Category: Jenayah

  • Gangguan bekalan air 12 jam akibat Loji Air Semanggar terbakar

    Gangguan bekalan air 12 jam akibat Loji Air Semanggar terbakar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    LEBIH 100 kawasan perumahan, kampung, kawasan perindustrian dan pejabat kerajaan mengalami gangguan bekalan air akibat dua unit transformers di Loji Air Semangar, Jalan Kulai-Kota Tinggi dekat sini terbakar semalam.

    Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Ranhill SAJ Sdn. Bhd., kebakaran tersebut sudah dipadamkan pihak bomba dan pihaknya kini sedang melakukan kerja-kerja pembaikan.

    “Kebakaran mengakibatkan loji henti tugas dan berlaku gangguan bekalan air luar jangka di beberapa kawasan seperti dinyatakan.

    “Pihak SAJ sedang sedaya upaya bersama-sama pihak berkaitan untuk menyelesaikan permasalahan ini bagi memastikan kawasan terjejas menerima bekalan air bersih secara berperingkat-peringkat,” demikian menurut kenyataan itu.

    SAJ memberitahu, berdasarkan maklumat terkini, sekiranya kerosakan berjaya dibaiki dalam masa terdekat, anggaran tempoh pemulihan bekalan air adalah 12 jam selepas loji dioperasikan semula dengan kapasiti penuh.

    Antara kawasan terlibat di Kempas, Skudai, Senai, Austin, Pulai, Gelang Patah, Iskandar Puteri, Sedenak, Seelong dan Kulai.

    SAJ memaklumkan, antara kawasan terlibat Bandaraya Iskandar Puteri; Forest City; Taman Tema Legoland; Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS); Bandar Pulai Jaya; kawasan perindustrian dan taman perumahan.

    Begitu juga pejabat kerajaan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM); Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Laut Marin dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Iskandar Puteri.

    Kebakaran mengakibatkan gangguan bekalan air di lebih 100 kawasan melibatkan taman, kampung, kawasan industri dan pejabat kerajaan

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Penolong Kanan Penguasa Azman Jantan berkata, seramai 12 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

    Katanya, mereka dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perhidmatan Kecemasan (EMRS) dan satu kenderaan utiliti Pajero dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Pihak bomba menerima laporan kejadian tersebut pada pukul 2.57 petang. Kebakaran dua unit transformers itu berlaku dalam bilik dan tidak melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

    “Bilik berkenaan telah terbakar 80 peratus. Kebakaran telah mengakibatkan kesan jelaga pada bilik tersebut. Operasi tamat pada pukul 4.45 petang. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

  • 53 individu dikompaun RM113,500 gagal patuhi SOP

    53 individu dikompaun RM113,500 gagal patuhi SOP

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEGAGALAN 53 pelanggan termasuk pengusaha premis mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mudah dengan menjaga penjarakan fizikal dan mengimbas QR code mengundang padah apabila dikompaun keseluruhan berjumlah RM113,500.

    Kesemua individu tersebut dikesan melanggar perintah Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika operasi pematuhan dilakukan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sekitar Bandaraya Johor Bahru, malam tadi.

    Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam operasi yang dijalankan bermula pukul 8 malam telah membuat pemeriksaan di tujuh buah premis.

    Polis mengenakan kompaun terhadap pengunjung dan pemilik premis gagal patuh SOP di empat premis Sekitar Johor Bahru

    Katanya, daripada 103 individu yang diperiksa, seramai 49 berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun didapati melakukan kesalahan melanggar SOP ditetapkan.

    “Kesemua mereka ini dikesan tidak menjaga penjarakan fizikal ketika berada di dalam premis dan tidak mengimbas QR code sebelum memasuki premis berkenaan.

    “Oleh itu, setiap seorang individu yang dikesan dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 seorang dengan jumlah RM73,500,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Anggota polis melakukan pemeriksaan terhadap pengunjung di sebuah premis dalam operasi malam tadi

    Raub memberitahu, daripada premis yang diperiksa itu didapati empat daripadanya dikesan gagal menyediakan laluan keluar masuk dan gagal melaksanakan penjarakan fizikal pelanggan.

    “Setiap pemilik premis dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM10,000 tiap seorang dengan jumlah RM40,000.

