Category: Jenayah

  • Tiada maklumat ancaman pengganas di Malaysia setakat ini-Bukit Aman

    Tiada maklumat ancaman pengganas di Malaysia setakat ini-Bukit Aman

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIADA ancaman pengganas di negara ini setakat ini dan amaran dikeluarkan Kedutaan Jepun pagi tadi supaya rakyatnya yang berada di negara ini berjaga-jaga adalah peringatan secara umum.

    Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya menjelaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Bahagian Anti Pengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman, akan terus memantau rapi perkembangan mengenai ancaman pengganas di negara ini.

    Setakat ini katanya, tidak memperoleh sebarang maklumat mengenai kemungkinan berlaku perkara itu.

    “Amaran yang dikeluarkan Kedutaan Jepun kepada warganegaranya di Malaysia mengenai kemungkinan ancaman pengganas di Asia Tenggara adalah satu nasihat perjalanan yang lazimnya dikeluarkan sesebuah kedutaan atau suruhanjaya tinggi untuk rakyatnya yang berada di sesebuah negara lain.

    “Amaran itu dikeluarkan berdasarkan taksiran ancaman keselamatan oleh negara berkenaan (yang mengeluarkan amaran) dan dalam hal ini, ia dalam konteks kemungkinan ancaman pengganas di rantau Asia Tenggara.

    “Setakat ini, hanya Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur yang berbuat demikian dan tiada sebarang nasihat perjalanan atau kenyataan dibuat kedutaan atau suruhanjaya tinggi asing lain di negara ini,” katanya, hari ini.

    Pagi tadi, Kedutaan Jepun mengeluarkan nasihat perjalanan kepada semua warga Jepun yang berada di Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Myanmar supaya mengelak berada berdekatan kemudahan keagamaan dan kawasan sesak lain.

    Pada masa ini, dianggarkan seramai 31,000 warga Jepun tinggal di Malaysia.

    Zamri berkata, nasihat perjalanan oleh Kedutaan Jepun itu sebagai satu langkah rutin untuk memberi peringatan kepada rakyat Jepun di rantau ini supaya berjaga-jaga sempena ulangtahun ke-20 serangan pengganas Al-Qaeda terhadap World Trade Center (WTC) New York, Amerika Syarikat pada 11 September 2001.

    Katanya, nasihat berkenaan juga mungkin mempunyai kaitan dengan perkembangan semasa di Afghanistan, selepas Taliban menguasai Kabul.

  • Kedutaan Jepun keluar amaran ancaman pengganas

    Kedutaan Jepun keluar amaran ancaman pengganas

    KEDUTAAN Jepun di Kuala Lumpur mengesahkan kedutaan itu telah mengeluarkan amaran kepada warganegaranya di Malaysia mengenai kemungkinan ancaman pengganas di Asia Tenggara.

    Menurut laporan media, Kementerian Luar Jepun telah menasihatkan semua rakyatnya di Indonesia, Filipina, Singapura, Malaysia, Thailand dan Myanmar untuk mengelak berada berdekatan dengan kemudahan keagamaan dan kawasan-kawasan sesak lain.

    Seorang pegawai dari kedutaan ketika dihubungi Bernama berkata nasihat itu dikeluarkan pagi ini kepada semua warga Jepun yang berada di Malaysia.

    “Kami mengeluarkan nasihat tersebut selepas menerima arahan dari Tokyo,” katanya tanpa memperincikan lebih lanjut mengenai hal itu.

    Pegawai itu berkata buat masa ini terdapat kira-kira 31,000 warga Jepun tinggal di Malaysia.

    Amaran itu memetik laporan perisikan dan kemungkinan terdapat serangan ke atas rumah ibadat dan tempat perhimpunan besar-besaran di rantau ini.- BERNAMA

  • Ingkar kuarantin: Polis P.Pinang selesai rekod keterangan Guan Eng

    Ingkar kuarantin: Polis P.Pinang selesai rekod keterangan Guan Eng

    POLIS telah merekodkan keterangan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bagi membantu siasatan berhubung dakwaan ingkar arahan kuarantin kendiri dengan menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 2 Sept lepas.

    Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan itu telah diambil keterangan pada 10 Sept lepas, iaitu selepas beliau selesai menjalani kuarantin kendiri.

    “Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk melengkapkan kertas siasatan di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

    Terdahulu siasatan kes itu diklasifikasikan sebagai kertas enkuiri polis dan polis telah menerima tiga laporan berhubung isu berkenaan setakat ini di mana tiga individu telah direkod keterangan berhubung perkara tersebut.

