Category: Jenayah

  • Laporan: SPRM nak panggil bekas menteri, Tan Sri sekali lagi

    Laporan: SPRM nak panggil bekas menteri, Tan Sri sekali lagi

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka akan memanggil bekas menteri kanan dan dan seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri untuk soal siasat sekali lagi berhubung dakwaan penyelewengan dana awam lebih RM2.3 bilion.

    Langkah itu diambil selepas SPRM dilaporkan merampas beberapa dokumen berhubung pengambilalihan saham yang melibatkan syarikat senarai awam.

    Langkah berkenaan yang berlaku pada 1990-an didakwa memberi kesan buruk kepada negara sehingga menyebabkan kemerosotan ekonomi Malaysia.

    “Dua tokoh masyarakat itu termasuk ahli perniagaan yang bergelar mungkin dipanggil semula tidak lama lagi.

    “Selain kedua-duanya, SPRM juga memanggil beberapa individu, termasuk seorang peguam, juruaudit, dan wakil sebuah syarikat untuk mendapatkan lebih banyak dokumen yang diperlukan untuk siasatan,” lapor Utusan Malaysia yang memetik sumber tidak dinamakan.

    Difahamkan, dokumen yang dirampas itu termasuk kertas perbankan serta dokumen daripada Suruhanjaya Sekuriti dan syarikat pemaju.

    Laporan sama menyebut seorang lagi ahli perniagaan terkemuka juga diminta hadir esok untuk disoal siasat SPRM.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan mengesahkan perkara itu dan berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM iaitu kesalahan membabitkan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan, selain undang-undang antipengubahan wang haram.

    Dua hari lalu, Bernama melaporkan SPRM sedang menyiasat seorang bekas menteri kanan dan ahli perniagaan terkemuka bergelar Tan Sri atas dakwaan penyelewengan.

    Memetik sumber, Bernama berkata siasatan itu adalah lanjutan daripada Pandora Papers.

    Siasatan tertumpu kepada penjualan saham syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, pemilikan aset berharga oleh ahli perniagaan itu, bekas menteri kanan serta ahli keluarga yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit di dalam dan luar negara.

  • Buat kecoh di stadium, 4 penyokong ditahan polis

    Buat kecoh di stadium, 4 penyokong ditahan polis

    POLIS menahan empat lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 18 hingga 26 tahun dalam kekecohan yang berlaku antara penyokong pasukan bola sepak Perak FC dan Selangor FC di Stadium Perak di Ipoh, semalam.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Assisten Komisioner Yahaya Hassan, dalam kenyataan hari ini berkata polis mengesahkan kejadian berlaku pada 9.17 malam setelah pihaknya mengesan satu video tular memaparkan berlakunya kekecohan tersebut menerusi aplikasi WhatsApp.

    “Ujian saringan air kencing terhadap seorang daripada tahanan mendapati positif dadah jenis TFC (ganja),” katanya menambah keadaan kekecohan dapat dikawal pasukan polis bertugas di lokasi kejadian.

    Yahaya berkata semua yang ditahan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini untuk permohonan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

    Justeru, beliau menyeru orang awam yang menyaksikan atau mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah IPD Ipoh, ASP Chua Sze Yuan di talian 012-6195312 untuk membantu siasatan.

    Media melaporkan perlawanan Liga Super antara Perak FC menentang Selangor FC di Stadium Perak malam tadi dicemari insiden pergaduhan membabitkan penyokong dua pasukan itu.

  • Kes mayat dalam tangki najis, polis buru 8 suspek

    Kes mayat dalam tangki najis, polis buru 8 suspek

    POLIS sedang mengesan lapan individu bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang lelaki warga Indonesia dipercayai mangsa bunuh dalam sebuah tangki najis, di Kuala Kangsar pada 14 Mei lepas.

    Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata semua suspek merupakan warga Indonesia yang tinggal serumah dengan mangsa.

    “Kita telah kenal pasti (suspek) dan kita sekarang sedang mengesan mereka bagi melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk ke DPP (Timbalan Pendakwa Raya) dan tindakan selanjutnya.

