Category: Jenayah

  • PRN: Kepala babi diletak depan bilik gerakan PN DUN Juasseh

    PRN: Kepala babi diletak depan bilik gerakan PN DUN Juasseh

    BILIK gerakan Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh di Kuala Pilah hari ini dikejutkan dengaa kepala babi yang diletakkan di atas bendera parti gabungan itu di hadapan bilik gerakan berkenaan.

    Calon PN DUN Juasseh, Datuk Eddin Syazlee Shith mendapat maklumat mengenai kejadian tersebut pukul 8.30 pagi, disertai dengan gambar.

    Menurutnya, selain bilik gerakan di situ, beliau difahamkan terdapat kejadian sama berlaku membabitkan sebuah kediaman seorang pegawainya sekitar di Kuala Pilah.

    “Dalam politik macam itulah kan, kita sudah menjangkakan lebih teruk daripada itu pun mungkin berlaku.

    “Tetapi tidak mengapalah kita kekal tenang, saya ingat ini mungkin tindakan-tindakan untuk mengalihkan tumpuan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) yang tinggal berbaki dua tiga hari sahaja.

    “Ia juga mungkin tindakan orang terdesak dan kita anggap ini sebahagian daripada cabaran. Kita tak boleh tuduh sesiapa sebab kita nak jaga sensitiviti banyak pihak,” katanya ketika ditemui pemberita di bilik gerakan berkenaan.

    Bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah itu berkata, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada pihak polis untuk tindakan lanjut mengikut lunas undang-undang.

    Dalam pada itu, Eddin yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kuala Pilah turut mengingatkan supaya jentera partinya kekal positif.

    “Dalam ceramah saya malam tadi, saya nasihatkan jentera parti kalau kita nampak bendera pihak lawan itu tumbang kita sama-sama naikkan. Kita mahu satu budaya politik yang sihat dan positif.

    “Sebab peredaran zaman dan pendekatan politik itu lebih matang, tetapi kalau ada sesetengah orang yang masih nak gunakan cara begini, itu sangat memalukan agama,bangsa dan juga masa depan anak-anak kita yang melihat perkara negatif dan tak sihat macam ini,” katanya.

    Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh pengarah pilihan raya PN DUN Juasseh.

    Ketua Polis daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani ketika dihubungi mengesahkan laporan dan ia masih dalam siasatan polis.

  • PRN Negeri Sembilan: Polis siasat kes bakar khemah, bendera parti

    PRN Negeri Sembilan: Polis siasat kes bakar khemah, bendera parti

    POLIS sudah membuka 11 kertas siasatan dibuka berkaitan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan antaranya melibatkan khianat membakar bendera dan khemah parti.

    Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof, ini melibatkan 96 laporan polis yang diterima dari hari pertama kempen sehingga Selasa.

    “Kebanyakannya kes khianat dan bakar bendera manakala satu kes bakar khemah parti.

    “Berkaitan kempen dan ceramah yang dijalankan pula kesemuanya mempunyai permit. Tiada sebarang kesalahan dilakukan oleh calon atau wakilnya,” katanya kepada pemberita di Seremban hari ini.

    Katanya, pada hari pengundian 12 Ogos ini, pihaknya akan menggerakkan seramai 9,223 pegawai dan anggota bagi mengawal keadaan dan juga keselamatan bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

    Terdahulu, Ahmad Dzaffir turut menjalankan tanggungjawabnya mengundi di Pejabat Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di Seremban, sambil meninjau proses pengundian awal itu.

    Hari ini, seramai 6,300 warga Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan 19,744 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di negeri ini menjalankan tanggungjawab bagi pengundian awal PRN bagi enam negeri.

  • Wanita ditahan belasah bekas suami ketika tuntut hutang RM87,000

    Wanita ditahan belasah bekas suami ketika tuntut hutang RM87,000

    SEORANG wanita ditahan polis semalam atas dakwaan membelasah bekas suaminya ketika cuba menuntut hutang berjumlah RM87,000.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata dalam kejadian pukul 6.55 petang itu, lelaki berusia 28 tahun itu sedang mengemas rumah sewanya di Bukit Indah, Ampang sebelum didatangi bekas isterinya berusia 38 tahun yang memarahinya mengenai hutangnya.

