Category: Jenayah

  • Wartawan hamil, suami maut dalam serangan bom kereta

    Wartawan hamil, suami maut dalam serangan bom kereta

    KEJAM, hajat seorang wartawan wanita untuk melahirkan anak di hospital tidak kesampaian apabila dia bersama-sama suaminya maut dalam satu serangan bom kereta yang berlaku di Yemen.

    Wartawan wanita itu dan suaminya yang juga seorang wartawan maut dalam serangan bom yang disasarkan kereta yang dinaikinya mereka, pada Selasa.

    Menurut sumber keselamatan kerajaan Yemen, peranti letupan yang dipasang pada kenderaan wartawan yang bernama Mahmud al-Atmi itu meletup ketika dia membawa isterinya, Rasha Abdallah ke hospital untuk bersalin.

    Rasha, 27, dan suaminya yang mempunyai anak berusia dua tahun, pernah bekerja di beberapa syarikat media tempatan dan asing sebelum ini.

    Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

    Bagaimanapun serangan itu dipercayai didalangi pemberontak Houthi yang disokong Iran.

    Wartawan Yemen kerap menjadi sasaran serangan Houthi dalam perang saudara di Yemen sejak 2014 yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai krisis kemanusiaan yang buruk.

    Puluhan ribu penduduk dan orang awam pula terbunuh manakala jutaan lagi hilang tempat tinggal sejak konflik tercetus

    Tindakan Houthi menguasai bandar Sanaa menyebabkan kerajaan Yemen yang disokong antarabangsa memindahkan pentadbiran mereka ke Aden.

    Tindakan pemberontak itu juga mendorong pembentukan pakatan tentera negara tertentu diketuai Arab Saudi untuk menyekat kemaraan mereka. – AGENSI

  • Polis berkas empat beradik rogol adik sebapa

    Polis berkas empat beradik rogol adik sebapa

    POLIS menahan empat beradik lelaki yang dipercayai merogol adik perempuan sebapa yang berusia 13 tahun sejak lebih tiga tahun lalu.

    Perbuatan tersebut dilakukan secara bergilir-gilir di rumah mereka di Kubang Pasu.

    Menurut sumber, kesemua suspek berusia antara 17 hingga 36 tahun itu akhirnya ditahan di lokasi berasingan di daerah ini iaitu dua daripadanya pukul 5 petang semalam manakala dua lagi sekitar pukul 1 dan 2 petang kelmarin.

    Difahamkan, empat beradik itu daripada bapa yang sama namun berlainan ibu dengan remaja perempuan tersebut.

    Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

    Menurutnya, mereka ditahan bagi membantu siasatan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan dan 14 (A) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017.

  • Hutan Lipur Bukit Wang dilanda kepala air

    Hutan Lipur Bukit Wang dilanda kepala air

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PENGUNJUNG yang berkelah di Hutan Lipur Bukit Wang dekat Kubang Pasu, Kedah, hari ini dikejutkan dengan kejadian kepala air yang berlaku kira-kira pukul 6 petang tadi.

    Selain mengakibatkan beberapa kampung terdekat mengalami banjir kilat, kejadian itu turut menyebabkan dua remaja lelaki terkandas hingga terpaksa diselamatkan oleh pasukan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

    Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd. Adenin Suhaimi, terdapat sekurang-kurangnya lapan keluarga yang tinggal di Kampung Sampang, Kampung Bukit Wang dan Kampung Padang Panjang terjejas akibat kejadian tersebut.

    “Kejadian kepala air itu dipercayai berlaku akibat hujan lebat selama beberapa jam petang tadi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Klip video mengenai kejadian itu yang dirakam beberapa pengunjung turut tular dalam media sosial, malam ini.

    Sekurang-kurangnya lapan keluarga yang tinggal di Kampung Sampang, Kampung Bukit Wang dan Kampung Padang Panjang terjejas

    Sementara itu Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 6.09 petang tadi menyatakan terdapat lapan individu termasuk warga emas dan kanak-kanak terperangkap dalam kejadian banjir kilat di Kampung Padang Panjang.

    “Setibanya di lokasi, terdapat tiga rumah yang dinaiki air setinggi hampir 1.5 meter. Kesemua mereka yang berusia antara 4 hingga 74 tahun kemudiannya berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke lokasi selamat,” katanya.

    Tambahnya, pihak bomba turut melakukan penilaian risiko di lokasi kejadian bagi memastikan tiada mangsa tertinggal dengan operasi tamat sepenuhnya pada 7.30 petang.

  • Ah Long salah rumah simbah cat merah, tinggal nota ugutan

    Ah Long salah rumah simbah cat merah, tinggal nota ugutan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    GARA-GARA pinjaman wang tanpa lesen atau ah long tersalah rumah, seorang penghantar barang kerugian dan hidup dalam ketakutan apabila kediamannya disimbah cat merah di Taman Muhibbah di Kulai kelmarin.

