Category: Jenayah

  • Teman lelaki kelar perut, bunuh, bakar kekasih hamil

    Teman lelaki kelar perut, bunuh, bakar kekasih hamil

    PERSELISIHAN faham untuk menyembunyikan kehamilan di luar nikah dipercayai punca seorang pelayan restoran dibunuh kejam dengan ditikam, dikelar perut dan dibakar teman lelakinya di sekitar kebun kelapa sawit, Jalan Sungai Limau, di Sungai Besar Isnin lepas.

    Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Supt Agus Salim Mohd Alias berkata suspek yang merupakan bekas penuntut kolej itu telah membawa mangsa menaiki kereta seterusnya bertengkar dengan wanita berusia 21 tahun itu sebelum dipukul di kepala lantas dibunuh di lokasi berkenaan sekitar 10 malam.

    Terdahulu, Agus Salim berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung penemuan mayat seorang wanita tempatan dalam keadaan terbakar dan tertiarap di kawasan kebun kelapa sawit tersebut sekitar 8 pagi semalam.

    Katanya hasil tindakan pantas pihaknya, mereka berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun di sebuah kediaman di sekitar Sungai Besar pada 1.45 tengah hari semalam.

    “Hasil siasatan awal, mangsa dipercayai telah dibakar sebanyak dua kali bertujuan untuk melupuskan bukti iaitu sekitar 10 malam kelmarin dan semalam sekitar 7 pagi sebelum ditemukan orang awam,” katanya pada sidang media di Sungai Besar hari ini.

    Katanya suspek didakwa telah memukul, menikam menggunakan pisau dapur dan menoreh perut mangsa sebelum membakar mayat kekasihnya pada malam kejadian dan keesokan harinya kembali ke tempat kejadian dengan membawa tong berisi petrol untuk membakar mayat itu sekali lagi.

    Beliau berkata lelaki itu turut membuang barang bukti termasuk barangan milik mangsa di sekitar Jalan Lama, Kuala Selangor. 

    Agus Salim berkata semakan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau malah kedua-dua mereka telah mengenali antara satu sama lain sejak tahun lalu dan dipercayai kandungan mangsa telah berusia sekitar empat bulan.

    Katanya suspek direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa yang 60 peratus terbakar berada di Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

    Dalam kes berasingan, Agus Salim berkata pihaknya menahan empat lelaki pendatang asing tanpa izin warga Indonesia berusia lingkungan 25 hingga 41 tahun dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran syabu seberat 30 kilogram bernilai RM1.08 juta di kawasan jeti Sekinchan pada 10 malam, 19 Mei lalu.

    Beliau berkata kesemua suspek yang dipercayai terlibat mengedar dan menyeludup keluar dadah bagi dipasarkan ke negara jiran itu ditahan reman selama tujuh hari bermula 20 Mei lalu dan kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

  • Berang telefon bimbit dirampas, pelajar perempuan bakar asrama

    Berang telefon bimbit dirampas, pelajar perempuan bakar asrama

    KEBAKARAN yang mengorbankan 19 kanak-kanak di sebuah asrama di Guyana dipercayai berlaku susulan tindakan pihak sekolah merampas telefon bimbit seorang pelajar.

    “Seorang pelajar perempuan disyaki menyebabkan kebakaran berlaku apabila telefon bimbitnya dirampas oleh ibu pengasuh dan seorang guru asrama,” kata polis dalam satu kenyataan.

    Memetik laporan Reuters, Datuk Bandar Mahdia, David Adams mengesahkan pelajar perempuan itu tidak mengalami kecederaan di dalam kejadian tersebut.

    Beliau juga tidak dapat mengesahkan sama ada pelajar itu ditahan dan kenyataan polis tidak menyebut mengenai sebarang penangkapan.

    Dalam pada itu, beberapa pelajar memberitahu penyiasat bahawa mereka terjaga apabila terdengar jeritan dan melihat api memenuhi ruangan bilik air asrama.

    Ahli patologi kerajaan yang melakukan bedah siasat post-mortem ke atas enam mayat menyenaraikan sebab kematian mereka sebagai keracunan asap dan luka terbakar.