    Beliau berkata, suspek kemudian menumbuk bibir mangsa, mengetuk kepalanya dengan hulu pengikis simen dan menendangnya di bahagian perut.

    “Polis menahan suspek yang bekerja sebagai akauntan di Ampang pada 9.45 malam.

    “Suspek dan mangsa baru bercerai pada 11 Julai lalu dan mempunyai seorang anak perempuan berusia setahun tujuh bulan,” katanya menurut Harian Metro.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.

  • Khianat papan iklan calon PN, polis Selangor buka kertas siasatan

    Khianat papan iklan calon PN, polis Selangor buka kertas siasatan

    POLIS Selangor membuka satu kertas siasatan berkaitan kes papan iklan calon Perikatan Nasional (PN) dirobohkan oleh individu yang tidak dikenali, semalam.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

    “Polis Selangor telah menerima 55 laporan dan membuka satu kertas siasatan berkaitan pilihan raya negeri (PRN), semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Hussein berkata, sebanyak 54 laporan polis telah diklasifikasikan sebagai NOD (no offence diclosed) iaitu laporan polis yang dibuat tidak ada berlakunya apa-apa kesalahan dan tangkapan.

    Jelasnya, laporan itu dibuat oleh Pasukan Ops Cantas yang melakukan pemeriksaan di beberapa lokasi Ops Cantas PRN Selangor.

    Beliau berkata, pihaknya mendapati hanya satu kempen dijalankan tanpa permit.

    Setakat Sabtu ujar beliau, 286 kempen dan 90 ceramah dijalankan dengan memiliki permit.

    “Semua calon hendaklah memastikan bahawa pemasangan bendera parti, kain rentang dan poster tidak diletakkan di pagar premis kerajaan dan rumah ibadat,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Dua wanita rugi lebih RM1 juta terpedaya pelaburan tak wujud

    Dua wanita rugi lebih RM1 juta terpedaya pelaburan tak wujud

    DUA  wanita mendakwa kerugian lebih RM1 juta selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud yang menawarkan keuntungan tinggi oleh sebuah syarikat pelaburan.

    Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata pihaknya menerima laporan dua hari lepas daripada wanita berusia 44 tahun yang mendakwa melihat satu akaun TikTok menawarkan pelaburan emas pada Mac lepas.

    “Mangsa yang berminat kemudian menghantar pesanan mesej kepada penama akaun berkenaan dan dimaklumkan pelaburan itu menawarkan pulangan lumayan dalam dolar Amerika Syarikat (AS) sebelum membuat 27 transaksi ke dalam satu akaun bank keseluruhan berjumlah RM621,800.

    “Mangsa mendakwa mendapat keuntungan sebanyak RM20,000 sahaja dan tidak mendapat apa-apa keuntungan selepas itu,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BERNAMA.

    Ahmad Dzaffir berkata mangsa kedua pula membabitkan warga emas berusia 63 tahun yang telah diperkenalkan oleh saudaranya mengenai satu syarikat pelaburan beralamat di Kuala Lumpur pada Jun 2020.

    Menurutnya, mangsa dijanjikan keuntungan antara 15 ke 17 peratus selama tiga tahun menyebabkan wanita terbabit membayar keseluruhan berjumlah RM500,000 selama enam bulan sejak 3 Julai 2020.

    “Mangsa mendakwa pernah menerima keuntungan sebanyak RM6,250. Dia tidak lagi menerima keuntungan yang dijanjikan oleh syarikat berkenaan selepas itu dan mendapati syarikat tersebut telah ditutup,” katanya.

    Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan pelaburan yang menawarkan keuntungan tinggi dan menyemak pendaftaran syarikat terbabit dengan Suruhanjaya Sekuriti atau Bank Negara Malaysia.

