Category: Jenayah

  • 22 ditahan termasuk 4 wanita dalam parti liar, semua positif dadah

    22 ditahan termasuk 4 wanita dalam parti liar, semua positif dadah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KESERONOKAN 22 individu berhibur dalam parti liar selama dua hari dengan menyewa sebuah homestay di Taman Pura Kencana, Sri Gading, Batu Pahat terbantut apabila diserbu polis awal pagi semalam.

    Menerusi serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada pukul 1.30 pagi, mereka
    sedang berkumpul dan berhibur sambil mendengar muzik.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pihaknya menahan mereka yang terdiri daripada 18 lelaki dan empat wanita berusia 16 hingga 23 tahun.

    “Hasil pemeriksaan mendapati seramai 22 orang berada dalam rumah teres dua tingkat berkenaan yang disewa selama dua hari.

    “Mereka berkumpul dan berhibur sambil mendengar muzik dengan semuanya berada di bawah pengaruh dadah. Ujian ke atas mereka mendapati semua positif dadah jenis ketamin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kompaun juga dikeluarkan terhadap mereka di bawah Peraturan 17(2) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

    Beliau menambah, siasatan lanjut masih dijalankan.

  • 4 lelaki ditahan menyamar polis samun warga asing

    4 lelaki ditahan menyamar polis samun warga asing

    TINDAKAN empat lelaki dipercayai rakan yang menyamar sebagai anggota polis untuk menyamun warga Bangladesh di Bayan Baru, Pulau Pinang kelmarin memakan diri selepas mereka ditahan polis kelmarin.

    Kesemua suspek berusia antara 20 hingga 30 tahun itu diberkas sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya yang menerima laporan berkenaan kejadian itu daripada seorang pengadu pada pukul 2.12 petang.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, empat suspek itu dipercayai terlibat dalam kegiatan samun wang dan telefon bimbit milik mangsa semasa berada di Astaka Bukit Gedung kira-kira pukul 4.30 pagi.

    “Dalam kejadian itu, suspek dikatakan menyamar sebagai anggota polis lalu menyamun sebuah telefon bimbit jenis Samsung dan wang tunai RM60 milik pengadu di lokasi kejadian.

    “Ketika itu, dua rakan pengadu yang turut berada di tempat kejadian juga disamun wang tunai bernilai RM90 dan RM20 sebelum suspek melarikan diri menaiki motosikal jenis dan nombor pendaftaran yang tidak pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, susulan laporan yang dibuat polis berjaya menahan suspek di sekitar Bayan Baru dan di Kampung Baru, Ayer Itam dan siasatan lanjut mendapati kesemua suspek tersebut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

    Tambahnya, suspek kini ditahan reman sehingga 30 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan termasuk mengenal pasti sama ada terlibat dengan kes-kes jenayah lain.

  • Lima lelaki simbah cat, bakar kereta anggota kastam

    Lima lelaki simbah cat, bakar kereta anggota kastam

    KERETA Proton X70 milik seorang anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Cawangan Pelabuhan Klang bukan sahaja disimbah cat malah dibakar semasa dihantar di pusat mencuci kereta di Taman Pandamaran Permai, Klang pukul 11 pagi semalam.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pada mulanya pihak polis menerima laporan daripada pengadu berusia lingkungan 50-an pada 16 November lalu mendakwa kereta miliknya itu disimbah cat.

    Katanya, dua hari kemudian polis menerima satu lagi laporan daripada pengadu yang mendakwa keretanya dibakar di pusat cuci kereta ketika dihantar untuk membersihkan kesan simbahan cat.

    Susulan daripada laporan itu, Arjunaidi berkata, pihaknya berjaya mengesan lima lelaki terbabit yang kini direman bagi membantu siasatan.

    “Mereka ditahan di sekitar Klang malam tadi yang berumur antara 30 dan 60 tahun. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.

    “Kesemua individu ini tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, Sepang, hari ini.

    Dilaporkan kereta berkenaan terbakar 90 peratus ketika berada di pusat mencuci kereta berkenaan.

    Mengenai motif kejadian, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat unsur khianat terhadap mangsa.

  • Mangsa banjir nyaris lemas ketika selamatkan diri

    Mangsa banjir nyaris lemas ketika selamatkan diri

    SEORANG mangsa banjir di Kampung Tok Deh, Rantau Panjang, Pasir Mas berdepan detik cemas apabila nyaris lemas selepas rebah akibat pening ketika sedang mengharungi banjir di kawasan rumahnya untuk menyelamatkan diri.

    Abdul Majid Ahmad, 55, berkata, ketika kejadian pada kira-kira 8 malam tadi, beliau bersama isteri dan anak lelakinya terpaksa meredah air pada paras dadanya untuk keluar dari kawasan rumahnya ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang terletak kira-kira 300 meter dari rumah.

    “Masa itu air sudah masuk dalam rumah, kawasan luar rumah pula air sudah cecah dada. Jadi kami sekeluarga ambil keputusan untuk keluar ke tempat lebih selamat.

    “Ketika sedang harung air, tiba-tiba saya rasa pening kerana kesejukan dan hampir pitam sehingga menyebabkan saya rebah.

    “Mujur ketika itu anak lelaki saya (Mohd Syamil, 17) sempat memaut badan saya sebelum tenggelam dibawa arus banjir,” katanya kepada Bernama di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, Rantau Panjang, hari ini.

    Abdul Majid yang menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis berkata, kawasan rumahnya sering dinaiki air kerana berada di kawasan paling rendah dan sudah menjadi kelaziman untuknya dan keluarga berpindah ke PPS SK Tok Deh setiap kali musim banjir.

    Seorang lagi mangsa banjir, Kamaruddin Stapa, 53, dari Kampung Bendang Perol di sini turut berpindah ke PPS bersama enam ahli keluarganya kerana bimbang keselamatan keluarganya berikutan hujan lebat sejak dua hari lepas sehingga menyebabkan limpahan air Sungai Golok.

    “Ibu saya (Mariam Ahmad, 80) tidak boleh berjalan kerana sakit lutut dan perlu diusung ketika berpindah awal pagi tadi.

    Sebenarnya air mulai masuk ke kawasan rumah saya sejak kelmarin tetapi disebabkan limpahan air dari Sungai Golok yang masuk melalui longkang menyebabkan air semakin banyak di sini,” katanya.

    Sementara itu, tinjauan Bernama di Kampung Tok Deh mendapati beberapa kawasan jalan dari Kampung Tok Deh ke Rantau Panjang turut dinaiki air, namun masih boleh dilalui kenderaan ringan.

    Setakat 2 petang tadi, bilangan mangsa banjir di PPS SK Tok Deh kekal 31 orang daripada enam keluarga, manakala menurut portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran, hanya Sungai Golok di Rantau Panjang merekodkan paras amaran dengan bacaan 8.66 meter. – Bernama

  • Ah long ditetak mati berpunca daripada dendam lama dua kongsi gelap

    Ah long ditetak mati berpunca daripada dendam lama dua kongsi gelap

    POLIS Selangor memaklumkan seorang lelaki yang maut ditetak di hadapan dua anaknya selepas mereka makan tengah hari di sebuah restoran di Bandar Bukit Tinggi, Klang, dua minggu lalu berpunca akibat dendam lama antara dua kumpulan kongsi gelap.

    Jelas Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, punca tersebut didedahkan selepas polis menyoal siasat 16 suspek dipercayai ahli kongsi gelap yang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

    “Polis juga sedang menjalankan siasatan mengenai penglibatan lain-lain ahli kumpulan itu.

    “Hasil siasatan mendapati punca kejadian adalah disebabkan dendam lama antara dua kumpulan kongsi gelap yang dianggotai mangsa dan suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau percaya penahanan 16 suspek termasuk suspek utama dalam beberapa siri tangkapan di Lembah Klang seperti Sri Petaling serta beberapa lokasi di Johor seperti Ledang dan Muar, kes itu berjaya diselesaikan.

    Katanya, polis kini dalam peringkat melengkapkan siasatan dan akan merujuk Jabatan Peguam Negara untuk arahan pendakwaan.

    Terdahulu, Arjunaidi memberitahu, seorang suspek memandu anggota polis ke sebuah kawasan lapang di Taman Sentosa, Klang untuk menunjukkan lokasi pakaian mereka dibakar.

    “Suspek kemudian membawa polis ke Sungai Klang berhampiran Jambatan Kota untuk menunjukkan senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu. Mereka dipercayai membuang senjata dipercayai parang ke dalam sungai tersebut,” ujarnya.

    Menurutnya, Unit Tindakan Khas (UTK), Pasukan Selam, Pasukan Marin Klang dan Forensik Polis Diraja Malaysia terlibat dalam usaha mencari senjata yang dibuang suspek.

    Beliau turut memaklumkan yang polis mengesan sebuah lokasi homestay di Bandar Botanic Klang yang disewa suspek sebelum dan selepas kejadian.

