Category: Jenayah

  • Lelaki maut diserang sakit jantung ketika daki gunung

    Lelaki maut diserang sakit jantung ketika daki gunung

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki ditemukan sudah meninggal dunia ketika mendaki Gunung Lambak, Kluang, hari ini.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II, Norhakim Nordin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 12.25 tengah hari.

    Susulan itu katanya, seramai 11 anggota dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Setibanya di lokasi kejadian, bomba dapati terdapat seorang lelaki berusia 52 tidak sedarkan diri.

    “Mangsa, Teo Chee Kiong@Tiu Chee Kiong, dikatakan ditemui orang awam yang lalu di kawasan berkenaan.

    Mangsa ditemukan orang awam dalam keadaan tidak sedarkan di kawasan berkenaan.

    “Mangsa kemudiannya telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dipercayai akibat serangan jantung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Norhakim berkata, ketika ditemui mangsa hanya berseorangan dan dipercayai dalam perjalanan untuk turun ke bawah.

    Pasukan penyelamat kemudiannya menurunkan mangsa dari puncak gunung menggunakan alat pengusung dengan bantuan pihak polis dan KKM.

    “Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak terbabit untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada pukul 4.05 petang,” katanya.

  • Maritim halau bot cuba seludup masuk 40 PATI

    Maritim halau bot cuba seludup masuk 40 PATI

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) telah memintas dan menghalau cubaan menyeludup masuk 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) oleh sebuah bot dari Indonesia sekitar jam 4 pagi ini.

    Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor telah menerima maklumat risikan berkaitan pergerakan sebuah bot telah keluar dari Tanjung Balai, Asahan, Indonesia sekitar jam 9 malam dengan disyaki membawa lebih kurang 40 orang PATI warga Indonesia dan dipercayai menuju ke perairan Selangor.

    Beliau berkata, kira-kira jam 12.20 malam, radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim yang berpangkalan di Area Command Centre (ACC) Klang telah mengesan bot sasaran curiga tersebut sedang bergerak dari perairan Permatang Sedepa menuju ke perairan Morib.

    “Berikutan itu, bot Penggalang 10 yang dalam tugasan Ops Benteng Sektor 5 telah digerakkan bagi pemintasan sasaran dengan dibantu bot PR4 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, sekitar jam 2 pagi ini, Penggalang 10 dan PR4 tiba di lokasi dan telah bertembung dengan bot yang disyaki membawa PATI, lalu mengarahkan untuk berhenti.

    Namun, katanya, tekong bot itu bertindak agresif memecut laju dan melakukan pergerakan berbahaya yang bertujuan meloloskan dari ditahan serta berusaha merapat ke kawasan pantai.

    “Penggalang 10 dan PR4 terus menghalang tindakan bot berkenaan dengan menghimpit dan membayangi secara kejar buru sehingga ke laut lepas bagi menghindar daripada menuju dan mendarat di pantai,” katanya.

    Mohd Rosli berkata, dalam tempoh kejar buru hampir satu jam 30 minit itu, bot tersebut masih berdegil untuk berhenti serta bergerak secara agresif dan berbahaya.

    Katanya, Penggalang 10 dan PR 4 seterusnya melaksanakan tugas pengusiran dengan membayangi bot berkenaan keluar dari perairan negara sepenuhnya sekitar jam 4 pagi, seterusnya dipantau rapat oleh radar SWASLA di ACC Klang. – Bernama

  • Suami isteri dikompaun tidak lengkap vaksin tapi rentas negeri

    Suami isteri dikompaun tidak lengkap vaksin tapi rentas negeri

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TINDAKAN sepasang suami isteri dari Perak yang merentas negeri memasuki Kota Tinggi biarpun masih tidak lengkap vaksin membawa padah apabila dikompaun semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, pasangan itu dikesan ketika operasi pematuhan dilakukan di sekatan jalan raya (SJR) Jalan Kulai-Kota Tinggi. 

    Katanya, bagi perbuatan itu, pasangan suami isteri terbabit diberikan kompaun kerana merentas negeri tanpa vaksin yang lengkap. 

    “Siasatan mendapati mereka dari negeri Perak ke Kulai melalui SJR (Inas) Jalan Kulai-Kota Tinggi untuk melakukan rentas negeri.

