Category: Jenayah

  • Polis Johor tumpaskan pusat latihan Macau Scam

    Polis Johor tumpaskan pusat latihan Macau Scam

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    POLIS berjaya membongkar kegiatan melibatkan penipuan Macau Scam apabila menangkap lapan lelaki tempatan yang berperanan dalam kegiatan itu termasuk merekrut pekerja baru bagi memperdayakan orang ramai.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, modus operandi kumpulan sindiket itu adalah melatih pekerja-pekerja baru mengenai teknik penipuan dengan menyamar sebagai pegawai kutipan hasil daripada sebuah bank tempatan.

    “Hasil siasatan mendapati, mereka yang dilatih akan dipindahkan ke beberapa unit banglo sekitar Johor Bahru dan Kulai dalam tempoh sebulan selepas tamat latihan atau telah mahir menghafal skrip penipuan.

    “Mereka akan menyamar sebagai pegawai-pegawai dari agensi penguatkuasaan sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

    Katanya, tujuh daripada mereka yang ditahan itu ditugaskan sebagai pengurus akaun, tenaga pengajar, ejen dan operator pusat panggilan dalam serbuan di sebuah kedai makan yang terletak di Jalan Padu, Kampung Tahana 2, Larkin pada Jumaat lalu.

    Sementara itu, seorang lagi lelaki tempatan yang bertanggungjawab selaku penulis skrip untuk kegiatan penipuan yang dijalankan oleh sindiket itu turut ditahan kelmarin di sebuah rumah di Taman Saga, Kulai.

    Kesemua mereka berusia 21 hingga 43 tahun kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Menurut Ayob Khan, ahli sindiket itu ditawarkan gaji sehingga RM3,000 sebulan tidak termasuk komisen tiga peratus setiap kali penipuan berjaya dilakukan dan bayaran sama diberikan kepada orang tengah bersama-sama wang bulanan untuk belanja harian sindiket.

    Manakala individu yang berperanan sebagai penyelia dan tenaga pengajar yang bertindak sebagai ejen akan menerima upah sebanyak RM300 hingga RM800 bagi setiap pekerja baru yang di bawa masuk.

    “Sindiket itu juga dikesan aktif merekrut pekerja untuk bertugas di pusat panggilan Macau Scam di luar negara antaranya Kemboja, Dubai dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) atau pun dalam negara,” katanya.

    Dalam serbuan itu, polis turut merampas 11 telefon bimbit, dua komputer riba, satu mesin pencetak, satu perakam suara, sebuah buku catatan dan lima dokumen mengandungi skrip kerja.

    “Berdasarkan siasatan awal, kita percaya sindiket ini baharu beroperasi seminggu dan mereka yang menjadi ahlinya tidak sempat menerima bayaran gaji seperti yang ditawarkan,” ujarnya.

    Sementara itu, Ayob Khan turut memohon bantuan awam untuk mengesan dua lelaki yang dipercayai merupakan dalang kepada sindiket berkenaan iaitu Su Hao Shou, 33, yang beralamat di Taman Stulang, di sini dan Mohamad Khairuddin Syah, 25, yang beralamat di Taman Damai Jaya, Skudai.

    “Kami yakin kedua-dua mereka masih berada di dalam negara. Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan kes jenayah komersil boleh hubungi talian 013-2111222,” jelasnya.

  • Lelaki maut terkena bata dilempar monyet dari tingkat dua

    Lelaki maut terkena bata dilempar monyet dari tingkat dua

    SEORANG lelaki berusia 30 tahun maut setelah kepalanya terkena bata yang dilempar oleh seekor monyet dari tingkat dua sebuah bangunan dalam satu kejadian di Nabi Karim, Delhi Tengah, India.

    Menurut laporan The Indian Express, lelaki malang yang dikenali sebagai Mohammad Kurbaan mengalami kecederaan parah dan pengsan sebelum disahkan meninggal dunia selepas dikejarkan ke hospital.

    Pihak polis tempatan mendapati, bata berkenaan dilempar dari sebuah rumah milik seorang lelaki, Omprakash Mishra di bangunan itu.

    Omprakash memaklumkan pihak berkuasa dia meletakkan dua batu bata di atas tangki air rumahnya bagi mengelakkan monyet-monyet di kawasan itu membukanya.

    Menurut pihak polis, sekumpulan monyet mengalih kedua-dua batu bata daripada atas tangki berkenaan dan melempar salah satu daripadanya ke bawah bangunan dan terkena kepala Kurbaan.

    DIfahamkan, Kurbaan menjual beg di sebuah kedai berhampiran dan kejadian itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan untuk membeli bahan-bahan membuat beg.

