Category: Jenayah

  • Pengasuh hempas kepala bayi direman enam hari

    Pengasuh hempas kepala bayi direman enam hari

    SEORANG pengasuh wanita yang dipercayai menghempas kepala bayi berusia tujuh bulan sehingga mengalami kecederaan parah direman enam hari bermula semalam.

    Perintah reman hingga 29 September ini dikeluarkan ke atas suspek berusia 22 tahun bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid ketika memaklumkan perkara itu turut memberitahu perkembangan keadaan mangsa.

    “Bayi masih dalam keadaan kritikal tetapi stabil,” katanya kepada BH, hari ini.

    Semalam, media melaporkan polis menahan seorang pengasuh wanita tempatan disyaki mendera dan cuba membunuh bayi lelaki berusia tujuh bulan di sebuah rumah di Taman Desa Pelancongan.

    Berdasarkan maklumat awal, suspek dipercayai menghempas kepala bayi lelaki itu sebanyak dua kali sebelum menyedari mangsa tidak sedarkan diri.

    Suspek bertindak demikian kerana mangsa tidak berhenti menangis baru-baru ini.

    Mior Faridalathrash dipetik sebagai berkata, pada pukul 3.03 pagi Khamis, polis menerima satu laporan berkenaan cubaan bunuh terhadap bayi berusia tujuh bulan.

    Beliau berkata, menurut laporan itu, pukul 7.10 pagi Rabu, mangsa telah dihantar bapa kandungnya ke rumah pengasuh di Taman Desa Pelancongan, Ipoh, dalam keadaan sihat dan baik.

    “Bapa mangsa telah dihubungi oleh pengasuh berkenaan pada pukul 2.35 petang untuk datang semula ke rumah pengasuh untuk mengambil mangsa kerana mangsa dikatakan terjatuh dari ‘baby walker’.

    “Setibanya ke rumah pengasuh, bapa mangsa mendapati kepala bayinya mengalami kesan bengkak dan dimaklumkan bahawa mangsa terjatuh ketika didukung.

    “Mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh dan didapati mengalami pendarahan di kepala dan tempurung kepalanya retak,” katanya.

    Polis kemudiannya bertindak menahan suspek.

  • Pengasuh hempas kepala bayi tujuh bulan ditahan

    Pengasuh hempas kepala bayi tujuh bulan ditahan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pengasuh wanita yang dipercayai menghempas kepala bayi berusia tujuh bulan sehingga mengalami kecederaan parah ditahan polis.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, berdasarkan maklumat awal, suspek, 22, dipercayai menghempas kepala bayi lelaki itu sebanyak dua kali sebelum menyedari mangsa tidak sedarkan diri.

    Jelas beliau, suspek bertindak demikian kerana mangsa tidak berhenti menangis baru-baru ini.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, berdasarkan maklumat awal, suspek berusia 22 tahun dipercayai menghempas kepala bayi lelaki itu sebanyak dua kali sebelum menyedari mangsa tidak sedarkan diri.

    “Pihak polis telah membuka kertas siasatan terhadap kes tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, pada pukul 3.03 pagi Khamis, polis menerima satu laporan berkenaan cubaan bunuh terhadap bayi berusia tujuh bulan.

    Beliau berkata, menurut laporan itu, pukul 7.10 pagi Rabu, mangsa telah dihantar bapa kandungnya ke rumah pengasuh di Taman Desa Pelancongan, Ipoh, dalam keadaan sihat dan baik.

    “Bapa mangsa telah dihubungi oleh pengasuh berkenaan pada pukul 2.35 petang untuk datang semula ke rumah pengasuh untuk mengambil mangsa kerana mangsa dikatakan terjatuh dari ‘baby walker’.

    “Setibanya ke rumah pengasuh, bapa mangsa mendapati kepala bayinya mengalami kesan bengkak dan dimaklumkan bahawa mangsa terjatuh ketika didukung.

    “Mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh dan didapati mengalami pendarahan di kepala dan tempurung kepalanya retak,” katanya.

    Menurutnya, mangsa ketika ini berada dalam keadaan tidak sedar dan kritikal.

  • Wanita hilang seminggu ditemui maut kereta terbalik

    Wanita hilang seminggu ditemui maut kereta terbalik

    Oleh:RIZQI ZABIDI

    SEORANG wanita ditemukan maut dalam keadaan menyayat hati hari ini selepas lapan hari keluar dari rumahnya untuk ke kuil, bagi menjalankan upacara buat mendiang suami yang meninggal dunia sejak 2008.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Sazalee Adam, mayat L.Hemavathi, 43, ditemui dalam kereta miliknya yang terbalik di sebuah parit dekat Jalan Batu Puteh – Sungai Kob kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.