    Tiga belas mayat telah dipindahkan ke ibu negara Georgetown untuk pengesanan DNA dan hampir 30 kanak-kanak lain dirawat di hospital.

    Menteri Pendidikan Priya Manickchand sebelum ini enggan membincangkan penglibatan pelajar tersebut.

    Ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa asrama itu tidak dilengkapi dengan sistem amaran kebakaran moden dan pelajar tidak dilatih dalam latihan kebakaran, Manickchand berkata bahawa kejadian masih dalam siasatan.

    Presiden Irfaan Ali turut bertemu beberapa ibu bapa kanak-kanak mangsa selepas melawat hospital Mahdia dan mengisytiharkan tempoh tiga hari berkabung kebangsaan, lapor Agensi.

  • Kes jenayah komersial di P. Pinang meningkat 83 peratus babitkan kerugian RM53j

    Kes jenayah komersial di P. Pinang meningkat 83 peratus babitkan kerugian RM53j

    JUMLAH kes jenayah komersial di Pulau Pinang sepanjang tahun ini sehingga April lalu menunjukkan peningkatan ketara iaitu sebanyak 82.7 peratus atau 628 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, sepanjang tempoh itu, sebanyak 1,387 kes jenayah komersial dilaporkan membabitkan kerugian sebanyak RM53 juta berbanding 759 kes dengan kerugian RM28 juta tahun lalu.

    Menurut beliau, kebanyakan mangsa jenayah itu ditipu melalui online antaranya melibatkan penipuan telekomunikasi (phone scam); love scam; jenayah e-kewangan; jenayah e-dagang serta pinjaman dan pelaburan tidak wujud.

    “Antara faktor yang menyebabkan jenayah ini masih lagi berleluasa dan sukar dikesan ialah scammer kerap mengubah modus operandi, menggunakan pendaftaran palsu perkhidmatan prabayar, penggunaan akaun keldai dan kekangan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan dan amanat Ketua Polis Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di George Town hari ini.

    Menurutnya, peningkatan kes jenayah komersial itu merupakan cabaran kepada polis bagi mengambil langkah-langkah pencengahan lebih komprehensif dan agresif dalam menyedarkan orang ramai mengenai risiko penipuan menerusi teknologi komunikasi.

    Dalam perkembangan berkaitan, Kok Chin berkata, jumlah jenayah indeks yang direkodkan bagi tempoh Januari hingga April tahun ini pula sebanyak 1,087 kes berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu sebanyak 1,211 kes.

    Jelas beliau, ia menunjukkan penurunan sebanyak 124 kes atau bersamaan 10.2 peratus.

    “Dalam tempoh kajian tahun tersebut, jenayah kekerasan menunjukkan penurunan sebanyak 11.4 peratus manakala bagi semua kes di bawah kategori jenayah harta benda menunjukkan penurunan sebanyak 9.9 peratus,” katanya.

    Tambah beliau, hasil penelitian dan kajian yang dibuat bagi tempoh itu mendapati, jenayah curi merupakan penyumbang utama jenayah indeks dengan 32.7 peratus, pecah rumah (20.6 peratus) dan curi motosikal (18.2 peratus).

    Sehubungan itu, tambahnya, jenayah curi wajar diberi fokus utama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Pulau Pinang dalam merangka kerja bagi menghasilkan ‘output’ yang terbaik untuk tahun ini.

  • 11 orang termasuk tiga rakyat Malaysia ditahan polis Indonesia seludup PATI

    11 orang termasuk tiga rakyat Malaysia ditahan polis Indonesia seludup PATI

    POLIS Indonesia menumpaskan kegiatan menyeludup pendatang tanpa izin (PATI) dengan penahanan 11 individu, termasuk tiga warga Malaysia di Batam, Kepulauan Riau.

    Kesemua suspek terlibat dalam enam kes pada April dan Mei yang dipercayai bertindak menguruskan kemasukan PATI dari Batam ke Malaysia termasuk menggunakan bot laju melalui ‘laluan tikus’.

