Category: Jenayah

  • Askar bunuh diri selepas mengamuk, tembak ibu mentua

    Askar bunuh diri selepas mengamuk, tembak ibu mentua

    SEORANG anggota tentera yang berseragam lengkap mengamuk dan menembak ibu mentuanya yang berusia lingkungan 50-an di Kampung Kolong, Sungai Tengah, Matang, Kuching, hari ini.

    Dalam kejadian sekitar pukul 12.45 tengah hari, suspek, 29, tiba di rumah mentuanya dan melepaskan beberapa das tembakan rambang menggunakan senjata api jenis M4 Carbine.

    Satu daripada tembakan suspek berpangkat Lans Koperal dan bertugas di Rejimen Sempadan ke-10 itu mengenai bahu kiri ibu mentuanya.

    Suspek kemudian berrtindak menembak kepalanya sendiri dan mati di tempat kejadian sementara ibu mentuanya yang cedera kini dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS).

    Suspek meninggalkan balu berusia 22 tahun dan seorang anak perempuan, hasil perkahwinan mereka sejak dua tahun lepas.

  • SPRM dakwa Ahli Parlimen Labuan esok

    SPRM dakwa Ahli Parlimen Labuan esok

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendakwa Ahli Parlimen Labuan daripada Warisan, Rozman Isli di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.


    Perkara itu disahkan peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali kepada portal Malaysiakini.


    “Dia diminta (oleh SPRM) untuk hadir (ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur) esok,” katanya ketika dihubungi portal itu hari ini.


    Muhammad Rafique berkata dia setakat ini tidak tahu pertuduhan yang akan dihadapkan kepada anak guamnya.

    Bagaimanapun dia mendedahkan pertuduhan melibatkan Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

    Seksyen itu berkenaan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan, sama ada “bagi dirinya sendiri, saudara atau sekutunya”.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan SPRM hari ini, suruhanjaya itu akan mendakwa seorang ahli parlimen di mahkamah tersebut pada pukul pagi esok.

    Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyatakan nama ahli parlimen itu mahupun peruntukan undang-undang yang terlibat.
    Rozman menjadi ahli parlimen Labuan sejak 2013. Dia pada mulanya mewakili Umno sebelum menyertai Warisan selepas PRU14

  • 2 lelaki pukul gelandangan, peminta sedekah di Komtar ditahan

    2 lelaki pukul gelandangan, peminta sedekah di Komtar ditahan

    POLIS menahan dua penyelia pembersihan bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Georgetown, Pulau Pinang kelmarin selepas didapati memukul dua lelaki termasuk gelendangan.

    Lebih mengejutkan, siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek warga tempatan berusia 27 dan 43 tahun itu difahamkan sering memukul peminta sedekah atau gelandangan yang berada di lokasi tersebut.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek ditahan pukul 9 malam di hadapan sebuah bank di Komtar oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) dari ibu pejabat Polis Timur Laut.

    Menurut beliau, turut dirampas bersama-sama suspek dua batang rotan yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.

    “Hasil semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah.

    “Ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan mereka akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dengan senjata,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Mengulas mengenai kejadian itu, Soffian berkata, polis menerima laporan daripada salah seorang mangsa pukul 7 malam pada hari sama.

    Katanya, mangsa sempat merakam menggunakan telefon bimbitnya tindakan dua lelaki sedang memukul seorang peminta sedekah menggunakan rotan pukul 2 petang pada Oktober lalu di hadapan sebuah bank di Komtar.

    “Mangsa mendakwa dia turut dipukul dua lelaki tersebut selepas mereka menyedari mangsa merakam perbuatan mereka.

    “Mangsa dipukul berkali-kali sehingga mengalami lebam di belakang badan, siku kanan dan betis kiri sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang,” katanya.

    Soffian turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang hingga mendatangkan mudarat kepada orang lain.

    Katanya, orang awam perlu mengambil pendekatan yang lebih bijak dan mengikut lunas undang-undang dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan.

    Terdahulu, tiga video masing-masing berdurasi dua minit; 20 saat dan 45 saat yang memaparkan dakwaan seorang lelaki telah dipukul oleh beberapa individu di tempat awam tular di dalam media sosial sehingga mencetuskan kemarahan awam.

