Category: Jenayah

  • 2 pencuri kayu balak kantoi dicekup penguat kuasa

    2 pencuri kayu balak kantoi dicekup penguat kuasa

    CUBAAN dua lelaki untuk mencuri dan membawa keluar 77 batang kayu pelbagai spesis dan saiz bernilai RM13,000 di Kampung Pela, Hulu Terengganu terkantoi, apabila tindakan mereka berjaya dihidu anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Terengganu, Rabu lalu.

    Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu, Roslan Rani, penguat kuasa yang membuat pemantauan pada pukul 5 petang di laluan utama Jerangau-Jabor, terserempak dengan sebuah lori yang membawa muatan kayu bulat pelbagai spesis dan saiz.

    Menurut beliau, selepas pemeriksaan lanjut dilakukan mendapati lori jenis Nissan yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun itu membawa pelbagai spesis kayu seperti kayu berpaya, gerongang, jubin, bintangor, terap, pulai dan kelat.

    “Hasil pemeriksaan dibuat, mendapati mereka tidak memiliki sebarang pas pemindah atau kebenaran bertulis daripada pihak kami,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Berikutan itu kata Roslan, pihaknya telah menahan pemandu lori berkenaan bersama kelindan berusia 19 tahun.

    Selain itu tambah beliau, pihaknya turut merampas lori itu bersama 77 batang kayu berkenaan untuk siasatan lanjut.

    Katanya, kes disiasat mengikut Enakmen Perhutanan Negara (Penerimaan-pakai) 1986 Negeri Terengganu mengikut peruntukan Seksyen 68 (1) di mana terdapat hasil hutan dalam milikannya atau kawalannya tanpa memiliki pas bagi pemindahan hasil hutan.

  • 2 pekerja lombong maut jatuh kolam tadahan

    2 pekerja lombong maut jatuh kolam tadahan

    DUA pekerja lombong bijih besi maut selepas ditemukan lemas ekoran terjatuh ke dalam kolam tadahan di tapak lombong berkenaan di Batu Talam, Cheroh, Raub, hari ini.

    Mayat Siak Teck Wah, 53, dan seorang warga Indonesia, Adi Piter, 25, ditemukan pada pukul 12.30 tengah hari dan 1.15 petang oleh pasukan bomba yang menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR), lapor Sinar Harian.

    Menurut Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed, mayat kedua-dua mangsa ditemukan dalam keadaan tersangkut pada paip saluran keluar di dasar kolam dianggarkan sedalam lima meter itu.

    Menurut beliau, mangsa dipercayai disedut paip saluran itu setelah terjatuh menyebabkan kedua-duanya lemas.

    lombong lemas
    JENGKAUT digunakan untuk mencari mangsa lemas di kolam tadahan sebuah tapak lombong bijih besi di Batu Talam, Cheroh, Raub, hari ini – Foto: Ihsan JBPM pahang.

    Katanya, berdasarkan siasatan awal, kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 10.40 pagi ketika Teck Wah ke kolam tersebut untuk melakukan kerja-kerja pembersihan kerana keadaan airnya yang keruh sebelum dia terjatuh.

    “Kejadian disedari salah seorang pekerja di situ lalu dia menjerit memberitahu rakan lain untuk membantu.

    “Ketika itu, seorang lagi mangsa, Adi Piter dipercayai turun ke dalam kolam untuk menyelamatkan Teck Wah sebelum kedua-duanya tenggelam,” ujarnya, hari ini.

    Menurut Kama Azural, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 11.20 pagi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub sebelum mengarahkan anggota ke lokasi kejadian.

    Beliau berkata, pihak bomba memulakan operasi SAR sekitar pukul 12 tengah hari menggunakan teknik melempar cangkuk di lokasi mangsa dilaporkan jatuh.

    “Mangsa pertama berjaya ditemukan berdekatan paip salur keluar air di kolam tersebut, namun gagal dinaikkan,” terangnya.

    Menurut beliau, jentera jengkaut turut digunakan untuk membuka salur kolam supaya air cepat surut bagi mencari mangsa kedua.

    “Mangsa pertama tidak dapat dinaikkan ketika itu kerana tekanan air masih kuat dan kaki mangsa berada di dalam salur paip tersebut.

    “Mangsa kedua berjaya ditemukan berdekatan tempat mangsa pertama juga dalam keadaan kaki berada dalam saluran paip.

    “Mayat kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan pukul 1.20 petang sebelum dibawa ke Hospital Raub untuk proses bedah siasat,” terangnya.

  • Kegiatan seludup di sempadan negara meningkat, permintaan tinggi

    Kegiatan seludup di sempadan negara meningkat, permintaan tinggi

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    PENINGKATAN kes berlakunya penyeludupan burung dan ayam di sempadan Malaysia- Thailand kerana ia mendapat permintaan agak tinggi daripada peminat spesis haiwan tersebut.

