Category: Jenayah

  • Budak maut terjatuh dari tingkat tujuh selepas ikuti PdPR

    Budak maut terjatuh dari tingkat tujuh selepas ikuti PdPR

    SEORANG kanak-kanak perempuan yang pada mulanya mengikuti kaedah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) dalam biliknya ditemukan maut dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh di sebuah pangsapuri di Presint 5, Putrajaya semalam.

    Kejadian tersebut berlaku pukul 6.14 petang semasa kanak-kanak tersebut yang berusia 11 tahun tinggal bersama-sama kakaknya, 14, dan adik lelakinya, 7, semasa ibu bapanya keluar bekerja.

    Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian, mangsa tinggal bersama kakaknya yang berumur 14 tahun dan adik lelaki berumur tujuh tahun di rumah manakala ibu bapa mereka keluar bekerja.

    “Ketika itu mangsa sedang belajar secara dalam talian di bilik tidur seorang diri dan bilik itu berkunci dari dalam manakala jeriji tingkap hanya menggunakan selak,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Katanya, kejadian disedari ibu bapa mangsa selepas pulang dari kerja kira-kira pukul 6 petang yang mendapati bilik mangsa berkunci.

    “Selepas dibuka mereka mendapati mangsa tiada di dalam bilik dan kemudian turun ke tingkat bawah apartmen. Ketika itu orang ramai sedang berkumpul dan mendapati anak mereka terbaring di lantai,” katanya.

    Menurutnya, mangsa kemudian diberikan rawatan kecemasan awal di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya kira-kira pukul 7 malam,” katanya.

    Tambahnya, siasatan masih dijalankan dan setakat ini kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR) sementara menunggu bedah siasat dan ujian Covid-19 diperoleh.

  • Maritim Pulau Pinang bantu kru kapal Turki tidak sedarkan diri

    Maritim Pulau Pinang bantu kru kapal Turki tidak sedarkan diri

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang membantu memindahkan dan memberi bantuan perubatan kepada seorang kru kapal Turki yang tidak sedarkan diri ketika kapal mereka dalam perjalananan menuju ke Pelabuhan Pulau Pinang semalam.

    Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Ankara, Turki pukul 5.25 petang semalam.

    Jelas beliau, sebaik sahaja menerima maklumat itu, bot PERKASA 1221 diatur gerak serta-merta ke lokasi kecemasan di sekitar 62 kilometer barat daya Pulau Kendi bagi melaksanakan pemindahan dan bantuan perubatan kepada mangsa. 

    Tambahnya, bot PERKASA 1221 tiba di lokasi kejadian pukul 6.33 petang dan mangsa dipindahkan daripada kapal ke bot untuk dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban.

    “Mangsa iaitu Dogan Serafettin, 60, yang merupakan warga Turki kemudiannya segera dibawa ke Hospital Pantai Pulau Pinang (HPP) sebaik sahaja tiba di jeti untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Dalam pada itu, beliau meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146.

  • Tinggal motosikal sebelum jatuh Jambatan Kedua Pulau Pinang

    Tinggal motosikal sebelum jatuh Jambatan Kedua Pulau Pinang

    SEORANG lelaki dikhutiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut dari jambatan kedua Pulau Pinang atau Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di Kilometer 12.6 arah Batu Maung, Pulau Pinang awal pagi tadi.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pukul 2.47 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru bergegas ke lokasi kejadian.

    Katanya, mangsa iaitu seorang lelaki berusia 20 tahun yang beralamat di Nibong Tebal, Seberang Perai dikatakan telah bertindak terjun ke dalam laut.

    “Mangsa turut meninggalkan sebuah motosikal jenis Benelli di atas jambatan,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pihaknya telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) sebaik sahaja menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

    Katanya, operasi itu digerakkan dengan mengatur gerak bot KILAT 26 ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian yang turut melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Pasukan Polis Marin Batu Uban.