  • Polis berkas Tokan aktif edar dadah di paya bakau

    Polis berkas Tokan aktif edar dadah di paya bakau

    TAKTIK seorang tokan dadah yang aktif membekalkan dadah di kawasan paya bakau terpencil di Bagan Pasir, Tanjong Karang, terbongkar apibila berjaya dihidu pihak berkuasa.

    Lelaki warga tempatan berusia 52 tahun itu ditahan dalam satu serbuan dilakukan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih pada pukul 12.30 tengah hari semalam.

    Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Semenyih, Superintendan Rizal Mohamed berkata, selepas menahan suspek yang mulanya dilihat dalam keadaan mencurigakan, pemeriksaan polis menemukan heroin seberat 33.8 gram.

    “Turut dirampas, syabu seberat 8.1 gram dan sebiji pil dipercayai Eramin 5 seberat 0.2 gram.

    “Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah 42.1 gram dengan anggaran nilai RM1,415.

    “Dadah yang dirampas ini mampu menampung penggunaan seramai 140 penagih. Suspek didapati aktif membekalkan dadah kepada penagih sejak lebih sebulan lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, dengan tertangkapnya suspek, pihaknya berjaya memutuskan aktiviti pengedaran dadah di sekitar Bagan Pasir.

    Tangkapan dan rampasan katanya, dibawa ke Balai Polis Tanjong Karang mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    “Saya memohon masyarakat supaya memberi kerjasama dan menyalurkan maklumat kepada kami berhubung aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.

  • JIM tahan 213 buruh binaan asing

    JIM tahan 213 buruh binaan asing

    SERAMAI 213 buruh binaan warga asing ditahan pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi serbuan di dua tapak pembinaan berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan(LRT) Sri Rampai, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, semalam.

    JIM dalam satu kenyataan memaklumkan, buruh binaan warga asing itu terdiri daripada 210 lelaki dan tiga wanita.

    “Kesemua yang ditahan terdiri daripada 172 warga Bangladesh diikuti Indonesia (20 orang), Pakistan (10 orang), Vietnam (enam orang), India (tiga orang) dan Myanmar (dua orang).

    “Mereka ditahan selepas didapati terlibat dalam pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen dalam operasi bersepadu tersebut.

    “Antara kesalahan dilakukan ialah mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/1963 dan Perkara 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen,” menurut kenyataan dalam Facebook rasmi Imigresen Malaysia.

    Buruh binaan warga asing yang ditahan itu terdiri daripada 210 lelaki dan tiga wanita.

    JIM memberitahu, seramai 254 buruh asing diperiksa dalam operasi yang dijalankan dengan kerjasama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

    Semua pekerja warga asing yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

    Difahamkan kebanyakan buruh asing terbabit didaftarkan di bawah majikan yang berbeza malah ada yang memiliki permit kerja di sektor pertanian sebaliknya mereka bekerja di tapak pembinaan tersebut.

    Malah terdapat kontraktor utama sendiri tidak mengetahui status permit kerja kebanyakan buruh yang dibawa masuk oleh sub-kontraktor yang bekerja di tapak pembinaan berkenaan.

  • Lelaki maut, motosikal terbabas langgar bonggol jalan

    Lelaki maut, motosikal terbabas langgar bonggol jalan

    SEORANG penunggang motosikal maut selepas dipercayai terbabas ketika melalui kawasan bonggol di simpang Antara Gapi, Hulu Selangor, malam tadi.

    Kejadian pukul 8.10 malam itu berlaku ketika mangsa dikatakan dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, mangsa lelaki berusia 20 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Polis menerima laporan kejadian itu pada jam 8.10 malam. Siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dari rumahnya di Antara Gapi menghala ke tempat kerja di sebuah kilang pembuatan produk automatif, juga di Antara Gapi.

    “Setiba di lokasi, motosikal Honda Dash ditunggang mangsa hilang kawalan ketika melalui bonggol jalan menyebabkan mangsa terjatuh. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Anggota bomba bantu mangsa banjir meninggal dunia

    Anggota bomba bantu mangsa banjir meninggal dunia

    SEORANG anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Tengah yang kemalangan ketika melakukan kerja-kerja penyelamatan di Sungai Putat, Batu Berendam, Melaka, semalam, meninggal dunia awal pagi ini.

    Pegawai Bomba PBK II Mohd. Diya Che Jusoh, 46, meninggal dunia pada pukul 3.11 pagi ketika mendapat rawatan di Hospital Melaka.

    Pengarah JBPM Negeri, Penolong Pesuruhjaya Abu Bakar Katain berkata, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid An-Nur Krubong, pada jam 10 pagi.

    Katanya, ketika kejadian mangsa bersama-sama pasukannya sedang melakukan kerja-kerja penyelamatan 14 mangsa banjr yang terperangkap di anjung sebuah rumah berikutan arus deras dan paras air meningkat dengan cepat.