    Malah, harga burung dan ayam yang dijual mencecah sekitar RM1,500 sehingga RM5,000 seekor menyebabkan penyeludup semakin aktif melakukan kegiatan tersebut.

    Ahad lalu, anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) merampas sembilan ekor burung dan 73 ekor ayam pelbagai jenis di hadapan sebuah kedai di Pasir Mas, Kelantan.

    Menurut Pegawai Pemerintah PGA8 Superitendan Mat Shukor Yusof, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 41 tahun dan merampas kesemua haiwan tersebut untuk siasatan lanjut.

    Beliau berkata, kesemua rampasan bernilai RM378,500 itu diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri untuk siasatan mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.

    Menurut beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan penyeludup semakin berani kerana haiwan tersebut mendapat permintaan tinggi daripada peminatnya termasuk di Sabah dan Sarawak.

    “Pemilikan haiwan tersebut mungkin kerana pelbagai tujuan sama ada hobi, untuk pertandingan atau menjadikan ayam laga,” katanya pada
    sidang media di Markas Taktikal Lubok Stol Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Lubok Stol, hari ini.

    Dalam perkembangan lain, Mat Shukor memberitahu, PGA8 melakukan rampasan lebih RM3 juta dalam penugasan Op Benteng Covid-19 bermula 16 Ogos lalu sehingga semalam.

    “Nilai rampasan tersebut membabitkan 64 kes seperti dadah, lembu, haiwan eksotik dan beras seludup selain menahan 63 lelaki dan dua wanita yang majoriti adalah warga tempatan.

    “Kebanyakan suspek ditangkap berusia 30-an sehingga 50-an yang mengaku menjadikan penyeludupan di sepanjang Sungai Golok sebagai kerja sampingan,”ujarnya.

    Beliau berkata, kesemua penyeludup diberi upah bergantung kepada risiko dan jenis barangan yang dibawa masuk atau keluar di antara dua negara.

  • Lelaki Myanmar guna identiti rakan senegara dapat vaksin

    Lelaki Myanmar guna identiti rakan senegara dapat vaksin

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG pekeja kedai kek warga Myanmar di Pulau Pinang ditahan polis selepas menggunakan identiti rakan senegaranya untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

    Lelaki berusia 45 tahun itu ditahan ketika cuba mendapatkan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) di sebuah pusat beli-belah di Gurney Paragon, Georgrtown pukul 4.20 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kegiatan suspek yang menggunakan identiti orang lain itu dikesan selepas pihaknya menerima laporan polis daripada lelaki warga Myanmar berusia 44 tahun pada 6 September lalu.

    Ujar beliau, pengadu berkenaan membuat laporan di Balai Polis Sungai Nibong selepas dimaklumkan identitinya digunakan oleh individu lain ketika mahu mengambil suntikan vaksin pertama di PPV Tapak Pesta Sungai Nibong.

    “Pengadu dimaklumkan oleh petugas yang mana nama dan pasportnya telah didaftarkan di PPV Gurney Paragon.

    “Dos pertama atas identitinya telah diterima pada 20 Ogos manakala dos kedua dijadualkan pada semalam di lokasi sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    KETUA Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong

    Menurut Soffian, bertindak atas maklumat itu, polis berjaya menahan suspek di PPV Gurney Paragon ketika mahu mendapatkan dos kedua sekali gus merampas i-kad dan kad pengenalan atas nama orang lain iaitu nama pengadu.

    “Suspek kini ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu  dan seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tiada  dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

  • 400 penghuni Depoh Tahanan Imigresen KK merusuh

    400 penghuni Depoh Tahanan Imigresen KK merusuh

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    HAMPIR 400 penghuni Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Kota Kinabalu, hari ini merusuh kerana dikatakan tidak berpuas hati apabila proses penghantaran pulang ke negara asal mereka tertangguh.

    Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Sabah (Operasi) Masri Adul berkata, kejadian pada pukul 6.30 pagi itu berlaku semasa semua penghuni yang dipercayai warga Filipina meloloskan diri dari lokap tetapi gagal melepasi pagar lokap berkenaan.

    “SIasatan awal mendapati kejadian bermula daripada blok yang menempatkan tahanan wanita. Sekumpulan tahanan wanita itu mengaku terlalu tertekan dan meminta segera dihantar pulang ke negara asal mereka.

    “Provokasi itu didengari oleh blok tahanan lelaki yang terletak berhadapan blok wanita sehingga mencetuskan rusuhan kecil.

    “Penghuni tiga blok lelaki kemudiannya merosakkan kunci mangga pintu lokap dan terus keluar ke kawasan lokap,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

    Masri berkata, sebaik menyedari kejadian itu, pihak DTI terus menghubungi polis dan Jabatan Imigresen negeri bagi mendapatkan bantuan.

