatuh dari ketinggian kira-kira 5.5 meter.

    Ketika kejadian katanya, mangsa yang berusia 45 tahun sedang melakukan kerja-kerja menukar bumbung jenis zink di bahagian belakang bangunan pengeluaran kilang tersebut.

    “Mangsa dikatakan telah memijak bahagian yang rapuh dan tiada penyokong menyebabkan dia jatuh ke atas lantai dan meninggal dunia,” demikian menurut kenyataan itu.

    Tambahnya, tindakan menyita secara fizikal kawasan kilang itu diambil JKKP Pulau Pinang bagi memastikan tidak berlaku kejadian kacau ganggu dalam siasatan lanjut pihaknya berhubung insiden terbabit.

    Jelasnya, satu Notis Larangan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 atas kesalahan gagal menyediakan sistem kerja selamat bagi kerja-kerja penukaran bumbung sehingga menyebabkan kemalangan juga telah dikeluarkan.

    “Majikan juga diarahkan untuk menyediakan dokumen tambahan bagi membantu proses siasatan lanjut dengan kadar segera.

    “Tindakan perundangan akan diambil sekiranya didapati terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ke atas pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

  • Suami maut, isteri cedera kereta langgar tiang elektrik

    Suami maut, isteri cedera kereta langgar tiang elektrik

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki maut manakala isterinya cedera selepas kereta dinaiki terbabas dan melanggar tiang elektrik berhampiran kedai Mr DIY Rengit, Rengit, Batu Pahat, hari ini.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nor Abd. Manan berkata, kemalangan melibatkan kereta dipandu Nuh Hatabik Selamet Ansori, 42, dan isterinya, Siti Nur Asikin Mohamad Hang Tuah, 33, duduk di bahagian penumpang hadapan.

    Pihaknya menerima laporan kejadian melibatkan kereta Perodua Kancil tersebut pada pukul 9.27 pagi.

    Susulan itu katanya, seramai tujuh anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Urvan dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Semasa membuat pemeriksaan mendapati pemandu tidak sedarkan diri manakala penumpang hadapan cedera pada bahagian muka.

    “Mangsa kemalangan melibatkan Nuh Hatabik Selamet Ansori, 42, yang memandi kereta itu dan Siti Nur Asikin Mohamad Hang Tuah, 33, yang duduk di bahagian hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, pegawai perubatan yang hadir membuat pemeriksaan terhadap pemandu kereta itu mendapatinya sudah meninggal dunia sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    Beliau berkata, mangsa yang cedera diserahkan kepada ambulans untuk menerima rawatan lanjut, operasi tamat pada pukul 12 tengah hari.

  • Kapal asing terus bersauh secara haram di perairan Johor

    Kapal asing terus bersauh secara haram di perairan Johor

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    BAGAIKAN tiada kesudahan apabila kelibat kapal-kapal dagang terutamanya yang berdaftar di luar negara terus didapati bersauh secara haram di perairan Johor sejak awal tahun ini.

    Terbaharu, sebuah kapal tangki yang berdaftar di Batam, Indonesia ditahan selepas disyaki bersauh tanpa kebenaran pada pukul 8.50 pagi di perairan Johor Timur, semalam.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal itu ditahan di kedudukan 11 batu nautika timur Tanjung Penawar, Kota Tinggi.

    Katanya, kapal berkenaan dikendalikan 18 kru warga Indonesia berumur antara 19 tahun hingga 56 tahun yang mempunyai pengenalan diri sah.

    “Pemeriksaan awal juga mendapati kapal tersebut mempunyai dokumen sah. Nakhoda kapal memaklumkan bahawa kapal tangki tersebut berlayar dari Kalimantan pada 19 Ogos lalu menuju ke Singapura.

    “Kapal berkenaan kemudian telah bersauh pada 26 Ogos di perairan ini tanpa kebenaran dari Pengarah Laut Malaysia.

    “Berikutan itu nakhoda dan ketua jurutera kapal telah dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut bagi kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Nurul Hizam berkata, kesalahan itu boleh mengakibatkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

    Beliau berkata, Maritim Malaysia mengambil serius mengenai sebarang cubaan bersauh tanpa kebenaran terutama di kawasan Johor Timur yang jelas merupakan kawasan perairan Malaysia.

    Tambahnya, nakhoda-nakhoda kapal dinasihati untuk memaklumkan ketibaan dan memastikan mendapatkan kebenaran sekiranya ingin melakukan sebarang aktiviti-aktiviti di perairan Malaysia.