    Menurut beliau, pasukan itu menggunakan alat pelindungan diri seperti jaket keselamatan ketika membuat penyelamatan secara ‘water crossing’ di lokasi kejadian bagaimanapun mangsa tergelincir akibat ditolak arus deras dan terperangkap di longgokan rumput hanyut.

    Ujarnya, mangsa kemudian diselamatkan anggota bomba yang lain serta diberikan bantuan pernafasan di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Melaka menggunakan Jentera Emergency Medical Rescue Service (EMRS) BBP Melaka Tengah.

    “Mangsa yang menerima rawatan di hospital masih tidak sedarkan diri dan bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan sebelum menghembuskan nafas terakhir.

    “Warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Negeri Melaka merakamkan ucapan takziah dan amat berdukacita di atas insiden tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Media semalam melaporkan seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Tengah dipercayai pengsan semasa melakukan kerja-kerja penyelamatan di Sungai Putat.

    Kejadian pukul 5.30 petang itu dipercayai berlaku ketika mangsa sedang memasang tali di kawasan banjir untuk membantu penduduk kampung keluar dari kediaman masing-masing.

  • Padah 8 kanak-kanak tunggang basikal lajak secara berbahaya

    Padah 8 kanak-kanak tunggang basikal lajak secara berbahaya

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TINDAKAN sekumpulan kanak-kanak menunggang basikal lajak secara berbahaya mengundang padah apabila mereka ditahan dalam satu operasi khas di Johor Bahru utara pada 15 dan 16 Oktober lalu.

    Menerusi operasi khas basikal lajak yang dilakukan di dua lokasi berbeza di daerah itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Johor Bahru Utara menahan lapan penunggang basikal lajak berusia 10 hingga 15 tahun.

    Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid, mereka ditahan selepas disyaki menunggang dengan aksi berbahaya secara berkumpulan di dua lokasi berbeza tersebut.

    Pihaknya turut melakukan sitaaan dua motosikal yang terlibat dalam kegiatan tersebut.

    “Pemeriksaan mendapati banyak basikal telah diubah suai dan tidak mengikut spesifikasi basikal yang selamat untuk ditunggang.

    “Semua penunggang dan basikal masing-masing dibawa ke Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, soal siasat mendapati seorang daripada mereka yang merupakan remaja berusia 15 tahun berperasanan sebagai mekanik basikal lajak.

    “Ramai rakan basikal lajak yang datang ke rumahnya untuk membaiki dan menukar alat ganti daripadanya. Hasil pemeriksaan di rumahnya juga menemui komponen-komponen basikal lajak,” katanya.

    Beliau berkata, semua penjaga dan ibu bapa kepada semua yang ditahan sudah dipanggil serta diberi penerangan mengenai bahaya basikal lajak dan kesan kepada penunggang sekiranya berlaku kemalangan.

    “Ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak mereka tidak menunggang basikal lajak di jalan raya,” katanya.

    Menerusi operasi itu katanya, lapan basikal lajak dirampas untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 112 (3) Akta Pengangkutan Jalan Raya

    (APJ) 1987 dan penunggang basikal pula disaman mengikut 42(1) (A) LN 166/59 Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959 kerana ubah suai basikal.

    Selain itu katanya, dua saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal mengikut Sekysen 26 (1) APJ 1987 kerana tiada lesen memandu dan dua buah motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 APJ 1957.

    Ini termasuk juga satu saman di bawah Kaedah 4 Kaedah-kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973 kerana tidak memakai topi keledar, katanya.

  • Tiada unsur jenayah dalam kes 2 beradik angkat mati dalam rumah

    Tiada unsur jenayah dalam kes 2 beradik angkat mati dalam rumah

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju mengesahkan kematian dua mayat dipercayai adik-beradik angkat dalam sebuah rumah di Blok B projek perumahan rakyat (PPR) Sri Semarak, Kuala Lumpur pagi tadi, tiada unsur jenayah.

    Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, kes penemuan mayat lelaki 51 tahun dan mayat wanita 50 tahun itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

    “Kedua-duanya mempunyai masalah kesihatan iaitu kencing manis dan darah tinggi serta sering mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

    “Balai Polis Wangsa Maju menerima maklumat dari orang awam berkaitan kes kematian di Blok B PPR Sri Semarak, Setapak Jaya, Kuala Lumpur itu kira-kira pukul 11 pagi hari ini.

    “Berdasarkan maklumat, polis pergi ke lokasi dan dengan bantuan bomba yang diperlukan untuk memecahkan pintu utama memandangkan rumah mangsa terkunci dari dalam.

    “Selepas berjaya masuk, polis menemui dua mayat di dalam rumah itu.

