Category: Jenayah

  • Bimbang buaya sesat masuk rumah dinaiki air banjir

    Bimbang buaya sesat masuk rumah dinaiki air banjir

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG warga emas di Kampung Tanjong Siam, Kuala Selangor yang ketika ini dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bimbang banjir yang melanda kediamannya mengundang kehadiran buaya Sungai Selangor.

    Ini kerana kata Hasnah Jalil, 68, rumahnya itu hanya kira-kira 10 meter dari Sungai Selangor yang terkenal dengan habitat buaya.

    “Saya takut jika air banjir masuk ke dalam rumah ada buaya dari Sungai Selangor tersesat ikut sekali.

    “Biarpun kejadian ini tidak pernah berlaku, tetapi saya bimbang juga,” lapor Sinar Harian ketika dia ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Pasangan di sini semalam.

    Mengulas lanjut banjir itu, Hasnah berkata, kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu berlaku sebaik dia terjaga daripada tidur apabila limpahan air mula memenuhi tempat tidurnya pada pagi semalam.

    Menurutnya, kejadian air masuk ke dalam rumah disedari selepas kakinya tiba-tiba terasa sejuk ketika sedang nyenyak tidur di dalam rumah.

    “Sebaik saya buka mata, tiba-tiba badan menggigil kesejukan dan melihat air sudah melimpah ke keseluruhan rumah.

    Penduduk bimbang banjir akan menyebabkan buaya mengikut arus banjir dan masuk ke rumah mereka

    “Saya sempat mengemas barangan penting dan mengalihkan peti ais dan mesin basuh di atas batu bata untuk mengelakkan kerosakan,” ujarnya.

    Menurut Hasnah, air memenuhi rumahnya dengan cepat kerana sebelum ini hanya bahagian dapur digenangi air kelmarin.

    Seorang lagi penduduk, Zoyah Majid, 76, berkata, kejadian banjir melimpah ke dalam rumah disedari sebaik dia pulang dari rumah anaknya.

    Katanya, kejadian jam 6 pagi itu menyebabkan kediamannya dipenuhi air setinggi 0.2 meter.

    “Kelmarin saya menumpang tidur di rumah anak perempuan yang terletak berhampiran, sebaik pulang terkejut mendapati rumah sudah dipenuhi air,” katanya.

    Menurutnya, kejadian banjir kali ini disifatkan agak teruk berbanding tahun sebelumnya.

    “Air banjir ini pula kotor dipenuhi lumpur dan ini sudah tentu merungsingkan saya hendak mengemas selepas banjir surut,” katanya.

    Air banjir ke dalam rumah disedari soerang penduduk selepas kakinya tiba-tiba terasa sejuk ketika sedang nyenyak tidur

    Sementara itu, Seketariat Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor, Leftenan (PA) Maizura Suradi berkata, seramai 35 mangsa daripada 14 Keluarga ditempatkannya di SK Pasangan.

    Katanya, PPS itu mula dibuka semalam menempatkan seramai 14 lelaki dan 21 perempuan.

    Sehingga kini, sebanyak tiga PPS dibuka iaitu di SK Rantau Panjang, SK Parit Mahang dan SK Pasangan.

    Jumlah keseluruhan mangsa banjir di Kuala Selangor berjumlah 132 mangsa membabitkan seramai 46 keluarga setakat jam 6 petang.

  • Dua mayat pemancing hilang ditemukan lemas

    Dua mayat pemancing hilang ditemukan lemas

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    DUA lelaki yang dilaporkan hilang ketika memancing di Jeti Mados, Kampung Air Putih, Ulu Tiram, Johor Bahru malam kelmarin ditemukan meninggal dunia akibat lemas, pagi ini.

    Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor dalam kenyataan memaklumkan, mayat Ramdan Sulaiman, 50, ditemukan pada pukul 7.29 pagi manakala mayat Amiruddin Abdul Karim, 53, ditemukan pada pukul 8.03 pagi.

    Anggota APM dan bomba mengangkat dua mayat pemancing yang ditemukan pagi ini selepas hilang ketika memancing di Jeti Mados, Kampung Air Putih, Ulu Tiram, Johor Bahru

    “Kedua-dua mayat ditemukan penduduk kampung. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada pukul 10 pagi,” menurut kenyataan itu.