    “Nilai kompaun dikenakan adalah sebanyak RM2,000 setiap seorang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, kompaun dikeluarkan adalah di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

    Jelasnya, orang ramai dinasihatkan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan meskipun kerajaan telah memberikan kebenaran bagi mereka yang sudah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri.

    Tambahnya, masyarakat juga dinasihat agar tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran perjalanan rentas negeri yang diberikan.

  • Wanita murung maut jatuh tingkat 13, tinggalkan nota derma organ

    Wanita murung maut jatuh tingkat 13, tinggalkan nota derma organ

    SEORANG wanita yang mengalami kemurungan ditemui maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 13 sebuah pangsapuri di Butterworth, Pulau Pinang kira-kira pukul 7 pagi tadi.

    Turut ditinggalkan oleh mangsa berusia 46 tahun itu di dalam biliknya adalah sekeping nota yang memaklumkan mahu pergi jauh dan meminta organnya didermakan kepada ahli keluarganya.

    Difahamkan mangsa tidak bekerja sejak kira-kira dua tahun lalu dan telah bercerai.

    Sementara itu, ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali, wanita itu mengalami kemurungan dan sedang dalam rawatan selain bergantung kepada ubat-ubatan.

    “Dia tinggal dengan keluarga di tingkat lima dan kejadian berlaku ketika semua sedang tidur.

    “Dia meninggalkan nota di dalam bilik menyatakan mahu pergi jauh dan jima mati, organnya boleh diberikan kepada ahli keluarga,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

  • Lelaki menyamar anggota polis, ‘lalok’ dan bergaduh ditahan

    Lelaki menyamar anggota polis, ‘lalok’ dan bergaduh ditahan

    SEORANG lelaki yang menyamar sebagai anggota polis ditahan selepas terlibat dengan satu pertelingkahan di deretan rumah kedai di Taman TTDI Groove, Kajang, Sabtu lalu.

    Suspek yang tular dalam media sosial selepas pertelingkahan itu dirakam dan disebarkan, menyamar sebagai polis dan mengeluarkan kad kuasa palsu untuk melindungi dirinya dalam kejadian tersebut.

    Sebuah klip video berdurasi 50 saat tular dalam media sosial memaparkan suspek mendakwa dirinya bertugas di Balai Kajang dan mengaku berada di bawah pengaruh dadah.

    Menurut
    Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan, pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian pertelingkahan dipercayai berkaitan isu hutang sewa rumah membabitkan suspek sekitar pukul 2.29 pagi.

    “Kejadian tersebut dapat dileraikan orang awam dan dalam kejadian itu suspek seorang lelaki tempatan berusia 30-an mengaku dirinya anggota polis serta mengeluarkan kad kuasa polis untuk melindungi diri.

    “Oleh kerana curiga pengadu dalam kejadian ini seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun telah menghubungi pihak polis untuk hadir ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd. Zaid memberitahu, hasil pemeriksaan mendapati suspek menggunakan kad kuasa palsu dan ditahan oleh anggota polis peronda.

    “Hasil siasatan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah berjaya merampas beberapa peralatan polis iaitu sepasang baju operasi polis tertera nama suspek, kasut, tali pinggang, satu unit gari dan kad kuasa polis yang dirampas,” katanya.

    Menurutnya, suspek direman sehingga Jumaat untuk membantu siasatan membabitkan kes penyamaran sebagai anggota polis melibatkan suspek sebelum ini.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana menyamar polis dan memiliki barangan peralatan polis yang tidak sah di sisi undang-undang.

    “Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda,” katanya. – SB

  • Wanita pengsan semasa daki Bukit Tunggal

    Wanita pengsan semasa daki Bukit Tunggal

    SEORANG wanita yang melakukan aktiviti rekreasi sebelum mendaki Bukit Tunggal, Kampung Gajah, hari ini mengalami sesak nafas dan pengsan.

    Pengunjung yang menyedari kejadian itu kemudian menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak untuk bantuan.

    Jurucakap JBPM Perak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah menerima panggilan kecemasan jam 8.50 pagi.

    “Anggota bomba menaiki pacuan empat roda milik orang awam sejauh kira-kira 2.5 kilometer (km) dari kaki bukit untuk membawa turun mangsa.

    “Mangsa, 26, kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Kampung Gajah untuk rawatan lanjut,” katanya.

    Operasi yang diketuai Megat Mohd. Dahari Megat Jamaludin itu tamat pukul 11.40 pagi.