    Difahamkan, suspek bertindak demikian selepas mendakwa gelendangan dan peminta sedekah di kawasan Komtar sering membuat kotor.

  • Kereta rasmi digunakan bekas ADUN Melaka dirampas polis

    Kereta rasmi digunakan bekas ADUN Melaka dirampas polis

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KENDERAAN rasmi kerajaan Melaka jenis Toyota Camry berwarna hitam yang digunakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dirampas polis selepas bekas Exco itu enggan memulangkan kereta itu sejak minggu lalu.

    Kereta terbabit dirampas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di tempat letak kereta sebuah kondominium di Jalan Tun Perak, kira-kira pukul 11.20 pagi, semalam.

    Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, tindakan dilaksanakan selepas pihaknya menerima laporan polis yang dibuat seorang kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Melaka mengenai keengganan Norhizam untuk memulangkan kenderaan itu.

    “Mengikut laporan, Norhizam didakwa enggan memulangkan kenderaan tersebut walaupun satu surat arahan untuk berbuat demikian telah dikeluarkan oleh Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kerajaan pada 5 Oktober lalu dan diserahkan kepada pegawai khasnya.

    Norhizam Hassan Baktee kereta rasmi
    NORHIZAM HASSAN BAKTEE

    “Susulan itu, pegawai dan anggota daripada JSJK IPK Melaka bertindak merampas kenderaan tersebut di sebuah tempat letak kereta di Jalan Tun Perak,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Melaka.

    Sebelum ini, Norhizam menegaskan hanya akan memulangkan semula semua aset kerajaan negeri jika 27 wakil rakyat yang lain turut melakukan perkara sama.

    Katanya, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, beliau hairan mengapa hanya tiga Exco kerajaan negeri termasuk dirinya diarahkan berbuat demikian.

    Sementara itu, Abdul Majid berkata, rampasan dilakukan selepas polis mendapat waran geledah daripada Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada hari sama laporan diterima bagi mengesan dan merampas barang kes.

    Jelasnya, dalam pemeriksaan tersebut, pihaknya turut merampas satu kad pembayaran elektronik Touch n Go dan satu kad minyak daripada pemandu rasmi Norhizam.

    Sehingga kini seramai lima saksi telah dipanggil yang merupakan kakitangan SUK Melaka bagi tujuan rakaman percakapan dan akan memanggil bekas Timbalan Pengerusi DAP Melaka itu dalam masa terdekat untuk mendapatkan keterangan.

    “Polis akan memanggil lebih ramai saksi untuk membantu siasatan di dalam kes ini termasuk Norhizam. Siasatan lanjut juga akan dijalankan untuk mengetahui bagaimana kereta berkenaan boleh ditempatkan di kondominum terbabit serta kaitannya dengan pemilik lot tempat letak kereta berkenaan,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan harta secara tidak jujur.

  • Polis rampas 5.21 kg dadah bernilai RM492,000

    Polis rampas 5.21 kg dadah bernilai RM492,000

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BEBERAPA ketulan mampat heroin base seberat 5.21 kilogram bernilai hampir RM492,000 berjaya dirampas polis dalam serbuan dilakukan di beberapa lokasi di Sungai Petani, Kedah, kelmarin.

    Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat, kejayaan itu merupakan hasil risikan dan serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang terlebih dulu menahan dua lelaki berumur 21 tahun kira-kira pukul 4.40 petang.

    Katanya, pemeriksaan dalam kereta tersebut menemukan heroin base dianggarkan seberat 3.97 kg serta serbuk kimia seberat kira-kira 26 kg.

    “Selepas itu tangkapan turut dibuat terhadap dua lelaki berusia 29 dan 33 tahun yang menaiki motosikal dan kereta jenis Perodua Myvi di lokasi sama.

    “Hasil tangkapan tersebut, pemeriksaan dijalankan di sebuah rumah di Taman Raja.

    Pihak kami kemudiannya menemukan ketulan mampat heroin base seberat kira-kira 2.24 kg di lokasi berkenaan,” katanya.

    Pihaknya dalam masa sama turut menahan seorang lagi suspek berusia 36 tahun selepas menahan kenderaan dinaikinya di depan sebuah rumah di Taman Ria Jaya.

