Category: Jenayah

  • Rampasan RM1.33 juta dadah pada longgokan tiang kayu

    Rampasan RM1.33 juta dadah pada longgokan tiang kayu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENINGGALKAN bungkusan dadah di sebalik longgokan tiang kayu perangkap ikan sebelum bekalan itu diambil pihak ketiga.

    Itu taktik baharu digunakan sindiket dadah bertujuan mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa.

    Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksmana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, taktik tersebut bagaimanapun berjaya dikesan apabila 23 kilogram dadah bernilai hampir RM1.33 juta ditemui di perairan Muar, semalam.

    Beliau berkata, bekalan dadah tersebut dikesan ketika pihaknya mengadakan rondaan di perairan berkenaan pada pukul 5.30 pagi itu,

    Bungkusan dadah di sebalik longgokan tiang kayu perangkap ikan sebelum bekalan itu diambil pihak ketiga

    “Semasa rondaan rutin dijalankan, pihak maritim mengesan satu objek mencurigakan dalam bentuk bungkusan plastik berwarna hitam diletakkan di atas kayu perangkap ikan atau togok.

    “Objek berkenaan ditemui pada jarak kira-kira 3 batu nautika barat daya Parit Jawa dan 12 batu nautika dari sempadan perairan negara. Mengesyaki objek tersebut adalah berkaitan dengan maklumat risikan, anggota bot merapat ke togok untuk melakukan pemeriksaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar media di Bilik Mesyuarat Operasi Zon Maritim Batu Pahat, Batu Pahat, hari ini.

    Katanya, hasil pemeriksaan kemudiannya menemui 23 bungkusan teh cina berwarna hijau dipercayai syabu, pil ekstasi dan pil Eramin 5.

    “Tinjauan di kawasan sekitar, pihak maritim tidak menemui sebarang suspek atau petunjuk lain. Kami percaya, dadah berkenaan sengaja ditinggalkan di atas togok sebelum diambil oleh pihak seterusnya bagi tujuan penghantaran ke destinasi.

    “Taktik ini agak baharu digunakan kerana ini kali kedua kami menemui dadah dengan cara sedemikian,” ujarnya.

    Justeru, pihaknya akan terus meningkatkan kawalan sempadan dan keselamatan di perairan termasuklah rondaan kerap di lokasi-lokasi yang dirasakan menjadi sasaran sindiket.

    Nurul Hizam berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, sebanyak RM7.9 juta nilai keseluruhan dadah berjaya dirampas APMM bagi tahun ini membabitkan dua lokasi di Johor Bahru dan lima lagi di daerah ini.

  • 4 ditahan termasuk pelajar, tunggang motosikal secara berbahaya

    4 ditahan termasuk pelajar, tunggang motosikal secara berbahaya

    EMPAT lelaki ditahan termasuk seorang pelajar susulan tujuh individu menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuh Raya Seremban- Port Dickson, Port Dickson, seperti dipaparkan dalam video yang tular sejak Ahad lalu.

    Semua mereka ditahan hari ini sepasukan polis dari Bahagian Trafik Port Dickson dengan kerjasama pegawai dan anggota trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Melaka Tengah.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed memberitahu: “Kesemuanya berumur 17 hingga 18 tahun ditahan antara jam 1 hingga 4 pagi di lokasi berasingan di kawasan Bukit Rambai dan Cheng Melaka.

    “Mereka ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini di IPD Port Dickson bagi siasatan lanjut. Kes disiasat bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu atau menunggang secara melulu dan bahaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Aidi Sham berkata, jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara kurang lima tahun dan denda RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu lebih lima tahun.

    “Usaha mengesan baki tiga orang penunggang yang dikenali sebagai ‘Upa’, ‘Darwisy’ dan ‘Afiq’ sedang dijalankan,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan, polis sedang mengesan tujuh individu yang menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuh Raya Seremban – Port Dickson seperti dipaparkan dalam video yang tular dalam media sosial sejak petang Ahad.

    Menerusi satu paparan video, aksi kesemua penunggang motosikal itu dimuat naik ke Facebook mendedahkan tujuh orang menunggang motosikal dengan cara membongkok badan, bersaing sesama sendiri dan membuat aksi zig zag dipercayai membahayakan diri sendiri dan orang lain.

  • Polis maut motosikal gagal memotong, dilanggar bas

    Polis maut motosikal gagal memotong, dilanggar bas

    SEORANG anggota polis yang yang bertugas di Balai Polis Dong, Raub meninggal dunia selepas dilanggar sebuah bas di Kilometer 16, Jalan Bentong-Raub, Bentong, semalam.

    Ketika kemalangan pukul 12.30 tengah hari itu, Arisham Azahari, 37, sedang menunggang motosikal dalam perjalanan dari Raub ke Bentong.

    Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, ketika tiba di tempat kejadian mangsa dipercayai cuba memotong kenderaan yang sesak dan melanggar sebuah motosikal lain di hadapan.

    “Mangsa terjatuh ke laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah bas dan maut di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Zaiham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Mana-mana pihak yang mempunyai makkumat atau menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan, katanya.

  • Kantoi bawa 96 bungkus air ketum

    Kantoi bawa 96 bungkus air ketum

    CUBAAN dua lelaki membawa 96 bungkus air ketum di belakang kenderaan mereka gagal apabila bahan terlarang itu ditemukan dalam sekatan jalan di Jambatan Tendong, Pasir Mas, kelmarin.

    Dua lelaki berkenaan pada mulanya dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan itu sebelum pemeriksaan pada 6.15 pagi menemukan bungkusan berisi air ketum tersebut yang sudah siap diikat dalam plastik.

    Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir, kenderaan tersebut dipandu dari arah Pasir Mas menghala ke Salor, Kota Bharu.

    “Namun pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan berkenaan menemui dua bungkusan plastik lutsinar warna hijau.

    “Bungkusan pertama mengandungi 16 bungkus plastik lutsinar berisi cecair keperangan disyaki air ketum yang diletakkan di tempat letak kaki penumpang belakang.

    “Lapan lagi plastik lutsinar yang di dalamnya berisi 80 bungkus plastik putih yang juga dipercayai air ketum disorok dalam but belakang kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati dua lelaki berkenaan berusia 20 dan 26 tahun masing-masing positif dadah jenis Benzo.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya.

  • Pemandu cedera selepas kenderaan KKM terbabas, terbalik

    Pemandu cedera selepas kenderaan KKM terbabas, terbalik

    SEORANG pemandu kenderaan pacuan empat roda milik Kementerian Kesihatan (KKM) cedera selepas terbabas dan terbalik di Jalan Jelapang, berhampiran Taman Meru Perdana, Ipoh, hari ini.

    Kemalangan tersebut menyebabkan pemandu berusia 42 tahun yang memandu sendirian itu cedera dan tersepit.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menerima panggilan mengenai kejadian tersebut daripada orang awam pukul 7.29 pagi.

    Menurut Jurucakap JBPM Perak, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Ketika sampai di lokasi kejadian, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam. Mangsa mengalami kecederaan di bahagian belakang dan dada.

    “Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja dari rumah. Kenderaan dari arah Chemor itu terbabas di laluan bertentangan,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk rawatan lanjut.

    “Seramai enam anggota dengan satu jentera terlibat dalam operasi membantu mangsa kemalangan tersebut,” ujarnya.

  • Bayi perempuan baru lahir ditinggalkan dalam kotak

    Bayi perempuan baru lahir ditinggalkan dalam kotak

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TERGAMAK tinggalkan bayi perempuan dalam kotak perlindungan bayi ‘baby hatch’ Orphancare Johor Bahru, Johor Bahru pada 26 September lalu.

    Bayi yang baru beberapa hari dilahirkan itu bagaimanapun sempat diselamatkan orang ramai dan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

    Menurut Pegawai JKM Johor Bahru, Adnan Md Yassin, kelengkapan bayi termasuk pakaian dan susu bayi turut diletakkan bersebelahan bayi dalam kotak berkenaan.

    “Bagaimanapun tiada sebarang dokumen berkaitan ibu kandung bayi ditemui dan kakitangan bertugas di Orphancare membuat laporan polis pada 27 September lalu.

    “Bayi berkenaan kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, sehingga hari ini tiada sebarang tuntutan dilakukan terhadap bayi itu yang kini berusia lebih tiga minggu dan dinamakan sebagai Darren. 

    Katanya, bayi berkenaan kini dalam keadaan sihat dan beberapa keluarga menunjukkan minat untuk menjadikannya sebagai anak angkat.

    “Bagaimanapun JKM masih mempertimbangkan kesesuaian kedua-dua keluarga berkenaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

    “JKM berharap waris bayi berkenaan tampil bagi membincangkan masa depannya,” katanya lagi.

    Bagi maklumat lanjut boleh menghubungi Pelindung Kanak-kanak JKM, Zaid Ikhwan Lim di 07-2232606/07-2232607/01111-7535394.

  • Penunggang motosikal maut kemalangan tiga kenderaan

    Penunggang motosikal maut kemalangan tiga kenderaan

    SEORANG lelaki maut dipercayai dalam perjalanan mahu menghantar kunci di tempat kerjanya di Mahkamah Syariah Kuala Krai hari ini.

    Kejadian pada pukul 10.40 pagi itu melibatkan motosikal mangsa dan sebuah lagi motosikal serta sebuah kereta.

    Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, kejadian berlaku apabila motosikal ditunggang Nik Mat Yusof, 50, masuk ke laluan bertentangan di Jalan Sungai Sam-Dabong.

    “Kemudian berlaku pelanggaran pada bahagian depan. Dalam masa sama, sebuah lagi motosikal yang berada di belakang mangsa dipercayai gagal dikawal dan terlanggar kereta mangsa.

    “Mangsa maut manakala penunggang sebuah lagi motosikal dan seorang wanita berusia 25 tahun yang memandu kereta itu selamat, namun mengalami kecederaan ringan,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Menurutnya, pemandu kereta berkenaan didapati memakai gelang merah jambu kerana menjadi kontak rapat ibunya dalam kes Covid-19.

    Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Katanya, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk bedah siasat.

  • Bayi bertali pusat ditinggalkan atas rumput

    Bayi bertali pusat ditinggalkan atas rumput

    SEORANG bayi perempuan ditinggalkan atas rumput di kawasan rumah kongsi Taman Ara Sendayan, Bandar Sri Sendayan, Seremban, hari ini.

    Bagaimanapun bayi berusia 36 hari itu diselamatkan orang ramai sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

    Menurut Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah, Mustafal Bakri Mohammad Yusof berkata, pihaknya kini mencari berusaha mengesan ibu kandung atau waris kepada bayi perempuan terbabit.

    Katanya, mengikut peruntukan Seksyen 17(1)(e)(ii) Akta Kanak-kanak 2001, bayi itu diperintahkan diletakkan di bawah jagaan orang yang layak dan sesuai.

    “JKM juga menerima kebenaran mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-kanak 2001 untuk melakukan siaran atau hebahan di akhbar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, JKM ingin mengesan waris kepada bayi berkenaan bagi tujuan siasatan serta tindakan lanjut.

    “Waris atau kenalan serta orang awam yang mengenali ibu kandung kepada bayi terbabit boleh menghubungi Pelindung Kanak-kanak, Emelia Kamarulzaman 06-6015798,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim dalam kenyataannya berkata, polis menerima maklumat berkenaan penemuan bayi terbabit pada pukul 11.52 pagi daripada seorang lelaki.

  • Samun: 4 individu termasuk 2 penguat kuasa ditahan

    Samun: 4 individu termasuk 2 penguat kuasa ditahan

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran menahan empat suspek termasuk dua daripadanya kakitangan agensi penguat kuasa selepas disyaki terlibat dalam kes samun berkumpulan Kampung Rampek, Beluran, Sandakan, kelmarin.

    Menurut Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda, semua suspek lelaki berusia 25 hingga 43 tahun itu ditahan dalam serbuan di Sandakan, hari ini.

    Jelasnya, semua mereka merupakan penduduk Sandakan dan dua anggota penguat kuasa berkenaan juga bertugas di daerah itu.

    “Tangkapan dibuat hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Beluran. Polis turut merampas sebuah kenderaan yang digunakan mereka jenis Proton Preve, pelbagai telefon bimbit, gari serta wang tunai berjumlah RM5,000.

    “Semua suspek direman sehingga 22 Oktober ini dan sedang ditahan di lokap IPD Beluran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, siasatan kes berkenaan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

  • Lelaki terperangkap, rentung dalam kebakaran

    Lelaki terperangkap, rentung dalam kebakaran

    SEORANG lelaki terperangkap sebelum rentung dalam kebakaran di rumahnya di Taman Seri Petaling, Kuala Lumpur, hari ini.

    Kejadian tersebut berlaku pada pukul 1 pagi dan mangsa gagal keluar dari rumah teres dua tingkat tersebut.

    Ketua Polis Daerah Brickfield, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat telah dikejarkan ke tempat kejadian dan mengambil masa 30 hingga 40 minit memadamkan kebakaran tersebut.

    “Siasatan di tempat kejadian telah menjumpai mayat seorang lelaki yang telah rentung di dalam rumah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Anuar berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan.

    “Kes diklasifikasikan sebagai laporan kebakaran dan mati mengejut. Kes disiasat oleh Ketua Polis Balai Sri Petaling, Inspektor Nik Faidrul Nik Fauzi,” katanya.

    Pihak polis mengalu-alukan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu tampil untk memberi keterangan.

    Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222.