    Pesuruhjaya Polis Barelang, Nugroho Tri Nuryanto berkata seorang suspek warga Malaysia berumur 44 tahun ditahan di Pelabuhan Internasional Harbourba pada 30 April.

    “Suspek juga mengendalikan urusan visa pelancong yang tamat tempoh bagi membolehkan PATI dapat meneruskan kerja,” katanya dalam satu kenyataan.

    Dalam satu lagi kes, sepasang suami isteri warga Malaysia berumur 54 tahun dan 50 tahun ditahan di Pelabuhan Ferry Harbour Bay pada 15 Mei.

    “Suspek yang mempunyai syarikat di Malaysia datang ke Batam untuk menjemput PATI,” katanya.

    Seramai 13 mangsa dari Nusa Tenggara Timur, Pulau Jawa dan Pulau Sumatera telah kembali ke tempat asal dengan kerjasama Balai Pelayanan Pelindungan Pekerja Migran Indonesia (BP3MI).

    Siasatan polis mendapati suspek menerima bayaran antara RM1,400 dan RM1,800 untuk mengurus kemasukan PATI dan mendapat lima juta rupiah (RM1,539) daripada setiap mangsa.

    Suspek disyaki melanggar Fasal 81 dan Fasal 83 mengenai Perlindungan Tenaga Kerja dengan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum 15 juta rupiah atau RM4.6 juta.

  • Isu buli tular: Polis siasat penglibatan kongsi gelap

    Isu buli tular: Polis siasat penglibatan kongsi gelap

    POLIS akan menyiasat sama ada wujud penglibatan kongsi gelap dalam dua kes buli di sebuah sekolah menengah di Butterworth dan sebuah institusi menengah bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Balik Pulau di Georgetown.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, sekiranya siasatan menunjukkan berlaku perkara itu, polis akan mengambil tindakan terhadap geng kongsi yang terlibat.

    “Mengenai kes buli di sebuah sekolah dan sebuah institusi menengah bawah Mara, tangkapan sudah dibuat dan telah diberi jaminan polis seperti yang saya maklumkan sebelum ini.

    “Bagaimanapun, siasatan juga akan menjurus kepada kegiatan-kegiatan kongsi gelap, sama ada mereka ini berada di belakang mereka (pelaku) atau pun sebaliknya.

    “Sekiranya benar, kita akan ambil tindakan terhadap kongsi-kongsi gelap ke atas sekolah-sekolah tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Ketua Polis Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di Georgetown hari ini.

    Memetik laporan Sinar Harian, Kok Chin berkata, polis sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

    Sebelum ini, polis menahan sembilan remaja lelaki berusia 14 hingga 16 tahun yang juga pelajar tingkatan dua hingga empat di sebuah sekolah menengah di Butterworth bagi membantu siasatan berhubung dua kes buli di sekolah berkenaan.

    Bagaimanapun kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil.

    Susulan daripada penahanan mereka, polis merampas enam telefon bimbit bagi membantu siasatan kedua-dua kes itu yang videonya berdurasi 24 dan 34 saat tular di media sosial sejak Jumaat lepas.

    Dalam kejadian berlainan, lima pelajar tingkatan lima sebuah institusi pendidikan menengah di bawah Mara ditahan untuk membantu siasatan kes buli membabitkan seorang pelajar tingkatan tiga sekolah berkenaan pada Khamis lalu.

    Kesemua remaja lelaki berusia 17 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai mengambil keterangan.

    Ketiga-tiga kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencederakan orang dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh

  • Lima lelaki ditahan kes simbah asid premis jual kenderaan terpakai

    Lima lelaki ditahan kes simbah asid premis jual kenderaan terpakai

    POLIS Pulau Pinang menahan lima lelaki termasuk seorang warga emas bagi membantu siasatan berhubung kejadian beberapa premis menjual kenderaan terpakai disimbah cat dan asid serta pemerasan, dalam serbuan berasingan di sekitar negeri itu.

    Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata semua lelaki berusia 26 hingga 63 tahun itu ditahan secara berasingan di empat lokasi sekitar George Town dan Bayan Baru, dekat George Town hasil maklumat serta risikan yang dijalankan sejak tiga hari lepas.