    “Selain itu, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) turut ditubuhkan berhampiran jambatan kedua Batu Maung dan sehingga kini usaha pencarian masih diteruskan,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau turut meminta orang awam yang memiliki sebarang maklumat menyalurkan kepada pihak Maritim Malaysia dan melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

  • Cubaan seludup 12 lembu dari Thailand pada awal pagi gagal

    Cubaan seludup 12 lembu dari Thailand pada awal pagi gagal

    CUBAAN sebuah lori untuk menyeludup masuk 12 ekor lembu di Kampung Nechang, Tumpat semalam gagal apabila berjaya dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA 9) semasa melakukan pemeriksaan.

    Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA Kuala Terengganu, Superintendan Nor Azizan Yusof, lori itu dikesan dalam keadaan mencurigakan pada pukul 5.20 pagi di Jalan Kampung Kajang Sebidang, Kuala Jambu.

    “Ketika pihak kami cuba menahan lori berkenaan, pemandu lori terbabut bertindak memecut kenderaannya ke arah Jalan Kampung Telaga Bata, namun berjaya ditahan di Kampung Nechang, Tumpat.

    “Pemeriksaan ke atas lori tersebut berkenaan menemui 12 ekor lembu yang dianggarkan bernilai RM126,000 disyaki diseludup masuk dari negara Thailand dan jumlah keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM226,000,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Katanya, sebanyak 12 ekor lembu yang dipercayai diseludup dari Thailand tidak sempat dijual.

    Pihaknya menahan pemandu dan kelindan berusia 35 dan 20 tahun dan dibawa ke Balai Polis Chabang Empat untuk tindakan lanjut.

    Beliau berkata, rampasan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 26 Akta Binatang 1953.

  • SPRM tahan eksekutif GLC disyaki salah guna kedudukan

    SPRM tahan eksekutif GLC disyaki salah guna kedudukan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan tiga individu termasuk seorang eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) hari ini kerana disyaki menyalahgunakan kedudukan dalam urusan projek di syarikat GLC tersebut.

    Selain lelaki itu, dua lagi yang ditahan disyaki terlibat dalam projek tersebut adalah seorang lelaki dan wanita, masing-masing merupakan pemilik syarikat swasta.

    Kesemua mereka yang berusia antara 40 hingga 57 tahun itu ditahan kira-kira 4.30 petang di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.

    Menurut sumber, eksekutif syarikat GLC terbabit telah menggunakan kedudukannya sebagai ketua projek dengan mengesyorkan dan melantik proksinya sebagai pengurus projek di syarikat swasta itu bagi menguruskan projek tersebut bagi pihaknya.

    Difahamkan ketiga-tiga mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok bagi permohonan reman.

    Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut namun enggan mengulas lanjut. – BERNAMA

  • Kes pegawai bank disyaki pecah amanah:Enam laporan disiasat

    Kes pegawai bank disyaki pecah amanah:Enam laporan disiasat

    PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din memberitahu, enam laporan masih disiasat polis dalam kes melibatkan seorang pengurus perhubungan pelanggan di sebuah institusi perbankan yang ditahan kerana terlibat kes pecah amanah.

    “Suspek ditahan pada 21 September lalu. Hasil siasatan mendapati suspek melakukan pecah amanah dengan menggunakan wang simpanan tetap milik mangsa untuk membeli tujuh jongkong emas untuk dirinya sendiri.

    “Kami menerima tujuh laporan polis berkaitan kes pecah amanah ini membabitkan kerugian RM4 juta. Suspek telah dituduh di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan pada 27 September lalu namun mengaku tidak bersalah serta ditawarkan jaminan berjumlah RM30,000.

    “Enam lagi laporan polis pula masih dalam siasatan. Kami percaya ramai lagi mangsa mengalami kerugian akibat perbuatan suspek, namun belum membuat laporan polis,” ujar Mohd. Kamarudin mengulas perkembangan kes itu, hari ini.

    Mangsa-mangsa yang terlibat katanya, diminta tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut.

