JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak melupuskan pelbagai dadah bernilai lebih RM58 juta yang membabitkan kes dari 15 daerah di negeri itu sejak 1988 hingga kini.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Mazlan Santarai berkata, pelupusan membabitkan 4,991 kertas siasatan sepanjang tempoh 33 tahun itu melibatkan kes-kes yang telah selesai perbicaraan.
“Pelupusan melibatkan 10 jenis dadah seberat 1,561.4 kilogram (kg), daun ketum (2,773.7 kg), 1.7 juta liter cecair ketum dan ubat batuk.
“Antara dadah yang dilupuskan adalah ganja seberat 699 kg, heroin (413 kg), syabu (34 kg), ketamin (1.2 kg), ecstasy (21.86 gram) dan 57 gram Eramin 5,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Majlis Pelupusan Barang Kes Narkotik JSJN di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini.
Menurutnya, kerja-kerja pelupusan itu akan dijalankan oleh sebuah syarikat di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.
Mazlan berkata, seramai 1,752 individu telah diambil tindakan sepanjang tempoh Januari hingga September lalu dalam usaha pembanterasan ke arah pengurangan bekalan dadah.
“Usaha sama dijalankan bagi membanteras pengurangan permintaan memiliki dadah dengan seramai 3,721 orang telah diambil tindakan manakala pengurangan positif urin pula melibatkan 1,598 orang.
“Pada masa sama, sebanyak 3,777 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 dan daripada jumlah itu, sebanyak 3,543 kertas siasatan telah dituduh iaitu pencapaian sebanyak 94 peratus,” katanya.
SEORANG sub kontraktor dipercayai mabuk maut selepas kereta dipandu terbabas dan melanggar pokok di Persiaran Gelang Patah, Iskandar Puteri, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, mangsa yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 59 tahun disyaki terjatuh dalam parit berhampiran sebelum dibawa arus deras.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, mangsa dipercayai lemas selepas dibawa arus hingga ke muara Sungai Ulu Pulai.
“Mangsa ditemukan tersangkut di sungai tersebut. Siasatan mendapati keretanya yang dalam keadaan remuk ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan pintu terbuka manakala sebelum mangsa disyaki terjatuh ke dalam parit utama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang bekerja sebagai seorang sub kontraktor itu ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian.
“Siasatan dengan dua rakan mangsa mengatakan mereka minum bersama-sama di Gelang Patah pada 30 Oktober 2021 sebelum balik menaiki kereta berasingan.
“Berdasarkan maklumat diberikan rakan, mangsa dalam keadaan mabuk selepas minum bersama-sama,” ujarnya sambil memaklumkan mayat mangsa dicamkan rakan mereka.
Dzulkhairi turut memberitahu, mayat mangsa di bawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk dibedah siasat.
TIGA termasuk dua warga Pakistan maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Kilometer 4, Jalan Chuah- Bukit Pelandok, Port Dickson, Negeri Sembilan, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, motosikal ditunggang seorang pekerja kontrak warga tempatan P. Daneshwaran, 22, dipercayai bertembung dengan motosikal dinaiki dua lelaki warga Pakistan iaitu Usman Muhammad, 34, dan Hassan Ahmad, 29.
Aidi Sham berkata siasatan awal mendapati motosikal Honda Wave milik Daneswaran yang sedang dari arah Lukut menghala ke Bukit Pelandok dikatakan telah bertembung motosikal Modenas Kriss yang ditunggang Usman, juga seorang pekerja kontrak, dari arah bertentangan.
“Susulan pertembungan itu, ketiga-tiga mangsa dipercayai terpelanting di atas jalan raya dalam kejadian hujan lebat.
“Akibat kemalangan berkenaan, kesemua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
“Usman disahkan maut di lokasi kejadian, manakala Daneshwaran dan Hassan meninggal dunia di Hospital Port Dickson ketika mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Aidi Sham berkata siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama
SEORANG penduduk terkejut apabila menemukan mayat seorang lelaki tersangkut pada pokok di tepi sungai berhampiran Jeti Nelayan Kampung Ulu Pulai, Pontian, hari ini.