  • Budak perempuan maut dibaham buaya semasa mandi sungai

    Budak perempuan maut dibaham buaya semasa mandi sungai

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dibaham seekor buaya ketika mandi bersama-sama rakannya di sebuah sungai di Teluk Kayeli, Pulau Buru, Lombok, Indonesia, Rabu lalu.

    Mangsa, Suci Ramadhani, diserang buaya berkenaan dan penduduk yang mengetahui kejadian itu bergegas ke sungai tersebut dan nampak kepala kanak-kanak itu terkeluar dari mulut haiwan berkenaan.

    Portal Tribunnews melaporkan, penduduk kemudian berjaya menikam buaya itu dengan tombak lalu membunuhnya.

    Namun, ketika perut buaya itu dibelah, mereka bagaimanapun tidak menemukan jasad kanak-kanak tersebut.

    Mayat mangsa hanya ditemukan pada awal pagi Jumaat, dua hari selepas kejadian.

    “Sungai ini memang diketahui dipenuhi buaya air masin.

    “Sekurang-kurangnya dua serangan buaya telah terjadi dalam 10 tahun terakhir,” kata pihak berkuasa.

  • Diberkas selepas 6 jam rompak kedai emas

    Diberkas selepas 6 jam rompak kedai emas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BELUM sempat menjual emas dan perak yang dilarikan, seorang lelaki dicekup polis selepas dia disyaki memecah masuk sebuah kedai emas di Seberang Jalan Putra, Alor Setar, semalam.

    Kejadian pada mulanya disedari pemilik kedai emas berusia 46 tahun sebaik tiba di premis jam 9 pagi dan terkejut apabila mendapati pintu kedai pecah sebelum dia membuat laporan polis dua jam kemudian.

    Siasatan polis di lokasi kejadian mendapati ada dua kesan cap jari dan polis turut merampas barang kes iaitu mangga serta gunting yang dipercayai digunakan suspek ketika memecah masuk kedai emas terbabit.

    Bagaimanapun, suspek ditahan di Jalan Raja, Alor Setar pada pukul 6.45 petang.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek yang berusia 28 tahun itu ditahan di Jalan Raja dan semakan mendapati dia memliki 17 rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

    Menurutnya, polis berjaya merampas pelbagai barang kemas dipercayai dicuri suspek yang terdiri daripada emas, perak dan jed.

    “Kita berjaya merampas 16 utas gelang tangan serta kaki, 52 cincin pelbagai bentuk dan warna serta 65 rantai perak serta hitam, 15 ‘bangle’, satu plastik mengandungi 25 set batu cincin, seutas gekang jed dan beg biru.

    “Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) yang jika didapati bersalah bileh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan denda dan sebat jika sabit kesalahan ,” katanya.

    Menurutnya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan pertuduhan.

    Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Sungai Petani, sebanyak 94 pemilik kenderaan dikenakan saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi khas yang dilakukan di Dataran Jam Besar diketuai Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd. Roze Shaari.

    Dalam operasi pukul 10 malam itu, pelbagai saman dikeluarkan terhadap 79 pemilik motosikal, 13 kereta dan dua van kerana kesalahan tiada lesen, cukai jalan tamat tempoh dan ubahsuai nombor pendaftaran.

    Kamarul Zaman berkata, seramai 27 individu yang terdiri daripada pemilik, pekerja serta pelanggan turut dikompaun dalam Op Noda yang dijalankan di pusat hiburan di Taman Pekan Baru.

  • 24 termasuk penjawat awam kena cekup di ‘port’ dadah

    24 termasuk penjawat awam kena cekup di ‘port’ dadah

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong menahan 24 penagih termasuk seorang penjawat awam selepas menyerbu sebuah ladang kelapa sawit Felda Mempaga, Bentong, kelmarin.

    Sepasukan anggota dari IPD berkenaan melakukan serbuan dalam Op Sarang Khas selama dua hari bermula Sabtu dan menahan 24 orang berusia 27 hingga 62 tahun kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

    Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, pihak polis turut merampas dadah jenis heroin anggaran berat 8.95 gram dan methamphetamine dianggarkan 0.38 gram.

    “Kesemua suspek ditahan di bawah pelbagai Seksyen Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    “Mereka juga akan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan semalam.

  • Misteri wang RM50, RM100 hilang didakwa angkara toyol

    Misteri wang RM50, RM100 hilang didakwa angkara toyol

    MISTERI kehilangan wang RM50, RM100 membabitkan Kampung Pulong, Chicha, Kenali dan Pulau Raja di Kota Bharu menghantui lebih 70 penduduk yang didakwa berlaku sejak 10 tahun lalu.