    “Jadi berilah masa kepada pihak berkuasa dan kami menjalankan siasatan dan mengesan suspek-suspek ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Polis Diraja Malaysia Perak Tahun 2023 di IPD Perak Tengah, Bota dekat Seri Iskandar malam tadi.

    Pada 15 Mei, Ketua Polis Kuala Kangsar Omar Bakhtiar Yaacob berkata polis sedang mengesan pasangan suami isteri yang juga rakan serumah mangsa dipercayai telah melarikan diri, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Polis tahan lelaki bawa 64 kotak rokok seludup guna lori 10 tan

    Polis tahan lelaki bawa 64 kotak rokok seludup guna lori 10 tan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lelaki ditahan ketika memandu sebuah lori 10 tan yang membawa 64 kotak berisi rokok seludup di Jalan Lunas, Kelang Lama dekat Kulim, Kedah, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, lori tersebut ditahan kira-kira pukul 2.45 pagi oleh sepasukan pegwai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim.

    Menurutnya, pemeriksaan dijalankan mendapati setiap kotak itu mengandungi 50 karton rokok seludup.

    “Susulan itu pihak polis menahan lelaki tersebut yang berusia 33 tahun. Semakan mendapati dia mempunyai tiga rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 324/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

    “Pihak polis turut membuat rampasan kesemua kotak berisi rokok seludup itu serta kenderaan berat tersebut. Selain itu, tujuh batang kunci dan sebuah telefon bimbit turut dirampas dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM192,000,” katanya.

    Katanya, kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 kerana membawa rokok seludup tanpa membayar cukai.

    “Orang ramai diminta untuk membantu pihak polis dalam pencegahan jenayah dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kepada IPD Kulim di talian 04-4906222.

  • Gaduh di sekolah, 9 remaja bawah umur ditahan

    Gaduh di sekolah, 9 remaja bawah umur ditahan

    SEMBILAN remaja di bawah umur ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dua kes pergaduhan di sebuah sekolah menengah di Butterworth, Pulau Pinang baru-baru ini.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kesemua mereka ditahan secara berasingan semalam, namun akan diberikan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil hari ini memandangkan masih merupakan pelajar sekolah.

    ”Polis mengesahkan ada penahanan dibuat berhubung dua kes pergaduhan berbeza di sekolah berkenaan.

    ”Sembilan individu yang ditahan adalah lapan pelajar sekolah dan seorang remaja yang tidak bersekolah,” katanya kepada pemberita di George Town, hari ini.

    Terdahulu, video pergaduhan membabitkan pelajar di dalam tandas sebuah sekolah menengah yang di dakwa berlaku di Buterworth, dekat sini tular di dalam media sosial sejak semalam.

    Insiden yang didakwa kejadian buli itu menimbulkan kemarahan warga maya yang meminta polis mengambil tindakan segera terhadap mereka yang terlibat.

    Dalam pada itu, Kok Chin berkata, kes pergaduhan pelajar itu disiasat di bawah Seksyen 323 kerana mendatangkan cedera dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

  • Lelaki maut dengan empat kesan tembakan di kepala berhampiran balai polis 

    Lelaki maut dengan empat kesan tembakan di kepala berhampiran balai polis 

    SEORANG lelaki tempatan maut dengan empat kesan tembakan di bahagian kepala dalam kejadian berhampiran Balai Polis Sungai Jarom, Kuala Langat, lewat malam tadi. 

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata pihaknya menerima laporan daripada anggota sukarelawan polis kira-kira 11.30 malam, mengatakan terdapat satu kejadian  tembak. 

    “Pengadu sedang bertugas sentri kawasan Balai Polis Sungai Jarom telah mendengar beberapa letupan yang kuat berhampiran Balai Polis Sungai Jarom dan terus menuju ke kawasan kejadian.

    “Pengadu mendapati seorang lelaki warga tempatan sedang terbaring kaku di bahu jalan dalam keadaan berdarah,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BERNAMA.

    Ahmad Ridhwan berkata pihak klinik kesihatan Telok Panglima Garang yang hadir, mengesahkan mangsa maut di tempat kejadian akibat pendarahan di kepala, dan unit forensik turut menjumpai lima kelongsong peluru di sekitar tempat kejadian.

    Katanya hasil siasatan polis, mangsa yang berusia 39 tahun itu memiliki 13 rekod jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh. 

