Category: Jenayah

  • Cemar sungai dengan minyak, premis selenggara kenderaan dikompaun RM30,000

    Cemar sungai dengan minyak, premis selenggara kenderaan dikompaun RM30,000

    SEBUAH premis penyelenggeraan kenderaan komersial dan lori (fleet operator) dikompaun RM30,000 selepas didapati menjadi punca pencemaran minyak di dalam Sungai Kubang Semang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

    Selain itu, arahan serta-merta turut dikeluarkan kepada pihak premis untuk menghentikan pelepasan buangan minyak dan menjalankan kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak yang telah memasuki Sungai Kubang Semang dengan segera bagi mengawal sebarang impak alam sekeliling yang lebih serius.

    Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, tindakan ke atas premis itu diambil selepas pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap premis terbabit semalam susulan aduan diterima daripada orang awam berhubung pencemaran minyak di dalam sungai berkenaan.

    Jelasnya, siasatan awal oleh pegawai JAS Pulau Pinang yang dijalankan sekitar empat kilometer sepanjang Sungai Kubang Semang sebaik sahaja menerima aduan pada pukul 11 malam kelmarin telah mengesan kilauan minyak (oil sheen) di dalam sungai terbabit.

    Tambahnya, pemeriksaan susulan yang dijalankan semalam pula mendapati pelepasan buangan minyak tersebut berpunca daripada salah sebuah premis penyelenggeraan kenderaan komersial dan lori (fleet operator) berhampiran sungai tersebut.

    “Hasil pemeriksaan mendapati premis itu gagal menyelenggara perangkap minyak (oil trap) dan oil interceptor dengan baik. Hal ini menyebabkan berlakunya pencemaran minyak daripada premis tersebut ke dalam perairan daratan.

    “Premis tersebut yang menjalankan perniagaan kontrak pengangkutan komersial (fleet operator) bersama dengan beberapa syarikat petrokimia utama di Malaysia turut didapati gagal menguruskan buangan terjadual yang dihasilkan mengikut kehendak Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

    “Premis itu juga gagal menyediakan Orang Yang Berwibawa (competent person) bagi menguruskan buangan terjadual seperti kehendak Seksyen 49A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Anggota JAS melakkan pemeriksaan longkang di sebuah premis selepas didapati menjadi punca pencemaran minyak di dalam Sungai Kubang Semang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang

    Tambah beliau, JAS Pulau Pinang memandang serius isu pencemaran itu dan tindakan yang lebih tegas akan dikenakan kepada pihak premis bagi kesalahan lain yang mungkin ditemui semasa pemeriksaan susulan.

    Katanya, tindakan yang tegas juga akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang gagal menguruskan buangan terjadual.

    “Kita menyeru kepada semua syarikat petrokimia atau mana-mana syarikat perniagaan yang menggunakan khidmat pengangkut menjalankan audit pematuhan (compliance audit) ke atas semua kontraktor fleet operator yang berurusan dengan syarikat mereka.

    “Ini bagi sama-sama memastikan pematuhan kepada peruntukan perundangan berkaitan alam sekitar adalah dipatuhi di setiap peringkat operasi,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan sebarang buangan minyak mineral yang terhasil daripada penyelenggaraan  perangkap minyak (oil interceptor dan oil trap) haruslah diuruskan di premis-premis yang dilesenkan oleh JAS sahaja.

    “Kita juga telah mengeluarkan Notis Arahan kepada premis untuk menjalankan pembersihan di kawasan yang telah tercemar serta menanggung sepenuhnya kos terlibat. 

    “Premis juga diarahkan menjalankan kajian tanah tercemar dan menanggung sepenuhnya kos kajian dan pembersihan,” katanya.

    Tambah beliau, sebarang aduan atau maklumat berkaitan pencemaran alam sekitar yang tertakluk kepada bidang kuasa Jabatan Alam Sekitar boleh dikemukakan melalui saluran talian bebas tol 1-800-88-2727 atau laman sesawang e-Aduan di pautan https://eaduan.doe.gov.my/.