    Kedua-dua mangsa keluar memancing berdekatan jeti berkenaan sebelum hilang dan hanya bot mangsa ditemukan pada malam kelmarin.

    Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya dibantu Pasukan Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Johor, APM, polis marin dan polis dalam operasi SAR.

    Ketua Bomba Zon 2, Al Hasra Mohamed berkata, penyelaman dilakukan pada 100 kaki radius dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

    Penduduk kampung menemukan dua mayat pemancing pada pukul 7.29 dan 8.03 pagi

    “Kejadian tersebut disedari salah seorang pekerja korek pasir berhampiran lokasi mangsa dipercayai lemas selepas melihat kedua-dua mangsa sedang memancing.

    “Selang beberapa ketika, saksi mendengar jeritan meminta bantuan berhampiran bot mangsa dan kemudiannya kedua-dua mangsa hilang dari pandangan,” katanya.

  • PGA serbu tempat simpanan rokok seludup, rampasan RM380,885

    PGA serbu tempat simpanan rokok seludup, rampasan RM380,885

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TAKTIK satu sindiket penyeludupan menjadikan sebuah premis sebagai tempat penyimpanan rokok seludup di Jalan Dedap 36, Johor Jaya, Johor Bahru terbongkar apabila diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam semalam.

    Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superitendan Dimin Awang berkata, sepasukan pegawai dan anggota melakukan serbuan pada pukul 5.45 petang serta menahan seorang lelaki tempatan berumur 35 tahun.

    Beliau memberitahu, lelaki berkenaan merupakan penjaga premis berkenaan yang sudah dijadikan tempat penyimpanan rokok sejak setahun lalu.

    “Kita berjaya merampas 1,806 karton rokok seludup atau lari cukai. Turut dirampas sebuah kereta Produa Bezza yang digunakan dalam sindiket tersebut, wang tunai RM330 dan dua buah telefon bimbit.

    “Antara rokok seludup yang dirampas 50 karton rokok jenama Canyon Menthol 20 batang; 54 karton rokok Canyon Blast 20 batang; 266 karton rokok Canyon Premium 20 batang; 295 karton rokok RE King 16 batang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Seorang lelaki ditahan dan 1,806 karton rokok seludup dirampas dalam satu serbuan dilakukan PGA

    Turut dirampas 188 karton rokok RE Bold 16 batang; 278 karton rokok U2 Full Flavour 20 batang; 49 karton rokok M-ONE hijau 20 batang; 98 karton rokok Jenama VSTAR 20 batang dan 88 karton rokok SKY ONE S1 Full Flavour 20 batang.

    Katanya, hasil siasatan awal terhadap suspek dipercayai menjadikan premis tersebut sebagai stor penyimpanan sementara rokok seludup sebelum diedarkan untuk pasaran sekitar daerah ini.

    Menurutnya, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM380,885.

    Tangkapan dan rampasan katanya, dibawa ke Ibu Pejabaat Polis Daerah (IPD) Seri Alam untuk tindakan lanjut.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967, katanya.

    “Tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran rokok tidak bercukai sekitar Johor Bahru. Orang awam perlu terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban.

    “Ini termasuk kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi jalan yang tidak diwartakan melalui talian hotline 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA,” katanya.

  • Pesara dakwa rugi RM16,000 ditipu anak saudara

    Pesara dakwa rugi RM16,000 ditipu anak saudara

    SEORANG pesara membuat laporan polis mendakwa kerugian RM16,000 selepas ditipu anak saudaranya bagi melepaskan anaknya yang ditahan polis bagi kesalahan berkaitan dadah, Julai lepas. 

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa berusia 62 tahun mendakwa menerima pesanan WhatsApp daripada seorang lelaki kononnya anggota polis berpangkat ASP pada 6 Julai lepas, berhubung tangkapan anaknya oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut. 

    “Suspek mendakwa boleh membantu melepaskan anaknya, namun perlu berurusan dengan anak saudaranya berhubung prosedur selanjutnya dan wang RM16,000 perlu disediakan bagi tujuan tersebut,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

    Mohd Wazir berkata mangsa telah meminta isterinya membuat transaksi pemindahan wang secara dalam talian sebanyak empat kali ke akaun yang dikatakan milik ASP itu antara 17 dan 25 Julai lepas.