    Menurutnya, kira-kira 70 anggota dan pegawai serta 40 anggota bahagian penguatkuasaan imigresen dikerah ke lokasi kejadian.

    “Rusuhan kecil itu berjaya dikawal dan saya bersama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berunding dengan tahanan bagi menyelesaikan perkara itu.

    “Dalam rundingan itu selama sejam itu kami menerangkan secara lanjut kepada penghuni pusat berkenaan mengenai situasi sebenar proses penghantaran semula yang terpaksa ditangguhkan.

    “Penghantaran balik itu ditangguhkan atas permintaan pihak Kedutaan Filipina kerana beberapa perkara termasuk penularan pandemik Covid-19 dan mereka memahami situasi itu,” katanya.

    Sementara itu, Masri berkata, pasukan polis akan menempatkan seramai 30 anggota di DTI ini untuk tempoh beberapa hari bagi memantau keadaan di lokasi itu.

    “Tiada sebarang kerosakan yang berlaku dalam insiden ini dan pemantauan juga akan dijalankan dari masa ke masa,” katanya.

  • Disangka kera, lelaki panjat pokok tarap maut ditembak

    Disangka kera, lelaki panjat pokok tarap maut ditembak

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki di Kampung Kejapil Bekenu Miri menemui ajalnya semalam selepas ditembak ketika memanjat pokok buah tarap setingggi 10 meter.

    Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, mangsa Mohamad Hallim Jamee, 32, meninggal dunia serta-merta selepas ditembak lelaki berusia 70 tahun yang berasal dari kampung sama yang menyangkanya kera.

    Kejadian berlaku pada 12 tengah hari semalam, menyebabkan mangsa tersangkut di atas pokok dan terpaksa dibawa turun oleh pasukan penyelamat.

    Katanya, pihaknya meminta bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah untuk khidmat khas menurunkan mangsa.

    “Pasukan bomba menggunakan tali khas berjaya membawa turun mangsa pada jam 4.40 petang dan kita menahan suspek untuk membantu siasatan.

    “Anggota turut merampas selaras senapang patah dan 13 butir peluru hidup dipercayai digunakan suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Miri untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk pengebumian.

  • Macau scam: Isteri polis rugi RM20,800

    Macau scam: Isteri polis rugi RM20,800

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    ISTERI seorang anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah kerugian RM20,800 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan secara dalam talian pada Isnin lalu.

    Mangsa, 32, sebelum ini pernah berurusan dengan suspek untuk membuat kerja secara dalam talian dengan dijanjikan bayaran tertentu.

    Pada 5 September, mangsa telah menerima bayaran sebanyak RM230 setelah melakukan kerja secara dalam talian seperti yang dijanjikan.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, namun pada Isnin lalu, suspek lelaki tersebut sekali memperkenalkan satu pelaburan bernama IBC Trader.’

    “Pelaburan ini menjanjikan keuntungan lumayan sehingga mendorong mangsa melakukan tujuh transaksi ke dalam sebuah akaun atas nama Muhammad Saiful Suhaimi dengan berjumlah keseluruhan RM20,800.

    “Bayaran tersebut dibuat kerana dijanjikan pulangan yang banyak, namun selepas transaksi dilakukan, lelaki tersebut gagal dihubungi sehingga hari ini,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mangsa ujar beliau, berkali-kali cuba menghubungi suspek, malangnya nombor telefon mangsa disekat.

    Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat di IPD Kuala Pilah bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan lanjut.

    Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan berwaspada dengan setiap tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan.

  • Hasrat pinjam RM250,000 tak dapat, wang RM60,000 pula lesap

    Hasrat pinjam RM250,000 tak dapat, wang RM60,000 pula lesap

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    HASRAT seorang kontraktor meminjam wang RM250,000 bukan sahaja tidak kesampaian, sebaliknya dia juga terpaksa berputih mata apabila kerugian RM60,000 selepas menjadi mangsa sindiket tawaran pinjaman wang tidak wujud.

    Mengetahui dirinya tertipu dan gagal menerima pinjaman wang seperti dijanjikan, mangsa berusia 28 tahun membuat laporan di Balai Polis Raub, semalam.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof, mangsa terpedaya dengan sindiket penipuan itu selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki pada 27 Mac lalu.

    Beliau berkata, suspek memperkenalkan diri sebagai ejen pinjaman peribadi sebuah syarikat yang beroperasi Kuala Lumpur dan menawarkan kemudahan pinjaman wang kepada mangsa sekiranya berminat.

    Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof.

    Ekoran itu katanya, mangsa bersetuju membuat pinjaman sebanyak RM250,000 dengan pelan pembayaran balik RM7,000 sebulan selama lima tahun.