  • Dua premis judi pantau polis guna CCTV diserbu

    Dua premis judi pantau polis guna CCTV diserbu

    WALAUPUN menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengesan kehadiran pihak berkuasa, dua premis di Kajang yang menjalankan kegiatan perjudian dalam talian masih ‘tidak selamat’ malah digempur polis semalam.

    Taktik tersebut tidak berkesan apabila diserbu dalam operasi Ops Dadu Khas bermula pukul 9 malam melibatkan 20 pegawai dan 42 anggota sebelum berjaya menahan sembilan individu berusia lingkungan 20 hingga 40-an.

    Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Selangor, Asisten Komisioner Zaldino Zaludin berkata, polis telah menahan sembilan individu warga tempatan terdiri daripada tiga penjaga premis dan enam pelanggan.

    “Pelbagai barang dipercayai digunakan untuk permainan judi online telah dirampas antaranya komputer riba, tablet, modem serta wang tunai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Zaldino berkata, siasatan mendapati premis terbabit beroperasi dengan hanya membenarkan pelanggan tetap sahaja masuk.

    Selain dilengkapi pintu besi katanya, premis itu juga diawasi dengan CCTV untuk mengesan sekiranya ada serbuan dilakukan pihak berkuasa.

    “Kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” ujarnya.

  • Kapal kargo bersauh haram berdepan denda RM100,000

    Kapal kargo bersauh haram berdepan denda RM100,000

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEBUAH kapal kargo pukal yang berdaftar di Kepulauan Marshall ditahan selepas disyaki bersauh secara haram di perairan Johor Timur, pagi semalam.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal kargo itu ditahan pada pukul 11.03 pagi di kedudukan 10 batu nautika timur laut Tanjung Penawar, Kota Tinggi.

    Katanya kapal yang ditahan menerusi Operasi Jangkar Haram itu dikendalikan seramai 22 orang krew.

    “Kesemua krew terdiri daripada warga Ukraine, Russia, Filipina dan Sri Lanka yang berumur antara 20 hingga 61 tahun dan mempunyai pengenalan diri yang sah.

    “Bagaimanapun hasil pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

    “Ekoran itu kapal serta semua krew ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambahnya bagi kesalahan bersauh tanpa kebenaran, denda boleh dikenakan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

    Jelasnya, Maritim Malaysia menerusi Operasi Jangkar Haram akan terus memastikan perairan negeri Johor sentiasa terpelihara daripada sebarang cubaan bersauh tanpa kebenaran terutama di perairan Johor timur.

  • Guru wanita maut kereta bertembung lori

    Guru wanita maut kereta bertembung lori

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG guru wanita dalam perjalanan ke sekolah maut apabila kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah lori di simpang tiga Alor Gajah Lama, di Melaka, pagi tadi.

    Dalam kemalangan kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Sakura@Muna Sakura Muhammad Perang, 54, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Mangsa difahamkan dalam perjalanan untuk bertugas di sebuah sekolah menengah di Durian Tunggal.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintenden Hasan Basri Yahya berkata, ketika kejadian lori dipandu lelaki berusia 43 tahun itu dalam perjalanan dari arah Krubong ke Nyalas, Jasin.

    Kereta dipandu guru wanita berkenaan remuk teruk selepas terlibat kemalangan dengan sebuah lori

    Sementara mangsa yang mengalami cedera parah di bahagian kepala dari Taman Nuri menghala ke Durian Tunggal.

    “Berdasarkan hasil siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa dari arah simpang cuba membelok ke kanan.

    “Lori tanpa muatan itu yang kebetulan melalui lokasi kejadian, dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian kanan kenderaan mangsa,” katanya.

    Sakura@Muna Sakura Muhammad Perang

    Susulan rempuhan itu, beliau berkata, kereta mangsa terseret sejauh lebih enam meter.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan sebelum mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Alor Gajah, untuk bedah siasat.

    “Kedua-dua kenderaan terbabit kemudian dibawa balik ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk dihantar ke PUSPAKOM bagi tindakan lanjut,” katanya.

    Hasan Basri berkata, siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • PGA rampas arak tiruan, rokok dan mercun seludup

    PGA rampas arak tiruan, rokok dan mercun seludup

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PASUKAN Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam menumpaskan sindiket penjualan arak tiruan serta penjualan rokok dan mercun seludup dengan nilai rampasan keseluruhan RM34,651 dalam dua serbuan berasingan di Pontian dan Simpang Renggam, Kluang, semalam.

    Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintenden Dimin Awang berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah pondok di Kampung Sungai Burung Pekan Nanas, Pontian pukul 4.30 petang yang dijadikan tempat memproses arak tiruan.

    Beliau berkata, dalam serbuan itu, empat lelaki warga asing berumur lingkungan 19 hingga 44 tahun berada dalam premis tersebut.

    “Hasil siasatan awal terhadap suspek dipercayai menjadikan pondok tersebut sebagai tempat memproses dan menjual samsu haram di sekitar kawasan Pontian.

    “Tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket penjualan arak tiruan disekitar kawasan Pontian yang menyasarkan pekerja asing disekitar kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam serbuan itu katanya, polis merampas 210 botol plastik 1.5 liter berisi cecair jernih disyaki samsu, 14 tong 20 liter berisi cecair disyaki samsu, tiga tong gas, dua set dapur dan dua periuk.

    Katanya, ini termasuk 22 bungkusan gula serta dua tong berwarna biru serta wang tunai berjumlah RM1,000 dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM15,992.

    Dimin berkata, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 75 Akta Eksais 1976.

    Mercun seludup yang dirampas dalam serbuan kedua dilakukan PGA di Jalan Parit Haji Hashim, Simpang Renggam, Kluang

    Tambahnya, tangkapan dan rampasan kedua dilakukan pada pukul 5.30 petang dengan menahan seorang lelaki warga tempatan dan dua lelaki warga asing berumur lingkungan 21 hingga 29 tahun di Jalan Parit Haji Hashim, Simpang Renggam.

    Ujarnya, susulan penahanan suspek tersebut, pihaknya berjaya merampas 29 kotak mercun pelbagai jenama dan 28 karton rokok pelbagai jenama dipercayai diseludup dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi SE.

    “Hasil siasatan awal terhadap kesemua suspek dipercayai aktif membekalkan mercun dan rokok tidak bercukai ke kedai-kedai runcit
    di sekitar kawasan Simpang Renggam. Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM53,659.

    “Tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Kluang untuk tindakan lanjut,” katanya kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957(Akta 207).

    Tambah beliau, tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran mercun dan rokok tidak bercukai di sekitar kawasan Simpang Renggam.

  • 2 motosikal konvoi rentung, seorang lelaki maut

    2 motosikal konvoi rentung, seorang lelaki maut

    SEORANG lelaki maut manakala rakannya cedera selepas motosikal yang ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan sebelum terbakar di Kilometer 39.6 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang hari ini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata mangsa yang maut berusia dalam lingkungan 30-an, manakala rakannya yang cedera pula dianggarkan berusia dalam 20-an.

    “Mereka dipercayai sedang berkonvoi motosikal dari Melaka pulang ke Perak.

    “Punca kemalangan masih dalam siasatan bagaimanapun impak kemalangan itu menyebabkan kedua-dua motosikal itu terbakar 90 peratus,” katanya.

    Norazam berkata mangsa yang maut dipercayai akibat kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, manakala rakannya pula telah dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

    Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.05 petang tadi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 20 minit kemudian. – BERNAMA

  • Penagih dadah bersenjata rempuh polis semasa cuba lari

    Penagih dadah bersenjata rempuh polis semasa cuba lari

    SEORANG lelaki dipercayai penagih dadah bersenjatakan sebilah pisau dan pemutar skru yang dikehendaki polis ditahan di sebuah kedai cermin mata berdekatan Pasar Jelawat, di Bachok, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, lelaki berusia 30 tahun yang juga penagih dadah itu telah memasuki premis terbabit untuk menyembunyikan diri daripada ditahan polis.

    Beliau berkata, suspek sebelum ini dikehendaki polis susulan laporan yang dibuat oleh adik perempuan lelaki itu yang berusia 28 tahun pada 22 Okt lepas bahawa abangnya telah mengugut mahu mencederakan dia dan membakar keretanya. .