    “Keseluruhan kompaun yang dikenakan terhadap 32 lelaki dan 21 wanita termasuk empat pemilik premis adalah sebanyak RM 113,500,” ujarnya.

  • Satu lagi mayat mangsa bot karam ditemukan

    Satu lagi mayat mangsa bot karam ditemukan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SATU lagi mayat yang merupakan mangsa kejadian bot karam selepas dipukul ribut ditemui di Pantai Rambah, Pontian, hari ini.

    Mayat pendatang asing tanpa izin (PATI) tanpa identiti itu yang disyaki warga Indonesia dijumpai pada jam 7.20 pagi kira-kira 500 meter dari persisiran pantai berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, penemuan mayat terbaharu itu menjadikan jumlah terkini mangsa lemas adalah seramai empat orang.

    Menurutnya, mangsa dipercayai cuba menyelusup masuk ke negara ini dengan menggunakan sebuah bot melalui jalan tidak diwartakan.

    “Polis tidak menolak kemungkinan masih ada lagi mangsa yang lemas dalam kejadian bot karam yang dipercayai dinaiki sekumpulan PATI.

    “Kita masih menjalankan operasi di kawasan pantai di daerah ini sepanjang kira-kira 12 kilometer dengan bantuan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Kukup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Tiga mayat lelaki warganegara Indonesia ditemukan di pantai berkenaan pada jam 5.40 petang semalam selepas bot yang dinaiki mereka karam.

    Mohammad Shofee berkata, polis turut menemui sebuah bot laju dan enjin sangkut 200 kuasa kuda di kawasan berkenaan.

    Beliau berkata, pemeriksaan ke atas empat mayat terbabit mendapati, tiada sebarang unsur jenayah dan mayat telah dihantar ke unit forensik Hospital Pontian untuk bedah siasat.

  • Polis siasat dakwaan ugutan jenayah libatkan pegawai kanannya

    Polis siasat dakwaan ugutan jenayah libatkan pegawai kanannya

    POLIS Kontinjen Selangor mengesahkan menerima satu laporan mengenai kes ugutan jenayah melibatkan pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden (DSP) yang sedang tular menerusi media sosial. 

    Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, mangsa dalam kejadian itu merupakan seorang wanita berumur 36 tahun yang mendakwa diugut dan dicederakan kerana ingin meminta semula wang yang telah dipinjamkan kepada pegawai kanan polis berkenaan.

    “Hasil siasatan yang dijalankan, polis telah menahan dua individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut (ugutan jenayah) dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sehubungan itu, Arjunaidi menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berkaitan kejadian tersebut dan berhenti menyebarkannya menerusi media sosial kerana kes itu sedang dalam siasatan polis.  

    “Polis Kontinjen Selangor memberi jaminan akan melakukan siasatan secara telus dan terperinci serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk pegawai dan anggota polis yang melakukan kesalahan dan melanggar undang-undang,” katanya.

  • Kilang lerai ‘e-waste’ haram diarah tutup serta-merta

    Kilang lerai ‘e-waste’ haram diarah tutup serta-merta

    JABATAN Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengarahkan sebuah premis yang menjalankan aktiviti meleraikan bahan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) di Juru ditutup serta-merta selepas didapati beroperasi secara haram. 

    Dalam operasi bersepadu yang dijalankan sekumpulan pegawai JAS Pulau Pinang bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) kira-kira pukul 10 pagi semalam, premis itu turut dikompaun sebanyak RM30,000 atas kegagalan mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. 

    Menurut Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab, hasil pemeriksaan mendapati premis itu beroperasi tanpa kebenaran atau lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) serta lesen daripada Jabatan Alam Sekitar di bawah Seksyen 18, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

    Anggota JAS melakukan pemeriksaan sebuah kilang yang beroperasi secara haram di Juru

    “Sehubungan itu, arahan menghentikan operasi serta-merta telah dikeluarkan kepada pihak premis sehingga siasatan kes selesai,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

    Menurut Sharifah Zakiah, premis itu akan disiasat di bawah Seksyen 18, AKAS 1974 kerana beroperasi tanpa lesen daripada JAS yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.  

    Selain itu katanya, premis terbabit turut disiasat di bawah Seksyen 34B akta sama yang mana sekiranya disabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak lebih RM500,000. 

    asil pemeriksaan mendapati premis itu beroperasi tanpa kebenaran atau lesen daripada PBT serta lesen daripada JAS

    Ujar beliau, JAS Pulau Pinang memandang serius keperluan pematuhan segala peruntukan undang-undang berkaitan pengurusan buangan terjadual oleh semua pihak. 