    Mangsa, Mohd. Hafiz Mohd. Khairi, 36, berkata, ketika kejadian dia dan isteri bersama-sama tiga anaknya pulang ke kampung di Kota Tinggi pada malam kelmarin dan balik ke rumah mereka pada pukul 8 pagi semalam.

    Dia berkata, apabila sampai mereka amat terkejut melihat pagar dan pekarangan rumahnya disimbah cat merah selain terdapat nota ugutan yang ditinggalkan di pagar rumah.

    “Saya hairan melihat cat merah disimbah di seluruh rumah saya. Saya tidak pernah meminjam wang daripada sesiapa apatah lagi ah long.

    “Tiga daripada lapan kucing saya turut terkena cat merah. Beberapa ikan peliharaan saya turut mati kerana cat merah masuk akuarium,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Taman Tropika di sini hari ini.

    Mohd Hafiz (kiri) dan Wee Tse menunjukkan salian laporan polis dan foto-foto rumah disimbah cat merah di Taman Muhibbah, selepas sidang akhbar Pusat Khidmat Rakyat DUN Bukit Batu, Taman Tropika, Kulai, hari ini

    Katanya, nota ugutan yang ditinggalkan itu merupakan amaran untuk membakar rumahnya jika enggan membayar balik pinjaman.

    Menurutnya, ah long meninggalkan nombor telefon Singapura dalam nota ugutan itu dan meminta menghubungi individu bernama Kent dan apabila isterinya menghubungi nombor tersebut dan memaklumkan tidak pernah meminjam wang, mereka tidak peduli dengen penjelasan yang diberikan.

    Dia berkata, mereka juga meletakkan alamat jirannya dalam nota ugutan berkenaan yang merujuk kepada rumah sebelah.

    Mohd. Hafiz mendakwa, ah long berkenaan hanya mahukan duit mereka dibayar dan susulan itu dia membuat laporan polis pada Isnin kerana bimbang keselamatan keluarganya terutama anak-anaknya yang berusia antara lapan hingga 15 tahun.

    “Saya bimbang dengan keselamatan keluarga saya, lebih-lebih lagi ah long berkenaan mengancam untuk membakar rumah saya. Mereka menyuruh saya membayar bagi pihak jiran jika saya tidak mahu membahayakan nyawa keluarga saya,” katanya.

    Dia ada memberitahu jirannya tentang kejadian itu namun mendakwa bahawa tiada seorang pun daripada keluarga mereka meminjam wang.

    Beberapa ikan peliharaan turut mati selepas cat merah masuk akuarium

    “Jiran saya yang merupakan pasangan warga emas berusia 60-an dan anak lelaki mereka berusia 38 tahun berkata, tiada sesiapa di rumah mereka meminjam wang daripada peminjam.

    “Mereka memberitahu saya bahawa mereka juga telah menghubungi dua anak mereka yang tinggal di Singapura dan turut mendakwa mereka tidak membuat sebarang pinjaman,” katanya.

    Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse berkata, keluarga Mohd Hafiz tidak bersalah dan berharap polis dapat menyiasat perkara itu secepat mungkin dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.

    “Ini adalah tidak adil untuk keluarga kerana mereka tidak melakukan kesalahan. Ugutan daripada pemberi pinjaman terlalu melampau dan menyebabkan tekanan kepada keluarga,” katanya.

    Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya menerima aduan daripada enam keluarga yang telah diancam ah long sejak Fasa 2 Pelan Pemulihan Nasional (PPN).

  • Polis selamatkan tiga remaja jadi mangsa eksploitasi seks

    Polis selamatkan tiga remaja jadi mangsa eksploitasi seks

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TIGA remaja perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks bawah umur berjaya diselamatkan hasil serbuan yang dilakukan di sebuah premis kecantikan di Jalan Air Hitam, Batu 21, Kulai, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, kesemua remaja tempatan yang diselamatkan itu berusia lingkungan 13 hingga 15 tahun.

    Katanya, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bertindak atas maklumat menjalankan serbuan dan pemeriksaan Op Noda pada pukul 2.40 petang.

    “Setibanya di lokasi, polis membuat pemeriksaan dan menahan seorang wanita warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun disyaki terbabit dalam kegiatan persundalan.

    “Dalam serbuan itu, polis turut berjaya menyelamatkan remaja perempuan berusia 13 hingga 15 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks bawah umur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Polis turut merampas tiga unit telefon bimbit, sehelai tuala, segulung tisu, satu paket kondom dan wang tunai berjumlah RM534.