    “Susulan kejadian itu, polis menubuhkan pasukan khas bagi mengesan suspek yang terlibat dan kami melancarkan operasi sebelum berjaya menahan lima lelaki tersebut bermula 5.15 petang semalam hingga 3.20 pagi tadi.

    “Berdasarkan siasatan awal, seorang daripada suspek yang ditahan, berusia 36 tahun, berperanan melakukan kerja-kerja menyimbah asid dan cat merah di premis-premis menjual kenderaan terpakai manakala mereka yang lain mempunyai kaitan dengan dia untuk menjalankan jenayah tersebut,” katanya pada sidang akhbar di George Town hari ini.

    Katanya polis percaya dengan penahanan lima lelaki itu pihaknya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 15 kes simbah asid dan cat merah serta pemerasan iaitu 12 kes di daerah Timur Laut dan tiga kes di daerah Barat Daya.

    Khaw berkata modus operandi mereka ialah menyimbah cat atau asid di premis menjual kenderaan terpakai sebelum menghantar mesej pesanan ringkas (SMS) kepada pemiliknya untuk meminta RM10,000 bagi memeras ugut mangsa.

    Katanya susulan penahanan mereka polis turut merampas empat telefon bimbit dipercayai digunakan untuk memeras ugut pemilik premis menjual kenderaan terpakai tersebut.

    “Berdasarkan siasatan polis juga mendapati suspek yang menyimbah asid dan cat itu berhutang dengan along dan dia bekerja dengan along tersebut untuk melakukan jenayah tersebut (simbah asid dan cat) bagi membayar hutangnya,” katanya.

    Beliau berkata polis juga sedang mengesan beberapa lagi suspek dipercayai turut mempunyai kaitan dengan jenayah tersebut dan siasatan lanjut kes itu sedang dijalankan.

    “Dua daripada suspek itu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, kesemua mereka kini direman bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat Seksyen 427 serta 385 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Semalam, media melaporkan beberapa premis menjual kenderaan terpakai yang disimbah asid bukan sahaja mengalami kerugian akibat kejadian itu malah mereka turut diperas ugut oleh suspek agar membayar sehingga RM10,000 jika tidak mahu kejadian sama berulang.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu sejak 2 Mei lepas hingga dua hari lalu membabitkan kerosakan 43 kereta dan 18 motosikal bernilai RM60,000.

  • Mayat lelaki ditemui terapung di sungai berdekatan Kelab Golf

    Mayat lelaki ditemui terapung di sungai berdekatan Kelab Golf

    POLIS masih mengenal pasti identiti mayat lelaki ditemui terapung oleh seorang pemancing di sebatang sungai berhampiran Kelab Golf Seri Selangor, awal pagi semalam.

    Ketua Polis Petaling Jaya, Muhamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan itu pada pukul 1.25 pagi.

    “Menurut saksi, ketika sedang memancing di jambatan tepi kelab golf terbabit, terlihat satu objek seperti tubuh manusia terapung.

    “Butiran penuh mangsa lelaki berkenaan termasuk bangsa dan umur belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.

    Fakhrudin berkata saksi kemudiannya menghubungi Balai Polis Kota Damansara untuk membuat laporan berhubung penemuan mayat berkenaan.

    “Sepasukan polis dan bomba telah membawa keluar mayat terbabit untuk tindakan selanjutnya.

    “Kita meminta orang ramai yang melihat atau berada di tempat kejadian untuk tampil memberi maklumat di balai polis berhampiran atau hubungi Balai Kota Damansara di 03-61421222,” katanya.

  • JAINJ diarah siasat segera penganjuran pesta seks

    JAINJ diarah siasat segera penganjuran pesta seks

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) diarahkan mengambil tindakan segera ke atas satu penganjuran pesta seks ‘Gang Bang JB Party’ yang sedang tular dijadualkan berlangsung bulan depan.

    Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, kerajaan negeri mengecam penganjuran acara yang secara terang-terangan mengajak orang ramai melakukan maksiat.