    “Suspek meminta mangsa menyerahkan butiran peribadi termasuk salinan kad pengenalan dan penyata akaun bank bagi proses permohonan disamping membayar wang pendaftaran pinjaman berjumlah RM30,000,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

    Menurut Mohd. Wazir, mangsa membuat bayaran sepertimana diminta pada 18 Ogos lalu melalui akaun bank atas nama seorang lelaki dan pada hari yang sama suspek menghubungi mangsa memberitahu pinjaman itu diluluskan.

    Namun katanya, mangsa diminta membayar tambahan RM30,000 lagi bagi proses pembayaran wang pinjaman ke akaun banknya.

    “Tanpa berfikir panjang, mangsa akur lalu membuat bayaran tersebut ke dalam akaun bank yang sama.

    “Mangsa diminta menunggu sehingga wang RM250,000 yang dipinjam itu dimasukkan ke dalam akaunnya, semalam mangsa sekali lagi dihubungi suspek meminta upah kerana membantu meluluskan pinjaman itu namun dia tidak berbuat demikian kerana wang yang dipinjam belum diterima.

    “Mangsa mula curiga dan syak telah ditipu lalu tampil membuat laporan polis,” ujar beliau.

    Mohd. Wazir berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • KPDNHEP keluarkan 181 notis kepada peniaga di Johor

    KPDNHEP keluarkan 181 notis kepada peniaga di Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor sudah melakukan pemeriksaan melibatkan 10,165 premis yang dikesan menaikkan harga barang di seluruh negeri bagi tempoh Januari hingga kelmarin.

    Menurut Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro, pemeriksaan itu melibatkan 8,667 peruncit, 1,195 pemborong dan 303 pengilang.

    “Susulan pemeriksaan yang dilakukan itu, sebanyak 181 notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 telah dikeluarkan kepada peniaga bagi tujuan siasatan lanjut untuk mendapatkan maklumat kenaikan harga yang berlaku.

    “Peniaga yang didapati melakukan aktiviti mencatut boleh dikenakan tindakan di bawah AKHAP 2011 yang membawa hukuman denda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali; bagi kesalahan kedua didenda RM250,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Bagi pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM500,000 bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi RM1,000,000 bagi kesalahan kali kedua,” katanya menerusi satu kenyataan.

    Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KPDNHEP Johor mengeluarkan 12 notis terhadap peniaga, pemborong dan peladang di negeri ini kelmarin bagi mendapat maklumat lanjut berkaitan kenaikan harga ayam.

    Notis dikeluarkan mengikut Seksyen 21 AKHAP 2011 itu katanya, selepas melakukan pemeriksaan di lokasi tumpuan iaitu di pasar awam dan pasar basah di negeri ini.

    “Sebanyak 12 notis itu dikeluarkan kepada masing-masing empat peniaga ayam, peladang dan pemborong bagi tujuan siasatan lanjut untuk mendapatkan maklumat kenaikan harga yang berlaku dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.

    “Pemeriksaan akan diteruskan bagi menyiasat secara menyeluruh terhadap semua kos yang terlibat berhubung kenaikan harga yang berlaku,” KPDNHEP Johor mengambil maklum aduan berkenaan kenaikan harga ayam terutama di pasar awam dan pasar basah,” katanya.

    Justeru katanya, pemeriksaan ke atas semua jenis pasar berkenaan katanya, akan dipertingkatkan.

  • Samun:Pemilik kedai cedera, barang kemas lebih RM200,000 lesap

    Samun:Pemilik kedai cedera, barang kemas lebih RM200,000 lesap

    SEORANG pemilik sebuah kedai emas bukan sahaja kerugian lebih RM200,000 malah cedera di bahagian muka selepas premisnya disamun tiga lelaki di Simpang Tiga, Batu 6, Gombak di sini, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata dalam kejadian kira-kira 6.15 petang itu, tiga lelaki yang memakai topi keledar bertutup penuh telah menyerbu masuk ke dalam kedai tersebut.

    Beliau berkata seorang daripada suspek menunggu di pintu masuk utama premis sambil memegang sebilah parang manakala dua lagi mengambil pelbagai jenis barang kemas di bahagian rak pameran.

    “Seorang daripada suspek juga menumbuk bahagian muka mangsa sebelum kesemua mereka melarikan barang kemas dengan menaiki dua buah motosikal jenis Yamaha Y15,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, ketika kejadian, pemilik premis yang juga wanita warga Indonesia berstatus pemastautin tetap berada bersama anak dan adik iparnya di dalam kedai tersebut.

    Zainal Mohamed berkata polis sedang giat mengesan kesemua suspek dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan berkumpulan dengan senjata.

    Video kejadian itu yang berdurasi seminit turut tular di media sosial hari ini.-BERNAMA