    “Tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang gagal mematuhi sepenuhnya peraturan dan perundangan yang sedia ada sebagai amaran kepada pihak lain supaya lebih berhati-hati dalam mematuhi semua peruntukan perundangan berkaitan buangan terjadual serta tidak melupuskan dengan sewenang-wenangnya ke tempat yang tidak sepatutnya.  

    “Sebarang kegagalan akan dikenakan tindakan perundangan yang serius tanpa sebarang kompromi,” katanya.

  • Sebahagian kuil bersejarah Kek Lok Si terbakar

    Sebahagian kuil bersejarah Kek Lok Si terbakar

    SEBAHAGIAN daripada Kuil Kek Lok Si yang merupakan antara monumen bersejarah berusia lebih 130 tahun di Air Itam, Pulau Pinang musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

    Kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu melibatkan ruang sembahyang di kuil yang popular dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa berkenaan dengan kemusnahan hampir 70 peratus.

    Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Mohd. Shakir Abdullah, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 2.56 pagi menggerakkan seramai 15 anggota termasuk bantuan dari BBP Jalan Perak ke lokasi kejadian untuk membantu memadamkan kebakaran.

    Kebakaran melibatkan ruang sembahyang di kuil yang popular dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa

    Menurut beliau, anggota bomba turut berdepan kesukaran memadamkan api kerana lokasi tokong itu yang terletak di atas bukit.

    “Jentera kita mempunyai ketinggian sehingga lima meter, namun pintu gerbang di tokong itu hanya berketinggian empat meter.

    “Sehubungan itu, anggota kita terpaksa meletakkan jentera di luar dan berjalan kaki sehingga 600 meter untuk ke lokasi kejadian selain kesukaran mendapatkan sumber air,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Mohd. Shakir berkata, ketika kejadian, terdapat empat penjaga tokong, namun tiada mangsa yang dilaporkan terbabit dan punca kejadian masih dalam siasatan.

  • Mayat lelaki tempatan ditemukan terapung di laut

    Mayat lelaki tempatan ditemukan terapung di laut

    MAYAT seorang lelaki ditemukan terapung oleh orang awam di perairan Selat Che Mat Zin, Klang, semalam.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata ia dipercayai mayat Hasmudin anak Omar, 24, lelaki itu yang dilaporkan terjatuh ke laut semasa dalam perjalanan balik ke Pulau Carey, Klang, Shah Alam kelmarin.

    Katanya, sejurus selepas pihak berkuasa menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu pada jam 2.40 petang, Pasukan Polis Marin (PPM) terus bergegas ke lokasi untuk menyiasat.

    “Mayat kemudiannya dibawa ke Jeti PPM bagi proses pengecaman oleh ahli keluarga dan diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, bagi tindakan lanjut.

    “Berdasarkan pengecaman awal oleh ahli keluarga, ia dipercayai mayat Hasmudin, lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke laut kira-kira 0.1 batu nautika selatan Selat Mahang, Pulau Che Mat Zin pada 10 Oktober lepas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd Rosli berkata, operasi mencari dan menyelamat yang diselaras Maritim Malaysia menggunakan lima bot dan satu pesawat udara dari pelbagai agensi termasuk PPM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan dibantu komuniti nelayan tempatan ditamatkan pada jam 5.15 petang semalam.

    “Maritim Malaysia meminta orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah mahupun kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-321760627 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam jika berlaku sebarang kecemasan di perairan Selangor. – Bernama

  • AS$6.94 juta lesap: AGC kesan ada kesalahan lain

    AS$6.94 juta lesap: AGC kesan ada kesalahan lain

    JABATAN Peguam Negara (AGC) mendapati wujud kesalahan-kesalahan lain yang memerlukan siasatan lanjut dilakukan oleh agensi penguatkuasaan yang berkaitan dalam kes kehilangan wang US$6.94 juta, yang diterima pada 28 Sept lepas daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pihaknya telah mengkaji dan meneliti kertas siasatan berkaitan kes berkenaan.

    “Kertas siasatan telah dikembalikan untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.