    Polis giat menjalankan usaha untuk mengesan suspek dan menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. 

    Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil ke balai polis berdekatan bagi menyalurkan maklumat dan menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222. 

  • Seleweng RM2.3 bilion dana negara:  bekas menteri kanan, tokoh perniagaan bergelar Tan Sri disiasat SPRM

    Seleweng RM2.3 bilion dana negara: bekas menteri kanan, tokoh perniagaan bergelar Tan Sri disiasat SPRM

    SEORANG bekas menteri kanan dan seorang tokoh perniagaan bergelar Tan Sri disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan dana negara bernilai lebih RM 2.3 bilion.

    Menurut sumber, siasatan itu dijalankan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

    BERNAMA melaporkan, sumber berkenaan berkata siasatan itu adalah kesinambungan dan lanjutan daripada pendedahan dokumen-dokumen sulit oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi-transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

    “Tumpuan siasatan adalah berhubung dengan pembelian dan pemilikan saham di sebuah syarikat tersenarai oleh sebuah syarikat gergasi negara yang dikatakan didalangi oleh bekas menteri kanan itu.

    “Difahamkan, transaksi pembelian dan pemilikan saham ini dipercayai menjadi punca kepada kemerosotan ekonomi negara serta kejatuhan matawang ringgit pada hujung 1990-an dan telah diseleweng untuk kepentingan individu terbabit untuk diselamatkan (bail out) daripada mengalami kerugian yang lebih teruk,” menurut sumber itu.

    Sumber itu memaklumkan penyiasatan itu bertumpu kepada transaksi-transaksi daripada hasil penjualan saham syarikat tersenarai tersebut, pemilikan aset-aset berharga yang dimiliki ahli perniagaan dan bekas menteri kanan itu serta ahli keluarga mereka yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit di dalam dan di luar negara.

     “SPRM juga telah merakam keterangan kira-kira 14 saksi dalam tempoh beberapa minggu lalu berhubung penyiasatan ini termasuk keterangan daripada tokoh ahli perniagaan dan bekas menteri kanan tersebut berkaitan dengan dokumen-dokumen sulit yang didedahkan oleh Pandora Papers,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan berkata siasatan bertumpu pada Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berhubung kesalahan salah guna kuasa untuk mendapat suapan dan kesalahan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 (1) AMLATFPUAA 2001.

  • Kaut jutaan ringgit jadi ejen imigresen haram, wanita ditahan

    Kaut jutaan ringgit jadi ejen imigresen haram, wanita ditahan

    SEORANG wanita mengaut keuntungan jutaan ringgit dengan menawarkan khidmat memperbaharui Permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) kepada warga asing ditahan dalam Ops Serkap di sebuah kondominium di Taman Melati Utama, Setapak, pagi semalam.

    Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin, berkata siasatan mendapati wanita berumur 48 tahun itu bertindak seolah-olah seperti ejen Jabatan Imigresen (JIM) sejak setahun lalu dengan menawarkan khidmat kepada warga asing dan majikan dengan harga tinggi.

    Bayaran dikenakan adalah bagi pendaftaran RTK membabitkan RM2,500 dan perbaharui PLKS sebanyak RM8,000 walaupun JIM tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk melakukan urusan berkenaan, katanya.

    “Kita menjalankan risikan dan operasi selama sebulan apabila ada majikan membuat laporan mengenai aktiviti wanita terbabit.

    “Siasatan kita mendapati wanita ini menjalankan aktiviti tersebut dengan bantuan daripada rakannya yang dipercayai warga Bangladesh untuk mendapatkan pelanggan dan mengaut keuntungan sehingga jutaan ringgit,” katanya pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Jalan Duta, Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata, menerusi serbuan 11 pagi itu, tiga lelaki warga asing berusia 42 hingga 48 tahun yang sedang berurusan dengan wanita terbabit turut ditahan.

    “Kita merampas 314 pasport Bangladesh, sebuah komputer, telefon bimbit, 17 keping kad CIDB dan wang tunai RM61,550,” katanya.

    Syamsul berkata, pihaknya turut menjalankan serbuan di premis pejabat milik wanita berkenaan di Taman Sri Rampai, Setapak pada hari sama tangkapan dibuat, 12.20 tengah hari.