    Bagaimanapum mangsa hanya menyedari ditipu selepas dihubungi polis pada 31 Julai lepas memaklumkan anaknya akan dihantar ke Simpang Renggam, Johor menyebabkan dia menghubungi anak saudaranya bagi mendapatkan penjelasan dan dipulangkan wang yang telah dibayar.

    Namun suspek enggan berbuat demikian sehingga semalam, menyebabkan mangsa membuat laporan di IPD Jerantut. 

    Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA 

  • Pengurus besar pengeluar kereta disyaki terima rasuah dari syarikat kereta terpakai

    Pengurus besar pengeluar kereta disyaki terima rasuah dari syarikat kereta terpakai

    SEORANG pengurus besar syarikat pengeluar kereta direman enam hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), setelah dipercayai menerima rasuah bernilai ratusan ribu ringgit daripada syarikat kereta terpakai.

    Ia dipercayai sebagai balasan membantu syarikat kereta terpakai berkenaan memperolehi kereta prapengeluaran kegunaan kilang pengeluar bagi tujuan ujian dan kawalan kualiti, dan kereta terpakai bagi dijual di bawah harga pasaran dan tidak mengikut prosedur.

    Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman bermula hari ini hingga 26 Sept terhadap lelaki berkenaan, selepas mendengar permohonan SPRM di Mahkamah Majistret di sini hari ini, lapor Bernama.

    Menurut sumber SPRM, kegiatan lelaki berkenaan dipercayai berlaku sejak 2019 melibatkan kira-kira 1,000 unit kereta yang tidak melalui proses penjualan yang diluluskan, dengan anggaran kerugian mencecah jutaan ringgit.

    Selain kereta prapengeluaran itu, kereta tukar beli daripada pelanggan yang membeli kereta baharu dari syarikat pengeluar kereta berkenaan, turut dijual kepada syarikat kereta terpakai terlibat, kata sumber tersebut.

     Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

  • Sindiket judi pancing rakyat tempatan gaji RM2,000 sebulan

    Sindiket judi pancing rakyat tempatan gaji RM2,000 sebulan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    GAJI asas sebanyak RM2,000 seorang selain tawaran komisen sehingga 20 peratus berdasarkan jumlah carian pemain, itu yang dijanjikan sindiket judi dalam talian terhadap warga tempatan untuk bekerja dengan mereka.

    Malah, ketika pekerja-pekerja terbabit merisikokan diri menghubungi pelanggan, dalang sebenar pula hanya bergerak di belakang tabir sehingga sukar untuk dikesan pihak berkuasa.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, maklumat berkenaan dimaklumkan lapan suspek yang ditahan pihaknya berkaitan sindiket judi dalam talian terbabit dalam satu operasi, semalam.

    Menurut beliau, empat lelaki dan empat wanita berusia antara 17 hingga 30 tahun yang kesemuanya warga tempatan ditahan menerusi Op Dadu yang dijalankan di sebuah rumah di Bukit Indah, pada pukul 5.30 petang.

    “Kegiatan itu beroperasi selama 24 jam setiap hari dan dibahagikan kepada dua syif di mana segala bayaran dibuat melalui transaksi oleh pelanggan menggunakan 12 akaun bank tempatan dengan jumlah kutipan harian kira-kira RM10,000.

    “Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati sindiket perjudian atas talian itu telah beroperasi di rumah tersebut lebih kurang dua bulan dan mensasarkan pelanggan dari negara ini,” katanya dalam kenyataan.

    Sejumlah wang turut dirampas dalam serbuan yang dilakukan oleh polis.

    Dalam operasi itu, polis merampas pelbagai peralatan berkaitan antaranya lapan komputer, 28 telefon bimbit pelbagai jenama, enam helai kertas tercatit cara-cara bekerja dan promosi perjudian, dua kad akses, dua unit router, dua modem wifi, serangkai kunci dan wang tunai RM570.

    “Lapan set komputer yang dirampas telah dirujuk ke pakar judi dan terdapat unsur-unsur pertaruhan perjudian dalam talian yang menggunakan beberapa laman sesawang,” ujarnya.