    Media sebelum ini turut melaporkan bahagian pendakwaan AGC akan mengkaji dengan teliti dan menyeluruh kertas siasatan yang diterima pada 28 Sept daripada SPRM itu sebelum membuat keputusan sama ada membuat pertuduhan atau mengeluarkan arahan siasatan lanjut.

    Pada 23 Sept lepas, Bernama melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil tiga pegawai kanan SPRM yang sebelum ini direman selama enam hari oleh SPRM, dan pemilik wang berkenaan yakni bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid bagi melengkapkan siasatan berhubung kehilangan wang berkenaan. – BERNAMA

  • Jual daging kerbau mengaku daging rusa

    Jual daging kerbau mengaku daging rusa

    HANYA kerana untung lebih seorang peniaga sanggup menipu pelanggan dengan menjual daging kerbau yang didakwanya daging rusa.

    Namun, helah peniaga yang disyaki menjalankan perniagaan dan promosi secara dalam talian produk daging rusa melalui satu platform e-dagang itu telah berjaya dibongkar oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

    Menurut Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya, Azman Adam, bertindak atas aduan, pihaknya menjalankan siasatan dan melakukan uji beli daging rusa itu sebelum sampel berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk ujian kecerakinan.

    Jelas beliau, hasil laporan kimia mendapati, sampel daging rusa yang dipromosikan oleh peniaga terbabit adalah merupakan daging kerbau berdasarkan DNA yang dikesan melalui sampel itu.

    Berikutan laporan itu, sepasukan anggota Penguat Kuasa KPDNHEP telah menyerbu sebuah premis di Bandar Baru Sungai Buloh, kira-kira pukul 12.30 tengah hari 8 Oktober lalu.

    “Hasil pemeriksaan itu, pasukan serbuan menemukan beberapa ketul daging sejuk beku yang dinyatakan daging rusa oleh pemilik premis dalam sebuah peti sejuk beku dalam bentuk ketulan seberat 1 kilogram setiap satu,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

    Mengulas lanjut, Azman berkata, kesemua daging tersebut bersama dokumen-dokumen perniagaa telah disita bagi tujuan siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM7,004.

    Ujarnya, siasatan awal mendapati, modus operandi peniaga terbabit adalah menjual dan mengiklankan daging rusa sejuk beku secara dalam talian untuk pasaran tempatan pada harga RM42 sekilogram.

    “Satu kertas siasatan dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 5(1)(b) Larangan Perihal Dagangan Palsu iaitu membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa barang-barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan, Akta Perihal Dagangan (APD) 2011.

    “Sabit kesalahan boleh dikenakan denda seperti berikut iaitu jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM25,000, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM50,000.

    “Selain itu, jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” tambahnya.

    Sementara itu, Azman berkata, KPDNHEP memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat agar lebih bertanggungjawab dalam menjalankan aktiviti perniagaan sama ada secara dalam talian mahupun fizikal.

    Beliau menambah, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung salah laku peniaga yang tidak beretika seperti ini boleh mengemukakan aduan melalui saluran rasmi seperti Whatsapp 019-279 4317; Ez ADU KPDNHEP; Portal e-aduan.kpdnhep.gov.my Call Centre 1-800-886-800; Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245 dan e-mel [email protected]. – SB

  • Bot karam, tiga warga Indonesia maut

    Bot karam, tiga warga Indonesia maut

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIGA lelaki warganegara Indonesia maut selepas bot yang dinaiki karam di Pantai Rambah, Pontian, hari ini.

    Ketiga-tiga mayat lelaki asing itu dikatakan terperangkap di celah-celah akar pokok di tepi pantai berkenaan.

    Orang orang awam yang melihat mayat tersebut memaklumkan kepada pihak polis pada pukul 5.40 petang.

    Tiga mayat ditemukan selepas bot yang dinaiki karam sebelum mayat ditemukan di Pantai Rembah

    Pihak polis kemudian menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru untuk meminta bantuan.

    Komander Operasi dari BBP Pontian Baru, Penolong Penguasa Bomba Mahadir Mamat berkata, tujuh anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Mereka dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

    Ketiga-tiga identiti mangsa bot karam masih belum dikenal pasti

    “Tiga lelaki itu merupakan mangsa lemas akibat bot karam. Pihak bomba bertindak mengangkat mangsa dan serahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    “Operasi tamat pada pukul 7.15 malam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.