    Katanya, hasil serbuan itu, pihaknya merampas antaranya 53 pasport Bangladesh, 198 keping kad CIDB, tujuh buku rekod bayaran, lapan fail syarikat dan tiga keping lesen syarikat.

    Beliau berkata, wanita dan tiga lelaki warga asing itu, kini berada dalam tahanan dan kes disiasat mengikut Akta Pasport 1959/63.

  • 66 individu positif dadah ditahan dalam serbuan di 3 pusat hiburan

    66 individu positif dadah ditahan dalam serbuan di 3 pusat hiburan

    POLIS Pulau Pinang menahan seramai 66 individu termasuk 17 warga asing dalam operasi khas pusat hiburan di kawasan Timur Laut dan Bukit Mertajam, awal pagi hari ini.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, mereka merupakan sebahagian daripada 124 individu yang ditahan dan diperiksa dalam operasi khas di tiga buah pusat hiburan masing-masing dua di daerah Timur Laut dan satu di Seberang Perai Tengah (SPT).

    Jelas beliau, mereka yang ditahan itu masing-masing 40 lelaki termasuk seorang warga asing dan 26 wanita termasuk 16 wanita warga asing yang ujian saringan air kencing mereka didapati positif pelbagai jenis dadah.

    “Dalam operasi ini juga, kita berjaya merampas dadah jenis MDMA seberat 275 gram bernilai RM3,200.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, dalam kes berasingan, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komissioner Soffian Santong berkata, polis menahan dua lelaki warga tempatan kerana menggajikan pekerja warga asing tanpa permit yang sah dalam serbuan di pusat hiburan di pusat bandar Georgetown, awal pagi ini.

    Katanya, dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 pagi itu, polis turut menahan dua lelaki dan lapan wanita warga asing atas kesalahan melanggar syarat pas lawatan dan tiada dokumen perjalanan yang sah.

    Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-peraturan Imigresen 1959/63 dan Akta Imigresen 1959/63.

    “Kita juga telah menjalankan ujian saringan awal air kencing ke atas 49 individu berumur antara 20 hingga 51 tahun yang mana 24 daripadanya iaitu lapan wanita dan 16 lelaki positif pelbagai jenis dadah dan kesemua tangkapan berusia 25 hingga 50 tahun.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) 1952 Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

    Tambahnya, polis sentiasa komited dalam mencegah kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah dan perasi serta pelbagai langkah pencegahan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membendung aktiviti tersebut.

  • Pensyarah wanita kerugian lebih RM2.5 juta diperdaya Macau Scam

    Pensyarah wanita kerugian lebih RM2.5 juta diperdaya Macau Scam

    SEORANG pensyarah wanita mendakwa kerugian lebih RM2.5 juta selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai ejen insurans, sejak awal tahun ini.

    Ketua Polis Pahang Datuk Yahaya Othman berkata mangsa yang berusia 52 tahun mendakwa dihubungi suspek kononnnya daripada syarikat insurans pada 22 Jan lepas, bagi siasatan tuntutan palsu dan penggubahan wang haram melibatkan mangsa.

    “Suspek dikatakan mengarahkan wanita itu membuka dua akaun bank baharu sebagai akaun siasatan sementara dengan butiran perbankan termasuk gambar kad mesin juruwang automatik (ATM) beserta kata laluan diserahkan kepada suspek.

    “Mangsa juga diarahkan untuk memindahkan semua wang simpanan ke dua akaun itu yang diturutinya dengan mengeluarkan simpanan bank, Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Yahaya berkata mangsa mula mengesyaki ditipu apabila gagal menghubungi suspek untuk bertanyakan perkembangan siasatan sebelum mendapati wang simpanannya di dua bank tersebut telah dikeluarkan tanpa pengetahuan.

    Sehubungan itu, menurutnya wanita tersebut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.

    Orang awam dinasihatkan berwaspada dan segera membuat semakan dengan pihak berkuasa jika menerima panggilan mencurigakan supaya tidak terpedaya dengan helah sindiket Macau Scam.

    Semakan nombor akaun dan nombor telefon juga boleh dibuat di https://semakmule.rmp. gov.my sebelum membuat sebarang transaksi bagi mengelakkan menjadi mangsa.