Category: Jenayah

  • Kereta terjunam selepas tembok penahan runtuh

    Kereta terjunam selepas tembok penahan runtuh

    SEBUAH kereta jenis Proton Saga yang diparkir di kawasan kejiranan di Lengkok Halia, Tanjung Bungah, Pulau Pinang hari ini terjunam selepas sebahagian tembok penahan (retaining wall) di situ runtuh.

    Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi tadi itu.

    Video kejadian itu turut tular dalam media sosial hari ini yang menunjukkan kereta tersebut yang diparkir tanpa pemandu terjunam bersama-sama runtuhan tembok penahan tersebut.

    Dalam pada itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Yew Tung Seang berkata, pihaknya sedang menyiasat punca sebenar kejadian itu.

    Bagaimanapun jelasnya, pihaknya semalam mendapati terdapat rekahan pada tembok penahan itu dan sudah mengarahkan pemilik yang meletakkan kereta mereka di kawasan berkenaan mengalihkan kenderaan mereka segera.

    Ketika kejadian tambahnya, terdapat sebanyak enam buah kereta diparkir di lokasi kejadian, namun lima daripadanya telah dialihkan oleh pemilik kenderaan.

    “Kawasan itu merupakan tanah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan kita telah meminta mereka membaiki runtuhan tersebut.

    “Ketika ini, kita menunggu laporan lengkap berhubung kejadian itu daripada JPS dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya.

  • 2 remaja sesat di Bukit Bauk ditemukan selamat

    2 remaja sesat di Bukit Bauk ditemukan selamat

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    TINDAKAN pantas anggota pasukan bomba dan penyelamat bagi mengesan dua remaja yang dilaporkan tersesat ketika menuruni puncak Bukit Bauk di Dungun, berjaya menyelamatkan kedua-dua sahabat berkenaan daripada bermalam di dalam hutan simpan kekal di kawasan itu.

    Menurut Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azman Alias, dua remaja tersebut dilaporkan tersesat hampir tiga jam di dalam hutan itu semasa mereka sedang menuruni bukit berkenaan petang semalam.

    Menurut beliau, kedua-dua remaja berusia 20an itu mula mendaki Bukit Bauk pada pukul 9 pagi dan pada pukul 12 tengah hari pihak bomba telah menerima panggilan kecemasan daripada mereka.

    Katanya, salah seorang mangsa memberitahu dengan mengatakan mereka telah tersesat laluan sewaktu sedang turun dari puncak Bukit Bauk.

    Justeru ujarnya, sebaik menerima maklumat tersebut, pihaknya terdiri daripada 20 anggota pelbagai agensi penyelamat terus ke tempat kejadian.

    “Dalam operasi berkenaan, kita berjaya menemui kedua-dua mangsa pada kedudukan dua kilometer daripada laluan asal pendakian pada pukul 1.31 petang.

    “Susulan penemuan mangsa, operasi mencari dan menyelamat orang hilang di sekitar kawasan bukit setinggi 400 meter itu ditamatkan pada pukul 2.37 petang,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

    Menurut Azman, dua mangsa terbabit kemudian dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Dungun bagib pemeriksaan lanjut.

  • Sorok 10 plastik heroin dalam plastik kurier elak dihidu polis

    Sorok 10 plastik heroin dalam plastik kurier elak dihidu polis

    SEORANG penganggur lelaki berusia 30 tahun dita han polis di Kepala Batas, Pulau Pinang Selasa lalu bersama-sama 10 plastik dadah jenis heroin seberat 4.5 kilogram.

    Dadah bernilai RM60,300 itu dijumpai disorok dalam bahagian but kereta jenis Proton Wira yang dinaiki suspek dalam serbuan kira-kira pukul 12 tengah hari.

    Ketika dijumpai, dadah itu didapati dibungkus menggunakan plastik lutsinar yang kemudiannya diletakkan dalam bungkusan plastik kurier bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, ketika ditahan suspek dipercayai dalam proses untuk menghantar bekalan dadah tersebut kepada ahli sindiket yang lain.