    Pada 8 Sept, jurucakap Pemuda Gerakan Pulau Pinang Mohd Aswaad Jaafaf membuat laporan polis terhadap Lim yang didakwa mengingkari peraturan kuarantin kendiri selepas peguam Lim, Gobind Singh Deo yang mewakili bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam perbicaraan kes empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama, memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa anak guamnya itu telah diarah menjalani perintah kuarantin kendiri selama 10 hari bermula 1 hingga 10 Sept.

    Bagaimanapun, Lim telah menafikan dakwaan bahawa beliau telah melanggar syarat kuarantin kendiri dan berkata beliau hanya dimaklumkan pada 2 Sept berhubung perkara itu selepas menghadiri persidangan DUN.- BERNAMA

  • Sindiket pelaburan dalam talian tumpas

    Sindiket pelaburan dalam talian tumpas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BAHAGIAN Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bersama Bahagian Siasatan Risikan /Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan dalam talian semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak berkata, polis melakukan serbuan di sebuah premis di Mont Kiara, Kuala Lumpur.

    “Seramai tujuh individu warga asing berumur 26 sehingga 35 tahun telah diberkas menerusi serbuan ini.

    “Turut dirampas ialah 14 unit monitor, tujuh unit pemprosesan pusat (CPU), 14 unit telefon bimbit pelbagai jenama, dua set modem dan satu set router,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, kesemua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 15 September ini untuk siasatan lanjut.

    “Siasatan awal mendapati sindiket mula beroperasi sejak Mac 2021 dan menyasarkan mangsa dari Korea.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kegiatan atau aktiviti yang mencurigakan diminta menghubungi hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” katanya.

  • Wanita Thailand ditahan susulan penemuan senapang angin buatan sendiri

    Wanita Thailand ditahan susulan penemuan senapang angin buatan sendiri

    Oleh RIZQI ZABIDI

    POLIS menahan seorang wanita warganegara Thailand bagi membantu siasatan berhubung penemuan selaras senapang angin buatan sendiri di sebuah rumah di Kampung Janggus, Mukim Hosba dekat Kubang Pasu, semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Suprintenden Rodzi Abu Hassan, penahanan wanita berusia 40 tahun itu dibuat kira-kira pukul 1 tengah hari oleh sepasukan pegawai dan anggota polis yang membuat pemeriksaan di rumah disewanya.

    Hasil siasatan awal katanya, senjata tersebut yang menjadikan guli sebagai peluru didakwa digunakan hanya untuk memburu serta menembak haiwan.

    “Walaupun hanya menggunakan guli, namun senjata ini tetap berbahaya dan mampu mendatangkan kecederaan serius. Memiliki senjata sebegini adalah sesuatu yang salah di sisi undang-undang.

    “Wanita itu mendakwa senjata tersebut dibuat sendiri dan merupakan milik teman lelakinya. Oleh itu, kami kini giat memburu teman lelaki wanita tersebut yang juga warganegara Thailand berusia 40-an bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut Rodzi berkata, siasatan mendapati dokumen perjalanan wanita itu juga sudah luput dengan dia didapati mula memasuki negara ini sejak 2001.

    “Disebabkan itu kes ini turut disiasat mengikut 6(1) Akta Imigresen 1959/1963 selain Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

    “Wanita itu direman selama empat hari bermula semalam hingga 15 September bagi membantu siasatan,” katanya.

  • Pekerja maut tersepit ketika bersih jentera ‘spin chiller’

    Pekerja maut tersepit ketika bersih jentera ‘spin chiller’

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG pekerja am maut dipercayai akibat tersepit pada jentera ‘spin chiller’ di sebuah kilang memproses produk ayam sejuk beku di Jalan Ayer Hitam, Batu Pahat pada Sabtu lalu.

    Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, Husdin Che Amat berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 9 pagi semasa lelaki warga tempatan berusia 40 tahun itu menjalankan kerja-kerja pembersihan jentera kilang.

    “Hasil siasatan awal yang dijalankan pihak JKKP mendapati mangsa yang bekerja sebagai pekerja am bagi kilang tersebut bersama-sama dua rakan sekerjanya ditugaskan untuk menjalankan kerja pembersihan jentera kilang.

