Category: Jenayah

  • Beg tangan LV tak dapat, duit RM3,500 lesap

    Beg tangan LV tak dapat, duit RM3,500 lesap

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEORANG wanita bukan sahaja kempunan untuk memiliki beg tangan berjenama terkenal, sebaliknya terpaksa menanggung kerugian RM3,500 setelah barang yang dibeli secara dalam talian itu sebenarnya tidak wujud.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, mangsa terbabit merupakan seorang wanita berusia 33 tahun dan bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta.

    Menurut beliau, mangsa tertarik untuk memiliki beg tangan berjenama Louis Vuitton, ditawarkan pada harga RM3,800 sebaik sahaja dia melihat satu iklan melalui laman sosial Instagram yang dilayari pada 27 Julai lalu.

    Berikutan itu katanya, mangsa cuba menghubungi penjual tersebut menerusi nombor WhatsApp yang tertera dan suspek bersetuju untuk mengurangkan harga beg itu kepada RM3,500.

    “Selepas persetujuan dibuat, mangsa kemudian membuat pembayaran penuh secara pindahan wang ke dalam akaun yang diberikan suspek pada Isnin lalu.

    “Namun, selepas bayaran dijelaskan mangsa terus menghubungi suspek untuk meminta nombor ‘tracking’ penghantaran namun mangsa diminta membuat bayaran tambahan kononnya untuk caj kastam sebelum maklumat tersebut akan diberikan,” katanya melalui satu kenyataan, hari ini.

    MOHD WAZIR MOHD YUSOF

    Menurut Mohd Wazir, permintaan suspek itu menyebabkan mangsa mula berasa curiga dan syak.

    Akhirnya kata Mohd Wazir, semalam mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Kuala Krau, Temerloh.

    “Berdasarkan semakan dibuat, mendapati terdapat enam kes direkodkan membabit akaun bank yang digunakan suspek manakala semakan nombor telefon pula tiada rekod sebagai nombor bermasalah.

    “Polis percaya suspek menggunakan modus operandi bagi memperdaya mangsa dengan menawarkan penjualan barang berupa beg tangan berjenama yang tidak wujud di laman Instagram bagi menipu mangsa,” ujar beliau.

    Tambah beliau, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • Anggota Rela maut kereta dipandu terbabas langgar pokok

    Anggota Rela maut kereta dipandu terbabas langgar pokok

    SEORANG anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) maut apabila kereta dipandunya terbabas lalu melanggar pokok di Jalan Kampung Kuala Rui di sini awal pagi tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, mangsa Kairul Salam Mat Zain, 63, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik Azizul Aswad Asaris berkata sebaik menerima panggilan, sepasukan lapan anggota bergegas ke tempat kejadian untuk kerja-kerja menyelamat.

    Beliau berkata apabila sampai di tempat kejadian, kereta jenis Nissan Sentra didapati terbabas ke bahu jalan dan melanggar sebatang pokok.

    “Kemalangan itu menyebabkan mangsa tersepit di dalam kenderaan berkenaan dan anggota segera bertindak mengeluarkan mangsa.

    “Mangsa didapati telah meninggal dunia setelah disahkan oleh anggota Kementerian Kesihatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

    Azizul Aswad berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat dan operasi tamat pada 8.37 pagi.- BERNAMA

  • Pekerja asing maut jatuh bumbung ketika pasang bumbung lutsinar

    Pekerja asing maut jatuh bumbung ketika pasang bumbung lutsinar

    SEORANG pekerja asing maut selepas terjatuh dari bumbung sebuah kilang ketika melakukan kerja pemasangan sistem solar di Simpang Ampat, Pulau Pinang semalam.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu, pekerja terbabit maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.

    Seorang pekerja asing maut selepas terjatuh dari bumbung sebuah kilang ketika melakukan kerja pemasangan sistem solar di Simpang Ampat, Pulau Pinang semalam.

    Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku ketika pekerja kontraktor itu sedang melakukan kerja-kerja pemasangan sistem solar.

    Katanya, mangsa telah ditemui oleh pekerja kilang tersebut dalam keadaan terlentang di aras satu bangunan kilang.

    “Mangsa didapati terjatuh dari bumbung akibat terpijak bumbung lutsinar (skylight) di salah satu bangunan di kilang,” kata kenyataan itu hari ini.