    Katanya, mayat mangsa yang bekerja sebagai operator kilang di sebuah kilang di Kulim, didapati terperangkap dalam kereta tersebut.

    “Kereta mangsa dipercayai terbabas lalu terbalik dalam parit yang dikelilingi semak hingga tidak terlihat dari jalan besar.

    “Tempat mangsa ditemukan tidak jauh daripada kuil di Ladang Maryland dengan jasadnya sudah berbau dipercayai telah meninggal dunia sejak lebih seminggu lalu,” katanya.

    Tambahnya pemerhatian mendapati tiada kesan brek atas jalan tar dengan kereta itu remuk terutamanya di bahagian bumbung dan depan.

    “Mayat mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba. Kecederaan tidak dapat dikenal pasti secara kasar kerana rupa fizikal mangsa yang telah terjejas,” katanya.

    Menurutnya, barang kemas berupa rantai leher, cincin, rantai tangan serta pakaian mangsa masih lengkap seperti mula-mula dia keluar dari rumah sebelum dilaporkan hilang.

    “Dipercayai tiada unsur-unsur jenayah yang boleh dikaitkan. Mangsa dipercayai tidak memakai tali pinggang keledar manakala ‘air bag’ pula kelihatan berfungsi,” katanya.

    Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani bagi tujuan bedah siasat.

  • Penunggang motosikal maut tercampak dari Lebuh raya EDL

    Penunggang motosikal maut tercampak dari Lebuh raya EDL

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki maut apabila motosikal yang dinaikinya bersama adiknya hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 4 Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL), Johor Bahru sebelum tercampak ke laluan bawah lebuh raya itu pagi tadi.

    Dalam kejadian pukul 11.20 pagi itu, mangsa yang berusia 21 tahun itu maut di tempat kejadian manakala adiknya berusia 19 tahun mengalami kecederaan ringan apabila terjatuh di lokasi kemalangan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, kejadian kemalangan itu dipercayai berlaku apabila motosikal itu terbabas sendiri dan tidak melibatkan kenderaan lain.

    Katanya, mangsa difahamkan dalam perjalanan pulang ke rumah di Pasir Gudang selepas menghantar adiknya untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

    Adik mangsa bernasib baik kerana hanya jatuh atas jalan dan tidak ikut tercampak ke bawah lebuh raya

    “Mangsa yang difahamkan terbabas dan tercampak ke laluan bawah Lebuh raya EDL mengalami cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia.

    “Adiknya pula tidak terjatuh ke bawah laluan tersebut dan hanya mengalami kecederaan ringan di jari sahaja,” katanya dalam ketika dihubungi hari ini.

    Raub berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk dibedah siasat manakala adiknya menerima rawatan pesakit luar di hospital sama.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Panggilan telefon tak berjawab bawa penemuan mayat guru

    Panggilan telefon tak berjawab bawa penemuan mayat guru

    PERASAAN curiga seorang rakan apabila panggilan telefon dibuatnya tidak berjawab membawa kepada penemuan mayat seorang guru di rumahnya yang dipercayai sudah meninggal dunia hampir seminggu.

    Kematian guru berusia 52 tahun itu di Kampung Bechah Resak, Chabang Empat, Tumpat disedari rakannya yang pergi ke rumah mangsa tengah hari semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, rakan mangsa ke rumahnya pada pukul 12.50 tengah hari semalam untuk bertanyakan mengenai status vaksinasi Covid-19.

    Menurutnya, ini selepas cubaan rakannya menghubungi mangsa menerusi panggilan telefon tidak berjawab dan dia mengambil keputusan datang ke rumah guru berkenaan.

    “Namun rakannya itu terhidu bau busuk dan cuba membuka pintu untuk masuk sebelum ternampak mangsa yang sudah meninggal dunia terbaring di dalam bilik,” katanya hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd Razi berkata, pihak berkuasa yang dimaklumkan akan kejadian itu kemudiannya membuat ujian Covid-19 terhadap mangsa dan hasilnya negatif.

    Ujar beliau, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat.

    Katanya, mengikut maklumat awal, mangsa tidak menghidap sebarang penyakit dan tiada rekod kesihatan diperoleh.

    “Kami juga tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” tambahnya.

