Category: Jenayah

  • Farmasi jual kit ujian kendiri tidak ikut harga ditetapkan

    Farmasi jual kit ujian kendiri tidak ikut harga ditetapkan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    HANYA satu daripada 180 farmasi yang diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, didapati menjual kit ujian kendiri COVID-19 melebihi harga siling ditetapkan kerajaan sejak 5 September lalu.

    Pengarahnya, Rae Morn Verak berkata, farmasi tersebut yang terletak di daerah Kubang Pasu bagaimanapun diberi tempoh seminggu untuk membuat pelarasan harga seperti ditetapkan kerajaan.

    Katanya, pengusaha farmasi tersebut diminta berbincang untuk mendapatkan rebat dari pihak pembekal kerana mendakwa kit kendiri yang dijual, merupakan stok lama yang diperolehi dengan harga mahal.

    “Lain-lain farmasi didapati mematuhi harga siling ditetapkan. Malah ada juga yang menjual pada harga lebih rendah.

    “Rata-rata pengusaha farmasi mendakwa jualan kit kendiri itu sangat menggalakkan sejak harga siling ditetapkan hingga ada yang berjaya menjual sebanyak 500 unit sehari. Itu sudah tentu sesuatu yang baik untuk semua orang menjalankan ujian Covid-10 sendiri, dengan cara lebih selamat,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas mengetuai sepasukan pegawai dan anggotanya melakukan pemeriksaan di farmasi-farmasi yang beroperasi di Simpang Kuala, Alor Setar, hari ini.

    Tambahnya, rata-rata pengusaha farmasi itu memaklumkan mereka tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan bekalan dengan pelbagai pilihan jenama turut ditawarkan kepada pengguna.

    “Setakat ini kita berpuas hati dengan pematuhan pengusaha farmasi. Begitu pun selepas ini, pemantauan akan diteruskan lagi di beberapa lokasi bagi memastikan pengguna dapat memiliki kit tersebut pada harga ditetapkan.

    “Jika ada penjual yang berdegil, mereka boleh dikenakan penalti sebanyak RM100,000, penjara tak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau dikompaun hingga RM50,000 bagi kesalahan individu.

    “Bagi syarikat pula, mereka boleh didenda hingga RM500,000 atau dikompaun hingga RM250,000 jika sabit kesalahan,” katanya.

  • Maqis rampas 1,000 ekor lipan hidup

    Maqis rampas 1,000 ekor lipan hidup

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor menahan lebih kurang 1,000 ekor lipan hidup di Terminal Feri Stulang Laut, Johor Bahru kelmarin.

    Menurut Maqis Johor dalam satu kenyataan, hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan Pegawai Penguat Kuasa Maqis menemukan lipan hidup itu pada jam 1 petang yang dianggarkan bernilai RM1,750 dan cuba dibawa masuk tanpa permit import sah oleh seorang penumpang feri dari Batam, Indonesia.

    “Kesemua lipan hidup yang dibawa masuk itu disimpan dalam bungkusan bertujuan untuk dijadikan makanan untuk ikan. Kesemua barang dagangan tersebut telah ditahan untuk tindakan lanjut.

    Lipan disembunyikan dalam bungkusan untuk dibawa masuk namun berjaya dikesan pihak Maqis

    “Kes akan disiasat di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana mengimport tanpa permit, lesen atau perakuan yang dikeluarkan di bawah akta ini,” menurut satu kenyataan, hari ini.

    Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Pihak MAQIS menasihati agar semua pengimport dan pengeksport sentiasa mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan agar kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di Malaysia,” tambah kenyataan itu.

  • Bekas penolong pegawai JAIM direman bantu siasatan penyelewengan

    Bekas penolong pegawai JAIM direman bantu siasatan penyelewengan

    SEORANG bekas Penolong Pegawai Tadbir Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) direman lima hari bermula hari ini selepas dipercayai menyeleweng kutipan bayaran lebihan gaji guru kontrak jabatan itu yang bernilai lebih RM195,000, empat tahun lepas.

