Category: Jenayah

  • Kes pecah pintu masjid, keluarga sedar perubahan arwah

    Kes pecah pintu masjid, keluarga sedar perubahan arwah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KELUARGA kepada seorang jurutera yang ditemui meninggal dunia di sebuah rumah, selepas insiden memecahkan cermin Masjid Taman Scientex, Pasir Gudang, di Johor memaklumkan menyedari perubahan sikap yang ketara, sejak dua minggu lalu.

    Ayu Megawati Mohd. Said, kakak kepada Muhammad Sufian berkata, adiknya juga pernah meluahkan hasrat ingin berhenti kerja dan pulang ke kampung untuk menjaga ayahnya kerana menghidap penyakit lelah yang kronik.

    Katanya, adik bongsunya itu bertugas di Johor sejak tiga tahun lepas dan tidak pernah berkelakuan agresif sebelum ini namun, akhir-akhir ini kerap menyatakan hasratnya untuk pulang ke kampung.

    “Rutin kami adik-beradik membuat panggilan video secara berkumpulan selepas maghrib dan arwah akan menamatkan perbualan apabila masuk waktu azan isyak, tetapi sejak dua minggu kebelakangan ini arwah berbual lebih lama berbanding sebelumnya,” katanya menurut laporan Bernama.

    Pintu masjid kaca pecah selepas dipercayai ditumbuk seorang lelaki yang dipercayai berang kerana pintu sudah ditutup selepas Isyak di Masjid Taman Scientex, Pasir Gudang, pada malam Sabtu.

    Ayu yang turut tinggal berdekatan dengan Sufian di Pasir Gudang berkata, pada Sabtu lalu adiknya itu beberapa kali mendesak serta mengajak pulang ke kampung, bagaimanapun dia meminta Sufian bersabar hingga Ahad bagi menguruskan dokumen rentas negeri.

    “Namun, perancangan itu tidak tercapai apabila saya menerima panggilan kira-kira pukul 4 pagi dan dimaklumkan kejadian yang berlaku,” katanya.

    Beliau berkata, jenazah Muhammad Sufian telah selamat dikebumikan pada 9 malam kelmarin di Tanah Perkuburan Islam Pulau Kuda, Kuala Berang, Terengganu.

    Dalam kejadian Ahad lepas, jurutera kimia itu ditemui maut dengan kesan kecederaan pada pergelangan tangan serta kaki kanan di rumah sewanya dan sebelum itu dikatakan mengamuk di Masjid Taman Scientex apabila mendapati pintu masjid ditutup selepas waktu Isyak. – SB

  • 6 nelayan, 2 bot ditahan ceroboh Taman Laut

    6 nelayan, 2 bot ditahan ceroboh Taman Laut

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Perikanan negeri menahan enam nelayan dan dua buah bot zon B menerusi Ops Penguatkuasaan Pemantauan, Kawalan dan Pengawasan (MCS) di Kota Tinggi-Mersing) bermula 5 September hingga semalam.

    Pengarah Perikanan Negeri Johor, Zainudin Abdul Wahab berkata, penguat kuasa jabatan berkenaan menerusi unit perlindungan sumber, menahan bot berkenaan di 5.9 batu nautika dari Tanjung Penawar Kota Tinggi dan 1.64 batu nautika dari Pulau Aur Mersing.

    Zainudin Abdul Wahab

    “Operasi dianggotai tujuh penguat kuasa menemukan bot pukat berkenaan jenis vesel pukat tunda zon B dan vesel pukat jerut ikan zon B sedang melakukan aktiviti menangkap ikan yang menyalahi Akta Perikanan 1985.

    “Ini termasuk melanggar syarat lesen dengan aktiviti penangkapan ikan di kawasan Taman Laut, menyalahi syarat perairan negeri dan bukan usaha sendiri yang bermaksud menyalah guna lesen individu lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurut beliau, siasatan mendapati nakhoda mengendalikan bot itu bukan pemilik lesen.

    Ketika ditahan katanya, mereka didapati baru memulakan kegiatan penangkapan ikan di kedua-dua lokasi berkenaan.

    “Seramai enam nelayan tempatan berusia antara 30-an hingga 50-an ditahan dengan nilai anggaran sitaan bernilai RM700,000.

    “Mereka diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Perikanan, Pangkalan Perlindungan Sumber Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Sebuah bot ditahan kerana melanggar syarat lesen dengan aktiviti penangkapan ikan di kawasan Taman Laut, menyalahi syarat perairan negeri dan bukan usaha sendiri yang bermaksud menyalah guna lesen individu lain

    Pihaknya mengingatkan nelayan agar sentiasa mematuhi syarat lesen termasuk tidak menjalankan kegiatan menangkap ikan di kawasan Taman Laut termasuk di Mersing yang telah diwartakan di bawah Perintah Penubuhan Taman Laut Malaysia mulai 1994.

    “Kami tidak berkompromi dengan perbuatan menceroboh kawasan Taman Laut mahupun kesalahan lain.

    “Sebarang aduan pencerobohan pulau Taman Laut Mersing boleh disalurkan kepada Pejabat Taman Laut Mersing di talian 07-7991161 bagi tindakan,” katanya.

  • 5 pelacur warga asing ditahan dalam serbuan

    5 pelacur warga asing ditahan dalam serbuan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur menahan lima pelacur warga asing dipercayai terlibat dengan kegiatan persundalan selepas menyerbu sebuah hotel di Jalan Pudu Ulu, Kuala Lumpur semalam.

    Menurut Ketua JSJ Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff, pihaknya melakukan serbuan pada pukul 4.45 petang di bawah Op Noda dan menahan semua wanita asing itu yang berusia 25 hingga 40 tahun,

    “Wanita asing ini disyaki terlibat dalam kegiatan pelacuran di premis berkenaan.

    Pihak polis turut merampas 13 keping kondom, lima helai tuala warna coklat, tiga botol minyak pelincir, lima keping akses kad dan wang tunai RM1,070,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Saiful Annuar berkata, tiga pelanggan yang merupakan lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan antara 20 hingga 36 tahun turut ditahan dalam serbuan berkenaan.

    “Kesemua tangkapan akan direman hari ini dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

  • Salah guna dana RM.2.2 juta, 4 pegawai kanan bekas subsidiari GLC ditahan SPRM

    Salah guna dana RM.2.2 juta, 4 pegawai kanan bekas subsidiari GLC ditahan SPRM

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat pegawai kanan bekas subsidiari sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) bagi membantu siasatan berkaitan kes salah guna kuasa dan kedudukan melibatkan dana berjumlah RM2.2 juta.

    Menurut sumber, kesemua mereka yang berusia antara 49 hingga 58 tahun ditahan selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kedah, di Alor Setar antara pukul 3.45 petang hingga 4.15 petang hari ini.

    “Hasil siasatan awal mengesyaki keempat-empat mereka termasuk seorang individu berjawatan ketua pegawai eksekutif (CEO), telah menyalah gunakan kuasa dan kedudukan masing-masing untuk menyalurkan dana syarikat tersebut bernilai RM2.2 juta ke dalam dua syarikat lain.

    “Kesemua mereka dipercayai memiliki kepentingan dalam dua syarikat berkenaan,” katanya.

    Sementara itu Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dilakukan.

    Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan hanya memaklumkan keempat-empat individu berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar pagi esok bagi permohonan reman.

    “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23, Akta SPRM 2009,” katanya ringkas.

  • [VIDEO]Lelaki agresif ditahan selepas panjat kereta polis, libas sabit

    [VIDEO]Lelaki agresif ditahan selepas panjat kereta polis, libas sabit

    SEORANG lelaki ditahan selepas bertindak agresif dengan memanjat kereta peronda polis sambil melibaskan sebilah sabit panjang di hadapan Balai Polis Gopeng di sini, seperti yang tular di media sosial hari ini.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata dalam kejadian jam 8 pagi tadi, lelaki berumur 61 tahun itu berjaya ditahan selepas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang hadir ke lokasi kejadian untuk membantu, bertindak menyembur air ke arahnya.

    Beliau berkata suspek datang ke balai polis berkenaan dengan menaiki motosikal dan membawa parang dan sabit, lalu memasuki kawasan balai sehingga berada di hadapan pintu masuk pejabat pertanyaan. 

    “Pegawai polis yang bertugas telah bertindak untuk menenangkan suspek serta menghubungi bantuan bagi mengelakkan daripada berlakunya sebarang perkara yang tidak diingini.

    “Suspek telah bertindak keluar dari kawasan balai dan menuju ke Jalan Ipoh-Kuala Lumpur namun telah disekat pihak polis di hadapan pagar balai polis tersebut. Polis juga telah meletakkan sebuah kereta peronda di tengah jalan sebelum itu bagi menghalang orang ramai melalui kawasan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Mior Faridalathrash berkata hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine serta heroin, selain mempunyai 16 rekod lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik.

    “Turut dirampas bersama-sama suspek adalah sebilah parang, sebilah sabit panjang, sebuah motosikal dan empat bilah kunci.

    “Berdasarkan maklumat awal juga, suspek telah mengamuk serta merampas motosikal milik orang awam di kawasan Pasar Awam Lawan Kuda dan kemudian menuju ke kawasan perumahan Kopisan sebelum bertindak masuk ke Balai Polis Gopeng,” katanya.

    Mior Faridalathrash berkata suspek kini ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat.- BERNAMA

  • Pemandu Perodua Viva lawan arus ditahan

    Pemandu Perodua Viva lawan arus ditahan

    POLIS menahan seorang pemandu kereta Perodua Viva yang dipercayai memandu secara melawan arus di bulatan Medini dekat Iskandar Puteri Isnin lepas.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata lelaki berumur 34 itu ditahan pada 5 petang semalam di Balai Polis Trafik Gelang Patah selepas diminta hadir memberi keterangan.

    Beliau berkata hasil risikan yang dijalankan mendapati individu terbabit membawa kereta milik sepupunya pada hari kejadian.

    “Pemilik kereta itu diminta hadir ke balai polis trafik dan memberitahu bahawa sepupunya membawa kenderaan miliknya ketika kejadian, individu (pemandu) terbabit kemudian diminta hadir untuk diambil keterangan dan memberikan alasan bahawa keliru dengan jalan bulatan tersebut.

    “Individu tersebut juga mengaku memandu secara menyonsang arus yang boleh mendatangkan bahaya kepada dirinya serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

    Dzulkhairi bagaimanapun berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati individu terbabit negatif dadah.

    Katanya, pihak polis turut mengeluarkan saman kepada pemilik kenderaan itu atas kesalahan membenarkan individu memandu tanpa lesen dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Terdahulu, video berdurasi 17 saat tular dalam media sosial yang memaparkan sebuah Perodua Viva berwarna perak dipandu melawan arus dan dipercayai video itu dirakam pengguna lebuh raya lain sebelum ia dimuat naik dalam Facebook.- BERNAMA

  • Kempunan miliki rantai tangan lipan kait, rugi pula RM2,499

    Kempunan miliki rantai tangan lipan kait, rugi pula RM2,499

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    HANYA disebabkan terlalu berminat untuk memakai rantai tangan lipan kait dan gelang emas fesyen, seorang suri rumah akhirnya terjerat dengan satu sindiket penipuan menjual barangan yang tidak wujud.

    Malah, suri rumah berusia 42 tahun itu bukan sahaja kempunan untuk memiliki barangan kemas kegemarannya, malah mangsa turut mengalami kerugian RM2,499 ekoran ditipu dalam pembelian barangan pada awal bulan ini.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Mohd Wazir Mohd Yusof, dalam kejadian tersebut, mangsa yang tinggal di Kota Sri Ahmad Shah, Kuantan dikatakan memang berminat untuk membeli barangan kemas itu.

    Katanya, ia bermula sebaik sahaja mangsa melihat satu iklan penjualan emas lelong yang diiklankan menerusi laman sosial Instagram dengan nama kedai_emas.lelong916official.

    Justeru katanya, mangsa kemudian telah menghubungi nombor telefon yang tertera di media sosial tersebut untuk membeli rantai tangan lipan kait seberat 64.88 gram dan gelang emas fesyen seberat 17.48 gram dengan harga berjumlah RM2,499.

    “Setelah berbincang, mangsa menyatakan persetujuan untuk membeli dan telah membuat tiga transaksi bayaran ke dua akaun diberikan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Bagaimanapun kata Mohd Wazir, selepas membuat pembayaran, sehingga kini mangsa tidak menerima barangan kemas yang dibeli itu.

    “Ekoran itu, mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan kerana merasakan dirinya telah ditipu. Modus operandi yang digunakan suspek ialah dengan menawarkan penjualan emas tidak wujud sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian,” ujar beliau.

  • Polis, kastam serbu gudang simpanan minuman keras, mercun seludup

    Polis, kastam serbu gudang simpanan minuman keras, mercun seludup

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah melakukan serbuan di sebuah gudang yang dijadikan lokasi penyimpanan minuman keras dan mercun seludup diserbu dalam Op Kontraban di Jalan Pantai Berahi, Putatan, Penampang hari ini.

    Menerusi operasi pada pukul 3.05 petang itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bersama-sama JKDM Sabah berjaya merampas minuman keras dan mercun bernilai lebih RM500,000.

    Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, pihaknya menemukan 3,986 katon minuman keras dan 40,500 biji mercun pelbagai jenama dalam gudang tersebut.

    “Nilai keseluruhan minuman keras dan mercun yang dirampas selepas tafsiran cukai RM502,316.

    “Tiada tangkapan dilakukan ketika serbuan dilakukan dan semua barang rampasan diserahkan kepada JKDM Sabah untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

    Mohd. Haris berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan barang-barang tidak berkastam.

    Dalam perkembangan lain, Mohd. Haris berkata, operasi yang dijalankan bersama JKDM Sabah itu adalah untuk membanteras aktiviti penyeludupan khususnya di kawasan daerah ini.

    “Objektif operasi bagi membanteras rangkaian pengedaran serta penjualan rokok seludup dan minuman keras tanpa cukai selain memastikan Penampang bersih daripada menjadi pusat penyimpanan barangan tanpa cukai.

    “Sepanjang operasi bersepadu bersama JKDM Sabah dilaksanakan sebanyak empat kali serbuan dan rampasan berjaya direkodkan dalam tempoh dua bulan,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat setempat menyalurkan maklumat bagi membanteras aktiviti penyeludupan khususnya di Penampang.

  • JSJN rampas syabu 7.14kg dalam bungkusan teh cina

    JSJN rampas syabu 7.14kg dalam bungkusan teh cina

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Selangor menahan empat suspek yang dipercayai menjadi dalang sindiket pengedaran dadah ditahan bersama-sama 7.14 kilogram syabu dalam satu serbuan di kawasan tempat letak kereta di Taman Bolton, Batu Caves, Gombak pada 30 Ogos lalu.

    Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, serbuan pukul 1 petang itu dijalankan oleh pasukan daripada JSJN Kontinjen Selangor.

    “Pihak polis berjaya merampas satu beg kanvas berwarna biru yang di dalamnya mengandungi tujuh bungkusan teh cina berwarna hijau berisi bahan kristal disyaki syabu.

    “Dianggarkan berat keseluruhan berjumlah 7.14 kilogram dengan nilai rampasan RM245,000. Dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 14,000 penagih sehari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurut beliau, ujian saringan air kencing ke atas empat lelaki yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun itu mendapati tiga daripada mereka positif dadah.

    “Dua daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah. Kesemua suspek direman sembilan hari bermula 31 Ogos untuk siasatan lanjut,” katanya.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati,” katanya.

  • 18 PATI baru mendarat ditahan dalam Op Benteng

    18 PATI baru mendarat ditahan dalam Op Benteng

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 18 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Indonesia ditahan dalam Op Benteng menerusi beberapa tangkapan di kawasan Teluk Ramunia, Bandar Penawar, Kota Tinggi dari malam tadi hingga pagi ini.

    Menurut kenyataan Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen), Tentera Darat Malaysia (TDM) dimaklumkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada pukul 9 malam selepas mengesan pergerakan bot mencurigakan di Teluk Ramunia.

    “Mereka dikesan menerusi Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) sebelum pasukan Tim Quick Reaction Force (QRF) dihantar ke lokasi bagi membuat pengintipan. Hasil serbuan pada pukul 11.30 malam berjaya menangkap 3 PATI sedang bersembunyi dalam hutan di lokasi berkenaan.

    Antara PATI yang berjaya ditahan dalam tiga tangkapan membabitkan semuanya warga Indonesia

    “Pada masa yang sama agensi yang bekerjasama dalam Op Benteng iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menangkap 13 PATI bersama-sama sebuah bot di kawasan pantai sekitar Teluk Ramunia.

    “Mereka kemudian dibawa ke Jeti Tanjung Pengelih dan diserahkan kepada pasukan untuk siasatan dan proses dokumentasi lanjut,” menurut kenyataan berkenaan, hari ini.

    Menurut kenyataan itu, menerusi operasi sama pukul 8 pagi ini, dua lagi PATI ditangkap sedang bersembunyi di kawasan hutan berhampiran.

    SWASLA mengersan PATI sebelum pasukan QRF dihantar ke lokasi bagi menangkap PATI sedang bersembunyi dalam hutan di Teluk Ramunia

    Jelas kenyataan itu, seramai 18 PATI tersebut yang terdiri daripada 15 lelaki dan tiga wanita merupakan PATI warga Indonesia berusia 22 hingga 43 tahun dipercayai baru saja tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah.

    “Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM5,356 melibatkan mata wang Indonesia IDR 1,610,500.00 (RM460), 10 buah telefon bimbit dan barangan kemas,” tambah kenyataan itu.

    Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan

    kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas di Johor Bahru.

    “Laporan Polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai. Pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF dan bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan,” jelas kenyataan itu lagi.