    “Pihak polis telah ke rumah suspek di Kampung Seneng, di sini kira-kira pukul 12 tengah hari tadi untuk menahannya.

    Suspek bagaimanapun bertindak agresif dengan berlari merempuh seorang anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok dan melarikan diri. Suspek juga dilihat memegang pisau dan pemutar skru sehingga menyukarkan tangkapan dibuat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Katanya, pihak polis yang membuat tindakan susulan berjaya menemukan suspek tiga kilometer dari rumahnya sebelum memasuki sebuah premis cermin mata di Pasar Jelawat, dalam cubaannya untuk menyembunyikan diri.

    “Anggota polis yang sudah mengekorinya bagaimanapun berjaya mengesan suspek dan menahannya dengan menggunakan pistol renjatan elektrik kerana suspek agak agresif.

    “Tiada tebusan sepertimana yang tular dalam media sosial. Semua pekerja premis itu telah pergi ke kedai sebelahnya untuk memudahkan pihak polis membuat tangkapan. Soal siasat awal, suspek mengaku terlibat berkaitan kes yang dilaporkan,” katanya.

    Beliau berkata polis turut merampas sebilah pisau, dua pemutar skru, empat biji pil kuda dan wang tunai berjumlah RM515 daripada suspek.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 447 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Peraturan 25(1)(e) & (o) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

    Menurut beliau berdasarkan siasatan polis suspek sebelum ini mempunyai lapan rekod kesalahan lampau berkaitan Seksyen 323, Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

    Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 22 saat menerusi perkongsian akaun Viral Media Kelate di Facebook dengan mendakwa bahawa berlaku rompakan bersenjata di sebuah kedai di lokasi berkenaan. – BERNAMA

  • Lelaki kantoi khayal heroin semasa pandu lori

    Lelaki kantoi khayal heroin semasa pandu lori

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TINDAKAN bahaya seorang lelaki memandu lori ketika di bawah pengaruh dadah jenis heroin menimbulkan kerisauan orang ramai terutamanya pengguna jalan raya yang berkongsi laluan dengan kenderaan berat itu.

    Lelaki berusia 40 tahun itu yang dipercayai memandu dari Muar bagaimanapun dicekup polis ketika tiba di Plaza Tol Skudai ketika dia diarahkan menjalani ujian saringan air kencing dalam Op Khas Bersepadu (Kenderaan Perdagangan), hari ini.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan awal mendapati suspek yang memandu secara bersendirian tanpa kelindan atau pembantu itu positif dadah jenis heroin.

    “Lori lima tan dipandu suspek tidak membawa apa-apa muatan dan dipercayai dalam perjalanan ke Pasir Gudang. Ketika ditahan anggota polis kira-kira pukul 9 pagi dia berada dalam keadaan tidak stabil.

    “Berdasarkan siasatan lanjut suspek mengaku mengambil dadah jenis heroin selain menunjukkan bungkusan plastik mengandungi dadah berkenaan yang disimpan dalam beg,” katanya dalam sidang akhbar operasi itu di sini, hari ini.

    Dalam operasi sama, seorang penghantar barang berusia 25 tahun yang memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger turut ditahan setelah didapati positif dadah jenis ganja ketika dalam perjalanan menghantar ikan hiasan dari Taman Ungku Tun Aminah ke Taman Sri Kluang di Kluang.

    “Pemeriksaan ke atas suspek menemukan ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja di dalam beg miliknya,” ujarnya.

    Sementara itu, sebanyak 93 saman dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dalam tempoh kurang tiga jam operasi itu dilaksanakan yang membabitkan pemeriksaan terhadap 152 kenderaan.

    Ayob berkata, operasi itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan orang awam berhubung pemanduan kenderaan perdagangan yang ingkar pematuhan undang-undang jalan raya.

    “Antara kesalahan yang sering dilakukan termasuklah memandu melebihi had laju, memandu secara berbahaya, brek tidak berfungsi, tayar botak, membawa muatan berbahaya, lampu isyarat tidak berfungsi selain halangan di lorong kecemasan,” katanya.

    Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, sebanyak 150 operasi ke atas kenderaan perdagangan
    telah dilakukan secara menyeluruh membabitkan kontinjen Johor sejak awal tahun hingga September lalu.