    Sehubungan itu tambahnya, satu Notis Larangan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 kerana gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja semasa bekerja sehingga menyebabkan kemalangan dikeluarkan pihaknya kepada majikan.

    Jelasnya, lokasi kejadian juga disita dan kerja-kerja pemasangan sistem solar dihentikan serta-merta sehingga siasatan selesai dijalankan.

    “Majikan juga diarahkan menyediakan dokumen tambahan bagi membantu proses siasatan lanjut dengan segera dan kes itu disiasat di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya.

  • [Video]Myvi dihanyutkan arus deras di Inanam ditemukan pagi ini

    [Video]Myvi dihanyutkan arus deras di Inanam ditemukan pagi ini

    SEBUAH kereta Perodua Myvi yang dihanyutkan arus deras di Jalan Kionsom Lama, Inanam di sini lewat petang semalam ditemukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah bersama orang awam pada 7.20 pagi tadi.

    Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan kereta berkenaan ditemukan kira-kira 200 meter dari lokasi ia dilapor hanyut dan pada masa ini pasukan selam jabatan itu sedang menjalankan operasi pemulihan kenderaan terbabit.

    https://youtu.be/8C0-MGylNNY

    Menurut kenyataan itu pasukan bomba masih dalam usaha mencari dua lelaki mangsa kejadian iaitu pemandu kereta bernama Simon Sanga Tupe, berusia 68 tahun dan seorang penumpang dikenali sebagai Juning, 30.

    “Anggota pasukan selam ada menemukan petanda mangsa berada di dalam kereta itu, bagaimanapun operasi masih dijalankan ketika ini dan pasukan sedang mendapatkan pengesahan,” menurut kenyataan itu.

    Semalam tular video kejadian kereta berkenaan cuba menyeberangi sebuah jambatan yang dilimpahi air sebelum dihanyutkan arus deras ke dalam sungai berhampiran dalam kejadian kira-kira 6 petang.- BERNAMA

  • Stor simpan 1,661 karton rokok seludup terbongkar

    Stor simpan 1,661 karton rokok seludup terbongkar

    RAHIMI MOHAMAD

    DUA buah premis perniagaan di Taman Pontian Jaya, Johor yang dijadikan tempat menyimpan rokok seludup akhirnya terbongkar dipercayai selepas tiga bulan sindiket menggunakan stor itu untuk menyembunyikan kegiatan mereka.

    Dalam serbuan kira-kira pukul 4.30 petang, semalam, seorang lelaki yang berada di premis itu turut ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam bersama 1,661 karton pelbagai jenama rokok.

    Lelaki warga tempatan yang ditahan bersama 1,661 karton rokok seludup di Taman Pontian Jaya, Pontian.

    Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintenden Dimin Awang, stor tersebut disyaki menjadi lokasi transit sebelum barangan kontraban itu diedar ke pasaran gelap terutama di daerah tersebut.

    “Dengan penahanan suspek lelaki berusia 57 tahun serta barangan rampasan tersebut telah berjaya memutuskan rangkaian pengedaran rokok tidak bercukai terutamanya di daerah itu.

    “Kita minta kerjasama orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam serbuan tersebut, PGA merampas 1,085 karton rokok U2 Merah; 200 karton rokok Canyon Hijau; 150 rokok Canyon Merah dan 50 karton rokok AXR Merah yang setiap pek berisi 20 batang rokok.

    “Kita turut merampas 50 karton rokok D&J Ice Plus; 100 karton John D Blend; 15 karton Gudang Garam; lima karton rokok Class Mild: tiga karton RE Bold; dua karton Promax Hijau dan satu karton rokok Promax Merah,” katanya.

    Tambah beliau, anggaran keseluruhan rampasan termasuk sebuah kereta jenis Toyota Vios yang digunakan untuk aktiviti tersebut berjumlah RM360,098.

    Katanya, suspek serta barangan rampasan serta kenderaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian bagi tindakan selanjutnya di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

  • Hubungi polis segera jika jumpa suspek ini

    Hubungi polis segera jika jumpa suspek ini

    POLIS hari ini mengeluarkan fotofit seorang suspek disyaki terbabit dalam kejadian samun motosikal di Jalan Kuching, Kuala Lumpur pada 26 Ogos lalu sehingga menyebabkan sebelah tangan mangsa terpaksa dipotong.