    “Tiada operasi pengeluaran dijalankan pada hari kejadian. Ketika mangsa menjalankan kerja pembersihan pada jentera ‘spin chiller’ berseorangan, mangsa terjatuh ke dalam ruang jentera itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Husdin berkata, mangsa dihimpit ‘screw conveyor spin chiller’ sebelum operasi jentera dimatikan rakan sekerja selepas melihat kaki mangsa terkapai kapai dari dalam jentera.

    Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir melakukan pemeriksaan.

    Susulan itu katanya, JKKP Johor telah menghantar sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan terhadap kes kemalangan tersebut.

    Katanya, berdasarkan siasatan awal yang dijalankan, JKKP telah mengeluarkan notis larangan kepada majikan atas kegagalan untuk memastikan jentera berkenaan.

    “‘Chiller’ dikendalikan dengan selamat dan kegagalan untuk mengadakan sistem kerja selamat khususnya sistem lockout/tagout (Loto) bagi kerja pembersihan jentera.

    “Majikan juga diarahkan untuk mengambil tindakan penambahbaikan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi kerja pembersihan jentera termasuklah mengadakan prosedur kerja selamat dan penaksiran risiko,” katanya.

    Jelasnya, ini termasuk latihan diperlukan pekerja yang terdedah dengan risiko ketika membersih jentera tersebut.

    “Jabatan juga mengarahkan majikan untuk mengambil tindakan segera bagi menjalankan siasatan dalaman. Siasatan lanjut akan dijalankan oleh Jabatan bagi melengkapkan hasil siasatan,” katanya.

  • Heroin base, pil kuda bernilai RM1.4 juta dirampas

    Heroin base, pil kuda bernilai RM1.4 juta dirampas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah merampas sebanyak 40 ketulan mampat dadah jenis heroin base seberat lebih 15 kilogram, Jumaat lalu yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk dipasarkan ke selatan tanah air.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, rampasan tersebut dilakukan setelah pihaknya menahan sebuah kereta jenis Toyota Corolla dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun di Jalan Kampung Changhai, Changlun kira-kira pukul 11 pagi.

    Katanya, selain 40 ketulan mampat heroin base tersebut, pihaknya turut menemukan sebanyak 114 pil kuda berwarna merah dan hijau seberat 12 gram pada bonet kereta itu.

    “Kesemua dadah itu dianggarkan bernilai RM1.4 juta. Susulan penahanan itu, pihak kami terus melakukan serbuan di sebuah rumah di Kampung Padang, Mukim Temin kira-kira tiga jam kemudian, dan menahan seorang pemandu lori berusia 37 tahun kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah sama.

    “Jika terlepas ke pasaran, dadah jenis heroin base itu yang sudah diproses dianggarkan boleh menjadi bekalan untuk kira-kira 900,000 penagih,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Kedah, hari ini.

    Tambahnya, pihaknya dalam masa sama turut menyita sebuah kenderaan empat roda jenis Mitusbishi Storm, wang tunai berjumlah RM5,030 serta seutas rantai dan gelang.

    “Siasatan dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket ini. Selain itu, kita juga berusaha mengenal pasti laluan digunakan bagi membawa masuk dadah ini,” katanya.

    Tambahnya, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 11 September lalu hingga 17 September depan bagi membantu siasatan.

    “Ujian urin dijalankan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine namun kedua-duanya didapati tidak memiliki rekod jenayah.

    “Setakat ini kami masih menyiasat sama ada dadah itu dibawa masuk melalui laluan haram atau laluan sah ke negara ini. Siasatan juga tertumpu kepada usaha untuk mengenal pasti rangkaian sindiket tersebut,” katanya.

    Selain dadah tersebut, Kamarul Zaman memaklumkan pihaknya turut menyita sebuah kenderaan empat roda jenis Mitusbishi Storm, wang tunai berjumlah RM5,030 serta seutas rantai dan gelang.

    “Kedua-dua suspek didapati tidak memiliki rekod jenayah lampau namun ujian urin dijalankan mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

    “Kes kini disiasat lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Petani rugi RM163,000 ditipu sindiket pelaburan tidak wujud

    Petani rugi RM163,000 ditipu sindiket pelaburan tidak wujud

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    HASRAT seorang petani yang mahu membuat pelaburan berkecai apabila dia kerugian sebanyak RM163,000 setelah terpedaya dengan helah sindiket pelaburan secara dalam talian yang diperkenalkan seorang wanita melalui Facebook.