    Penduduk dari empat kampung di Mukim Kubang Kerian itu mendakwa, kejadian misteri tersebut angkara toyol.

    Dakwaan mistik itu timbul apabila beberapa siri kehilangan wang itu dikatakan pelik kerana kejadian tidak disedari dan tidak meninggalkan sebarang kesan langsung.

    Seorang mangsa, Sudarwaty Abdul Rajab, 42, yang tinggal di Kampung Pulong berkata, dia dan keluarga mengalami kerugian keseluruhan dianggarkan berjumlah RM5,000 akibat misteri berkenaan sejak setahun lalu.

    “Duit kerap kali hilang tanpa mengira waktu dan hilang dalam pelbagai jumlah bermula RM50 sehingga RM1,000. Terbaharu berlaku pada Jumaat lalu apabila duit RM500 yang diletakkan dalam dompet didapati hilang.

    “Sebelum itu, pada petang Khamis, saya mengeluarkan wang tunai RM1,000 dari bank untuk diberikan kepada ibu bapa, tapi pada petang Jumaat, wang RM500 disedari lesap tanpa kesan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

    Dia berkata, pelbagai cara dilakukan bagi mengelakkan terus menjadi mangsa, namun semua gagal serta buntu, malah wang milik anak-anak turut hilang.

    “Pelbagai cara dilakukan, lipat duit, gumpal dan menyembunyikan di mana-mana tempat tersorok, alih-alih hilang juga.

    “Kejadian ini sangat aneh dan sememangnya tidak boleh dibiarkan lagi kami sudah mengalami banyak kerugian dan akan membuat laporan polis berkait perkara ini,” katanya.

    Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 41, berkata, misteri kehilangan wang tunai membabitkan 15 ahli keluarganya yang tinggal di Kampung Pulau Raja, Kubang Kerian sudah berlaku sejak 10 tahun lalu dan terbaharu pada awal tahun ini.

    Katanya, dia mencuba pelbagai cara termasuk menyimpan wang dalam peti sejuk dan sentiasa membawa beg tangannya, namun wang kertas RM50 dan RM100 yang berada di dalam dompet tetap hilang.

    ““Selain RM50 atau RM100, kepingan wang RM20, RM10, RM5 dan RM1 tidak pula hilang.

    “Perkara ini sudah terlalu lama berlaku menyebabkan saya sangat berhati-hati dan sentiasa membawa beg duit ke mana-mana sahaja, namun kejadian hilang duit masih berlaku,” ujarnya.

    Menurutnya, pada awal kejadian lalu, dia dan keluarga berdepan kesukaran kerana pandangan sinis masyarakat yang mendakwa kejadian itu membabitkan ahli keluarga sendiri.

    “Saya ada tiga anak-anak lelaki berusia 10 tahun hingga 17 tahun. Kejadian hilang duit ini membabitkan tujuh ahli keluarga saya yang tinggal berasingan termasuk duit ibu dan arwah bapa, adik-beradik dan ipar.

    “Saya mula-mula marah pada anak-anak kerana menyangkakan mereka yang mencuri tetapi apabila berlaku kepada orang lain sehingga 15 keluarga di satu kampung, barulah kami sedar yang kejadian ini sangat ganjil,” katanya.

    Malah, katanya, anak saudara perempuannya yang berusia 28 tahun turut menjadi mangsa apabila wang tunai RM1,000 yang disimpan untuk majlis akikah anak sulungnya pada Aidiladha tahun lalu, hilang.

    Dia menyimpan duit berkenaan dengan cara menindih dengan batu bata bagi mengelakkan dicuri atau diketahui orang.

    “Semasa nak ambil duit tersebut, saya didapati sudah hilang dan memang terkejut dan sedih,” katanya.

    Siti pernah meminta bantuan seorang ustaz pada awal tahun ini dan sejak itu kejadian wang hilang sudah tidak berlaku di rumah keluarganya.

    “Sebaliknya, kampung lain pula kecoh dengan kejadian kehilangan wang sehingga ada yang rugi mencecah RM10,000,” katanya.

    Tambahnya, mangsa-mangsa yang terlibat bagaimanapun tidak membuat laporan polis kerana menganggap kejadian dilakukan oleh makhluk halus.