    Dalam kejadian 6 November lalu, mangsa bersama-sama dua anak lelakinya berusia 18 dan 10 tahun datang ke restoran tersebut pada pukul 11.50 pagi.

    Sejurus selesai makan, tiga beranak itu berjalan kaki ke arah kereta Toyota Vellfire yang berada 30 meter dari premis berkenaan.

    Sewaktu mangsa mahu membuka pintu kereta itu, dia bagaimanapun didatangi tiga lelaki yang bersenjatakan parang dan terus menetaknya.
    Kedua-dua anak mangsa bagaimanapun selamat tanpa sebarang kecederaan.

  • Trend peningkatan jenayah siber di Pulau Pinang membimbangkan

    Trend peningkatan jenayah siber di Pulau Pinang membimbangkan

    KES penipuan jenayah siber di Pulau Pinang menunjukkan trend peningkatan membimbangkan iaitu sebanyak 28.2 peratus setakat Oktober tahun ini berbanding sepanjang tahun lalu.

    Kes-kes jenayah siber melibatkan penipuan seperti pinjaman tidak wujud, pelaburan dan ah long itu direkodkan sebanyak 2,494 kes dalam tempoh hanya 10 bulan tahun ini iaitu sejak Januari hingga Oktober lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd. Asmadi Yusoff berkata, ia melibatkan kerugian yang mencecah hampir RM79 juta kepada mangsa-mangsa terlibat.

    “Secara keseluruhannya, kes jenayah siber ini merangkumi sebanyak 14.36 peratus daripada kerugian kes yang disiasat di seluruh negara,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, siasatan ke atas kes jenayah siber yang melibatkan penipuan pembelian pembelian PlayStation 5 (PS5) membabitkan kira-kira 200 pembeli mendapati suspek yang ditahan di Pulau Pinang baru-baru ini bergerak bersendirian menjalankan perniagaan itu secara ‘online’.

    “Siasatan awal mendapati suspek sebelum ini turut menjual alat permainan PS4 dan PS3, namun tiada sebarang masalah membabitkan penjualan konsol terbabit ketika itu.

    “Malah, suspek turut memiliki syarikat yang didaftarkan atas namanya bagi menambah keyakinan pelanggan,” katanya.

    Tambah Mohd. Asmadi, suspek juga dipercayai menggunakan akaun ibunya yang turut menjalankan perniagaan ‘online’ untuk memperoleh wang daripada para pembeli pratempahan PS5 itu.

    Jelasnya, suspek turut mendakwa memperoleh konsol PS5 itu daripada pembekal lain dan polis masih menyiasat kes itu dengan lanjut.

    “Setakat ini terdapat lapan kes membabitkan penipuan PS5 ini dilaporkan di Pulau Pinang membabitkan kerugian RM28,000,” katanya.

    Akhbar sebelum ini melaporkan hampir 200 pembeli pratempahan konsol permainan PS5 kerugian kira-kira RM500,000 selepas diperdaya individu yang membina reputasi sebagai ‘penjual dipercayai’ atau ‘trusted seller’ sebelum melarikan diri bersama wang berkenaan.

  • Kerajaan Malaysia memperoleh RM20.53 bilion aset 1MDB

    Kerajaan Malaysia memperoleh RM20.53 bilion aset 1MDB

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini giat meneruskan pemulihan aset dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam dan luar negara termasuk di Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu (UAE), Taiwan dan Singapura.

    SPRM dalam satu kenyataan memberitahu, setakat ini dengan kerjasama agensi penguat kuasa antarabangsa telah berjaya memulangkan aset 1MDB berjumlah lebih RM20.53 bilion kepada kerajaan Malaysia.

    Terbaharu pada 12 November lalu, Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura membuat pemulangan wang milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International Sdn Bhd (SRC), Nik Faisal Ariff Kamil kepada kerajaan Malaysia menerusi Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset milik Kementerian Kewangan berjumlah AS$864,813.27 (hampir RM3.62 juta).

    “Sebelum ini, kerajaan Singapura turut membantu dalam pemulangan aset sebanyak AS$15.4 juta (RM64.42) kepada Malaysia, membabitkan akaun Cutting Edge Industries Ltd, milik Datuk Tawfiq Ayman dan Samuel Goh.