    Perintah reman terhadap lelaki berusia 36 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Terdahulu, lelaki itu yang kini bertugas di sebuah kolej matrikulasi di Johor, tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh kira-kira 8.35 pagi tadi dengan memakai pakaian lokap SPRM berwarna jingga.

    Difahamkan lelaki berkenaan semasa bertugas sebagai Penolong Pegawai Tadbir di Pejabat Pengurusan dan Sumber Manusia JAIM telah mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu bayaran balik emolumen terlebih bayar berjumlah RM195,765.75.

    Bayaran lebihan gaji itu sepatutnya diserahkan kepada bahagian kewangan namun lelaki itu yang ditugaskan menguruskan hal berkenaan gagal berbuat demikian.

    Jika sabit kesalahan, lelaki berkenaan boleh didenda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki itu dan siasatan lanjut mengenai kes berkenaan sedang dijalankan.- BERNAMA

  • 45 set bubu naga dirampas di perairan Pulau Pinang

    45 set bubu naga dirampas di perairan Pulau Pinang

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas sebanyak 45 set bubu naga di empat lokasi berbeza sekitar 1.0 batu nautika barat Sungai Jawi negeri itu antara pukul 5 petang hingga 5.45 petang semalam.

    Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, rampasan itu dibuat berikutan pengesanan semasa rondaan rutin OP BENTENG LAUT dan OP PERTIWI di perairan Pulau Pinang.

    Maritim Malaysia Pulau Pinang merampas sebanyak 45 set bubu naga di empat lokasi berbeza sekitar 1.0 batu nautika barat Sungai Jawi negeri itu antara pukul 5 petang hingga 5.45 petang semalam.

    Menurut beliau, semasa rondaan tersebut bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan beberapa pelampung mencurigakan di permukaan air dan disyaki penanda bubu naga.

    “Pemeriksaan di keempat-empat lokasi telah menemukan sejumlah 45 set bubu naga dengan anggaran nilai hampir RM 5,400.00 dan dirampas serta dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurut Abd. Rasak, penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

    Tambah beliau, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

    Katanya, jika disabitkan kesalahan nelayan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

    “Nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan. 

    “Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram ini dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes dan jenayah maritim yang berlaku di perairan Pulau Pinang,” katanya.

    Tanbah beliau, sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

  • Lelaki tumbuk pintu cermin masjid meninggal dunia

    Lelaki tumbuk pintu cermin masjid meninggal dunia

    SEORANG lelaki ditemukan maut dengan kesan kecederaan pada pergelangan tangan serta kaki kanan, di rumah sewanya di Taman Scientex dekat sini pagi Ahad lepas.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata siasatan awal mendapati pada malam sebelumnya lelaki berumur 28 tahun itu dikatakan mengamuk di Masjid Taman Scientex yang berdekatan dengan rumahnya apabila mendapati pintu masjid ditutup selepas waktu Isyak.

    “Dia bertindak menumbuk pintu cermin hadapan masjid itu hingga pecah, menyebabkan tangannya berlumuran darah. Di lantai masjid terdapat kesan tompokan darah. Semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati lelaki itu telah menumbuk sebanyak dua kali pintu cermin itu sehingga pecah,” katanya dalam kenyataan lewat malam ini.

    Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, kakak lelaki itu memberitahu bahawa adiknya yang merupakan jurutera kimia sebuah syarikat berada dalam keadaan tertekan kerana tidak dapat melawat keluarga di Kuala Berang, Terengganu, sejak kira-kira enam bulan.

    Katanya polis menerima makluman mengenai lelaki itu pada kira-kira 7.35 pagi Ahad, dan mayat telah dirujuk ke Hospital Sultan Ismail di sini untuk proses bedah siasat.

    “Hasil bedah siasat mendapati sebab kematian adalah luka parah di pergelangan tangan kanan saluran darah alteri, dan urat tendon terputus akibat tumbukan pintu cermin kaca. Kes diklasifikasi sebagai kes mati mengejut,” tambahnya.- BERNAMA

  • Wang simpanan RM32,400 lesap ditipu sindiket selepas serah TAC

    Wang simpanan RM32,400 lesap ditipu sindiket selepas serah TAC

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG pekerja swasta wanita di Kepala Batas, Pulau Pinang berputih mata selepas wang simpanan miliknya sebanyak RM32,400 lesap dipercayai ditipu sindiket Macau Scam semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, mangsa berusia 21 tahun itu mula terjerat dengan sindiket terbabit selepas menerima panggilan telefon daripada individu yang mengaku pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Menurutnya, mangsa dimaklumkan oleh individu terbabit kononnya terdapat syarikat yang didaftarkan atas namanya mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM17,600.

    Tambahnya, mangsa yang menafikan perkara itu kemudian disambungkan kepada individu lain yang mengaku pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Setar, Kedah.

    “Individu itu kemudian pula mendakwa akaun bank mangsa terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan akan dibekukan untuk siasatan lanjut.

    “Mangsa yang panik telah mengikut arahan individu terbabit supaya menyerahkan maklumat perbankan dan kod pengesahan transaksi (TAC) selain diingatkan tidak memaklumkan kepada sesiapa berhubung perkara itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Noorzainy berkata, sebaik sahaha menyerahkan nombor TAC mangsa menerima notifikasi daripada pihak bank memaklumkan wang di dalam akaunnya sebanyak RM32,400 telah dipindahkan ke akaun bank lain.

    Jelasnya, mangsa mengesyaki dia telah ditipu selepas gagal menghubungi semula individu berkenaan sebelum tampil membuat laporan polis.

    “Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

  • Bayi bertali pusat ditemukan atas rumput

    Bayi bertali pusat ditemukan atas rumput

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemukan di atas rumput berhampiran rumah kongsi di Presint 3 Taman Ara Sendayan Seremban, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung bayi yang ditinggalkan itu pada pukul 11.52 pagi.

    “Hasil siasatan awal mendapati bayi perempuan itu masih mempunyai tali pusat dan uri disyaki baru dilahirkan kurang dari 12 jam.

    “Bayi itu kini berada di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana ibu bapa atau orang yang bertanggungjawab menjaga kanak-kanak berumur kurang 12 tahun mendedahkan dan membuang kanak-kanak.

    Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menyalurkannya kepada pihak polis.

  • Muhammad Fayyadh Ukasyah anak paling manja – Ibu

    Muhammad Fayyadh Ukasyah anak paling manja – Ibu

    LULUH hati seorang ibu apabila anak lelaki kesayangannya yang hilang sejak petang semalam ditemukan terapung dalam keadaan tidak bernyawa di sebuah lombong di Taman Kinta Baru di sini hari ini.

    Nur Shamimi Abdul Malek, 27, dilihat tidak berhenti menangisi pemergian Muhammad Fayyadh Ukasyah Abdul Wahid, 6, yang disifatkan anak paling manja dalam keluarga.

    “Selalunya ketika hendak tidur, dia (Muhammad Fayyadh Ukasyah) mesti cari dan pegang kaki saya dahulu, baru dia boleh tidur malah apabila bangun tidur juga dia akan mencari saya dahulu dan kemudian baru dia buat benda (hal) lain,” katanya yang ditemui pemberita di lombong itu hari ini.

    Ibu kepada lima anak berusia tiga bulan hingga lapan tahun itu berkata dia tidak menyangka Muhammad Fayyadh Ukasyah akan dijumpai di lombong yang terletak kira-kira 80 meter dari rumah mereka kerana anaknya itu tidak pernah pergi ke tempat berkenaan sebelum ini.

    Katanya kehilangan anak keduanya yang merupakan kanak-kanak hiperaktif, kurang pendengaran serta tidak boleh bercakap itu disedari selepas dia selesai mandi pada kira-kira 6.30 petang semalam.

    “Selepas saya mandi dan melihat pintu terbuka, saya segera menyuruh anak sulung mencarinya hingga ke tempat-tempat yang dia selalu pergi bermain termasuk gelongsor di taman permainan namun tetap tidak ditemui,” katanya.

    Suri rumah itu yang turut berkali-kali menzahirkan maaf berkata anaknya itu selalunya akan berlari keluar dari rumah sekiranya pintu pagar tidak ditutup dan memaklumkan ketika kejadian, suaminya yang merupakan seorang operator kilang baru pulang dari kerja.

    Terdahulu, mayat Muhammad Fayyadh Ukasyah ditemukan terapung di tepi sebuah lombong oleh pasukan operasi mencari daripada Balai Polis Gopeng pada 9.45 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kampar Supt Hasron Nazri Hashim dilaporkan berkata mayat Muhammad Fayyadh Ukasyah dibawa naik oleh pihak Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng dan pemeriksaan awal pada fizikal kanak-kanak itu tidak menemukan elemen jenayah.

    Mayat kemudian dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat dan siasatan diteruskan sebagai laporan mati mengejut, katanya.- BERNAMA

  • Pesakit positif Covid-19 lari dari Hospital Lahad Datu

    Pesakit positif Covid-19 lari dari Hospital Lahad Datu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki yang disahkan positif Covid-19 melarikan diri dari Hospital Lahad Datu, Lahad Datu malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, Firdaus Abdul Halim, 30, disedari hilang pada pukul 8.07 malam ketika kakitangan hospital sedang melakukan proses dokumentasi.

    “Suspek telah menerima rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Datu selepas mengadu demam dan hilang deria rasa.

    “Susulan itu, ujian calitan RTK Covid-19 telah dijalankan dan hasilnya didapati positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Rohan berkata, satu laporan polis dibuat oleh pegawai perubatan hospital terbabit dan usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek diminta tampil menyalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

  • Usah terpedaya terima mesej ujian saringan positif Covid-19 – Polis

    Usah terpedaya terima mesej ujian saringan positif Covid-19 – Polis

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu meminta orang ramai di negeri ini agar tidak mudah terpedaya sekiranya ada menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp mengenai keputusan ujian saringan Covid-19 daripada orang tidak dikenali.

    Ini kerana, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M. Zambri Mahmud, sindiket penipuan kini dikesan menggunakan pelbagai taktik dan helah tertentu bagi memerangkap mangsa, lapor Sinar Harian.

    Malah katanya, difahamkan antara taktik penipuan sindiket itu ialah dengan menghantar mesej ujian saringan Covid-19 menerusi aplikasi WhatsApp kepada orang ramai beserta pautan yang ‘wajib’ ditekan penerima.

    Menurut beliau, isi kandungan mesej tersebut antara lain memaklumkan kepada penerima kononnya keputusan hasil saringan Covid-19 yang dilakukan adalah positif dan perlu menekan pautan yang disertakan sebagai maklum balas.

    Antara contoh mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang dihantar kepada mangsa berhubung keputusan ujian saringan Covid-19

    Kemudian katanya, setelah mangsa melakukan seperti diarahkan, telefon pintar milik mereka difahamkan akan digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab.

    Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah menekan pautan diterima terutama daripada nombor meragukan bagi mengelak telefon peribadi mereka digodam.

    “Oleh itu, saya ingin menasihati kepada masyarat, khususnya mereka yang tidak pernah melakukan swab test Covid-19 sama ada di klinik swasta atau pun di klinik kesihatan kerajaan agar tidak mudah panik dan tidak melayan apa jua arahan diberikan sekiranya menerima mesej seperti itu,” katanya di Kuala Terengganu, hari ini.

    M. Zambri berkata, walaupun setakat ini masih belum ada kes sedemikian dilaporkan berlaku di Terengganu, namun orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dan tidak menekan mana-mana pautan diterima daripada nombor telefon meragukan bertujuan untuk berkongsi maklumat peribadi.

    Sebaliknya, beliau meminta supaya orang ramai segera mengabaikan mesej-mesej atau panggilan yang diterima daripada individu tidak dikenali kerana ketika ini sindiket penipuan telah menggunakan pelbagai taktik untuk menjerat mangsa setiap hari.