Penduduk itu yang tergamam kemudian memaklumkan kejadian tersebut kepada Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor pada pukul 8.27 pagi.
Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan Nanas dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.
Mayat lelaki tersebut merupakan seorang lelaki dewasa berusia lingkungan 40-an sebelum dibawa naik oleh pihak bomba dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjut
“Terdapat mayat seorang mangsa yang tiada pengenalan diri telah tersangkut pada pokok di tepi sungai dalam jarak 500 meter dari Jeti.
“Mayat itu merupakan seorang lelaki dewasa berusian lingkungan 40-an. Mayat dibawa naik oleh pihak bomba dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Mayat tersebut telah disedari oleh penduduk setempat. Operasi tamat pada jam 9.47 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
TENTERA Darat Malaysia (TDM) menahan 52 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Indonesia di tepi pantai Pasir Logok, Kota Tinggi, hari ini.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam satu kenyataan memberitahu, pada pukul 2.30 pagi anggota petugas Pos Pemerhati mengesan kehadiran mereka sebelum sebelum menghantar Tim Quick Reaction Force (QRF) menjejakinya.
“QRF melaksanakan serbuan dan berjaya menahan 22 PATI yang baru mendarat.
Tangkapan pertama melibatkan 22 PATI yang baru mendarat pada pukul 4 pagi
“Pada pukul 4 pagi, 26 lagi PATI ditahan sekitar lokasi berhampiran manakala tiga lagi PATI turut ditahan pada pukul 9.30 pagi dan seorang PATI pada pukul 11.40 pagi.
“Kesemua 52 PATI tersebut terdiri daripada 44 Lelaki dan lapan wanita warganegara Indonesia berusia sekitar 19 hingga 53 tahun dipercayai baharu saja tiba dan cuba memasuki negara ini menerusi jalan yang tidak sah,” jelas kenyataan tersebut, hari ini.
52 PATI yang ditahan terdiri daripada 44 Lelaki dan lapan wanita warganegara Indonesia
Tambah kenyataan itu, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM20,117 melibatkan RM15,713, matawang rupiah Indonesia IDR29,668,152 (RM8,640) bersama-sama 35 buah telefon bimbit serta barang kemas.
Kesemua PATI katanya, ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan serta saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru.
Laporan kejadian tersebut pula katanya, telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.
PATI terakhir yang ditahan adalah pada pukul 11.40 pagi sebelum semuanya dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan serta saringan Covid-19
“Pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF dan Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) serta bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI sekitar kawasan tangkapan,” katanya.
KEGIATAN jenayah ragut rantai emas di sekitar Kuala Lumpur dengan menyamar sebagai penghantar makanan tumpas apabila polis berjaya menangkap empat ahli Geng Ashmer hujung bulan lalu.
Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kumpulan terbabit yang bergiat sejak lima bulan lalu menggunakan beg penghantar makanan untuk mengelakkan mangsa curiga.
Menurut beliau, empat suspek berumur antara 26 hingga 51 tahun diberkas dalam tiga serbuan berasingan Ops Rentap di sekitar Sentul, Wangsa Maju, dan Gombak mulai 23 hingga 28 Oktober lalu.
“Kegiatan ini didalangi oleh tiga lelaki tempatan yang menyasarkan kawasan orang ramai yang memakai rantai leher emas. Suspek menyasarkan mangsa yang memakai baju berkolar bulat dan rantai yang agak tebal untuk diragut.
“Salah seorang suspek akan bertindak untuk ‘menjaga line’ manakala seorang lagi bertindak sebagai ‘striker’ untuk meragut rantai mangsa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul hari ini.