    Katanya, kesemua suspek dan mangsa yang diselamatkan dibawa ke IPD Kulai untuk tindakan lanjut.

    Tambahnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine dan kedua-duanya direman empat hari bermula hari ini sehingga 12 November untuk siasatan lanjut.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan.

    Ujar Beng Yeow, kes turut disiasat mengikut Seksyen 373(1)(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

  • Penunggang motosikal maut tersepit bawah tayar bas

    Penunggang motosikal maut tersepit bawah tayar bas

    SEORANG lelaki maut selepas motosikal terlanggar seekor anjing sebelum terjatuh dan tersepit di bawah tayar di Jalan Sultan Nazrin Shah berhampiran Kampung Kepayang, Simpang Pulai, Ipoh, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan memberitahu, kejadian tersebut berlaku pada pukul jam 6.30 pagi ketika mangsa yang berusia 26 tahun menunggang sendirian dari tempat kerja untuk pulang ke rumahnya.

    “Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa telah terlanggar seekor anjing yang sedang melintas menyebabkan mangsa tercampak di tengah jalan.

    “Sebuah bas yang dipandu lelaki berusia 54 tahun dari arah sama cuba memberhentikan kenderaan dan mengelak mangsa, namun gagal.

    “Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC disahkan maut pada jam 7.25 pagiakibat kecederaan parah yang dialaminya,” katanya dalam satu kenyataan.

    Katana, mayat dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian Covid-19.

  • PRN Melaka: 4 kes bawa penyokong – polis akan panggil penganjur

    PRN Melaka: 4 kes bawa penyokong – polis akan panggil penganjur

    POLIS akan memanggil penganjur yang membawa kumpulan penyokong parti ke pusat penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam, untuk diambil keterangan.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Melaka, Asisten Komisioner Azlan Abu, berkata pihaknya sudah mengenal pasti beberapa individu dipercayai penganjur untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

    Setakat ini polis menerima empat laporan berhubung kejadian itu membabitkan pusat penamaan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Tanjung Bidara, Kota Laksamana dan Kuala Linggi.

    “Semua individu dipercayai penganjur ini sudah dikenal pasti dan akan dipanggil untuk diambil keterangan, mungkin hari ini atau selewat-lewatnya esok bagi melengkapkan siasatan.

    “Kertas siasatan perlu disiapkan dalam tempoh tiga hari sebelum dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

    “Kes disiasat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan,” katanya, hari ini.

    Sementara itu, Azlan berkata, pihaknya hanya menerima dua permohonan permit untuk menjalankan kempen pilihan raya iaitu daripada parti DAP setakat ini.

    “Setakat yang kita berbincang bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), permit hanya dikeluarkan kepada permohonan mengadakan kempen melalui pembesar suara.

    “Kepada parti politik yang ingin memohon permit berkempen melalui pembesar suara, mereka perlu mengemukakan permohonan kepada Ketua Polis Daerah. Setakat ini hanya dua permohonan diterima iaitu daripada DAP,” katanya.

  • Lakukan pembakaran terbuka, premis tapak binaan dikompaun RM2,000

    Lakukan pembakaran terbuka, premis tapak binaan dikompaun RM2,000

    SEBUAH premis di kawasan tapak pembinaan di Seberang Perai, Pulau Pinang dikompaun sebanyak RM2,000 selepas dikesan melakukan aktiviti pembakaran secara terbuka.

    Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kesalahan itu dikesan dalam satu pemantauan rutin pihaknya semalam.

    Jelas beliau, pembakaran terbuka merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

    Tambahnya, menerusi akta itu, kompaun sebanyak RM2,000 boleh dikenakan bagi setiap longgokan pembakaran dan denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    Pembakaran terbuka merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974

    “Sehubungan itu, penduduk Pulau Pinang dinasihatkan segera menghentikan amalan pembakaran secara terbuka bagi menjaga kualiti udara sekitar.

    “Sisa pepejal termasuk reja kayu (kayu-kayu kecil) sebenarnya boleh dikitar semula dan pihak yang berminat boleh menyertai komuniti ‘Zero Waste Network’ (jaringan sisa buangan sifar) bagi tujuan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, maklumat lanjut mengenai komuniti ‘Zero Waste Network’ itu boleh dirujuk di laman sesawang Penang Green Council.

    Dalam masa sama jelasnya, orang awam juga boleh melaporkan kes-kes pencemaran kepada JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau melalui e-aduan di [email protected].

  • Bimbang dimarahi ibu, kanak-kanak dakwa diculik ‘Ninja’

    Bimbang dimarahi ibu, kanak-kanak dakwa diculik ‘Ninja’

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menafikan berlaku kejadian culik melibatkan seorang kanak- kanak lelaki di kawasan perumahan dekat Permas Jaya, Johor Bahru, Sabtu lalu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, pihaknya menerima satu laporan daripada ibu kanak-kanak terbabit pada hari yang sama mendakwa salah seorang anak kembarnya telah hilang.