    Beliau berkata, suspek juga dipercayai baru berjinak-jinak dalam kegiatan tersebut memandangkan dia tiada rekod lampau berkaitan dadah

    “Siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai aktif mengedar dadah sejak kira-kira dua bulan lalu manakala suspek yang ditahan memiliki satu rekod jenayah berkaitan kes melarikan orang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU, Kepala Batas hari ini.

    Dalam pada itu, Noorzainy berkata, polis sedang mengesan saki-baki ahli sindiket atau rakan-rakan suspek yang dipercayai terlibat dalam kegiatan itu.

    “Suspek kini direman selama enam hari sehingga Isnin depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Sindiket edar dadah RM2.5 juta guna kereta sewa tumpas

    Sindiket edar dadah RM2.5 juta guna kereta sewa tumpas

    TAKTIK satu sindiket pengedaran dadah menggunakan kereta sewa selain menyorok bahan terlarang berkenaan dalam bungkusan ‘teh Cina’ gagal mengaburi mata polis berjaya dibongkar selepas lapan individu termasuk dua wanita ditahan di Lembah Klang pada 23 September lalu.

    Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sharul Lalli Masduki berkata, menerusi beberapa serbuan berasingan berkenaan, pihak polis turut berjaya merampas dadah jenis methamphetamine bernilai RM2.5 juta.

    “Polis merampas 62 bungkusan ‘teh Cina’ berisi dadah jenis methamphetamine anggaran berat 63.1 kilogram dalam sebuah kereta jenis Hyundai Ionic yang diparkir di hadapan sebuah pasar raya di Seri Kembangan pada jam 6.30 petang.

    “Kami kemudian berjaya memberkas seorang lelaki dan wanita warga Vietnam di sebuah kondominium di Brickfields.

    “Hasil soal siasat, kami menahan lima lelaki dan seorang warga Thailand di tiga lokasi di Dang Wangi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

    Sharul Lalli berkata, modus operandi sindiket yang bergiat aktif mengedar dadah sejak enam bulan lalu itu menggunakan kenderaan sewa.

    “Kereta tersebut akan ditinggalkan sindiket berkenaan di sesuatu kawasan, kemudian individu lain akan mengambil kenderaan itu atau bungkusan dadah tersebut,” katanya.

    Sharul Lalli berkata, pihaknya turut menyita wang tunai RM126,000 dan lima buah kereta jenis Toyota Land Cruiser, Mercedes-Benz, Lexus, Proton Exora dan Nissan Serena.

    “Hasil semakan mendapati lima suspek yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah dan dadah. Ujian saringan awal air kencing mendapati tiga orang positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

    Beliau berkata, kesemua suspek berusia 31 hingga 53 tahun itu ditahan reman 11 hari dari 24 September hingga Isnin ini bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Pemandu maut tercampak selepas MPV langgar lori muatan buah-buahan, ayam

    Pemandu maut tercampak selepas MPV langgar lori muatan buah-buahan, ayam

    SEORANG lelaki maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabit kemalangan dengan dua buah lori di Kilometer 316.3 Lebuhraya Utara- Selatan arah utara, Tapah, hari ini.

    Nahas pada pukul 4.30 pagi itu mengakibatkan, mangsa, Tan Ying Ming, 54, yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Menurut Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail, kemalangan itu melibatkan sebuah MPV dan dua lori yang membawa muatan buah-buahan dan ayam.

    Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku apabila MPV terbabit melanggar bahagian belakang lori yang membawa buah-buahan.

    “MPV berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Ipoh, apabila sampai di lokasi kejadian telah melanggar bahagian belakang lori yang menuju ke arah sama di lorong kiri.

    “Akibat pelanggaran itu, MPV terbabit terbabas ke lorong kanan dan dilanggar sebuah lori yang membawa muatan ayam sebelum kedua-duanya kenderaan tersebut terbakar,” katanya.