Eng Lai menambah, hasil ragut berkenaan akan dijual kepada seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun di Selayang Baru, manakala wang tersebut dibahagikan sesama mereka.
Beliau memberitahu, susulan tangkapan itu, polis merampas beberapa utas barang kemas dianggarkan bernilai RM55,000.
“Turut dirampas ialah dua buah motosikal jenis Yamaha LC135, selain Yamaha Y15 (dua), topi keledar (lima), telefon bimbit (enam), beg penghantaran makanan (dua) serta 36 utas rantai leher warna kekuningan disyaki emas dan sebuah alat penimbang,” jelasnya.
Eng Lai berkata, kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan (samun tanpa senjata) untuk membantu siasatan.
Dalam kes berasingan, beliau memberitahu, seramai empat lelaki ditahan kerana menjual minuman keras yang diseludup dari negara jiran dalam satu serbuan ke atas sebuah premis di Jalan Sentul Pasar, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada minuman keras seludup dianggarkan bernilai RM100,000 yang berjaya dirampas selepas berjaya selepas menyerbu sebuah premis di Jalan Sentul Pasar ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
Menurut Eng Lai, suspek yang berusia antara 24 hingga 27 tahun itu terdiri daripada dua warga tempatan dan selebihnya pendatang asing.
“Siasatan awal mendapati modus operandi kegiatan ini berselindung di sebalik premis perniagaan pemborong minuman keras dan dipercayai beroperasi sejak setahun yang lalu.
“Pihak polis berjaya merampas sebanyak 2,720 botol minuman keras pelbagai jenama dipercayai barang tidak bercukai kastam yang nilai dan cukainya dianggarkan sebanyak RM100,000,” katanya.
Tambah Eng Lai, kesemua suspek direman tiga hari bermula Jumaat untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1965 kerana memiliki, menyimpan mengangkut, menghantar, mengedar, menyorok serta menjual minuman keras seludup yang membawa hukuman denda tidak lebih 20 kali ganda jumlah cukai kastam atau RM500,000 mengikut jumlah paling besar,” katanya.
JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) melumpuhkan sindiket pengedaran dadah dengan merampas sejumlah 200 kilogram syabu bernilai RM8.1 juta di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 22 hingga 26 Oktober lalu.
Menurut Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain, kejayaan itu diperoleh menerusi operasi JSJN Selangor dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) KLIA.
Katanya, pihak berkuasa sebelum itu memeriksa lima kotak barangan yang diisytiharkan sebagai peralatan elektronik menggunakan perkhidmatan kargo syarikat penerbangan dari KLIA ke Auckland, New Zealand.
“Hasil pemeriksaan menemui 200 kilogram syabu bernilai RM8.1 juta sebelum pihak berkuasa memberkas empat lelaki tempatan berumur 34 hingga 59 tahun yang dipercayai terlibat dengan sindiket berkenaan.
“Semakan rekod mendapati keempat-empat suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Pengurusan Pentadbiran Lapangan Terbang (AMC) di Sepang, hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati dua suspek ditahan merupakan kakitangan syarikat penerbangan kargo, saringan awal dijalankan mendapati seorang suspek positif dadah jenis ganja.
Tambahnya, sindiket berkenaan dipercayai mula bergiat aktif sejak pertengahan tahun ini.
“Siasatan mendapati sudah terdapat empat kali penghantaran ke luar negara menggunakan modus operandi sama.
“Setakat ini kita berjaya mengumpulkan maklumat lanjut. Dalang di sebalik sindiket ini juga sudah berjaya dikesan,” ujarnya.
Beliau berkata, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan harta) 1988.
“Pelbagai aset disita dianggarkan bernilai RM234,955.76. Antaranya ialah sebuah kenderaan jenis Ford Ranger bernilai RM180,000 selain wang tunai RM3,560, jam tangan bernilai RM2,000 dan tiga akaun bank berjumlah RM49,395.76.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM8,334,955.76,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Keempat-empat suspek yang diberkas direman pada hari ini (Isnin) hingga 5 November ini bagi membantu siasatan. Polis akan terus mengesan saki baki ahli sindiket terlibat untuk diseret ke muka pengadilan,” katanya.