    Memetik laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, dalam kenyataan memaklumkan fotofit itu dipadankan berdasarkan keterangan saksi.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Noramalina Md Jamil di talian 017-318 5868 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2206 bagi membantu siasatan.

    Dalam kejadian itu, sepasang kekasih cedera selepas diserang tiga lelaki dalam kejadian samun yang menyebabkan mangsa lelaki cedera di muka dan badan manakala teman wanitanya cedera di bahu kanan serta dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

    Susulan itu, tangan kanan mangsa wanita yang cedera parah dalam kejadian itu terpaksa dipotong bagi menyelamatkan nyawanya kerana jangkitan kuman.

    Berdasarkan laporan sebelum ini, mangsa dan teman wanita menaiki motosikal Y15ZR dari arah Jalan Kuching menghala ke Jinjang sebelum didatangi individu menaiki motosikal Honda RS150 warna kelabu.

    Siasatan awal mendapati suspek terdiri tiga lelaki tempatan melarikan motosikal milik mangsa bernombor pendaftaran VFU 814.

  • Lelaki dipercayai mabuk rempuh SJR

    Lelaki dipercayai mabuk rempuh SJR

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG lelaki yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima ditahan polis selepas merempuh beberapa peralatan di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Besar, Simpang Ampat, Pulau Pinang semalam.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam itu, jurutera berusia 41 tahun berkenaan didapati memandu dalam keadaan mabuk.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern, ketika kejadian terdapat enam anggota polis dan seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sedang bertugas di SJR berkenaan.

    Katanya, anggota Rela yang melihat Toyota Estima berwarna perak itu berada di lorong kanan sebelum secara tiba-tiba membelok ke lorong kiri sempat menjerit sebelum anggota polis mengelak ke bahu jalan.

    “Kenderaan itu bagaimanapun terus merempuh beberapa kon, lampu polis, papan tanda pemeriksaan polis dan payung sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Chong Chern berkata, polis kemudiannya berjaya menahan suspek kira-kira 200 meter selepas melarikan diri dan mendapati nafas lelaki itu berbau alkohol serta dipercayai mabuk.

    Ujar beliau, sisatan lanjut mendapati lelaki itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Perdana, Simpang Ampat dari tempat kerja di Bukit Mertajam.

    “Dia juga mengaku mengambil minuman keras bersama pelanggan di syarikatnya pada pukul 7 malam hingga 8 malam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1967,” katanya.

  • Bersatu Perlis jamin wanita curi RM40 dalam tabung masjid

    Bersatu Perlis jamin wanita curi RM40 dalam tabung masjid

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG tukang cuci sambilan yang didakwa di Mahkamah Majistret di Perlis semalam, atas tuduhan mencuri wang RM40 dalam tabung di Masjid Sirajuddin, Padang Pauh di Padang Besar pada 28 Ogos lalu dibebaskan selepas dibayar ikat jaminnya hari ini.

    Nor Amira Roslan, 28, dibebaskan selepas wang jaminan RM2,000 yang ditetapkan mahkamah telah dilunaskan oleh Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis, Abu Bakar Hamzah, di Mahkamah Kangar, hari ini.

    Bagaimanapun, dia masih perlu hadir ke mahkamah sama untuk sebutan semula kes tersebut yang ditetapkan pada 4 Oktober ini.

    “Saya mohon maaf atas kesilapan yang dilakukan dan berjanji tidak akan ulangi lagi. Bantuan daripada pelbagai pihak untuk mulakan hidup baru saya hargai.

    “Selain itu, saya juga ucapkan jutaan terima kasih terutama kepada Abu Bakar yang sudi menjamin kerana saya sudah terfikir untuk dipenjara. Syukur saya masih diberi peluang untuk buka ‘buku’ baharu.

    “Saya amat hargai keprihatinan rakyat Malaysia,” kata Amira ketika ditemui di perkarangan mahkamah sejurus dibebaskan.

    Menurut Abu Bakar, tindakan itu dilakukan sebagai tanda keprihatinan Bersatu Perlis melihat isu yang sedang berlaku di negeri berkenaan dalam situasi pandemik.