    Wan Azharuddin berkata, nahas itu menyebabkan mangsa tercampak keluar dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia.

    “Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah dan bedah siasat akan dijalankan pada Sabtu selepas mendapat keputusan ujian calitan Covid-19.

    “Kedua-dua pemandu lori berusia 49 dan 58 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 4.49 pagi.

    “Terdapat sebuah lori muatan ayam musnah 60 peratus manakala MPV terbabit musnah 90 peratus dalam nahas itu.

    “Anggota melakukan pemadaman menggunakan dua aliran air sehingga api padam sepenuhnya dan operasi tamat pada pukul 5.48 pagi,” katanya.

  • Imigresen tahan 297 PATI tinggal berhimpit dalam kontena

    Imigresen tahan 297 PATI tinggal berhimpit dalam kontena

    JABATAN Imigresen Malaysia (Imigresen) menahan 297 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan di sebuah kawasan rumah kongsi di Jalan Eco Majestic 1/2c, Kajang awal pagi ini.

    Menurut Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud, seramai 326 warga asing yang tinggal dalam tujuh buah kontena diperiksa menerusi operasi itu yang bermula pukul 12 tengah malam.

    “Operasi ini hasil daripada aduan penduduk sekitar di mana kalau kita perhatikan kawasan ini dikelilingi apartmen, rumah teres dan banglo mewah.

    “Penduduk sekitar membuat aduan berkenaan penempatan tersebut yang berada dalam keadaan sesak dan tidak mematuhi aspek kebersihan serta berpotensi menjadi kawasan pembiakan denggi,” katanya kepada media ketika ditemui hari ini.

    Katanyaairul, kebanyakan warga asing tersebut dipercayai bekerja sebagai buruh binaan dan sektor perkilangan malah ada yang menjalankan perniagaan sendiri.

    Khairul Dzaimee berkata, kawasan penempatan tersebut jelas melanggar Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja atau Akta 446.

    Bagi kesalahan tidak mematuhi Akta 446 itu, majikan boleh didenda sebanyak RM50,000 malah ada yang pernah dikenakan denda mencecah RM350,000 sebelum ini, katanya.

    Jelasnya, kesemua yang ditahan terdiri daripada 94 lelaki dan 28 wanita Indonesia, 95 lelaki Bangladesh, 66 lelaki Myanmar, seorang lelaki Ghana serta enam lelaki dan tujuh wanita Vietnam.

    “Kehadiran wanita warga asing yang ramai ini khususnya daripada Vietnam menimbulkan keraguan kerana disyaki menjalankan aktiviti yang tidak bermoral,” ujarnya.

    Katanya, kesemua PATI direman selama 14 hari di depoh Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut.

    “Mereka yang ditahan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah atau Seksyen 15(1)c iaitu tinggal lebih masa,” katanya.

  • Jenayah sindiket semakin meningkat, SPRM perlu kaedah siasatan lebih kemas – Azam

    Jenayah sindiket semakin meningkat, SPRM perlu kaedah siasatan lebih kemas – Azam

    BERMULA dengan hanya sebuah unit kecil di bawah Jabatan Perdana Menteri sekitar lima dekad lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini menjadi sebuah agensi penguatkuasaan yang digeruni selepas berjaya membongkar pelbagai kes rasuah berprofil tinggi.

    SPRM yang kini menjejak usia matang ke-54 tahun, tidak lagi menoleh ke belakang malah lebih fokus untuk membanteras isu-isu rasuah dalam sektor perolehan, penguatkuasaan dan grand corruption (rasuah berskala besar), seiring dengan transformasi ekonomi dan perkembangan sosiobudaya masa kini.

    “Kita tidak boleh duduk di takuk lama, kita sudah melalui zaman pascakemerdekaan, zaman pembangunan modenisasi, perkembangan ekonomi, melalui zaman kesusahan kewangan ekonomi pada 1999 kemudian negara berkembang semula dan perubahan landskap politik,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki.