  • Bayi 40 hari alami pendarahan otak dihempas ke lantai

    Bayi 40 hari alami pendarahan otak dihempas ke lantai

    SEORANG bayi berusia 40 hari mengalami pendarahan otak selepas dihempas ke lantai oleh bapa saudaranya yang dipercayai mengalami gangguan mental dalam kejadian di sebuah pangsapuri di George Town, Pulau Pinang semalam.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, suspek berusia 28 tahun turut mencampak seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dari tingkat satu pangsapuri berkenaan sehingga patah kaki dan cedera pada mulut.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada bapa kanak-kanak berkenaan pukul 9.30 malam tadi.

    Menurut beliau, lelaki berusia 31 tahun itu mendakwa suspek yang juga adik iparnya telah menghempas dan mencampak anaknya dari tingkat satu blok pangsapuri kediaman mereka.

    “Kedua-dua mangsa kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Menurut Soffian, ketika kejadian, suspek dikatakan dalam keadaan tidak berpakaian dan turut cedera pada pergelangan tangan kiri akibat dikelar sendiri.

    Jelas beliau, ahli keluarganya turut memaklumkan suspek yang tidak bekerja dan mempunyai satu rekod jenayah membabitkan kesalahan dadah itu mengalami gangguan mental sejak sebulan lalu.

    Ujarnya, suspek juga telah ditahan oleh pasukan D9 Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Timur Laut dan direman selama tujuh hari sehingga 9 Ogos ini.

    “Suspek kini ditahan di HPP untuk rawatan lanjut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana kesalahan cubaan bunuh,” katanya.

    Dalam pada itu, Soffian turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes itu tampil ke ibu pejabat polis daerah Timur Laut bagi membantu siasatan.

  • 4 hari bersembunyi, pekerja ladang bakar isteri ditahan polis

    4 hari bersembunyi, pekerja ladang bakar isteri ditahan polis

    SELEPAS empat hari menyembunyikan diri, seorang pekerja ladang yang membakar isterinya sehingga mengakibatkan kecederaan parah dalam kejadian di Tasek Gelugor, Pulau Pinang Isnin lalu akhirnya berjaya ditahan polis.

    Suspek yang berusia 36 tahun itu ditahan di sebuah kawasan di Nibong Tebal, Pulau Pinang kira-kira pukul 12.30 tengah hari, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang untuk mendapatkan perintah reman pagi esok.

    Terdahulu, media melaporkan seorang wanita berusia 35 tahun melecur 27 peratus di anggota badan selepas suspek menyimbah petrol dan membakar mangsa di rumah mereka di kawasan ladang kelapa sawit di Tasek Gelugor.

    Pasangan suami isteri yang telah berkahwin sejak 15 tahun itu dikatakan bertengkar sebelum suspek bertindak demikian kira-kira pukul 9.30 malam.

    Hasil siasatan mendapati, pasangan suami isteri itu tinggal di kediaman yang disediakan untuk pekerja di ladang berkenaan.

    Susulan kejadian itu, mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

  • Suami simbah petrol, bakar isteri akibat perselisihan faham

    Suami simbah petrol, bakar isteri akibat perselisihan faham

    SEORANG suami di Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara (SPU), Pulau Pinang bertindak di luar batasan selepas tergamak menyimbah petrol dan membakar isterinya di kediaman mereka di kawasan ladang kelapa sawit malam kelmarin.

    Dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, mangsa berusia 35 tahun mengalami kecederaan parah akibat melecur kira-kira 27 peratus pada bahagian badan.

    Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian daripada jiran mangsa kira-kira pukul 10.45 malam.

    Menurutnya, hasil siasatan mendapati, pasangan suami isteri yang mendirikan rumah tangga sejak 15 tahun lalu itu tinggal di kediaman yang disediakan untuk pekerja ladang di kawasan berkenaan.

    “Kejadian berlaku akibat perselisihan faham keluarga. Menurut anak lelaki mangsa, dia dan adik-adiknya ada terdengar pergaduhan di luar bilik mereka.

    “Anak lelaki mangsa hendak keluar dari bilik tetapi pintu telah ditolak dari luar. Bagaimanapun, anak lelaki pasangan tersebut berjaya keluar dan melihat ibunya berada di belakang rumah dalam keadaan badan terbakar.

    “Suspek cuba padamkan api dengan kain tetapi api menjadi lebih besar. Suspek kemudian bertindak melarikan diri di kawasan ladang kelapa sawit,” katanya kepada pemberita.

    Beliau memberitahu, mangsa kini menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap dan polis sedang giat mengesan suami wanita berkenaan.

    Jelasnya, suspek yang berusia 36 tahun turut mempunyai empat rekod jenayah lampau dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

  • Polis Selangor buka kertas siasatan Fahmi berucap dalam masjid di Rawang Nurul Hidayah Bahaudin

    Polis Selangor buka kertas siasatan Fahmi berucap dalam masjid di Rawang Nurul Hidayah Bahaudin

    POLIS Selangor menjalankan siasatan berhubung gambar tular Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berucap di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang, kelmarin.

    Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, pihak polis sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung kejadian itu.

    Kata beliau, pihaknya sudah mendapatkan rakaman ucapan dalam masjid berkenaan dan akan menelitinya untuk siasatan lanjut.

    “Kita akan beri maklum balas serta perkembangan mengenai kes terbabit dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Perbarisan Ulang Tahun Polis Bantuan ke-7 Sime Darby Property Berhad di Padang Kawad Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, hari ini, lapor Berita Harian.

    Semalam, media melaporkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menjalankan siasatan berhubung gambar berkenaan yang tular dalam media sosial.

    Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad dilaporkan berkata, pihaknya ada menerima aduan berhubung perkara terbabit.

    JAIS turut menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki menghina pihak berkuasa agama.

    Sementara itu, Fahmi menafikan beliau menggunakan masjid untuk berkempen sebaliknya singgah untuk solat Zohor sahaja di masjid itu kerana berdekatan dengan lokasi program seterusnya.

    Beliau kemudiannya dijemput oleh kariah masjid untuk ulas sedikit isu kumpulan muzik The 1975.

  • Baru keluar penjara 5 bulan, lelaki Taiwan ditahan bersama dadah bernilai RM572,000

    Baru keluar penjara 5 bulan, lelaki Taiwan ditahan bersama dadah bernilai RM572,000

    SEORANG lelaki warga Taiwan yang baru dibebaskan dari Penjara Sungai Buloh pada Februari lalu diberkas semula oleh pihak polis bersama pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM572,000 pada Khamis lepas.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditahan di sebuah pangsapuri di Cheras dalam satu operasi khas di sekitar daerah itu, Kuala Lumpur, Kajang, Selangor.

    Katanya, lelaki berkenaan telah masuk ke negara ini sejak tahun 2016 menggunakan pas pelancong dan baru sahaja dibebaskan atas kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada tahun 2016.

    “Hasil pemeriksaan ke atas tubuh suspek menemukan 10 biji pil dipercayai dadah jenis Erimin 5.

    “Hasil ujian saringan mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain. GAMBAR: Warta Rakyat

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Kontijen Polis Kuala Lumpur, hari ini.

    Susulan penangkapan itu, polis telah menyerbu sebuah rumah kedai di Kajang yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan dadah.

    Hasil pemeriksaan menjumpai pelbagai jenis dadah termasuk sepucuk pistol jenis Glock dan 30 butir peluru hidup.

    “Modus operandi pengedaran itu adalah dengan menjadikan rumah kedai sebagai stor simpanan dadah sebelum diedarkan.

    “Suspek yang merupakan orang suruhan kepada seorang lelaki tempatan kini diburu,” ujarnya, lapor Utusan TV.

    Tambahnya, rampasan termasuk Erimin 5 anggaran berat 5.6 kilogram (kg), Methamphetamine (0.33kg), Ecstacy (3.2kg), MDMA (0.6kg), serta Heroin base (0.7kg).

    Sebahagian daripada pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM572,000 yang dirampas selepas polis berjaya menahan seorang suspek warga asing yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah bagi pasaran tempatan ketika Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan dadah itu mampu menampung penggunaan seramai 30,000 pengguna dadah.

    Sepucuk pistol automatik jenama Glock dan 30 butir peluru hidup yang dirampas selepas polis berjaya menahan seorang suspek warga asing yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah bagi pasaran tempatan ketika Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Suspek direman selama tujuh hari sejak 28 Julai sehingga 3 Ogos ini.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.