POLIS menggempur sarang pengedar dan penagih dadah dan menahan 132 individu dalam operasi Ops Sarang Khas secara serentak di Lipis, Raub, Maran, Temerloh dan Jerantut, dalam operasi selama dua hari.
Ops Sarang Khas tersebut dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, (BSJN) Polis Pahang kelmarin dan semalam di lima daerah itu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, operasi itu bertujuan menggempur sarang pengedar dadah yang semakin berleluasa di daerah terbabit, khususnya di kawasan Felda yang mempunyai ramai penagih dan dikenal pasti menerusi risikan dan maklumat orang ramai.
“Seramai 14 orang akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah berbahaya jenis heroin serta syabu dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung mandatori.
“Tiga orang disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya kerana disyaki memiliki dadah berbahaya jenis heroin dan syabu,” katanya pada sidang media, hari ini.
Turut hadir Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Superintendan Azmi Awang Lah dan Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd. Noor.
Beliau berkata, seramai 21 orang disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya kerana disyaki memiliki dadah berbahaya jenis heroin dan syabu.
“Selain itu, 88 warga tempatan yang lain disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB1952 kerana positif dalam ujian air kencing dan enam orang disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun kerana disyaki memiliki cecair disyaki air ketum.
“Dadah jenis heroin dengan anggaran berat kasar 151.51 gram, syabu 113.62 gram dan pil Yaba seberat 23.85 gram berjaya dirampas.
“Ia termasuk dadah jenis eramin 54.5 gram, kodein 0.04 liter dan air ketum 4.5 liter yang keseluruhannya dianggar bernilai RM17,493,” katanya.
Ramli berkata, sepanjang Januari hingga September tahun ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang menangkap 6,342 pengedar dan penagih dadah dengan jumlah keseluruhan kes yang direkod sebanyak 5,220 kes.
SEORANG kanak-kanak lelaki parah selepas ditikam dengan pisau oleh lelaki warga emas di taman permainan rumah pangsa Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur, semalam.
Tikaman itu membuatkan mangsa, 4, cedera di bahagian perut dan paha sudah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.39 petang.
“Siasatan di lokasi kejadian mendapati suspek berusia lingkungan 80-an dikesan menyembunyikan diri di salah sebuah unit rumah pangsa berkenaan sebelum dia ditahan pihak polis.
“Suspek juga adalah jiran mangsa. Siasatan awal mendapati suspek berkenaan mempunyai rekod rawatan psikiatri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Noor Dellhan berkata, motif kejadian itu masih dalam siasatan dan difahamkan bahawa kanak-kanak itu dilaporkan dalam keadaan stabil.
“Satu kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau benda lain-lain yang merbahaya.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
POLIS menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang juga adik ipar suspek, di sekitar Kota Bharu, petang semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, suspek berusia 30 tahun yang bekerja sebagai pemotong kelapa sawit ditahan anggota polis pada pukul 4 petang.
Beliau berkata, Jumaat lepas polis menerima laporan mengenai kematian seorang remaja di Bunut Susu, Pasir Mas pada pukul 6.30 petang, dan hasil bedah siasat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) semalam mengesahkan punca kematian adalah disebabkan ‘Asphyxia’ (Lemas).
“Kesan luka dikesan pada bahagian muka, tengkuk remaja itu, di samping kesan koyakan baharu pada kemaluan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Shafien berkata, hasil siasatan fizikal ke atas tubuh badan suspek pula menemukan kesan calar pada bahu kiri bahagian belakang disyaki berpunca daripada cakaran kuku.
“Ekoran tangkapan itu polis mendapat perintah tahanan reman ke atas suspek selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERNAMA