Category: Jenayah

  • Sepasang kekasih ditahan disyaki terlibat pembunuhan lelaki dua tahun lalu

    Sepasang kekasih ditahan disyaki terlibat pembunuhan lelaki dua tahun lalu

    SEPASANG kekasih yang dipercayai terlibat dalam pelbagai kes jenayah termasuk pembunuhan seorang lelaki di Flat Sungai Pinang, Pulau Pinang dua tahun lalu ditahan polis pada 3 November lalu.

    Suspek pertama iaitu lelaki berusia 35 tahun ditahan di tepi jalan di Jelutong pukul 10.30 pagi yang mana polis turut menemukam sepucuk pistol jenis Beretta Brigadier bersama kelopak dan 11 butir peluru bersaiz 9 milimeter (mm).

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd. Ra’ais berkata, susulan penahanan itu membawa kepada tangkapan seorang wanita berusia 30 tahun yang merupakan teman wanita kepada suspek pertama di sebuah kondominium di Jalan Fettes.

    Menurut beliau, semakan rekod jenayah terhadap individu pertama dapati mempunyai 14 rekod lampau di bawah kesalahan Kanun Keseksaan dan tiga rekod jenayah lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Semakan rekod jenayah terhadap suspek wanita pula didapati mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

    Menurut Rahimi, kedua-dua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api tanpa permit yang sah

    Selain itu tambahnya, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki peluru hidup tanpa permit yang sah.

  • Kumpulan bersenjata samun kereta mewah tumpas

    Kumpulan bersenjata samun kereta mewah tumpas

    POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu kumpulan samun bersenjata yang melarikan kereta mewah di negeri itu selepas menahan empat suspek dalam beberapa siri serbuan bermula 21 Oktober hingga 11 November lalu di Kedah dan Perak.

    Kempat-empat suspek berusia 22 hingga 26 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Kulim dan Sungai Petani, Kedah serta di Teluk Intan, Perak hasil hasil risikan polis dan maklumat awam.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd. Ra’ais berkata, kesemua suspek disyaki terlibat melarikan dua buah kereta Mercedes Benz di pusat servis kereta di Jalan Pengkalan Bukit Tengah, Seberang Perai pada 21 Oktober lalu dengan bersenjatakan parang.

    Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd. Ra’ais

    Tamabahnya, kenderaan yang dilarikan suspek itu turut berjaya dijumpai semula di Serdang, Kuala Lumpur dan di Teluk Intan.

    “Hasil ujian air kencing ke atas empat suspek mendapati seorang daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine manakala semakan rekod jenayah mendapati kesemua mereka mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Rahimi, kes itu disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan (kesalahan melakukan samun) dan Seksyen 379a Kanun Keseksaan (kesalahan mencuri kenderaan).

    Ujarnya, polis Perak turut membuka siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan cubaan membunuh kerana salah seorang suspek melanggar kereta dipandu polis ketika cuba melarikan diri dalam operasi di Teluk Intan.

  • Tiada kompromi, anggota polis lakukan gangguan seksual disiasat

    Tiada kompromi, anggota polis lakukan gangguan seksual disiasat

    POLIS akan melakukan siasatan terperinci dakwaan anggota polis menaiki kereta peronda polis telah melakukan gangguan seksual terhadap seorang individu semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, pihaknya akan menjalankan siasatan untuk mengesahkan kesahihan dakwaan tersebut yang menjadi tular dalam media sosial.

    “Kami meminta individu tersebut tampil membuat laporan polis dan keterangannya akan dirakam serta tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya wujud salah laku seperti yang didakwa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dalam apa jua isu berhubung kait dengan pelanggaran undang-undang melibatkan warga Polis Diraja Malaysia di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

    “Sehubungan itu, masyarakat diseru untuk tampil membuat aduan di balai polis berhampiran sekiranya berlaku salah laku dan perlanggaran undang-undang yang melibatkan anggota polis,” katanya.

    Semalam, tular dalam Twitter mengenai seorang individu yang mendakwa seorang anggota polis menaiki kereta peronda telah melakukan gangguan seksual terhadap dirinya.

  • Cubaan seludup 700kg beras siam, 100kg beras pulut gagal

    Cubaan seludup 700kg beras siam, 100kg beras pulut gagal

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas menahan sebuah kereta di Kampung Kedondong, Pasir Mas, semalam, dan berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk 700 kilogram (kg) beras siam ke negara ini.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, pemeriksaan lanjut, pihaknya turut menemukan 100kg beras pulut dalam kereta Proton Iswara tersebut.

    Menurutnya, kejayaan rampasan beras siam dan pulut seludup itu hasil maklumat diterima oleh polis berkait dengan aktiviti penyeludupan.

    Katanya, pada pukul 10.30 pagi, polis telah menerima maklumat berkait dengan aktiviti itu dan anggota unit kereta peronda polis terus bertindak menghala ke lokasi di jalan Kampung Apa-Apa.

    Mohd. Nasaruddin berkata, sejurus tiba di lokasi, pihaknya telah terserempak dengan sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dari arah Gelang Mas menghala ke simpang tiga Kampung Kedondong.

    “Anggota bertugas telah mengarahkan pemandu kereta itu untuk berhenti, namun pemandunya telah bertindak memecut laju masuk ke Kampung Kedondong.

    “Secara tiba-tiba selepas itu, pemandu kereta tersebut bertindak menghentikan kereta yang dipandu dan kemudian terus melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Tambahnya, pemeriksaan ke atas kereta itu menemui muatan beras yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

    Beliau memberitahu, nilai keseluruhan rampasan beras siam dan pulut itu termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM5,500.

    Kesemua beras yang dirampas itu akan diserahkan kepada Seksyen Kawal Selia Padi dan Beras untuk tindakan lanjut, katanya.

    Katanya lagi, kes disiasat bawah Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.

  • Lelaki maut, cucu parah kereta bertembung lori

    Lelaki maut, cucu parah kereta bertembung lori

    SEORANG datuk maut manakala cucunya parah apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer (KM) 58, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Kuala Rhu Kubur, Marang hari ini.

    Mangsa, Azman Awang, 56, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, sementara cucu lelakinya dikenali sebagai Aisy Mateen Mohd. Amin berusia setahun lapan bulan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

    Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Deris berkata, kejadian itu berlaku pukul 12 tengah hari semasa kereta Mazda CX5 dipandu mangsa dalam perjalanan menghala ke Kampung Jambu Bongkok untuk pulang ke rumahnya di Kampung Rantau Abang, Dungun.

    “Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan dinaiki mangsa dan cucunya itu dipercayai secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah lori yang datang dari laluan bertentangan, lalu terbabas ke kanan jalan.

    “Mangsa yang tersepit di tempat duduk bahagian pemandu dibawa keluar oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Marang selepas 15 minit operasi menyelamat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mohd. Zain berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Maritim tahan bot pukat tunda, tekong warga asing

    Maritim tahan bot pukat tunda, tekong warga asing

    SEBUAH bot pukat tunda kelas B ditahan kerana melanggar syarat sah lesen kira-kira 3.6 batu nautika barat laut Tanjung Hantu, Lumut, semalam.

    Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan bot yang dikendalikan lelaki warga Myanmar itu dalam rondaan Op Benteng dan Op Pintas di sempadan perairan negeri pukul 12.45 tengah hari.

    Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, tekong berkenaan turut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah selain didapati melakukan aktiviti perikanan dengan menggunakan pukat tunda.

    “Bot berkenaan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan kurang daripada 5 batu nautika seperti kebenaran syarat sah lesen dan Akta Imigresen 1959/63.

    “Bot bersama kru serta hasil tangkapan yang dianggarkan seberat 10 kilogram dibawa ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.

  • Pendaki pengsan sebelum maut di Telaga Tujuh

    Pendaki pengsan sebelum maut di Telaga Tujuh

    SEORANG pendaki lelaki berusia 50-an maut selepas pengsan semasa mendaki di Telaga Tujuh, Langkawi, hari ini.

    Mangsa, Lim Tham Guan, yang mendaki bersama-sama rakannya disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata,pihaknya menerima panggilan berhubung khidmat khas bantuan KKM berkaitan kes itu pada pukul 10.45 pagi.

    “Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah terima panggilan kecemasan melalui sistem MERS 999 khidmat khas menyelamat bantuan KKM mangsa pengsan di Air Terjun Telaga Tujuh, Langkawi.

    “Operasi disertai sepasukan anggota dari BBP Langkawi bersama pihak polis dan KKM.

    “Setibanya di lokasi kejadian didapati terdapat seorang lelaki lingkungan umur 50 an telah disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM.

    “Maklumat yang diterima daripada rakan mangsa menyatakan mereka melakukan aktiviti mendaki di lokasi berkenaan dan mangsa tiba-tiba pengsan serta tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi.

    Mohamadul Ehsan berkata, anggota di lokasi menggunakan pengusung bagi membawa turun mangsa ke bawah.

    Beliau berkata, mangsa dibawa turun pada pukul 1.30 tengah hari.

  • Imam kedua maut, seorang jemaah parah dilanggar kereta imam pertama

    Imam kedua maut, seorang jemaah parah dilanggar kereta imam pertama

    IMAM pertama sebuah surau di Taman Bukit Kajang, Kajang, Kuala Lumpur, hilang kawalan sebelum kereta dipandunya melanggar imam kedua surau tersebut dalam kejadian pada jam 6.30 pagi semalam.

    Insiden tersebut berlaku di pekarangan surau tersebut selepas mangsa yang juga pesara berusia 78 tahun dan rakannya yang juga pesara berusia 76 tahun baru selesai menunaikan solat Subuh berjemaah.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shari’at berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa berada di pekarangan surau ketika dilanggar kereta Perodua Myvi dipandu imam pertama itu.