  • ‘Geng Amir@Kecik’ samun kedai emas tumpas

    ‘Geng Amir@Kecik’ samun kedai emas tumpas

    POLIS menumpaskan sindiket samun kedai emas dikenali ‘Geng Amir @ Kecik’ yang aktif menjalankan kegiatan itu sejak Mei lepas melibatkan kerugian lebih RM879,000 setelah menahan 23 individu termasuk dua wanita dalam beberapa serbuan di Lembah Klang.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata kesemua suspek merupakan warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu ditahan menerusi Op Dulang yang dijalankan pada 13 hingga 20 Sept lepas.

    “Hasil daripada maklumat, sepasukan polis JSJ Selangor telah menjalankan operasi dan menahan 21 lelaki dan dua wanita termasuk ketuanya disyaki terlibat dalam kes samun di empat buah kedai emas di Setapak, Kepong, Gombak dan Seri Kembangan bermula Mei lepas.

    “Modus operandi kumpulan ini ialah melakukan samun ke atas kedai emas dengan bersenjatakan parang, kapak serta tukul besi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, di sini hari ini.

    Sebahagian daripada senjata serta hasil samun kedai emas yang berjaya dirampas pihak polis pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Menurut beliau hasil siasatan lanjut mendapati ahli kumpulan itu berpura-pura sebagai pelanggan dan membuat pemerhatian ke atas kedai emas yang akan dijadikan sasaran bagi menentukan kelemahan yang ada di premis terbabit.

    “Tujuh suspek berperanan melakukan samun, enam lagi bertindak sebagai pembeli barang kemas hasil samun manakala dua suspek berperanan menyimpan hasil samun selain lapan lagi mempunyai pengetahuan tentang kegiatan samun yang dilakukan,” katanya.

    Abd Jalil berkata susulan penahanan itu, polis turut merampas enam ketulan emas, empat utas rantai leher emas, dua utas rantai tangan emas serta satu rantai kaki emas yang kesemuanya bernilai lebih RM193,479 serta barang-barang berkaitan dipercayai digunakan bagi tujuan samun.

    Menurutnya polis sedang mengesan dua lagi suspek yang masih bebas dikenali sebagai ‘Boy Selayang’ atau nama sebenar Mohd Hafizuddin Roslan beralamat di No 12, Jalan Mutiara 5/6 Taman Selayang Mutiara, Batu Caves serta ‘Atai’ dengan nama sebenar Ataillah Ghazi beralamat No 128, Jalan Pelangi 1, Taman Pelangi Jaya, Kuala Lumpur yang dipercayai turut terlibat dengan kumpulan itu.

    “Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.- BERNAMA

  • Sajjad guna nama samaran ‘Bella’, pegang status UNCHR

    Sajjad guna nama samaran ‘Bella’, pegang status UNCHR

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mendapat maklumat usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat yang kini berada di Thailand menggunakan nama samaran Bella.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, polis masih meneruskan tindakan undang-undang bagi membawa pulang Nur Sajat, namun proses tersebut bergantung kepada pihak berkuasa Thailand bagi memenuhi permintaan tersebut.

    “Permohonan untuk membawa pulang Nur Sajat ini masih dalam proses kerana ia melibatkan Pejabat Peguam Negara, Kementerian Luar dan kedutaan kita.  Kita juga mendapat maklumat Nur Sajat sekarang telah menggunakan nama samaran Bella tetapi dia tetap orang yang sama,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Beliau berkata, Nur Sajat juga  disahkan memegang status Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

    Abdul Jalil memberitahu,  polis Thailand mengesahkan Nur Sajat telah ditangkap pada 8 September lalu di Bangkok atas kesalahan melanggar syarat-syarat imigresen negara berkenaan.

    Sehubungan itu, kata beliau, pihak imigresen Thailand telah membatalkan pemilikan pasport antarabangsa Nur Sajat.

    “Jadi, keberadaan Nur Sajat adalah tidak sah semasa di Bangkok sekali gus dia memohon status UNHCR dan berjaya mendapat status berkenaan. Dia sedang menunggu tawaran pihak negara ketiga bagi membantu Nur Sajat ditempatkan di negara terbabit,” katanya.

    Pada masa sama, Abd. Jalil turut berharap keluarga Nur Sajat membantu menasihatkannya supaya pulang ke tanah air bagi menghadapi pertuduhan yang disifatkannya tidak seberat mana.

    “Kes Nur Sajat ini kecil sahaja iaitu membabitkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan polis kerana telah menghalang penjawat awam. Kita yakin keluarganya boleh membantu polis untuk memujuk supaya Nur Sajat pulang,” katanya.