    “Pada ketika ini juga, SPRM sedang dalam usaha untuk pemulihan aset bagi negara seperti Switzerland, Kuwait, Mauritius, Cyprus dan Hong Kong, membabitkan individu yang mempunyai kaitan dengan kes 1MDB,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Kementerian Kewangan sebelum ini memaklumkan, usaha pemulihan aset 1MDB dan SRC oleh kerajaan ketika ini, memfokuskan kepada pihak yang menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan SRC ketika menjalankan tanggungjawab mereka, sama ada melalui pembabitan secara langsung atau tidak langsung dalam pelbagai operasi dan transaksi syarikat berkenaan.

    Menurut kenyataan itu, semua yang terbabit akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas salah laku melalui pembabitan dalam 1MDB dan/atau SRC.

  • Nahas pesawat TUDM: Mejar Mohd. Fareez telah sedar, stabil

    Nahas pesawat TUDM: Mejar Mohd. Fareez telah sedar, stabil

    ANGGOTA Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang cedera dalam nahas pesawat Hawk 108, Mejar Mohd. Fareez Omar, 33, telah sedar serta berada dalam keadaan yang stabil.

    Bahagian Perhubungan Awam TUDM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, Mohd. Fareez yang mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang selamat menjalani pembedahan kira-kira pukul 7 malam, Rabu lalu di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

    Bagaimanapun katanya, beliau kini berada dalam pemantauan pegawai perubatan di hospital itu dan memerlukan rawatan susulan.

    Dalam pada itu tambahnya, TUDM akan memastikan segala urusan rawatan perubatan Mohd. Fareez diuruskan dengan sebaik-baiknya.

    “Ini termasuk urusan kebajikan isterinya, Siti Hajar Abdullah serta dua anak mereka yang masing-masing berusia tiga tahun dan lima bulan yang akan dikoordinasikan oleh Pangkalan Udara Butterworth di sini,” demikian menurut kenyataan itu.

    Tambah kenyataan itu, satu Lembaga Siasatan juga telah ditubuhkan untuk menyiasat nahas itu secara lebih terperinci.

    Sehubungan itu tegasnya, TUDM meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan berita yang tidak sahih kebenarannya selain turut sama mendoakan kesembuhan Mohd. Fareez.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 10.07 malam Selasa lalu itu, pesawat Hawk 108 yang sedang dalam latihan penerbangan malam terhempas di landasan Pangkalan Udara Butterworth sebelum meletup.

    Bagaimanapun, dua juruterbangnya sempat keluar menggunakan kerusi anjal namun salah seorang daripada mereka iaitu Kapten Mohamad Affendi Bustamy, 31, terbunuh manakala Mohd. Fareez mengalami kecederaan.

  • Pemandu Kancil lawan arus di plaza tol Juru dicari

    Pemandu Kancil lawan arus di plaza tol Juru dicari

    POLIS Pulau Pinang sedang mengesan pemandu kereta jenis Perodua Kancil yang didapati memandu secara melawan arus berhampiran kawasan plaza tol Juru di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di Bukit Mertajam yang videonya tular dalam media sosial.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku pukul 8.17 pagi semalam.

    Katanya, rakaman video berdurasi tiga minit itu tular di dalam laman sosial Facebook sejak pukul 9.05 pagi ini.

    “Siasatan masih diteruskan untuk mengesan pemandu kereta tersebut dan polis memohon pengguna lebuh raya yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Ami Syuqri di talian 013-4194072 atau 04-5382222 bagi membantu siasatan.

    “Kes itu disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Penjawat awam pukul wanita dalam lif sebab gagal carikan jodoh

    Penjawat awam pukul wanita dalam lif sebab gagal carikan jodoh

    SEORANG lelaki berang dipercayai selepas wanita yang dibayar RM2,500 untuk mencari jodoh untuknya telah gagal, sebelum memukulnya dalam sebuah lif dalam kejadian di Jalan 2 Chan Sow Lin, Cheras, Kuala Lumpur, kelmarin.

    Suspek yang merupakan penjawat awam berjumpa mangsa yang sedang bekerja di pejabat di Jalan 2 Chan Sow Lin kira-kira pukul 10.30 pagi.

    Ketua Polis Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Idzam Jaafar berkata, suspek kemudian membawa mangsa masuk ke dalam lif untuk turun ke bawah dan ketika itu lelaki tersebut memukul mangsa menggunakan tangan di bahagian kepala.

    “Mangsa mengalami pendarahan di kepala dan mendapat rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), Cheras,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Sebelum ini, tular video dalam media sosial memaparkan seorang wanita dipukul seorang individu dalam sebuah lif.

    Idzam memberitahu, pihaknya sudah mengenal pasti individu terbabit dan akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.