  • Berpura-pura meminta sedekah sebelum samun dalam kuil

    Berpura-pura meminta sedekah sebelum samun dalam kuil

    BERPURA-PURA menjadi peminta sedekah sebelum melakukan samun sebuah kuil di Jalan Segambut, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

    Dalam kejadian pada pukul 10 malam, dua lelaki dan seorang wanita masuk ke dalam kawasan kuil dan menemui seorang wanita berusia 51 tahun dalam sebuah bilik.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, mereka menyamar sebagai peminta sedekah sebelum meminta makanan dari luar bilik wanita berkenaan.

    “Setelah mangsa membuka pintu, dua lelaki masuk ke dalam bilik itu lalu memukul mangsa dengan kayu di kepala, badan dan muka serta membawa lari sebentuk cincin emas, pasport, wang tunai RM500 dan dua buah telefon bimbit milik mangsa,” katanya melalui kenyataan hari ini.

    Eng Lai berkata, susulan kejadian itu, polis berjaya memberkas suspek berusia 16 hingga 35 tahun pada jam 11 malam semalam.

    “Kita turut merampas sebuah telefon bimbit, wang tunai RM100 serta pakaian yang digunakan semasa kejadian,” katanya.

    Beliau berkata, seorang suspek juga disiasat di bawah Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966 kerana mempunyai beberapa tatu di badan disyaki ahli kumpulan pertubuhan yang tidak sah.

    “Ketiga-tiga tangkapan mengaku terlibat dalam kes samun itu,” katanya.

    Katanya, dua suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau dan dua rekod masih dikehendaki atas kesalahan jenayah dan dadah.

    “Ketiga-tiga suspek direman selama lima hari bermula Isnin hingga Jumaat bagi membantu siasatan,” katanya.

  • Pelaburan 50 penuntut IPT dalam skim cepat kaya lebur

    Pelaburan 50 penuntut IPT dalam skim cepat kaya lebur

    TERPIKAT dengan janji manis dan keuntungan didakwa boleh melebihi satu peratus sehari dan 30 peratus sebulan.

    Itu menjadi tarikan kepada 50 penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Kota Bharu untuk melabur skim cepat kaya pembelian mata wang kripto dan mendakwa kerugian lebih RM200,000.

    Mereka juga sanggup menggunakan wang simpanan dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) masing-masing.

    Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Yusoff, 19, berkata, dia dan rakan-rakannya mula menyertai pelaburan berkenaan pada awal Jun lalu dan mereka difahamkan akan mendapat pulangan keuntungan melebihi satu peratus sehari.

    “Saya lihat iklan pelaburan ini dalam aplikasi WhatsApp yang dikongsi rakan-rakan dan mula masukkan RM130 ke dalam akaun berkenaan sebelum mendapat pulangan dalam masa sebulan.

    “Ketika itu saya tidak mengeluarkan wang diperoleh, sebaliknya menambahkan lagi jumlah pelaburan. Namun sejak dua minggu pertama pada Oktober, saya dan raka-rakan yang lain tidak dapat keluarkan duit masing-masing.

    “Malah sehingga satu tarikh, kami juga tidak dapat melihat jumlah wang dalam akaun berkenaan dan lebih memeritkan keesokan harinya aplikasi yang digunakan untuk melihat wang simpanan tersebut hilang serta digantikan dengan aplikasi sama, namun ‘perniagaan’ yang lain,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

    Seorang lagi mangsa, Rehal, 22, berkata, dia sanggup menggunakan duit PTPTN semata-mata untuk menggandakan wang berkenaan dengan niat membantu keluarganya.

    “Menyesal pun tiada guna, kini kami terpaksa menanggung bebanan hutang, ada yang bergadai, ada yang pinjam duit keluarga, rakan-rakan dan sebagainya.