    “Ketiga-tiganya baru selesai solat Subuh dan mahu pulang ke rumah masing-masing di Taman Kajang Jaya.

    “Dua mangsa berada di pekarangan surau ketika pemandu Perodua Myvi mengundurkan keretanya dari bahagian lot parkir sebelum terlanggar sedikit bahagian belakang sebuah kenderaan lain.

    “Akibat pelanggaran itu, imam pertama berusia 76 tahun itu panik lalu menggerakkan kenderaannya ke hadapan sehingga hilang kawalan dan melanggar dua mangsa yang berada di hadapannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Azman berkata, imam kedua itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa mengalami patah lutut kanan dan patah pergelangan kaki kiri dikejarkan ke hospital dengan ambulans .

    Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Kita meminta orang ramai sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika memandu kenderaan masing-masing.

    “Bagi pemandu sudah berusia, mungkin ada keperluan untuk membuat pemeriksaan kesihatan bagi memastikan mereka masih boleh mengendalikan kenderaan dengan baik,” katanya.

  • Maut selepas bantu sedarkan sepupu mengenai kebakaran

    Maut selepas bantu sedarkan sepupu mengenai kebakaran

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang lelaki sempat berbakti buat kali terakhir untuk sepupunya dengan membantu mengetuk pintu rumah keluarga berkenaan yang sedang terbakar, sebelum dia menghembuskan nafas terakhir di Kampung Hutan Betut, Mergong di Alor Setar, pagi ini.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 pagi itu, individu berkenaan, Mohamad Nazri Mohammad Saad, 48, dikatakan terlebih dulu bertindak sedemikian bagi menyedarkan sepupunya bahawa rumah mereka sedang terbakar.

    Selepas itu, dia difahamkan merasa tidak sedap badan dan berehat di bawah pokok berhampiran sungai sebelum terjatuh ke dalam sungai tersebut.

    Anggota bomba memadam kebakaran dan semua tujuh penghuni rumah dua tingkat tersebut selamat

    Situasi itu disedari penduduk kampung yang segera bertindak mengeluarkannya dari sungai sebelum dibantu anggota bomba yang tiba ke lokasi kejadian tidak lama kemudian.

    Tindakan anggota bomba yang turut memberi bantuan pernafasan kepadanya bagaimanapun tidak dapat menyelamatkan lelaki itu yang disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak lama selepas itu.

    Sementara itu Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 5.32 pagi.

    Selain rumah,tujuh kenderaan turut terbakar iaitu lima kereta dan dua motosikal

    “Kesemua tujuh penghuni rumah dua tingkat itu selamat namun difahamkan terdapat seorang mangsa yang meninggal dunia selepas jatuh ke dalam sungai dekat situ.

    “Selain rumah, ada tujuh lagi kenderaan yang turut terbakar iaitu lima kereta dan dua motosikal,” katanya.

  • Gagal seludup masuk 50 kotak ubat gigi dari China

    Gagal seludup masuk 50 kotak ubat gigi dari China

    CUBAAN membawa masuk 50 kotak mengandungi ubat gigi tidak sah bernilai RM35,000 dalam sebuah kontena dari China di Pelabuhan Klang, Klang, berjaya dipatahkan dalam satu pemeriksaan, semalam.

    Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pihaknya menerima aduan wujudnya perlakuan pelanggaran cap dagang bagi sebuah cap dagangan/jenama popular item ubat gigi.

    “Susulan aduan tersebut, satu tindakan serbuan secara kerjasama strategik telah dilaksanakan antara KPDNHEP Shah Alam, Selangor dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia memeriksa sebuah kontena dipercayai dari Pelabuhan Ningbo, China.

    “Kontena tersebut didapati dimuatkan sejumlah barangan yang disyaki melakukan pelanggaran cap dagangan terlibat.

    “Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 50 kotak yang mengandungi 72 unit ubat gigi dengan jenama terlibat dan berada dalam kontena yang diperiksa dalam serbuan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Katanya, jenama itu disyaki menyerupai atau hampir serupa dengan satu cap dagangan berdaftar/sah yang dimiliki oleh sebuah syarikat terkenal serta disyaki kemungkinan berlaku kesilapan ejaan melibatkan cap dagangan asal (berdaftar/sah) tersebut.

    Menurut beliau, kesemua barangan jenis ubat gigi jenama tersebut telah disita untuk siasatan lanjut oleh pihak KPDNHEP Shah Alam di bawah peruntukan Seksyen 99 (1) Akta Cap Dagangan 2019.

    “Mana-mana individu atau pihak diingatkan agar lebih bertanggungjawab dalam menjalankan aktiviti perniagaan sama ada secara dalam talian mahupun fizikal terutamanya melibatkan kualiti dan keselamatan pengguna,” jelasnya.