    Beliau memberi amaran supaya mana-mana pihak tidak melakukan perkara yang buruk di negeri ini.

    “Mengajak orang melakukan maksiat terang-terangan dan tak bermoral. Saya sudah arahkan JAINJ siasat dan ambil tindakan segera.

    “Saya bagi amaran! Demi Allah, saya tak akan benarkan ia berlaku di Johor,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya.

    Mohd Fared membuat kenyataan itu susulan penyebaran kad jemputan penganjuran acara diberi nama ‘Gang Bang JB Party’ yang dijadualkan berlangsung antara jam 4 petang hingga 9 malam, 20 Jun depan.

    Turut dikongsi ciapan di Twitter apabila ada yang bertanya adakah golongan lesbian, gay, biseksual, trangander (LGBT) boleh turut serta dalam acara itu.

    Mengulas lanjut, Mohd Fared memohon kerjasama orang ramai untuk mencegah kegiatan tidak bermoral itu.

    “Semua mesti bantu cegah dan halang kegiatan tak bermoral ini. Sebarkan!,” ujarnya.

  • Ketua sindiket dadah Indonesia ditahan di Johor

    Ketua sindiket dadah Indonesia ditahan di Johor

    SEORANG lelaki dikenali sebagai Marno yang melarikan diri daripada polis Riau atas tuduhan mengedar dadah telah ditahan di Johor, lapor media Indonesia, hari ini.

    Marno dipercayai mempunyai kaitan dengan kes rampasan dadah jenis methamphetamine seberat 411kg yang dirampas polis Riau.

    “Sejumlah 62kg methamphetamine ditemukan bersama suspek ketika ditahan oleh polis Johor,” kata Pengarah Markotik polis Riau, Yos Guntur.

    Beliau menegaskan bahawa penahanan itu adalah bukti kerjasama erat antara polis Malaysia dan polis Riau dalam menangani sindiket pengedaran dadah rentas sempadan.

    Polis Riau merampas 290kg methamphetamine semasa operasi awal tahun ini, termasuk 121kg methamphetamine pada 2022 yang dikaitkan dengan kumpulan pengedaran dadah Marno.

  • Tiga lelaki terlibat kes ragut diberkas

    Tiga lelaki terlibat kes ragut diberkas

    TIGA lelaki ditahan polis selepas terbabit kegiatan ragut di sekitar Sentul dan Wangsa Maju dalam serbuan Op Rentap pada 10 Mei lalu.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 37 tahun yang diragut di Jalan Rimbunan Kepong, di Kuala Lumpur, pada pukul 7.30 malam pada 22 Mac lalu.

    “Berdasarkan risikan, kita menjalankan beberapa siri serbuan dan menahan tiga lelaki tempatan berusia 26 hingga 29 tahun.

    “Pihak polis turut merampas lapan telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah motosikal Yamaha 135 LC, dua helmet, tiga beg tangan wanita dan sejumlah wang tunai pelbagai mata wang asing.

    “Hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket itu didalangi tiga suspek berkenaan yang diketuai suspek dengan panggilan Wan Palo berusia 29 tahun,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur hari ini.

    Ahmad Sukarno berkata, mereka melakukan kegiatan ragut di kawasan perumahan dengan menyasarkan pejalan kaki dan penunggang motosikal.

    Katanya, kegiatan jenayah itu dilakukan secara berkumpulan dengan hasil ragut akan dijual kemudian wang diperolehi akan dibahagikan sesama mereka.

    “Semakan dilakukan mendapati dua daripada tiga suspek dalam kes ini mempunyai rekod kesalahan jenayah,” katanya.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Menurutnya, susulan operasi itu, pihaknya berjaya menyelesaikan sembilan kes ragut yang dilaporkan di Sentul dan Wangsa Maju.

    Tambahnya, semua direman bermula 11 sehingga 22 Mei lalu bagi membantu siasatan.

    “Suspek utama kes ini diserahkan kepada IPD Wangsa Maju bagi membantu siasatan kes di daerah berkenaan, manakala dua lagi suspek dijadikan sebagai saksi pendakwaan,” katanya, lapor Sinar Harian.