    Semalam, Abd. Jalil dalam kenyataan memaklumkan polis sedang dalam proses permohonan untuk membawa pulang Nur Sajat dengan usaha tersebut akan dibuat dalam tempoh terdekat.

    “Malaysia dan Thailand terikat dengan triti yang membolehkan proses untuk membawa pulang orang yang dikehendaki atau penjenayah buruan dilaksanakan,” katanya.

  • 119 bot asing lebih RM179 juta dilupus jadi tukun tiruan

    119 bot asing lebih RM179 juta dilupus jadi tukun tiruan

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEBANYAK 119 buah bot nelayan asing bernilai lebih RM179 juta telah dilupuskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu sejak tahun 2010 sehingga sekarang.

    Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli memberitahu, di pantai timur, bot-bot yang disita dan dilupus akan ditenggelamkan untuk dijadikan sebagai tukun tiruan di sekitar pulau-pulau berhampiran Kelantan dan Terengganu.

    Menurut Muhammad Suffi, kawasan tukun tiruan memberi kesan jangka panjang sebagai satu habitat baharu untuk ekosistem marin, selain menjadi peranti pemuliharaan biodiversiti marin dan tempat perlindungan dan sumber makanan kepada hidupan laut.

    Malah katanya, tukun tiruan ini juga sebahagian daripada sumbangan Maritim Malaysia kepada perairan negara apabila bot yang dirampas akan ditenggelamkan.

    “Ini kerana tukun-tukun tersebut akan menjadi tarikan di kawasan taman-taman laut di pantai timur Semenanjung, sekaligus dapat merancakkan lagi sektor pelancongan,” katanya di Kuala Terengganu, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau memberitahu, antara lokasi bot-bot nelayan asing ditenggelamkan sebagai tukun tiruan ialah di sekitar Pulau Redang sebanyak enam bot, perairan Pulau Bidong (dua), perairan Batu Burok (enam), perairan Kuala Nerus (empat), Pulau Kapas (tiga) dan Pulau Susu Dara di Kelantan (13 bot).

    Katanya, majoriti jumlah bot nelayan asing yang ditahan dan dilupuskan ialah dari Vietnam, dilucut hak atas kesalahan menceroboh serta melakukan aktiviti perikanan tanpa kebenaran di perairan negara sejak 2019 sehingga September tahun ini.

  • Polis siasat penyebar video, mesej lucah seorang pendakwah

    Polis siasat penyebar video, mesej lucah seorang pendakwah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan terhadap penyebar video dan mesej lucah tular menerusi aplikasi Telegram, yang dikaitkan dengan seorang pendakwah terkenal.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan (dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian).

    “PDRM menasihatkan orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.

    “Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya dalam kenyataan semalam.

    Semalam, tular tiga buah video di aplikasi Telegram memaparkan wajah mirip pendakwah berkenaan bersama beberapa tangkap layar yang memaparkan perbualan.

  • COVID-19: Singapura catat kes harian tertinggi 1,504 kes

    COVID-19: Singapura catat kes harian tertinggi 1,504 kes

    SINGAPURA melaporkan sejumlah 1,504 kes baharu COVID-19 pada Khamis (23 September), tertinggi sejak virus itu dikesan tahun lalu.

    Menurut Kementerian Kesihatan republik itu, daripada jumlah tersebut, 1,218 kes adalah jangkitan tempatan, 273 di asrama pekerja migran, dan 13 kes import.

    Dalam kemas kini data hariannya, kementerian memaklumkan 1,120 pesakit dirawat di hospital dengan 163 kes serius yang memerlukan bantuan oksigen, dan 23 kritikal di unit rawatan rapi (ICU).

    Republik itu juga melaporkan dua kematian melibatkan wanita warga emas Singapura yang belum divaksin, menjadikan jumlah kematian akibat komplikasi jangkitan COVID-19 bertambah kepada 70 orang.

    Sepanjang 28 hari lalu, menurut kementerian daripada 15,791 individu yang dijangkiti, 97.9 peratus tidak bergejala atau bergejala ringan, 1.8 peratus memerlukan bantuan oksigen, 0.2 peratus dirawat di ICU, dan 0.1 peratus meninggal dunia.

    Sehingga tengah hari Khamis, jumlah keseluruhan kes adalah 82,860 dengan 10,379 kes aktif.

    Sebanyak 82 peratus penduduk Singapura telah lengkap dua dos vaksin COVID-19 setakat 22 September, dengan 84 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.- BERNAMA