Oleh RAHIMI MOHAMAD

TIGA remaja perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks bawah umur berjaya diselamatkan hasil serbuan yang dilakukan di sebuah premis kecantikan di Jalan Air Hitam, Batu 21, Kulai, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, kesemua remaja tempatan yang diselamatkan itu berusia lingkungan 13 hingga 15 tahun.

Katanya, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bertindak atas maklumat menjalankan serbuan dan pemeriksaan Op Noda pada pukul 2.40 petang.

“Setibanya di lokasi, polis membuat pemeriksaan dan menahan seorang wanita warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun disyaki terbabit dalam kegiatan persundalan.

“Dalam serbuan itu, polis turut berjaya menyelamatkan remaja perempuan berusia 13 hingga 15 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks bawah umur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Polis turut merampas tiga unit telefon bimbit, sehelai tuala, segulung tisu, satu paket kondom dan wang tunai berjumlah RM534.

Katanya, kesemua suspek dan mangsa yang diselamatkan dibawa ke IPD Kulai untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine dan kedua-duanya direman empat hari bermula hari ini sehingga 12 November untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan.

Ujar Beng Yeow, kes turut disiasat mengikut Seksyen 373(1)(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here