    “Ada di antara rakan saya yang tampil buat laporan polis dan sebagainya. Kami berharap selepas ini, tiada yang terkena seperti kami, harap pihak berkuasa ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya menerima 21 laporan termasuk daripada penuntut IPTA di bandar ini dengan jumlah kerugian didakwa hampir RM900,000 selepas membuat pelaburan berkenaan sejak 18 Oktober.

    “Jumlah kerugian dilaporkan hampir RM900,000 dengan setiap mangsa mendakwa rugi antara RM140 hingga RM200,000 seorang.

    “Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi.

  • 17 termasuk warga asing ditahan terlibat judi dalam talian

    17 termasuk warga asing ditahan terlibat judi dalam talian

    JABATAN Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur menahan 17 individu kerana terlibat aktiviti perjudian dalam talian di sebuah premis di Jalan Pudu, Kuala Lumpur, Khamis lalu.

    Ketua JSJ Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Anuar Yusoff berkata, mereka semuanya berusia di antara 24 hingga 61 tahun.

    “Semuanya ditahan kerana bermain judi secara dalam talian dengan menggunakan komputer riba dan peranti mudah alih (tablet).

    “Selain 15 individu tersebut, kita turut menahan dua lelaki warga asing disyaki penjaga premis,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

    Pihaknya merampas sembilan buah komputer riba, 11 peranti tablet, 20 tetikus, 24 kerusi, satu buku catatan perjudian, dua buah telefon bimbit, sebuah monitor komputer, satu papan kekunci komputer dan wang tunai RM664.

    “Siasatan telah selesai dijalankan dan semua tangkapan telah dituduh pada Isnin di bawah Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

    Beliau berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menjalankan pemotongan bekalan elektrik ke atas premis tersebut atas permohonan yang dibuat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada pukul 3 petang tadi.

    “Pemotongan bekalan elektrik ini dilakukan mengikut kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 [Akta 289],” katanya.

  • Maut ditetak akibat bergaduh hilang telefon bimbit

    Maut ditetak akibat bergaduh hilang telefon bimbit

    HANYA kerana pergaduhan dipercayai akibat kehilangan telefon bimbit, seorang lelaki maut ditetak selepas bergaduh dengan rakan serumahnya dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Pak Abu, Kampung Telaga Air, Butterworth, Pulau Pinang malam tadi.

    Mangsa lelaki berusia 30 tahun itu maut selepas mengalami kecedaraan parah pada bahagian jari dan betis dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam tersebut.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, seorang saksi yang tinggal tidak jauh dari lokasi kejadian mendakwa terdengar pertengkaran mulut dari rumah yang disewa bersama-sama mangsa dan rakan serumahnya itu.

    “Saksi itu turut mendakwa melihat mangsa telah dibawa ke pondok di hadapan rumah mereka oleh dua lagi rakan sebelum menghubungi ambulan untuk membawa mangsa ke hospital berikutan mengalami kecederaan parah akibat ditetak,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Menurut beliau, mangsa yang dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagaimanapun disahkan meninggal dunia pukul 9.17 malam ketika menerima rawatan.

    Ekoran kejadian itu tambah Noorzainy, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun di kawasan Mak Mandin pukul 9 pagi ini bagi membantu siasatan kes tersebut.

    Jelasnya, siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam pertengkaran mulut dan pergelutan dengan mangsa.

    “Lelaki itu mendakwa memukul rakannya dengan buah kelapa di kepala sebelum mangsa terus berlari keluar rumah dan datang semula dengan sebilah parang serta cuba menetaknya.

    “Bagaimanapun dia merampas parang daripada tangan rakannya sebelum rakannya itu terjatuh dan suspek terus menetak suspek mengenai tangan kiri,” katanya.

    Tambahnya, polis kini sedang mengesan senjata yang digunakan lelaki itu dalam kejadian tersebut dan kes di siasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

    Menurutnya, hasil ujian saringan awal darah mendapati mangsa positif dadah selain mempunyai 15 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

    Jelasnya, suspek turut didapati positif dadah dan mempunyai 22 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah dan kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.