    Perkongsian Azam mengenai perkembangan semasa suruhanjaya itu dibuat menerusi wawancara khas bersama media yang berlangsung secara maya sempena sambutan ulang tahun BPR/SPRM Ke-54 yang bertemakan ‘Semarakkan Integriti, Rasuah Diperangi’. 

    Menurut Azam, selepas lebih separuh abad SPRM menjadi agensi ulung dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa mengikut undang-undang, pelbagai cabaran turut dihadapi.

    Beliau berkata jenayah yang berbentuk grand corruption dan jenayah sindiket semakin meningkat dan pihaknya perlu melihat kaedah penyiasatan yang lebih kemas dan berkesan.

    “Kita perlu menggandakan usaha dalam kaedah perisikan dan penyiasatan menggunakan teknologi yang lebih maju dan saya akan memohon kepada kerajaan untuk membantu kita menambah kapasiti dalam peningkatan penggunaan teknologi dalam siasatan,” katanya.

    Mengulas mengenai sambutan ulang tahun SPRM kali ini, Azam berkata pelbagai program telah dirangka untuk mempromosikan semangat integriti dalam kalangan masyarakat.

    “Integriti ini bermaksud amanah, tanggungjawab, disiplin dan perkara-perkara baik dalam diri manusia itu, jika perkara ini tiada, sudah tentu apa sahaja usaha kita untuk perangi rasuah tidak berkesan.

    “Antara lain, kita perlu mengadakan undang-undang dan peraturan yang sesuai untuk menyemarakkan budaya integriti dalam kalangan masyarakat, pegawai kerajaan dan pegawai SPRM. Selepas itu, barulah  usaha untuk memerangi rasuah boleh dijalankan dengan berkesan,” katanya.- BERNAMA

  • Pemandu lori rentung sempat pesan pada ibu jangan menangis jika hilang orang tersayang

    Pemandu lori rentung sempat pesan pada ibu jangan menangis jika hilang orang tersayang

    PEMANDU syarikat penghantaran yang rentung selepas lori dipandu terbabas lalu terbakar di Jalan Tasik Utara, Larkin dua hari lepas, sempat berpesan pada ibunya supaya tidak menangis sekiranya orang yang tersayang pergi menghadap Ilahi.

    Ibu Mohamad Mustaqim Ismadi, 23, Maglita Varshay Ibrahim, 49, berkata arwah mengungkapkan perkara itu ketika ibunya kehilangan kakaknya akibat COVID-19 empat bulan lepas.

    “Kakak saya meninggal dunia empat bulan lepas kerana COVID dan disebabkan itu saya banyak menangis.

    “Arwah sempat pesan kepada saya jangan menangis kerana menangis tidak akan membawa apa-apa perubahan, sebaliknya kita kena banyak berdoa kepada Allah,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Flat Serantau Larkin, Johor Bharu hari ini, lapor Bernama.

    Maglita berkata kelakuan anak sulungnya itu juga berubah kebelakangan ini kerana lebih banyak ke surau dan bercerita tentang perkara keagamaan.

    “Mustaqim anak yang baik dan soleh, penduduk setempat di flat serta rakan kerja juga kata arwah merupakan orang baik. Makcik rasa sangat sedih dan kehilangan,” kata suri rumah kepada dua cahaya mata itu.

    Sementara itu, Pengarah Perkeso Johor Tong Sing Chuan berkata berikutan Mohamad Mustaqim meninggal dunia ketika sedang bekerja, keluarganya layak menerima faedah sebanyak RM1,333.50 sebulan.

    Katanya, keluarga mangsa juga menerima bayaran bagi faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000.

    Mohamad Mustaqim yang masih belum berkahwin dan bekerja sebagai pemandu lori syarikat penghantaran itu sejak 22 Mac tahun ini, meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk menghantar barangan kepada pelanggan.