    “Selain menahan suspek dan merampas dadah, polis turut menyita dua kereta, sebuah motosikal dan wang tunai berjumlah RM74,800 bagi membantu siasatan.

    “Kesemua suspek direman selama tujuh hari hingga 18 September depan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

    Dalam pada itu beliau memaklumkan, sejumlah dadah bernilai lebih RM2 juta akan dibawa ke Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan untuk dilupuskan, esok.

    “Pelupusan ini akan dilaksanakan syarikat berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikannya mengikut piawaian betul.

    “Antara jenis dadah yang akan dilupuskan adalah methamphetamine, eramin 5 dan ganja dengan kesemuanya melibatkan kes-kes antara 2014 hingga 2020 yang sudah pun dibicara dan dijatuhkan hukuman di mahkamah,” katanya.

  • Seorang lagi direman bantu siasatan kes suapan babit kontrak RM180,000

    Seorang lagi direman bantu siasatan kes suapan babit kontrak RM180,000

    SEORANG lagi individu direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima wang suapan daripada pemilik sebuah syarikat swasta sebagai balasan mendapatkan kontrak bernilai lebih RM180,000.

    Perintah reman hingga 15 Okt ke atas suspek lelaki berumur 57 tahun yang juga kakitangan sebuah agensi kerajaan itu dikeluarkan oleh Majistret Fatina Amyra Abdul Jalil di Mahkamah Majistret di Shah Alam selepas membenarkan permohonan dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Semalam, dua penjawat awam termasuk seorang wanita berumur 37 dan 40 tahun dari sebuah agensi kerajaan direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes sama. 

    Isnin lepas, SPRM menahan dua kakitangan sebuah agensi kerajaan terbabit dan menurut sumber, mereka disyaki meminta wang suapan kira-kira RM20,000 sebagai balasan untuk syarikat itu mendapatkan kontrak membekal, menghantar serta memasang kelengkapan dan peralatan pejabat yang dianggarkan bernilai lebih RM180,000 daripada agensi berkenaan.

    Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. 

    Di mahkamah sama, Majistret Fatina Amyra mengeluarkan perintah reman selama lima hari hingga 17 Okt ini terhadap seorang penolong pegawai sebuah agensi perladangan berumur 41 tahun bagi membantu siasatan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM15,000.

    Menurut sumber, suspek lelaki yang bertugas sebagai pengurus perniagaan agensi sama di kawasan Klang pada 2018, telah bersubahat dengan seorang pemilik syarikat bagi mengemukakan tuntutan palsu berhubung kerja-kerja pembekalan pasir sungai dan tanah kepada agensi perladangan tersebut, sedangkan kerja berkenaan tidak dilaksanakan.

    Kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – BERNAMA

  • Tiga imigran maut dirempuh kereta api ketika tidur

    Tiga imigran maut dirempuh kereta api ketika tidur

    SERAMAI tiga imigran warga Algeria terbunuh manakala seorang lagi cedera parah apabila mereka dilanggar sebuah kereta api di Ciboure, selatan Perancis, semalam.

    Ketika kejadian mereka yang berusia 21 hingga 40 tahun itu dipercayai sedang tidur di atas landasan dekat sebuah stesen kereta api di bandar Saint-Jean-de-Luz yang terletak di tepi pantai.

    Seorang pendakwa raya tempatan, Jerome Bourrier berkata, brek kereta api itu gagal untuk menghentikannya daripada melanggar mereka.

    Beliau berkata, mangsa yang cedera pula tidak kritikal dan akan menjalani satu pembedahan.

    Ketiga-tiga lelaki itu dipercayai telah menghabiskan masa di Sepanyol sebelum memasuki Perancis. – Agensi

  • JAS kompaun kilang proses makanan RM30,000

    JAS kompaun kilang proses makanan RM30,000

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH kilang yang memproses makanan di Pasir Gudang dikenakan kompaun RM30,000 selepas didapati gagal mematuhi peraturan berkaitan penjagaan alam sekitar ditetapkan pihak berkuasa.

    Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan memberitahu, 15 kompaun dikeluarkan terhadap kilang tersebut kelmarin kerana gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

    Sebuah kilang memproses makanan didapati melepaskan efluen hingga menyebabkan pencemaran

    “Persampelan ke atas pelepasan efluen telah dijalankan dan dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya untuk dianalisis.