    “Mayat pertama seorang lelaki berusia 50 tahun ditemui dalam keadaan terbaring di ruang tamu manakala mayat kedua seorang perempuan berusia 51 tahun ditemui mati dalam bilik utama terbaring di atas katil,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

    Beliau berkata, siasatan di tempat kejadian dibuat dan hasil pemeriksaan tubuh badan kedua-dua mayat serta tempat kejadian, tiada ditemui sebarang unsur jenayah.

    Katanya, kedua-duanya tidak mempunyai ikatan perkahwinan dan bekerja di Syarikat Alam Flora sebagai pekerja kontraktor pembersihan.

    “Kedua-dua si mati tidak hadir bekerja pada hari ini menyebabkan rakan mereka cuba menghubungi tetapi gagal dan pergi ke kediaman si mati sebelum mendapati pintu rumah terkunci dari dalam.

    “Rakan si mati kemudian menghubungi polis. Hasil temubual dengan jiran si mati juga mendapati kali terakhir melihat kedua-dua si mati pada hari Isnin,” katanya.

    Menurutnya, kedua-dua mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

    Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes boleh menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

  • Lima ‘polis’ ditahan lakukan pemerasan

    Lima ‘polis’ ditahan lakukan pemerasan

    POLIS menahan lima lelaki yang menyamar sebagai polis selepas mereka mengaut keuntungan RM6,700 hasil daripada melakukan pemerasan terhadap peniaga di sekitar Sabak Bernam, Sungai Besar.

    Kesemua suspek yang ditahan berusia 21 hingga 43 tahun ditahan selepas berada dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah bank di pekan Sekinchan pada 8.30 malam, 15 Oktober lalu.

    Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pihaknya menerima lima laporan dibuat peniaga berhubung jenayah itu hingga ada antara mangsa mengalami kerugian ribuan ringgit.

    “Modus operandi suspek adalah memasuki premis dan menggunakan alasan untuk melakukan pemeriksaan sekiranya terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    “Suspek kemudian melakukan pemerasan dengan mengugut mangsa supaya membayar sejumlah wang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, hari ini.

    Kataya, kejadian pertama berlaku pada 14 Oktober lalu terhadap peniaga kedai runcit berusia 53 tahun di Pekan Batu 39, Sabak Bernam.

    Beliau berkata, kumpulan itu kemudian melakukan jenayah itu pada keesokannya dengan memeras ugut seorang peniaga di Parit Baru, Sungai Air Tawar.

    Menurutnya, kali terakhir kegiatan itu dilakukan di sebuah kedai di Jalan Sungai Limau, Sungai Besar pada pukul 4 petang.

    Katanya, siasatan awal mendapati salah seorang suspek bekas anggota polis dan pernah berkhidmat di sebuah balai polis di Perak sebelum ditamatkan perkhidmatan tahun lalu.

    “Suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau. Kumpulan ini dikesan melakukan kegiatan terbabit dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser.

    “Mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 384 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 89(a) Akta Polis 1967,” katanya.

  • Tiada data pengguna MySejahtera diceroboh

    Tiada data pengguna MySejahtera diceroboh

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memberi jaminan tiada data pengguna dalam aplikasi MySejahtera yang diceroboh atau digodam pihak bertanggungjawab.

    Ini selepas aduan beberapa pengguna aplikasi berkenaan yang menerima kata laluan sekali (OTP) untuk mengesahkan nombor telefon melalui pendaftaran masuk QR ke sesebuah premis.

    Pasukan MySejahtera dalam satu kenyataan ringkas memaklumkan, telah menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut dan mendapati fungsi pendaftaran QR bagi premis perniagaan telah disalahguna.

    Katanya, penyalahgunaan itu melalui akses skrip kepada nombor telefon secara rawak.

    Namun begitu, Pasukan MySejahtera memaklumkan tindakan pantas telah dilakukan dengan menyekat aplikasi pengaturcaraaan antaramuka (API).

    “Kami telah menerima banyak aduan melalui talian bantuan MySejahtera dan media sosial mengenai permintaan OTP bagi mengesahkan nombor telefon mereka untuk pendaftaran QR daftar masuk ke sesebuah premis.

    “Pasukan MySejahtera telah menjalankan siasatan dan mendapati fungsi pendaftaran kod QR untuk kegunaan di premis perniagaan disalahgunakan oleh akses skrip yang menghantar OTP kepada nombor telefon secara rawak.

    “Kami mohon maaf atas kejadian ini dan ingin meyakinkan semua pengguna bahawa tiada data pengguna yang diakses oleh skrim ini tetapi hanya berlaku penyebaran nombor telefon secara rawak,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.

    Beberapa pengguna aplikasi MySejahtera membuat aduan mengatakan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) antara pukul 12 tengah malam Ahad hingga awal pagi Isnin meminta pengguna mengesahkan akaun mereka melalui OTP.