    Tambah beliau, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri untuk tindakan lanjut, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

  • Dua lelaki dikhuatiri lemas ketika memancing

    Dua lelaki dikhuatiri lemas ketika memancing

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    DUA pemancing dikhuatiri lemas selepas hanya bot dinaiki mereka sahaja yang ditemukan di Jeti Mados Kampung Air Putih di Kota Tinggi, malam tadi.

    Dalam kejadian pada pukul 11.47 malam itu, bomba menerima panggilan kecemasan sebelum 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi dikejarkan ke lokasi untuk operasi pencarian.

    Ketua Zon 2 yang juga Komander Operasi, Penguasa Bomba Al Hasra Mohamed berkata, mangsa dikenali sebagai Ramdan Sulaiman, 50, dan Amiruddin Abdul Malik, 53.

    “Makluman awal diterima mendapati kedua-dua mangsa dipercayai sedang memancing ketika kejadian dan dipercayai lemas selepas hanya bot mangsa sahaja ditemui.

    “Jarak bot dinaiki kedua-dua mangsa daripada jeti dianggarkan 400 meter dan keadaan air berkedalaman 15 meter.

    “Ketika kejadian dimaklumkan cuaca baik. Pihak polis yang menerima maklumat awal kemudian telah memaklumkan kepada bomba bagi membantu pencarian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Al Hasra, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Johor juga telah berada di lokasi bagi menjalankan pencarian di lokasi tersebut.

    Jelasnya operasi pencarian melibatkan ‘surface searching’ yang turut dibantu Pasukan Polis Marin.

    Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini masih dijalankan.

  • Sindiket curi, ubah suai motorlori tumpas, tiga lelaki ditahan

    Sindiket curi, ubah suai motorlori tumpas, tiga lelaki ditahan

    POLIS menahan tiga lelaki tempatan disyaki terbabit dalam sindiket mencuri dan mengubah suai 12 buah motorlori besar dianggarkan bernilai RM2.8 juta di sebuah gudang tersorok di Jalan Batu Arang, di sini pada 18 Sept lepas.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata semua suspek berusia lingkungan 39 hingga 41 tahun ditahan di sekitar Shah Alam, Rawang dan Bestari Jaya, Selangor.

    Beliau berkata modus operandi sindiket ini adalah mencuri motorlori dan dalam perjalanan mereka akan membuang Sistem Kedudukan Global (GPS), kemudian mencari pembeli sebelum mengubah suai nombor casis serta nombor enjin untuk kegunaan sendiri dan pihak ketiga.

    “Selepas mengubahsuai motorlori yang dicuri, sindiket ini akan menjual kepada pembeli dengan harga sekitar RM20,000 hingga RM30,000 malah serendah RM7,000 pun ada untuk pasaran,” katanya dalam sidang media sindiket curi motorlori di sebuah gudang di Jalan Batu Arang, Rawang hari ini,lapor Bernama.

    Abd Jalil berkata pembeli lori berkenaan diminta berwaspada dengan kenderaan yang dijual dengan harga yang lebih murah kerana dikhuatiri ia adalah kenderaan curi.

    “Dalam operasi ini, polis juga merampas sebuah muatan motorlori mengandungi pelbagai jenis barang kiriman ‘Shopee’ yang dilaporkan telah hilang.

    “Selain itu, sebuah Forklift, dua bongkah enjin yang terdapat kesan gangguan pada nombor casis dan nombor enjin,” katanya.

    Abd Jalil berkata pihaknya menerima laporan kehilangan tiga motorlori dengan dua daripadanya bersabit kes di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis (IPD) Subang Jaya dan satu bersabit kes di IPD Klang Selatan.

    Beliau berkata polis sedang menyemak dan mengenal pasti penglibatan ahli-ahli sindiket berkenaan.

    Selain itu, Abd Jalil berkata kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk dadah.

    “Tangkapan dan rampasan ini merupakan sindiket curi motorlori di sekitar Lembah Klang dan polis masih memburu saki-baki ahli kumpulan ini.

    “Ia adalah hasil daripada maklumat orang ramai yang mendapati ada unsur mencurigakan dan meragukan ketika ingin membeli lori yang ditawarkan oleh sindiket berkenaan iaitu dengan kadar harga yang murah dan tidak masuk akal,” katanya.