    “Persampelan ke atas pelepasan efluen telah dijalankan dan dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya untuk dianalisis.

    “Tindakan susulan akan diambil ke atas premis selepas keputusan analisa diterima dari Jabatan Kimia,” jelas kenyataan itu.

    Menurut JAS lagi, premis industri diingatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan serta memastikan sebarang pencemaran alam sekitar tidak berlaku semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara dilaksana.

  • Kanak-kanak autisme maut tertinggal dalam van

    Kanak-kanak autisme maut tertinggal dalam van

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun ditemukan meninggal dunia setelah ditinggalkan beberapa jam dalam van di Taman Nusari Bayu 2, Bandar Sri Sendayan, Seremban, semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim, pihaknya menerima laporan polis mengenai kematian kanak-kanak autisme yang mempunyai masalah pembelajaran itu pada pukul 7.46 malam.

    Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa sepatutnya dihantar ke Pusat Jagaan Harian di Taman Nusari Aman oleh pemandu van berumur 34 tahun.

    “Bagaimanapun, lelaki tersebut telah pulang ke rumah tanpa menyedari mangsa masih berada di dalam van berkenaan.

    “Pemandu van itu dipercayai tidak menyedari mangsa berada di dalam van dari pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang di hadapan rumah lelaki berkenaan sebelum mangsa ditemukan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan bedah siasat akan dijalankan ke atas mangsa bagi mengenal pasti punca kematian.

    Mohamad Said berkata tangkapan dibuat ke atas pemandu berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

  • Ops Noda:16 GRO warga Vietnam ditahan di banglo

    Ops Noda:16 GRO warga Vietnam ditahan di banglo

    SERAMAI 16 wanita warga Vietnam antara 22 individu yang ditahan dalam Ops Noda di sebuah banglo di Taman Yarl, Jalan Klang Lama semalam.

    16 wanita asing dan enam lelaki warga tempatan yang berperanan sebagai ejen dan lima lagi adalah ‘transporter’ ditahan pukul 8.45 malam.

    Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kesemua individu yang ditahan dalam Ops Noda itu berusia 21 hingga 29 tahun.

    “Lima lelaki berkenaan adalah ‘transporter’ atau pekerja yang membawa semua wanita itu dari satu lokasi ke banglo tersebut,” katanya pada sidang akhbar di lokasi tangkapan pada Selasa.

    Katanya, modus operandi sindiket itu ialah mengiklankan perkhidmatan melalui aplikasi Telegram kepada individu yang berminat.

    “Apabila ada pelanggan berminat dan bersetuju dengan harga, ejen akan menentukan lokasi untuk pelanggan berhibur dan aktiviti pelacuran.

    “Sindiket ini turut menawarkan khidmat penghantaran GRO untuk berhibur serta menyediakan kediaman mewah seperti kondominium dan banglo untuk menawarkan perkhidmatan seks,” katanya.

    Beliau berkata, sindiket menggunakan sebuah rumah banglo dua tingkat terletak dalam kawasan taman perumahan mewah yang disewa dengan harga RM3,600 sehari.

    “Sindiket turut menyediakan peralatan hiburan seperti lampu disko, meja pool, set karaoke serta lain-lain kelengkapan,” katanya.

    Menurutnya, peranan GRO ialah meneman pelanggan untuk minum dan berhibur serta menawarkan perkhidmaan seks dengan harga RM1,300 hingga RM2,500 seorang.

    “Sindiket ini juga dipercayai menggunakan pelbagai lokasi berlainan untuk pelanggan berhibur bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

    “Jika jumlah pelanggan ramai dan memerlukan GRO yang ramai, maka ejen akan mencari premis yang besar, contohnya banglo tujuh bilik yang disewa ini,” katanya.

    Mohamad Noor berkata, semakan awal mendapati 15 daripada 16 wanita warga asing yang ditahan itu mempunyai dokumen perjalanan sah.

    “Siasatan masih dijalankan untuk mengesan dalang utama atau bapa ayam sindiket ini serta berapa lama sindiket ini sudah beroperasi,” katanya.

    Menurutnya, kesemua suspek dibawa Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk tindakan lanjut.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan, Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

    Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1) akta sama, katanya.