    Kejadian bermula sebaik suspek menghubungi lelaki berusia 25 tahun itu pada hari Sabtu minggu lalu dengan mengatakan ingin berkawan lalu meminta nombor telefon mangsa.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof, selepas itu suspek memperkenalkan sebuah laman web lalu mengajar mangsa cara untuk mendaftar untuk meraih keuntungan melalui pelaburan ditawarkan.

    Menurut beliau, mangsa kemudian tertarik menyertainya dengan jumlah pelaburan sebanyak RM163,000.

    Katanya, mangsa mula membuat pembayaran pada Selasa minggu lalu membabitkan 24 transaksi pemindahan wang ke dua akaun bank atas nama syarikat berbeza.

    Mohd. Wazir Mohd. Yusof

    “Daripada jumlah tersebut, mangsa mendakwa pada awalnya dia hanya menerima sedikit bayaran keuntungan,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

    Menurut Mohd. Wazir, mangsa mula megesyaki dia ditipu setelah mendapati laman web berkenaan telah ditutup dan akaun e-Wallet atas nama syarikat itu juga turut dibekukan.

    Beliau berkata, susulan pembekuan akaun e-Wallet itu, mangsa tidak dapat mengeluarkan semua wang modal pelaburan yang telah dibayar.

    “Ekoran itu, semalam mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja, Cameron Highlands untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujar beliau.

  • SOP:Polis tak teragak-agak cadang tutup pusat rekreasi

    SOP:Polis tak teragak-agak cadang tutup pusat rekreasi

    POLIS tidak teragak-agak untuk mencadangkan kepada pihak berkuasa berkaitan supaya pusat rekreasi ditutup jika terlalu sesak dengan kehadiran orang awam yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama penjarakan fizikal.

    Memetik Berita Harian, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mastor Mohd Ariff berkata, ketika ini pihaknya akan membuat pemantauan pematuhan SOP dari semasa ke semasa terutama di Lembah Klang yang beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), Jumaat lalu.

    “Polis menyedari keghairahan orang ramai beriadah di sungai, padang dan pantai terutama membabitkan warga Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya.

    “Justeru, polis membuat pemantauan dan hebahan dengan memberi nasihat supaya mereka mematuhi SOP seperti penjarakan fizikal.

    “Bagaimanapun, jika keadaan tidak dapat dikawal akibat kesesakan dan pengunjung terlalu ramai, polis tidak teragak-agak untuk mencadangkan supaya pusat rekreasi ditutup,” katanya hari ini.

    Semalam, media melaporkan kelonggaran merentas daerah selepas Lembah Klang mula beralih ke Fasa 2 PPN, membuatkan orang ramai mengambil kesempatan melakukan pelbagai aktiviti riadah dan rekreasi.

    Tinjauan di Taman Tasik Titiwangsa mendapati golongan kanak-kanak sehingga warga emas mula melakukan pelbagai aktiviti riadah termasuk joging, berbasikal, bermain kasut roda dan ada juga yang bermain badminton bersama anak-anak.

    Selain itu, peniaga makanan juga mula berniaga pelbagai jenis makanan kepada orang ramai di tepi jalan, bagi memenuhi permintaan.

    Ditanya tindakan kompaun kepada pengunjung, Mastor berkata, ia pilihan terakhir jika mereka menghiraukan nasihat polis supaya mematuhi SOP.

    “Kita mengambil pendekatan berhemah dahulu dengan memberi nasihat.

    “Kalau mereka masih berdegil, pilihan terakhir ialah dengan memberi kompaun,” katanya.

  • Helikopter keselamatan awam Perancis terhempas, 1 maut

    Helikopter keselamatan awam Perancis terhempas, 1 maut

    SEORANG maut selepas sebuah helikopter terhempas berhampiran bandar Villard-de-Lans di Isere, tenggara Perancis pada Ahad, kata Menteri Dalam Negeri Gerald Darmanin.

    “Saya mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan mangsa. Terdapat lima orang di dalam helikopter itu,” katanya menerusi Twitter.

    Helikopter perkhidmatan awam yang dalam perjalanan untuk membantu pendaki gunung yang cedera itu dilaporkan terhempas kira-kira 4.30 petang waktu tempatan (2:30 GMT), lapor Xinhua memetik televisyen BFM.

    Punca nahas masih disiasat dan operasi menyelamat sedang dijalankan.- BERNAMA