    Beliau berkata pihaknya mengalu-alukan sebarang maklumat orang ramai yang berhadapan dengan situasi sama semasa menjalankan urusan pembelian seperti lori ini.

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat ASP Md Norsham Yunus di talian 019-2905965,” katanya.

    Beliau berkata kes ini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

  • MAQIS rampas 100 tan susu tepung dari Belanda

    MAQIS rampas 100 tan susu tepung dari Belanda

    JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas sebanyak 100 tan susu tepung dari Belanda selepas mendapati pengisytiharan dokumennya tidak tepat.

    Jabatan itu dalam kenyataan memaklumkan, susu tepung yang dibawa menggunakan empat buah kontena itu dirampas ketika pemeriksaan rutin di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di Pulau Pinang kira-kira pukul 4.40 petang semalam.

    100 tan susu tepung dari Belanda dirampas setelah perisytiharan dokumennya didapati tidak tepat.

    Menurutnya, produk bernilai RM650,902.91 seberat 100,000 kilogram (kg) yang diisi di dalam 4,000 bungkusan itu disita untuk siasatan lanjut.

    “Kontena yang membawa produk itu disita kerana dokumen yang diisytiharkan didapati tidak tepat seperti yang dinyatakan pada syarat dokumen Permit Import Maqis yang sah iaitu mengemukakan maklumat yang berbeza dan mengelirukan pada sijil kesihatan veterinar dari negara pengimport,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

    Susu tepung berkenaan diimport sebagai produk yang diproses untuk dijadikan makanan dan minuman manusia.

    Kenyataan tersebut menambah, susu tepung berkenaan diimport sebagai produk yang diproses untuk dijadikan makanan dan minuman manusia.

    Katanya, hasil produk proses berkenaan dipercayai bagi kegunaan pasaran negara ini dan dipasarkan ke luar negara.

    “Kes itu disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” kata MAQIS Pulau Pinang.

  • Bukit Aman siasat termasuk dakwaan individu bantu Nur Sajat lolos ke Thailand

    Bukit Aman siasat termasuk dakwaan individu bantu Nur Sajat lolos ke Thailand

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat dari pelbagai aspek termasuk dakwaan dibantu individu lain, berhubung isu ahli perniagaan kosmetik Muhammad Sajjad Kamarul Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat yang melarikan diri ke Thailand.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata siasatan dan maklumat akan diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan bagi menentukan kaedah terbaik agar sempadan negara tidak mudah dibolosi.

    “Kami tidak mahu lagi kejadian seperti  berlaku pada Nur Sajat yang berjaya melarikan diri dari sempadan negara berulang. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga,” katanya pada sidang media sindiket curi lori di sebuah gudang di Jalan Batu Arang, di Rawang hari ini, lapor Bernama.

    Abd Jalil berkata Muhammad Sajjad telah dituduh oleh pihak berkuasa Thailand di bawah Akta Imigresen negara itu, namun dia memohon taraf pelarian Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

    “Mereka (UNHCR) sedang berusaha membolehkan dia dianggap sebagai pelarian di Thailand,” katanya.

    Abd Jalil berkata pihaknya sedang berusaha bersama Kementerian Luar dan pejabat Peguam Negara untuk proses mengekstradisi ahli perniagaan kosmetik itu ke Malaysia.

    “Terpulang kepada pihak berkenaan untuk memberi kuasa kepada polis bagi membolehkan dibawa pulang melalui proses undang-undang Malaysia dan antarabangsa. Polis menasihatkan Nur Sajat, sekiranya dia dengar berita ini, kami minta dia pulang dengan cara baik bagi berhadapan kes yang perlu dilaluinya,” katanya.

    Semalam, Bernama melaporkan polis dalam proses memohon mengekstradisi Muhammad Sajjad daripada pihak berkuasa Thailand.

    Muhammad Sajjad diburu oleh pihak berkuasa Malaysia selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan kerana gagal hadir pada sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

    Pada 15 Jun lepas, polis turut menjejaki Muhammad Sajjad bagi membantu perbicaraan kes penipuan pertukaran nama dan jantina pada kad pengenalan yang sedang berlangsung di Mahkamah Ampang.