    Lori dipandunya terbabas ketika cuba mengelak kon di tepi jalan lalu melanggar pokok di tengah jalan dan terbakar menyebabkan mayatnya ditemui dalam keadaan rentung.

  • ‘Banjir merah’ berpunca dari kilang tekstil

    ‘Banjir merah’ berpunca dari kilang tekstil

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    ‘BANJIR merah’ yang menggemparkan penduduk dalam kejadian banjir kilat di Kampung Seri Jaya Baru, Tampoi, Johor Bahru pagi ini dikenal pasti berpunca daripada pewarna pakaian dari sebuah kilang tekstil berdekatan.

    Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, kilang berkenaan sudah ditutup sejak 20 tahun lalu.

    “Sebaik mendapat aduan penduduk kira-kira jam 9 pagi tadi, sepasukan anggota JAS Johor dihantar ke kampung berkenaan.

    “Hasil siasatan mendapati punca banjir kilat di Kampung Seri Jaya Baru yang berwarna merah itu daripada sebuah kilang tekstil yang terletak kurang satu kilometer dari kampung itu yang tidak beroperasi sejak tahun 2000.

    “Namun hujan lebat sejak awal pagi Khamis menyebabkan dua bungkusan pewarna tekstil yang disimpan di kawasan tidak berbumbung telah pecah sebelum air banjir mengalirkannya ke kawasan kampung,” katanya ditemui ketika meninjau kilang tekstil berkenaan.

    Dalam kejadian pada jam 5 pagi ini, penduduk gempar dengan fenomena banjir merah yang dan itu pertama kali berlaku sebelum tular dalam media sosial.

    Menurut pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas yang memantu keadaan tersebut, air banjir kilat itu naik hingga ke paras satu meter sebelum surut kira-kira jam 8.30 pagi.

    Bomba melakukan pemantauan di perkampungan berkenaan berikutan risau air banjir berwarna merah itu boleh menjejaskan kesihatan penduduk.

    Mengulas lanjut, Dr. Mohd. Famey berkata, JAS Johor mengeluarkan Notis Arahan Seksyen 31 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 supaya penjaga segera melupuskan baki pewarna tekstil itu dalam tempoh 14 hari.

    Tegasnya, pelupusan akhir perlu dilakukan di Stesen Kualiti Alam, di Bukit Nenas, Negeri Sembilan dan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan pemilik akan diheret ke mahkamah.

    “Sampel air banjir merah itu juga sudah diuji di mana ia mengandungi kepekatan nilai pH 6 iaitu hampir neutral dengan kesan toksik tidak terlalu tinggi seterusnya tidak berbahaya kepada penduduk,” katanya.

  • Sewa kondo mewah untuk berjudi elak dihidu polis

    Sewa kondo mewah untuk berjudi elak dihidu polis

    SERAMAI 13 individu terdiri daripada empat lelaki dan sembilan wanita berusia antara 31 hingga 69 tahun ditahan polis ketika dipercayai sedang leka berjudi di sebuah kondominium mewah Bayan Lepas, Pulau Pinang semalam.

    Kesemua mereka dipercayai penganjur dan pemain itu ditahan dalam serbuan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang menerusi Ops Dadu pukul 3.45 petang.

    Dalam serbuan itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM13,200 serta beberapa peralatan bermain judi seperti sejumlah cip pelbagai warna, monitor komputer, daun terup, meja dan kerusi plastik.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais, sindiket itu dipercayai menyewa kondominium mewah tersebut untuk dijadikan mini kasino sejak pertengahan bulan ini.

    Tambahnya, mereka dipercayai menjalankan kegiatan perjudian sekitar pukul 12 tengah hari sehingga 8 malam setiap hari.

    “Mereka juga dipercayai menawarkan aktiviti perjudian hanya kepada kenalan rapat bagi mengelak aktiviti dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Beliau menambah, siasatan mendapati kegiatan itu dipercayai meraih keuntungan sehingga RM100,000 sepanjang tempoh beroperasi kira-kira dua minggu.

    “Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(b), Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.