    Jelasnya, siasatan awal mendapati kedua-dua anaknya yang berumur 11 tahun telah pergi ke kedai runcit berhampiran rumah untuk membeli barang pada pukul 3 petang.

    “Salah seorang anak pengadu telah masuk ke dalam kedai, manakala seorang lagi tunggu di luar kedai runcit tersebut.

    “Apabila selesai membeli barang, anak pengadu mendapati kembarnya yang menunggu di luar kedai telah tiada dan bertindak pulang ke rumah memberitahu kepada ibunya berkaitan kehilangan kembarnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, susulan kejadian itu, ibu kanak-kanak terbabit telah bertindak mencari anaknya di sekitar kawasan perumahan, namun tidak menjumpai dan membuat laporan polis.

    “Selepas dua jam dilaporkan hilang iaitu kira-kira pukul 5 petang, anak pengadu memaklumkan bahawa kembarnya telah dijumpai oleh orang awam dalam keadaan baik dan selamat,” katanya.

    Siasatan lanjut katanya, dilakukan polis mendapati kanak-kanak itu dijumpai dengan jarak lebih kurang dua kilometer dari tempat kejadian.

    Beliau berkata, semasa dijumpai semula, kanak-kanak itu menceritakan kepada ibu bapanya dan mendakwa dirinya telah dibawa lari oleh seorang lelaki tidak dikenali dengan memakai topeng Ninja dan dibawa ke sebuah rumah tetapi berjaya melawan seterusnya melarikan diri.

    “Namun hasil soal siasat oleh Ketua Polis Balai Permas Jaya bersama-sama pegawai penyiasat kes, kanak-kanak tersebut memberitahu kejadian sebenar bahawa dia bermain kejar-kejaran dengan seorang budak lelaki sehingga kehilangan selipar.

    “Bimbang dimarahi oleh ibu bapanya, kanak-kanak tersebut mendakwa dirinya telah dibawa lari. Kes tiada unsur jenayah dan diklasifikasikan tiada tindakan lanjut. Seterusnya polis menafikan kejadian culik yang dilaporkan,” katanya.

  • 89 kemalangan babitkan bas pekerja

    89 kemalangan babitkan bas pekerja

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEBANYAK 89 kemalangan jalan raya melibatkan bas pekerja dilaporkan berlaku sejak Januari hingga Oktober lalu di seluruh negeri ini.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya juga pada masa sama turut mengesan pelbagai kesalahan dilakukan pemandu sepanjang tempoh tersebut.

    Antaranya melibatkan penyalahgunaan dadah, memandu di bawah pengaruh alkohol dan mengabaikan aspek keselamatan sehingga mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

    “Dalam satu kejadian pada 21 Oktober lalu, kita menerima aduan sebuah bas pekerja dipandu secara melulu dan merbahaya di kawasan perindustrian Tebrau, apabila disiasat pemandu terbabit positif dadah jenis methamphetamine.

    “Susulan itu, hari ini operasi bersepadu dijalankan di lima kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh Johor untuk memeriksa beberapa aspek antaranya pemandu dan kenderaan digunakan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Terdahulu, beliau menyertai Operasi Bersepadu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Johor di Taman Impian Emas, Johor Bahru.

    Sementara itu, ujian air kencing yang dijalankan terhadap 20 pemandu dalam operasi itu mendapati dua daripada mereka yang berusia 54 dan 34 tahun positif dadah jenis methamphetamine dan ganja.

    “Dalam operasi terbabit juga, polis telah mengeluarkan 42 saman dengan 27 daripadanya berkaitan ketiadaan lesen memandu.

    Operasi Bersepadu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Johor di Taman Impian Emas, Johor Bahru, hari ini

    “Manakala daripada 27 saman lesen terbabit dua pemandu tiada lesen memandu langsung, manakala 25 lagi tiada lesen Kenderaan Perdagangan dan Lesen Vokasional (GDL dan PSV) selain tiada alat pemadam api serta tiada tanda isyarat segi tiga keselamatan,” ujarnya.

    Tambah beliau, Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut mengeluarkan 26 saman, enam notis dan empat kompaun atas kesalahan berkaitan asap dan bunyi kenderaan.

    Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, terdapat segelintir pengusaha yang menggaji pemandu warga asing, membawa penumpang melebihi kapasiti had permit bagi mengurangkan kos dan menyewa permit dan bas kilang kepada pihak ketiga.

    Untuk rekod, Johor mencatat sebanyak 144 kes kemalangan jalan raya melibatkan bas pekerja sepanjang tahun lalu.