    “Dalam operasi yang telah dijalankan itu, sebanyak 208 buah kenderaan perdagangan yang lebih muatan telah disita di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat ( APAD) 2010 selain 341 saman POL 257 dikeluarkan,” katanya.

    Selain itu, polis juga akan meneruskan operasi dengan menggunakan Kamera ICOPS (intelligent compound online payment system) yang bertindak mengesan pengguna jalan raya dengan tunggakan kompaun serta waran tangkap.

    Tambahnya, sebanyak empat peranti ICOPS itu dibekalkan kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sejak awal tahun ini yang kini digunakan di Kota Tinggi, Johor Bahru Selatan dan Iskandar Puteri selain unit peronda Trafik di lebuh raya negeri ini.

    “Penggunaan alat ini dapat mengesan kenderaan yang mempunyai saman tertunggak, waran tangkap, nombor pendaftaran palsu dan rekod jenayah curi. Data kenderaan akan diperoleh melalui saringan nombor pendaftaran menerusi kamera ICOPS yang kemudian disambungkan dengan pengkalan data ICOPS JSPT,” katanya.

  • Jurutera mabuk pandu lawan arus rempuh 2 kereta

    Jurutera mabuk pandu lawan arus rempuh 2 kereta

    SEORANG jurutera yang memandu secara melawan arus hingga menyebabkan kemalangan dengan dua kereta dan mencederakan seorang pemandu, ditahan di Kilometer 26 Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, di Port Dickson, awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, hasil ujian dilakukan di Balai Polis Trafik Port Dickson mendapati lelaki berusia 29 tahun itu di bawah pengaruh alkohol.

    Jelasnya, kemalangan itu melibatkan tiga kereta iaitu kereta pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang dipandu suspek manakala dua lagi adalah kereta mangsa iaitu Proton Saga dan Toyota Vios.

    “Dalam kejadian kira-kira 2.45 pagi itu, lelaki berkenaan telah memandu secara melawan arus dari arah Port Dickson ke arah Seremban, kereta suspek kemudian merempuh dua kereta dari arah bertentangan.

    “Susulan kejadian itu, suspek tidak cedera namun seorang lelaki berusia 31 tahun yang memandu kereta jenis Proton Saga mengalami kecederaan iaitu patah paha kaki kanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Bagaimanapun, pemandu kereta Toyota Vios berusia 24 tahun bersama dua orang penumpang masing-masing berusia 23 dan 25 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Aidi Sham berkata lelaki berusia 31 tahun yang mengalami kecederaan itu dibawa ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut.

    Katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk permohonan reman pada pagi ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (pindaan 2020) dan Seksyen 42 (1) APJ 1987. – BERNAMA

  • Ular sawa ditangkap, tidak sempat baham lembu

    Ular sawa ditangkap, tidak sempat baham lembu

    SEEKOR ular sawa batik tidak sempat membaham lembu apabila berjaya ditangkap di Kampung Paya Luas, Temerloh, pukul 8.30 malam semalam.

    Reptilia tersebut dilihat datang dari kawasan paya menuju ke arah kandang lembu milik seorang penduduk kampung tersebut.

    Ketua Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Temerloh, Mohd Dzul Ain Bahirun berkata, reptilia tersebut dipercayai berusia antara tiga hingga empat tahun.

    “Saya bersama-sama tiga anggota APM mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menangkap ular berkenaan sepanjang tujuh meter dengan berat 150 kilogram dengan bantuan penduduk kampung.

    “Ular sawa terbabit bertindak agresif sebelum berjaya ditangkap dengan menggunakan peralatan khas,” katanya hari ini.

    Katanya, ular sawa itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

    Sementara itu, Pegawai APM Temerloh, Mohd. Ikram Haron berkata, pihaknya merekodkan purata 20 tangkapan ular setiap bulan di daerah ini yang menyaksikan jumlah aduan meningkat ketika musim panas.

    “Antara ular yang sering ditangkap ialah sawa, tedung hitam dan selar di mana ular sawa yang ditangkap malam semalam adalah yang terbesar pada tahun ini,” katanya.