    Katanya, pihaknya mendapat arahan daripada kepimpinan Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dibantu Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang meminta kes ini diselesaikan segera.

    “Jadi, dalam semangat kekeluargaan ini, kita mahu isu ini diselesaikan segera terutama dalam keadaan pandemik Covid-19 ini.

    “Dengan pertolongan ini, kita boleh memberitahu pada rakyat bahawa kerajaan memandang serius berkenaan masalah kecurian dan sebagainya, walaupun kita tahu perbuatan mencuri itu salah dari agama dan undang-undang,” katanya.

  • Abang maut, adik parah motosikal bertembung lori

    Abang maut, adik parah motosikal bertembung lori

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    SEORANG pekerja buruh binaan maut, manakala adiknya pula cedera parah apabila motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah lori sebelum diseret sejauh 10 meter dalam kejadian di Kilometer (KM) 139 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, petang semalam.

    Dalam kejadian pada pukul 3.05 petang itu, mangsa, T. Vellasamygaenesan, 29, beralamat dari Taman Sri Layang, Mentakab meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya, T. Mathanaruban, 27 yang membonceng motosikal itu cedera parah.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Roslee Omar, kejadian tersebut melibatkan motosikal jenis Yamaha 135LC dan lori jenis Hino.

    Beliau memberitahu, berdasarkan siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika lori yang dipandu seorang lelaki berusia 60 tahun itu dalam perjalanan dari kilang papan Batu 5 menghala ke kedai di kawasan perindustrian di Mentakab.

    Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian pemandu lori tersebut ternampak motosikal yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan memasuki ke laluannya.

    “Pemandu lori itu cuba mengelak ke kiri, namun disebabkan jarak terlalu hampir, kedua-dua kenderaan berkenaan akhirnya bertembung,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut Roslee, ekoran pertembungan itu, mangsa bersama motosikalnya diseret dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya patah kaki kiri, pemandu lori pula tidak cedera.

    Sementara itu Roslee berkata, keadaan motosikal mangsa remuk, bumper bahagian kiri dan cermin hadapan pecah.

    “Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk bedah siasat selepas mendapat keputusan saringan Covid-19 dan adiknya juga dihantar ke hospital sama bagi rawatan lanjut,” jelas beliau.

    Katanya, polis sedang mengesan saksi kejadian bagi membantu siasatan manakala kenderaan terlibat dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan.

    Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Warga emas direman langgar papan amaran SJR

    Warga emas direman langgar papan amaran SJR

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SUASANA di lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) di hadapan Pondok Polis Chekok, Tok Uban Pasir Mas Kelantan gempar seketika apabila seorang warga emas yang memandu kereta Perodua Myvi tiba-tiba merempuh papan amaran yang diletakkan di laluan tersebut, semalam.

    Bagaimanapun, dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Mohd. Nasaruddin M. Nasir, kejadian itu berlaku semasa warga emas berusia 60 tahun tersebut dalam perjalanan dari Tanah Merah menghala ke Pasir Mas untuk pulang ke rumahnya di Melor, Kota Bharu.

    Berdasarkan maklumat diperoleh katanya, polis berjaya menangkap lelaki berkenaan di pekarangan Balai Polis Melor.

    “Selain itu, polis turut merampas Perodua Myvi yang digunakan ketika kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut Mohd. Nasaruddin, sewaktu tiba di kawasan Chekok hujan yang terlampau lebat menyebabkan warga emas itu gagal mengelak papan tanda amaran SJR.

    Beliau berkata, hasil soal siasat awal mendapati lelaki yang bekerja sebagai petani itu mempunyai masalah rabun akibat selaput pada bahagian mata.

    Mohd. Nasaruddin berkata, memandangkan hujan lebat, menyebabkan lelaki itu meneruskan perjalanannya.

    “Warga emas itu memberitahu tujuan dia ke Tanah Merah adalah untuk membeli alat ganti mesin baja miliknya yang rosak.

    “Polis juga mendapati lelaki itu mempunyai surat kebenaran rentas daerah dari Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di samping telah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 dan saringan awal air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod lampau jenayah,” ujar beliau.

    Bagaimanapun katanya, warga emas berkenaan direman untuk siasatan lanjut.